Tuesday, November 17, 2009

Melakukan Ibadat Qurban

Mengerjakan Ibadat Qurban.


Bersempena dengan ibadat Haji di Mekah, kita merayakan Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Qurban. Pada hari juga kita mengadakan ibadat Qurban, kerana di antara syiar semasa merayakannya adalah mengorbankan haiwan seperti unta, lembu, kambing dan
kambing biri-biri dalam rangka beribadat kepada ALLAH S.W.T.. Ibadat korban ini adalah sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. yang sanggup menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail a.s. kerana taat akan perintah ALLAH S.W.T.. Namun begitu berkat kesabaran serta ketaatan kedua-dua ayah dan anak ini kepada kehendak ALLAH S.W.T. maka ketika Nabi Ibrahim ingin menyembelih anaknya itu, ALLAH gantikannya dengan seekor kibas.


Peristiwa ini telah dirakamkan di dalam al-Qur’an sebagaimana firman-NYA: Maksudnya:


Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah
apa pendapatmu?".

Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar"Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (KAMI sifatkan Ibrahim -dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami).

Serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim! "Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar; Dan " –
- al-Saaffaat (37) : 101-108




Menurut mazhab Imam Al-Syafie, melakukan ibadat korban hukumnya sunat muakkad iaitu sebagai ibadat tambahan yang selalu dikerjakan oleh Rasulullah pada masa hayatnya. Bagi orang-oarang yang berkemampuan digalakkan berkorban setiap tahun sebagai tanda syukur dan berkorban kerana Allah dengan harta dan kewangan yang diberikan oleh Allah swt.



Bagaimanapun kebanyakan ulama berpendapat korban hanya sunat. Seseorang tidak dianggap berdosa besar sekalipun tidak pernah berkorban seumur hidupnya. Jika tidak berkorban kerana tidak berkemampuan, anggaplah bahawa Nabi berkorban bagi pihak umatnya.

Berpandukan amalan korban yang dilakukan oleh Rasulullah yang menyembelih dua ekor biri-biri bagi pihak diri, keluarga dan umatnya, maka ulama berpendapat memadai jika seorang ketua dalam sesebuah keluarga seperti suami bagi isteri atau bapa bagi anak-anaknya.
Baginda dilaporkan pernah berkorban dua biri-biri besar bagi diri, keluarga dan seluruh umatnya yang tidak sempat atau tidak mampu berkorban.

Bagi yang mampu digalakkan memilih ternakan yang terbaik untuk dikorbankan. Rasulullah setiap kali berkorban memilih ternakan yang baik, sihat dan gemuk.

Muslim meriwayatkan daripada Anas mengatakan Rasulullah saw menyembelih korban dengan dua kibas yang terbaik dengan tangannya sendiri dengan membaca Bismillahi Allah dan bertakbir dan meletakkan kakinya di atas rusuk di sebelah tengkuk kedua-dua kibasnya itu.

Ada syarat ditetapkan iaitu ternakan yang hendak dikorbankan mesti cukup umur, sihat dan sempurna sifatnya yakni tidak mengalami kecacatan.

Haiwan ternakan betina pula perlu dipastikan tidak mengandung ketika hendak dikorbankan. Bagaimanapun, korban tetap sah jika selepas disembelih didapati haiwan ternakan itu sedang mengandung.

Mengikut amalan sunnah dalam pembahagian daging korban ialah satu pertiga untuk diri dan keluarga, satu pertiga untuk jiran tetangga manakala satu pertiga untuk golongan fakir dan miskin.

Namun seandainya disedekahkan semuanya kepada orang lain, itu lebih baik dan sempurna. Bagaimanapun, digalakkan kepada orang yang berkorban untuk mengambil sedikit daging korban untuk dirinya dan keluarga sebagai tabarruk.

Allah mensyariatkan waktu untuk melakukan ibadat korban ialah selepas solat hari raya pada 10 Zulhijjah. Ia juga boleh dilakukan pada tiga hari selepasnya iaitu hari yang dinamakan sebagai hari tasyrik.




Firman Allah Ta’ala bermaksud:

‘Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berqurbanlah”
(Al-Kautsar: 2)

“Dan kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Mekkah itu) sebahagian dari syi‘ar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika berdiri di atas tiga kakinya; maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur”
- (Surah Al-Hajj: 36)

1. SEJARAH KORBAN
Sejarah Korban anak-anak Nabi Adam a.s - Habil dan Qabil

Firman Allah Ta’ala bermaksud:
Bacakanlah (Yaa Muhammad) kepada mereka akan cerita yang sebenarnya tentang dua orang anak Nabi Adam (yang bernama Habil dan Qabil) iaitu ketika keduanya mempersembahkan korban (kepada Allah), maka yang seorang dari keduanya (Habil) diterima korbannya sedang yang lain (Qabil) tidak diterima korbannya - sebab itulah Qabil marah kepada Habil seraya berkata: “Nescaya kubunuh engkau!”

Sejarah Nabi Ibrahim a.s mengorbankan anaknya Nabi Ismail a.s

Firman Allah Ta’ala bermaksud:

“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku (anak) daripada golongan orang-orang yang soleh. Maka kami (Allah) gembirakan dia dengan (mendapat) anak yang penyantun. Tatkala sampai (umur) sianak boleh berusaha, berkata Ibrahim: “Hai anakku! Sesungguhnya aku melihat dalam tidur (mimpi) bahawasanya aku akan menyembelih engkau, oleh sebab itu lihatlah (fikirlah) apa pendapatmu?” (Sianak yakni Nabi Ismail) menjawab: “Wahai bapaku! Buatlah apa yang diperintahkan kepadamu, nanti engkau akan mendapati aku - insyaAllah daripada golongan orang-orang yang sabar.”
- (Al-Soffat: 100-102)



2. HIKMAH KORBAN

Menyembelih qurban juga merupakan amalan yang disukai oleh Allah Subahanhu wa Ta‘ala dan sebagai bukti serta keikhlasan kita dalam menghidupkan syi‘ar agama Islam. Ini jelas difahami dari firman Allah Ta‘ala yang maksudnya: “Daging dan darah binatang qurban atau hadyi itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa daripada kamu”.
- (Surah Al-Hajj:37)

Orang yang berkorban itu akan dikurniakan kebajikan (hasanah) sebanyak bulu binatang yang dikorban.

Titisan darah korban yang pertama adalah pengampunan bagi dosa-dosa yang telah lalu.

Darah korban itu jika tumpah ke bumi, maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Dan banyak lagilah. Bila dapat hayati sejarah korban Habil & Qabil serta kisah Nabi Ibrahim & Ismail … kitakan dapat menghayati/menyelami hikmahnya


3. HUKUM KORBAN:

Hukum asal ibadah korban itu adalah sunat mu’akkadah (sunat yang sangat dituntut). Jumhur ulama juga mengatakan ia adalah sunat bagi orang yang mampu. Makruh bagi orang yang mampu itu jika dia tidak melakukan korban. Walau bagaimanapun jika ditinggalkannya tanpa sebarang keuzuran, tidaklah dia berdosa dan tidak wajib dia mengqadhanya. Walaubagaimanapun ianya boleh menjadi wajib apabila dinazarkan. Maka secara ringkasnya, korban itu terbahagi kepada 2:

* Korban sunat (muakkad - yakni tersangat dituntut mengerjakannya)
* Korban wajib

Bagaimana korban boleh menjadi wajib? Binatang sembelihan bagi ibadat korban itu menjadi wajib apabila ia dinazarkan, sama ada:

* Nazar itu nazar yang sebenar (nazar hakikat) ataupun
* Nazar dari segi hukum sahaja, sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya : “Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah, maka hendaklah dia mentaatinya”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Apa yang dimaksudkan dengan nazar yang sebenar dan nazar dari segi hukum? Nazar sebenar/hakiki itu adalah dengan menyebut nama Allah atau menggunakan perkataan ‘nazar’. Sebagai contoh orang yang berkorban itu berkata: “Demi Allah wajib ke atasku menyembelih kambing ini sebagai korban”, ataupun dia berkata: “Aku bernazar untuk menyembelih kambing sebagai korban pada Hari Raya Haji nanti”.

Adapun bernazar dari segi hukum sahaja seperti seseorang itu berkata: “Aku jadikan kambing ini untuk korban”, ataupun dia berkata: “Ini adalah korban”, maka dianggap sama seperti bernazar yang sebenar kerana dia telah menentukan (ta‘ayin) binatang tersebut.

Binatang yang dinazarkan sebagai korban atau binatang korban wajib itu tidak boleh ditukar dengan yang lain walaupun dengan yang lebih baik. Apatah lagi dijual, disewakan atau dihibahkan (diberikan).

Sekiranya binatang korban wajib itu dijual oleh orang yang berkoban, maka hendaklah dia mendapatkannya semula daripada orang yang telah membelinya jika masih ada di tangan pembeli dan dia hendaklah memulangkan harga belian yang diterimanya. Jika tiada lagi di tangan pembeli, umpamanya sudah disembelihnya, maka wajib baginya mengadakan nilaian harga yang lebih mahal daripada harga waktu dia memiliki yang dahulu, dan hendaklah dia membeli semula dengan nilaian itu binatang korban yang sama jenisnya dan sama umurnya untuk disembelih pada tahun itu juga.

Jika luput dia daripada menyembelihnya, maka wajib ke atasnya menyembelih binatang korban wajib itu pada tahun hadapannya sebagai qadha yang luput itu. Jika harga binatang korban itu (yang sama jenis dan umur dengan yang dahulu) lebih mahal kerana naik harga dan harga nilaian itu tidak mencukupi untuk membeli binatang yang sama dengan yang dahulu itu hendaklah ditambahnya dengan hartanya yang lain. Begitulah juga hukumnya jika binatang itu tidak disembelih setelah masuk Hari Raya Adha dan binatang itu binasa dalam tempoh tersebut.

Jika binatang korban wajib itu rosak, umpamanya mati atau dicuri orang sebelum masuk waktu berkorban dan bukan kerana kecuaiannya, tidaklah wajib dia menggantinya.

Manakala jika ia dibinasakan oleh orang lain, maka hendaklah orang yang membinasakan itu mengganti harga binatang korban wajib itu kepada orang yang punya korban dan dia hendaklah membeli semula binatang yang sama seperti yang dahulu, jika tidak diperolehi binatang yang sama, hendaklah dibelinya yang lain sahaja sebagai ganti.

Adapun jika binatang korban wajib itu disembelih sebelum masuk waktu korban, wajiblah disedekahkan kesemua dagingnya dan tidak boleh bagi orang yang berkorban wajib itu memakan dagingnya walaupun sedikit dan wajib pula menyembelih yang sama dengannya pada hari korban itu sebagai ganti.

Jika binatang korban yang telah ditentukan dalam korban wajib itu menjadi cacat (‘aib) setelah dinazarkan dan sebelum masuk waktu menyembelihnya dan kecacatan binatang itu adalah cacat yang tidak boleh dibuat korban pada asalnya, maka tidaklah disyaratkan menggantinya dan tidaklah terputus hukum wajib menyembelihnya dengan adanya cacat tersebut. Bahkan jika disembelihnya pada Hari Raya Adha adalah memadai (boleh dibuat) sebagai korban.

Sekiranya binatang yang dalam keadaan cacat itu disembelih sebelum Hari Raya Adha hendaklah disedekahkan dagingnya itu dan tidak wajib menggantinya dengan binatang yang sama untuk disembelih pada Hari Raya Adha itu. Tetapi wajib bersedekah nilaian harga binatang yang disembelih itu.

Jika kecacatan itu berlaku setelah Hari Raya Adha dan disembelih dalam keadaan yang demikian, maka tidaklah ia memadai (tidak memenuhi syarat) sebagai korban, kerana ia telah menjadi barang jaminan selagi belum disembelih, dan wajib diganti dengan yang baru.

Tidak sah dibuat korban bagi orang yang hidup melainkan dengan izinnya, dan tidak sah juga dibuat korban bagi orang yang telah mati jika simati tidak berwasiat untuk berbuat demikian.

Orang yang membuat korban bagi simati dengan izinnya (yakni dengan wasiatnya) wajiblah atasnya bersedekah kesemuanya. Tidak ada bahagian untuk dirinya atau orang-orang dibawah tanggungannya (nafkah), kerana ianya merupakan orang yang menerima dan orang yang menyerah. (Matla al-Badrain)

Bapa atau datuk boleh melaksanakan korban bagi orang yang diwalikan seperti anak dan cucunya dengan diambil perbelanjaan daripada harta ayah atau datuk atau anak atau cucu itu sendiri.


Di antara hikmat lain kenapa ibadat korban ini disyariatkan ialah:

Pertama:

Dari segi sejarahnya kita dapat mengambil iktibar dan pengajaran terhadap ketaatan Nabi Ibrahim Alaihissallam dalam menjunjung perintah Allah Subhanahu Wataala yang memerintahkannya untuk menyembelih puteranya Nabi Ismail Alaihissalam sebagai korban. Akan tetapi Allah Subhanahu Wataala Maha Pengasih lagi Maha Penyayang telah menggantikannya dengan seekor kibas.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda di dalam sebuah hadis Baginda yang maksudnya:

"Daripada Zaid bin Arkam Radiallahuanhu dia berkata: Para sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bertanya: Wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu? Jawab Rasulullah: Ia adalah sunnah bapa kamu, Ibrahim. Mereka bertanya: Apa yang kami perolehi daripadanya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab: Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya. Mereka bertanya lagi: Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab: Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya."

Kedua:

Memupuk sikap pemedulian dan keprihatinan terhadap masyarakat iaitu dengan mengagihkan daging-daging korban kepada yang berhak menerimanya sebagai makanan dan meluaskan rezeki khususnya kepada para fakir miskin sempena Hari Raya Korban.

Ketiga:

Melahirkan tanda kesyukuran kepada Allah Subhanahu Wataala terhadap nikmat hidup yang telah diberikan-Nya.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Hajj ayat 34 yang tafsirannya:

"Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan korban sampai mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepada mereka."

Keempat:

Menyemai dan menanamkan sifat murni ke dalam diri dengan mencontohi kesabaran dan ketabahan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail Alaihissalam dan sifat mereka yang mengutamakan ketaatan dan rasa cinta kepada Allah Subhanahu Wataala.

Waktu menyembelih korban ialah selepas naik matahari pada Hari Raya Adha sekadar berlalu sembahyang dua rakaat dan dua khutbah. Masa korban itu berkekalan sehingga terbenam matahari akhir Hari Tasyrik iaitu hari ke 13 Zulhijjah. Jika ibadat korban dilakukan sebelum dan selepas waktu tersebut, maka tidaklah dikira ibadat korban, sebagaimana sabda Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:

"Dari Al-Baraa bin Azib dia berkata: Telah bersabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam: Bahawa yang mula-mula kami lakukan pada hari ini (Hari Raya Adha), kami sembahyang, kemudian kami balik ke rumah, selepas itu kami menyembelih korban, maka siapa yang membuat seperti yang demikian, maka dia memperolehi sunnah (ibadat) kami, dan siapa yang menyembelih sebelum sembahyang, maka yang demikian itu hanyalah daging biasa yang dibahagi-bahagikan kepada keluarga, bukanlah yang demikian itu termasuk dalam ibadat korban."

Memandangkan ibadat korban itu mempunyai kelebihan dan masa yang tertentu, maka bagi mereka yang berkemampuan dan dilimpahi rezeki oleh Allah Subhanahu Wataala agar tidak akan melepaskan peluang untuk melakukan ibadat korban, kerana ibadat ini amat dituntut dan tinggi nilainya disisi Allah Subhanahu Wataala. Mudah-mudahan kita akan mendapat ganjaran pahala dan kebajikan daripada Allah Subhanahu Wataala dari ibadat korban yang kita lakukan. Amin Yarabbalalamin.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Kautsar ayat 1-3 tafsirnya :

"Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu wahai Muhammad kebaikan yang banyak di dunia dan di akhirat. Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur.Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus dari mendapat sebarang perkara yang di ingininya."

No comments: