Jumaat 27 November 2009/10 Zulhijjah 1430
SAMBUTAN HARI RAYA AIDILADHA 1430.
Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Qurban disambut pada hari dengan mendirikan solat sunat adiladha di masjid-masjid dan surau-surar dengan menghayati khutbah hari Raya. Majlis qurban juga diadakan selepas solat sunat hari Raya dan bagi tempat yang berqurban dengan penyembelihan yang banyak , qurban akan diadakan pada pagi hari kedua. Kita digalakkan bertakbir mulai hari ini hingga hari ketiga tasyrik hingga waktu asar.
Hari Raya Aidiladha disambut pada 10 Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha, khutbah pada pagi 10 Zulhijjah dan kemudian dilangsungkan ibadah korban yang boleh dilakukan pada 10, 11, 12 atau 13 Zulhijjah.
Kita dianjurkan dengan berpuasa sunat hari Arafah bagi yang tidak menunaikan haji, di samping melaungkan takbir bermula pagi sembilan Zulhijjah hingga berakhirnya hari 'tasyrik' iaitu hari ke 13 Zulhijjah, bagi meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT, Malah, kalimah takbir yang dilaungkan itu bukan satu kalimah yang kosong, sebaliknya ia mampu menyuntik semangat juang dalam menghadapi pelbagai cabaran dan ujian hidup yang sememangnya terpaksa kita hadapi sebelum diiktiraf tahap keimanan kita kepada Allah SWT.
Kalau kita hayati maksud Hari Raya Aidiladha itu sendiri, ia membawa maksud Hari Raya Korban, maka kita disunatkan untuk melakukan ibadah korban. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas r.a, yang bermaksud:
"Rasulullah SAW datang ke Madinah, sedangkan mereka sedang sibuk bergembira selama dua hari. Maka Rasulullah SAW bertanya: Hari apakah yang dua hari ini? Mereka menjawab: Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman Jahiliah: Kemudian Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT telah menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha. - (Riwayat Abu Daud)
Ibadat Qurban pula mengikut hadis Rasulullah SAW juga ada menyatakan tentang kelebihan ibadat korban dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Al-Hakim yang bermaksud:
"Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai Allah daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih."
Maksud hadis Rasulullah yang bermaksud:
"Sesiapa yang menghidupkan dua malam Aidilfitri dan Aidiladha (dengan ibadat), maka hatinya tidak akan mati pada hari di mana hati-hati manusia akan mati (iaitu leka dari mengingati Allah SWT)" - (Riwayat Ibnu Majah).
Menyembelih korban di zaman nabi Adam a.s, adalah suatu sunat yang telah amat lama, yang dilakukan pertama kali oleh dua orang anak Adam, iaitu Qabil dan Habil atas perintah Adam a.s.
Firman Allah SWT: "Dan baca oleh mu untuk mereka (terangkanlah olehmu untuk mereka) khabar berita dua orang anak Adam dengan sebenarnya, di kala anak Adam itu mempersembahkan korbannya maka Allah menerima korban salah seorang daripada keduanya termasuk menolak korban yang seorang lagi (iaitu Qabil)"
- (Al-Maidah 27)
Dalam bulan Zulhijjah, Allah menganugerahkan masa-masa yang dibesarkan dan dimuliakan oleh Allah. Iaitu sepuluh hari terawal bulan Zulhijjah, Hari Arafah, Aidil Adha dan Hari Tasyriq.
Sesungguhnya, Allah SWT telah bersumpah dengan Fajar Aidil Adha dan 10 malam bulan Zulhijjah dalam surah al-Fajr ayat 1 dan 2: Demi waktu fajar Aidil Adha; dan malam 10 Zulhijjah (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).
Kita maklumi, Allah tidak bersumpah dengan suatu perkara melainkan kerana kemuliaan dan kepentingan perkara tersebut. Allah telah menganugerahkan pada 10 malam terawal bulan Zulhijjah dengan kelebihan-kelebihan yang lebih besar dan hebat daripada malam-malam yang lain.
Banyak hadis yang menerangkan tentang kelebihan hari-hari ini dan kelebihan amalan yang dilakukan padanya. Di antaranya, sebagaimana yang disebut di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Tidak ada dari hari-hari yang dilakukan amal soleh padanya yang lebih disukai oleh Allah daripada hari-hari yang sepuluh ini. Sahabat r.a bertanya, Wahai Rasulullah! Dan tidakkah juga berjihad fi sabilillah (lebih afdal daripada beramal pada hari-hari ini)? Rasulullah SAW bersabda, "Tidak juga berjihad fi sabilillah, kecuali orang yang berjihad dengan diri dan hartanya dan kemudian dia syahid"
- (Riwayat Al- Bukhari)
Ulama berdalilkan hadis ini sebagai galakan atau sunat berpuasa pada sembilan hari daripada 10 hari terawal bulan Zulhijjah kerana puasa juga termasuk dalam kategori amalan soleh. Perkara ini disebut oleh al Hafiz Ibnu Hajar r.a, Rasulullah SAW juga bersabda:
"Berpuasa sehari dalam bulan ini (hari yang ke-9) menyamai puasa 1000 hari dan sehari puasa pada hari Arafah menyamai puasa 10,000 hari". Daripada Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda:
"Tidak ada dari hari-hari yang lebih dikasihi Allah untuk dipenuhi dengan ibadah kepada-Nya daripada 10 hari terawal dari bulan Zulhijjah; puasa setiap hari daripadanya menyamai puasa setahun, solat pada setiap malam daripadanya menyamai solat pada malam al-Qadar".
Bahkan, disunatkan bagi orang yang mahu melakukan korban menahan dirinya terlebih dahulu daripada memotong kukunya dan mencukur bulu sama ada pada kepala, muka dan badannya. Iaitu, bermula dari masuknya bulan Zulhijjah hinggalah selesai melakukan ibadah korban.
Hal ini berdasarkan hadis Ummu Salamah, bahawa Nabi SAW bersabda: "Apabila masuk hari yang 10 Zulhijjah, dan seseorang dari kamu mahu berkorban, maka jangan disentuh rambut dan kulitnya sedikitpun".
Di dalam satu riwayat yang lain, Rasulullah SAW bersabda: "Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah, dan seseorang dari kamu mahu berkorban, maka hendaklah ditahan dari memotong rambut dan kukunya".
Ini sebagai menunjukkan terbukanya pintu penerimaan Allah terhadap amal yang dilakukan pada hari-hari yang berkat ini, kerana Allah Yang Maha Mulia apabila Dia kasih atau suka kepada sesuatu, maka Dia akan menerimanya.
Bulan Zulhijjah merupakan bulan ibadah yang penuh dengan pengertiannya yang tersendiri. Di dalamnya terkandung perkara kelima dalam rukun Islam iaitu ibadah haji. Jika setiap jemaah haji atau tetamu Allah menyempurnakan ibadah haji atau manasik mereka di padang Arafah pada 9 Zulhijjah berlandaskan sabda Rasulullah yang bermaksud, "Haji itu Arafah", maka umat Islam lainnya di luar Tanah Suci melengkapi ibadah mereka dengan melakukan ibadah korban atau bermula 10 Zulhijjah.
Udhiyyah bermaksud menyembelih haiwan daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an'am iaitu unta, lembu, biri-biri dan kambing pada Hari Raya Haji atau yaum al-Nah pada 10 Zulhijjah dan pada hari-hari tasyriq iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Korban lambang ketaatan hamba.
Ibadah korban merupakan gambaran praktikal dari keikhlasan, ketaatan dan ketulusan hati yang tidak berbelah-bagi Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail kepada Allah Yang Maha Kuasa.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku akan menyembelihmu. Apakah pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu.. In sya Allah, ayah akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar. Lantas Kami menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar serta Kami kekalkan baginya (nama yang harum) di kalangan orang-orang yang datang terkemudian"
(al-Soffaat: 101-108)
Ikhlas kerana Allah.
Daripada Aisyah r.a., Nabi bersabda: "Berkorbanlah kamu dengan hati yang reda, sesungguhnya tiap-tiap muslim yang menghadapkan sembelihannya ke arah kiblat, maka darahnya, kotorannya dan bulunya itu adalah kebajikan dan bakti kepada timbangannya pada hari kiamat".
- (riwayat al-Baihaqi)
Dengan menyembelih binatang ternakan sebagai korban, seorang muslim telah merelakan sebahagian harta yang dimilikinya sebagai merealisasikan keikhlasan, ketaatan dan rasa kesyukuran melalui nikmat yang telah diberikan oleh Allah.
Firman Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (Wahai Muhammad) kebaikan Yang banyak (di dunia dan di Akhirat). Oleh itu, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur).
-(al- Kauthar: 1-2)
Misi sosial sesama hamba.
Ibadah korban tidak hanya mengandungi dimensi ketaatan dan taqarrub seorang hamba kepada Khaliqnya (Allah) malah terkandung di dalamnya misi sosial sesama hamba.
Kesediaan seseorang hamba untuk melakukan korban mencerminkan wujudnya pengakuan dalam dirinya akan hak-hak saudara muslimnya yang lain seterusnya dapat membugar tingkat sosial yang tinggi dalam masyarakat.
Rasulullah SAW melarang keras golongan berharta (golongan kaya) yang memiliki kemampuan melakukan ibadah korban tetapi enggan menunaikannya untuk bersama-sama menunaikan solat Aidiladha bersama jemaah di masjid.
Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang memiliki kemampuan (dikurniakan rezeki yang melimpah-ruah ) dan tidak menyembelih, maka janganlah dia mendekati tempat solat kami".
- (Riwayat Ibn Majah dalam Sunannya)
Ukuran kemampuan tidak berdasarkan kekayaan yang dimiliki. Namun ia merujuk kepada kemampuan setiap individu iaitu setelah memenuhi keperluan rutin hariannya dia masih mempunyai lebihan wang untuk melakukan korban.
Golongan berkemampuan sebaliknya dianjurkan supaya mengagihkan dan memberi daging-daging sembelihan kepada golongan yang kurang bernasib-baik seperti golongan fakir-miskin, saudara Islam yang sedang ditimpa musibah dan anak yatim dan selain mereka.
Firman Allah yang bermaksud: Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Mekah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta itu ada kebaikan bagi kamu. Oleh itu, sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya. Setelah ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami memudahkannya untuk kamu (menguasai dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur. Daging dan darah binatang qurban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah. Tetapi, yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa daripada kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya".
- (al-Haj: 36-37)
Melalui penerimaan daging-daging korban sudah pasti akan terpancar rasa kasih sayang sesama insani. Golongan fakir yang dahulunya tidak pernah berkemampuan untuk mendapatkannya dek harganya yang mahal akhirnya mengecapi nikmat tersebut.
Golongan yang berkemampuan pula akan bertambah tingkat kesyukuran mereka kepada Allah. Justeru ikatan yang terjalin sesama manusia hablum minan nas akan melahirkan satu struktur masyarakat yang kuat, berperibadi luhur, adil, sejahtera.
Sebagaimana sedekah, zakat dan ibadah sosial yang lain, ibadah korban mampu membersihkan sifat mazmumah seperti bakhil, 'ujub, dan takbur bagi golongan berkemampuan, dan perasaan cemburu dan hasad dengki bagi golongan fakir dan yang tidak berkemampuan.
Ibadat Qurban di Hari Hari bRaya qurban.
Dari Al-Barra' ibn 'Azib r.a, Rasulullah SAW bersabda: "Empat jenis binatang yang tidak dianjurkan dalam ibadah korban iaitu buta sebelah matanya yang jelas butanya, sakit yang jelas sakitnya, tempang yang jelas bengkoknya, tidak mampu berjalan dan tidak mempunyai lemak (kurus)".
- (riwayat Abu Dawud di dalam Sunannya)
Jundub ibn Abdullah ibn Sufyan al-Bajali r.a berkata:
lalu menyembelih (bintang) korbannya lantas bersabda: "Sesiapa yang menyembelih sebelum solat Aidiladha, sembelihlah yang lain sebagai penggantinya dan sesiapa yang belum menyembelih maka sembelihlah dengan nama Allah".
- (riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya)
Anas r.a berkata:
"Rasulullah pernah melakukan korban dengan dua ekor kambing biri-biri yang bagus lagi bertanduk. Baginda menyembelih kedua-duanya dengan tangan baginda sendiri dengan menyebut nama Allah dan bertakbir sambil meletakkan kaki baginda pada lambung kedua-duanya."
-(riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya)
Daripada Jabir bin Abdullah r.a, katanya:
"Kami pernah menyembelih korban bersama-sama Rasulullah pada tahun perjanjian Hudaibiah untuk korban seekor unta atau korban seekor lembu, kami bersekutu tujuh orang."
-(riwayat Muslim di dalam Sahihnya)
Sabda Rasulullah SAW:
"Makan dan simpanlah serta sedekahkan daging korban itu."
- (riwayat Muslim di dalam Sahih)
Sumber rujukan:Bicara Agama "Utusan Malaysia"
No comments:
Post a Comment