Wednesday, July 14, 2010

Perpaduan dalam Islam

Rabu 14 Julai 2010/3 Syaaban 1431

Perpaduan Dalam Islam.

dSesungguhnya Islam itu bersaudara dan dikehendaki mengeratkan perpaduan serta diharamkan memutuskannya. Bahkan setiap mukmin mestilah saling tolong-menolong sesame mereka dalam segala hal yang mendorong kebaikan umat, kemaslahatan dan kebahagiaan bersama.Memutuskan silatulrahim termasuk dalam perkara pembalasan dosa besar di sisi Allah S.W.T.

2. Mukmin yang bertamadun adalah mereka yang berjaya mentadbir, mengurus dan mengembangkan kehidupannya. Justeru keteguhan dan keutuhan masyarakat bergantung kepada pengurusan kemantapan ekonomi, kestabilan politik, kesejahteraan sosial dan yang terpenting ialah perpaduan di kalangan anggotanya, saling tolong-menolong dan berhubung rapat antara satu sama lain. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:


"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah(agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai"

-(Al-Imran: 103)

Ingatlah, bahawa kejayaan dan kecemerlangan sesebuah Negara terletak kepada perpaduan di kalangan rakyatnya. Begitu juga sebaliknya, perpecahan adalah punca kejatuhan dan kemusnahan. Sehubungan dengan itu, asas-asas kepada perpaduan mestilah dijana dengan pelbagai gerakan ke arah perpaduan , perlu dirintis supaya hasrat untuk membentuk sebuah Negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat direalisasikan.


3. Mengikut perspektif Islam perpaduan terjalin melaui dua ikatan iaitu:
Pertama: Perpaduan sesame anggota masyarakat
Kedua: Perpaduan antara kaum muslimin.

Perpaduan juga dapat dilihat daripada dua jurusan atau dimensi iaitu:

Pertama: Perpaduan luaran yang terjelas sebagai kerukunan muafakat bergotong-royong, memperteguh suasana sosio-politik negara demi kepentingan bersama.

Kedua: Perpaduan yang jauh lebih asasi iaitu kesatuan dalaman yang terzahir sebagai pautan kejiwaan dan kerohanian.

4. Pengertian perpaduan mengikut dimensi atau jurusan pertama adalah merujuk kepada kerukunan politik kerana mereka mempunyai kepentingan umum seperti menetap di negara yang sama. Oleh kerana mereka lahir di tanah tumpah darah yang sama, maka mereka pun menjadi warganegara yang sama. Jika dibandingkan antara satu wilayah dengan wilayah yang lain, ia adalah perpaduan sosial sesebuah masyarakat yang serupadari segi pembawaannya, warna kulitnya,budayanya (termasuk cara berpakaian ) dan bahasa pertuturannya.

5. Bagi Mlaysia sebagai sebuah negara majmuk yang dihuni oleh masyarakat pelbagai ras dan agama, perpaduan menjadi keutamaan yang tinggi untuk membentuk sebuah negara yang aman dan harmoni. Kepentingan ini semakin terserlah apabila Sejas akhir-akhir ini banyak isu perkauman yang diperkatakan secara meluas oleh pelbagai lapisan masyarakat.

6. Perpaduan sesama masyarakat Islam dinyatakan secara jelas di dalam Al-Quran surah Al-Imran ayat 103 seperti yang disebut sebentar tadi. Sebenarnya keutuhan perpaduan sesama masyarakat Islam tidak akan tercapai, kecuali selepas terlaksana beberapa prinsip asas seperti tolong-menolong dalam menggalakkan kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Ia dimantapkan lagi melalui aspek moral yang baik, berakhlak mulia seperti sayang-menyayangi, bersikap toleransi dan lain-lain lagi.

7. Apabila berlaku sesuatu perbalahan antara kaum, pihak bertanggungjawab terutamanya kerajaan mestilah mengambil langkah yang sewajarnya agar bibit-bibit persengketaan dapat dibendung dengan segera.


8. Dalam menjalinkan hubungan baik antara masyarakat Islam dengan masyarakat bukan Islam pula, model negara Islam Madinah pimpinan Rasulullah S.A.W. hendaklah dijadikan contoh. Sebagaimana pada awal-awal hijrah, orang-orang Islam merupakan golongan minoriti berbanding berbanding dengan penganut kristian dan yahudi yang mendominasi madinah ketika itu.Namun melalui penonjolan akhlak dan moral yang terpancar dalam bentuk teori dan praktikal, ditambah dengan keadilan pemerintahan dan pengurusanIslam yang disesuaikan dengan masyarakat majmuk ketika itu , maka tertegak akhirnya sebuah negara tang kuat, aman dan damai, bersatu padu di bawah pimpinan Nabi Muhammad S.A.W

9. Pendekatan ini diperkukuhkan melalui tindakan, seperti pembinaan masjid sebagai institusi sosial. Masjid Nabawi dan Masjid Quba? adalah model institusi terawal Islam dalam menjana perpaduan. Masjid bukan setakat berfungsi sebagai tempat menunaikan solat semata-mata, malah berperanan sebagai lokasi strategik untuk baginda menyusun dan membentuk masyarakatnya, membangunkan aqidah umat Islam, melaksanakan urusan syar?iah dan menjalinkan hubungan sesama rakyat melalui akhlak yang mulia.

10. Nabi Muhammad S.A.W juga mengambil langkah mempersaudarakan umat Islam menerusi ikatan ukhwah sesama Islam. Kaum Aus dan Khuzraj yang sekian lama bersengketa telah telah berjaya didamaikan.

11. Persefahaman ini mampu dipatuhi oleh semua ahli masyarakat tanpa membezakan kaum, bangsa dan agama.Sama-sama berganding bahu mentaatainya sebagai langkah membentuk kesatuan ummah dan perpaduan kaum di Madinah.

Rasulullah S.A.W memperteguhkan kewajipan memelihara hubungan persaudaraan yang menjana kepada perpaduan dan kesatuan ummah, ini terbukti apabila Baginda ditanya oleh seorang sahabat, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Ayub Al-Ansari dalam hadisnya yang bermaksud:

? ...Ya!, Rasulullah S.A.W bersabda kepadaku amal yang akan memasukkan aku ke dalam syurga. Maka sabda Rasulullah S.A.W : ? Engkau beribadah kepada Allah S.W.T dan tidak menasyrikkannya dengan sesuatu, mendirikan solat, membayar zakat dan menghubungkan persaudaraan.??

12. Perpaduan dalam Islam bukan sekadar hubungan baik sesama orang Islam sahaja, malah merangkumi kepada kaum bukan Islam jua. Sejarah di zaman Rasulullah S.A.W mencatatkan bahawa masyarakat yahudi dan kristian ketika itu hidup aman dan damai di Madinatul Munawwarah, kerana hak mereka tidak dicerobohi oleh umat Islam.

Kesan keadilan Islam inilah, kelompok Islam yang awalnya minoriti menjadi majoriti apabila kaum bukan Islam beramai-ramai menganuti Islam kerana tertarik hati dengan kebaikan yang ditonjolkan oleh umat Islam yang terserlah melalui akhlak dan perlakuan terpuji penganut-penganutnya.

(Al-Huzraj:10)

Ya Allah kurniakan kerahmatan dan keselamatan, penjagaan dan perlindungan, kesuburan dan penghasilan, ke atas negeri kami, Negeri Selangor Darul Ehsan. Jadikan rakyatnya bersatu-padu, berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia, lindungi kami daripada persengketaan, perpecahan, fitnah-memfitnah dan bencana alam. Semoga dengan demikian, negeri Selangor dan rakyatnya bertambah makmur dan berkat.
========================================================================
O sedia temui Pas

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 13 Julai – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyatakan komitmen serta kesediaan UMNO untuk bertemu dan menjalinkan kerjasama dengan Pas dalam pelbagai bidang termasuk usaha untuk memperkukuhkan Islam serta kedudukan orang Melayu di negara ini.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, tidak dinafikan hasrat tersebut sememangnya baik kerana ia bukan sahaja memberi kesan kepada kewujudan perpaduan yang lebih jitu antara orang Melayu malah turut menyumbang ke arah keamanan sejagat di negara ini.

Justeru, beliau meminta pimpinan Pas tidak melihat saranan tersebut dalam konteks politik yang terbatas sebaliknya ia hendaklah didasarkan kepada Islam dan bangsa supaya akhirnya kedua-dua parti berkenaan boleh bertemu pada satu titik.

“Kini terserahlah kepada pihak pimpinan Pas tetapi saya percaya di dalam Pas masih mempunyai pemimpin-pemimpin yang berfikiran sama walaupun saya akui dalam kelompok parti itu wujud perbezaan (pendapat).

“Bagi pemimpin-pemimpin UMNO hingga di peringkat Presiden kita (Datuk Seri Najib Tun Razak) sekalipun pernah menyatakan kita bersedia bila-bila masa.

‘‘Adapun pihak luar yang terdiri daripada tokoh-tokoh agama, pemimpin Melayu yang kata sanggup bersama-sama lagi bagus. Isu itu nampaknya melangkaui kumpulan politik,”katanya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN di sini, hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan kenyataan Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Lokman Nor Adam bahawa hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi kenyataan sekiranya Pas dan UMNO bersatu.

Ekoran daripada itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Razak Idris mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa khas supaya kerjasama antara UMNO dan Pas terlaksana.

Usaha untuk menemukan UMNO dan Pas itu turut mendapat sokongan golongan agama di negara ini kerana penyatuan dua parti orang Melayu tersebut jika benar-benar berlaku dianggap kemenangan paling besar bagi umat Islam negara ini.

Dalam pada itu, Muhyidddin mengakui isu yang menjadi paparan penting oleh akhbar Utusan Malaysia itu menggambarkan sebahagian besar perasaan orang Melayu yang menuntut supaya UMNO dan Pas melihat isu perpaduan ummah dengan lebih fokus serta lebih serius lagi.

“Malah saya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO sebenarnya sering menerima banyak pandangan daripada pelbagai kumpulan masyarakat yang menyuarakan kebimbangan mengenai soal ini.

“Namun seperti mana saya nyatakan tadi perkara ini hendaklah dilihat melangkaui batas politik. Jika politik terus menjadi sandaran UMNO tetap dengan UMNO. Pas dengan Pas sampai bila-bila tidak akan ada titik pertemuan.

“Saya kira Islam dan bangsa boleh menjadi asas untuk kita adakan pertemuan ini dan seterusnya kita boleh mengadakan kerjasama dalam bentuk yang lebih konkrit,” ujarnya.

Mengenai format pertemuan, beliau berkata, ia boleh diadakan dalam apa jua bentuk walaupun tidak formal.

“Seperti mana biasa disuarakan sebelum ini kita bersedia untuk respons dalam bentuk format yang tidak rasmi. Orang kata tidak perlu diheboh-hebohkan. Paling penting UMNO dan Pas perlu mencari titik pertemuan, titik persefahaman,” katanya lagi.

Ketika ditanya isu pertemuan UMNO dan Pas itu sering kali timbul walaupun beberapa kali menemui kegagalan beliau berkata, sudah tiba masanya hasrat itu disambut baik oleh UMNO dan Pas demi perpaduan ummah dan kepentingan negara.

“Saya faham menjadi hasrat semua rakyat untuk melihat negara kita ini kekal aman bersatu padu dan tidak ada perpecahan disebabkan perbezaan politik yang amat ketara.

“Sebab itu pemimpin-pemimpin Melayu dan tokoh-tokoh agama mahu cadangan ini diberi perhatian serius oleh UMNO dan Pas,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, usaha untuk menemukan UMNO dan Pas merupakan satu tuntutan agama kerana ia berkaitan dengan perpaduan ummah.

“Allah sendiri ada menyebut di dalam al-Quran: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah dan janganlah kamu sekalian berpecah belah (Al-Imran:103)”, ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, masyarakat bukan Islam tidak harus khuatir dengan usaha tersebut kerana kekuatan Melayu dan Islam boleh menjamin kestabilan negara.

“Tidak akan timbul isu orang Islam mahu mengenepikan hak-hak orang bukan Islam atau kepentingan orang bukan Islam akan terabai. Dalam konteks kerajaan, kita mengambil kira kepentingan semua kaum.

“Oleh itu tidak harus timbul kebimbangan. Kerajaan akan tetap menjaga hak semua kaum yang ada di negara ini,” ujarnya.

-------------------------------------------------------------------------------------

Nik Aziz setuju Pas-UMNO bersatu perjuang Islam



KOTA BHARU 13 Julai - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju bahawa UMNO dan Pas perlu bersatu dalam memperjuangkan agama Islam di negara ini.

Tegas beliau, perjuangan beliau bersama Pas selama ini memang untuk menyatukan orang Melayu dan umat Islam di negara ini daripada mempercayai perkara yang tidak betul.

Katanya, Islam sendiri merupakan agama yang menggesa penganutnya untuk bersatu dan hanya mempercayai Tuhan yang satu.

"Islam itu agamanya Tauhid untuk menyatukan bukan sekadar Tuhan satu tetapi manusia semua mesti bersatu.

"Islamlah yang paling baik untuk menyatukan manusia. Kalau tidak boleh bersatu tubuh pun, dapat bersatu pemikiran pun bolehlah," jelas beliau ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan pendapat beberapa ulama di negara ini yang komited bahawa UMNO dan Pas perlu bersatu demi kepentingan Islam dan umatnya walaupun terpaksa berdepan cemuhan daripada penyokong masing-masing.

Antara individu yang menyokong penyatuan itu adalah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid.

Kedua-dua ilmuwan Islam ini sependapat bahawa penyatuan antara kedua-dua parti membolehkan Islam dan kedudukan umat Islam di negara ini bertambah kuat.

Semalam, Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Lokman Nor Adam berkata, kerjasama antara kedua-dua parti ini membolehkan dasar Islam dijalankan termasuk hukum hudud berbanding tindakan kerjasama dengan Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang ternyata mempunyai dasar dan matlamat perjuangan yang berbeza.

Ketika ditanya mengenai pandangan berkenaan, Nik Abdul Aziz berkata:

"Betullah tu... Betul. Saya berjuang dalam Pas pun untuk menyatukan semua orang.

"Saya tidak mahu orang Melayu yang sudah Islam ini menyokong perkara yang bukan-bukan," tegas beliau.

Bagaimanapun tegasnya, UMNO perlu mengubah dasar parti itu kepada Islam berbanding dasar kebangsaan yang diamalkan sekarang sekiranya mahu bergabung dengan Pas.


Sumber: Utusan Malysia 14 Julai 2010


------------

Bersatu secara ikhlas

Oleh: HARUSSANI ZAKARIA

Firman Allah SWT dalam surah al-Fathir : 31-32 : "(31) Dan al-Quran Yang Kami wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad) ialah yang benar (segala-galanya) yang tetap mengesahkan kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan sedalam-dalamnya akan keadaan sekalian hamba-Nya, lagi maha melihat dan memerhatikan. (32) Kemudian kami jadikan al- Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang kami pilih dari kalangan hamba-hamba kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (daripada Allah semata-mata)."

Di dalam ayat di atas Allah SWT memuliakan sebahagian daripada kalangan manusia yang telah mewarisi al-Quran. Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyatakan, ibn Abbas dan sebahagian ahli tafsir menyatakan bahawa makna " orang-orang yang Kami pilih daripada kalangan hamba-hamba kami" ialah umat Nabi Muhammad. Dr. Hamka dalam tafsirnya pula menyatakan apa yang diwarisi itu ialah pemahaman, isi kandungan, ilmu-ilmunya, hukum-hukumnya, dan pokok ajaran akidah dari al-Quran.

Umat Nabi Muhammad SAW ini, bukan saja mewarisi al-Quran, malah Allah telah menjadikan umat ini sebaik-baik umat. Ini kerana tugas mereka untuk menyampaikan al-Quran dengan menyeru kepada yang makruf, menegah dari mungkar dan benar-benar beriman dengan Allah SWT. Itulah Allah SWT telah firmankan dalam surah al-Imran:110: "Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)."

Namun, Allah SWT telah mengingatkan kita bahawa umat Muhammad ini terbahagi kepada tiga golongan iaitu dzolimu linafsih, muqtasid & sabiqul khairat. Al-Marhum Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi dalam tafsirnya al-Tafsir al-Wasith telah menyatakan dzolimu linafsih ialah mereka yang banyak amal keburukan dari kebaikan. Muqtasid pula mereka yang sama banyak amal baik dan buruknya. Manakala sabiqul khairat ialah mereka yang lebih banyak amal kebajikan dari keburukan.

Umat Melayu Tunjang Islam di Malaysia

Dalam konteks Islam di Malaysia, umat Melayu merupakan tunjang kepada Islam. Umat Melayu di dalam Perlembagaan Persekutuan ditakrifkan sebagai orang Islam. Dalam erti kata lain dalam konteks Malaysia, bangsa Melayu dan agama Islam adalah seiring dan tidak boleh dipisahkan. Saya tertarik dengan ulasan Datuk Dr. Siddiq Fadzil tentang perkara ini apabila beliau menyebutkan: "Meskipun Perlembagaan menyebut tiga ciri yang mendefinisikan keMelayuan, tetapi yang menjadi teras sebenarnya adalah agama Islam. Dua ciri lainnya itu adalah bahagian daripada kebudayaan Melayu yang pada asasnya telah mengalami proses pengislaman." (Melayu: Jati Diri Keagamaan Dan Kebudayaannya di dalam Muzakarah Ulama 2009). Inilah unik dan istimewanya umat Melayu di Malaysia.

Terlebih istimewa, apabila surah al-Fathir di atas dapat diterjemahkan dalam kedudukan umat Melayu di Malaysia. Bangsa Melayulah yang bertanggungjawab melaksanakan, mendakwahkan dan mempertahankan kedudukan Islam di Malaysia. Bukan maksud saya di sini untuk mengetepikan bangsa-bangsa lain yang beragama Islam di Malaysia. Namun secara dasarnya umat Melayu dilihat sebagai orang Islam, sehingga wujud istilah "masuk Melayu". Ini menggambarkan jatuh bangun umat Melayu akan dilihat jatuh bangun Islam di Malaysia.

Perpaduan Melayu

Akhir-akhir ini, kedengaran kembali seruan supaya umat Melayu bersatu. Kenyataan ini mula kedengaran kembali apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan komitmen serta kesediaan UMNO untuk bertemu dan menjalinkan kerjasama dengan Pas dalam pelbagai bidang termasuk usaha untuk memperkukuhkan Islam serta kedudukan umat Melayu di negara ini. (Utusan Malaysia, 14 Julai 2010 ). Saya berpendapat seruan perpaduan ini merupakan satu seruan penting yang mesti disambut serius oleh semua orang. Ini kerana perpaduan umat Melayu bermakna perpaduan umat Islam di Malaysia.

Jika hari ini orang bertanya, adakah saya yakin umat Melayu akan bersatu? Saya pasti akan menjawab, ya! Oleh kerana itu, impian untuk melihat dan berusaha dalam menyatukan umat Melayu, ini tidak pernah terpadam dalam hati saya.

Siasah atau mudah kita sebut politik adalah sebahagian daripada Islam. Parti pula wujud hasil dari pemikiran dan pendekatan yang berbeza dalam siasah atau politik. Contohnya Pas dan UMNO hari ini dilihat dua parti besar yang mewakili umat Melayu di Malaysia. Kedua-duanya menyatakan memperjuang Islam dan Melayu dengan hujah dan dalil tersendiri. Maka kerana itulah saya berpendapat selagi parti itu mewakili gaya pendekatan dan pemikiran yang tidak bertentangan prinsip syariat, maka tiada siapa yang berhak mendakwa ia memiliki kebenaran mutlak. Mereka mungkin benar dan mungkin salah.

Maka jika ini dapat difahami, saya yakin perpaduan Melayu dapat direalisasikan. Perpaduan bukan bermakna membubarkan parti dengan memasuki parti yang satu lagi. Seperti yang sebutkan tadi parti hanya mewakili gaya pendekatan dan pemikiran. Sedangkan kepelbagaian ini merupakan satu fitrah yang merupakan cabangan. Parti hanya wujud ketika mana berlakunya pilihan raya. Ketika wujudnya kerajaan yang dipilih, maka parti itu menjadi kerajaan yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga kebajikan semua rakyat tanpa mengira parti apa sekalipun. Seperti kata orang hari ini, 'biar pun banyak persatuan namun satu kesatuan.'

Namun, di manakah perpaduan ini perlu bertemu? Firman Allah SWT di dalam surah al-Imran : 103 : 'Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai;' Seperti cabang yang asalnya akar, maka begitulah juga parti yang asalnya Islam. Islam perlu dijadikan matlamat bukannya alat dalam hal ini. Islam perlu dijadikan kata pemutus bukan mangsa rakus. Parti perlu berkorban untuk Islam bukan Islam yang dikorbankan untuk parti. Inilah yang saya lihat roh dan panduan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT di dalam surah di atas. Islam adalah kata putus dari Allah yang jauh dari kelemahan dan kepentingan peribadi atau kumpulan. Inilah yang dibuktikan oleh baginda SAW bila menyatukan Aus dan Khazraj mahupun bangsa Quraisy.

Bangsa Melayu sepatutnya berpadu dan bersatu atas akar Islam. Maksud saya jika Pas dan UMNO telah menyatakan komitmen mereka dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara, maka biarlah Islam yang menjadi kata putus. Inilah maksud dari 'berpegang dengan tali Allah' di atas.

Tidak mengapalah jika hasrat penyatuan kedua-dua parti ini hanya tinggal harapan. Namun untuk melihat bangsa Melayu bersatu atas kepentingan Islam sangat penting dan tidak mungkin boleh diketepikan.

Ikhlas : Syarat Perpaduan

Namun syarat utama perpaduan ini, semua pihak perlulah ikhlas. Amat buruk lagi keji jika seruan perpaduan bersulamkan niat meretakkan. Jangan tangan kanan menghulur madu, tangan kiri menghulur racun. Keikhlasan seperti yang ditakrifkan Allah dalam surah al-Ikhlas yang menyatakan semuanya kerana Allah SWT. Keikhlasan yang berpaksi pada iman kepada Allah Yang Esa, tempat segala pergantungan dan menjauhkan syirik darpadai Allah SWT.

Perpaduan inilah nanti yang akan melahirkan kasih sayang dan hormat menghormati di antara satu sama lain. Perpaduan atas dasar selain ini hanyalah bersifat kosmetik dan sementara. Hati yang penuh iman itulah nanti, akan dihimpunkan Allah dalam satu sibghah (acuan) seperti firman Allah SWT dalam surah al-Anfal :63 "Dan (Dia lah) Yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). kalaulah Engkau belanjakan Segala (harta benda) Yang ada di bumi, nescaya Engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

Sumeber; Utusan Malysia 18 Julai 2010
-----------

No comments: