Tuesday, October 14, 2008

Azan

Selasa 14 Oktober 2008

Berita dari Abu Sa'id Al-khudri ra, mengatakan: " Apabila kamu mendengar azan, maka baca pualahaaa bacaan yang dibaca Muazzin itu".

Berita dari Jabir bin Abdullah ra mengatakan, "Siapa yang mendoa sesudah mendengara azan,

"Wahai Allah, Tuhan dari panggilan yang sempurnaini dan dari solat yang berdiri kekal, berilah kiranya kepada Muhammad kedudukan dan kemuliaan yang tinggi, bangkitkanlah dia, di hari qiamat, di tempat yang mulia yang telah Engkau janjikan', niscaya akan akan turuan kepada orang itu pertolongna di hari qiamat nanti"

Ganjaran jawab azan, sembahyang berjemaah

DARIPADA Abi Said al-Khudri, sesungguhnya Nabi Muhammad bersabda bermaksud: “Jika kamu mendengar suara azan, hendaklah kamu kata seperti apa yang dikatakan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).Dalam hadis di atas, Nabi Muhammad memerintahkan umatnya supaya sentiasa menghormati apabila seseorang melaungkan azan untuk mengerjakan sembahyang. Dengan laungan azan, menandakan masuknya waktu sembahyang supaya kita mengerjakan ibadat yang diperintahkan Allah itu.

Hadis ini menggambarkan bahawa hendaklah seseorang Muslim itu, apabila mendengar suara muazin melaungkan azan, hendaklah diam daripada berkata-kata. Ini supaya kita sama-sama mendengar dan memahami apa yang dikatakan itu. Kita juga diperintahkan oleh Nabi supaya mengatakan seperti apa yang dikatakan oleh muazin tadi. Melainkan pada perkataan hayya ala solah, maka pada kalimah ini, hendaklah kita mengatakan la haula wala quwwata illa billah.

Bagi orang Islam yang berada dalam keadaan sembahyang, hendaklah mereka menjawabnya selepas selesai mengerjakan ibadat tadi. Kerana itu, apabila seseorang masuk ke dalam masjid ketika azan dilaungkan, hendaklah dia berhenti dulu supaya boleh mengatakan seperti apa yang dikatakan oleh muazin.

Antara lafaz yang dilaungkan oleh muazin ialah mengajak manusia menunaikan sembahyang. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Ibn Umar, Rasulullah bersabda bermaksud: “Sembahyang beramai-ramai lebih baik daripada sembahyang secara sendirian dua puluh tujuh kali ganda.”

AZAN SEBAGAI LAMBANG SYIAR ISLAM

Azan merupakan lafaz khusus yang disyariatkan oleh Islam untuk menyatakan masuknya waktu sembahyang fardhu dan menyeru orang-orang Islam supaya berkumpul untuk mengerjakannya.

Azan dari segi bahasa ialah “al-i`lam” (pemberitahuan) atau “an-nida’” (seruan). Ini dapat dilihat di dalam al-Qur’an sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Pemberitahuan daripada Allah dan RasulNya kepada sekalian manusia.”
(Surah at-Taubah: 3)

Begitu juga firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji…”
(Surah al-Haj: 27)

Dari segi syara` pula, azan ialah suatu gabungan perkataan tertentu untuk mengetahui waktu sembahyang fardhu atau boleh diertikan sebagai pemberitahuan tentang waktu sembahyang dengan lafaz-lafaz tertentu.

Azan disunatkan ketika hendak mendirikan sembahyang sama ada sembahyang tunai atau qadha’. Hukum azan adalah sunat mu’akkadah `ala al-kifayah bagi sesuatu kumpulan. Ini bermakna tuntutan sunatnya terlaksana walaupun tidak dilakukan oleh semua ahli kumpulan tersebut. Bagi individu pula, ia merupakan sunat `aini atau dengan kata lain pahala sunat diperolehi apabila seseorang itu melakukannya.

Al-Qur’an, as-Sunnah dan al-Ijma` menyatakan bahawa azan adalah suatu syariat di dalam Islam. Ini adalah kerana ia mempunyai banyak kelebihan dan pahala yang besar. Dalil daripada al-Qur’an ialah firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Jika kamu dipanggil (diseru) untuk sembahyang...”
(Surah al-Ma’idah: 58)

Dalil daripada as-Sunnah pula merangkumi banyak hadith. Antaranya ialah sebuah hadith yang bermaksud:

“Apabila tiba waktu sembahyang hendaklah salah seorang kamu melakukan azan dan yang lebih tua daripada kamu hendaklah menjadi imam.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari segi sejarahnya, azan mula disyariatkan pada tahun pertama Hijrah. Hal ini telah terkandung di dalam sebuah hadith yang telah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Ibnu `Umar r.a. Pada mulanya ketika orang-orang Islam berhijrah ke Madinah, mereka berkumpul dan menunggu untuk mengerjakan sembahyang. Ketika itu tidak ada orang yang menyeru (melaungkan azan) untuk menunaikannya. Pada suatu hari Nabi s.a.w. telah mengumpulkan para sahabat untuk bermesyuarat tentang cara untuk memberitahu masuknya waktu solat serta mengajak orang ramai agar ke masjid melakukan solat jemaah. Dalam mesyuarat itu, terdapat beberapa cadangan.

Ada yang mencadangkan supaya dikibarkan bendera sebagai tanda waktu solat. Apabila bendera telah berkibar, orang yang melihatnya hendaklah memberitahunya kepada orang ramai. Ada juga yang mencadangkan supaya ditiup trompet seperti yang biasa dilakukan oleh penganut agama Yahudi. Ada yang mencadangkan supaya dibunyikan loceng seperti yang dilakukan oleh orang-orang Nasrani. Terdapat juga usul supaya dinyalakan api di atas bukit. Orang yang melihat api tersebut hendaklah datang menghadiri solat berjemaah.

Semua usul yang diajukan telah ditolak oleh Nabi s.a.w. Kemudian, Umar bin al-Khattab mencadangkan agar diteriakkan ucapan: “Telah datang waktu solat”. Usul beliau ini telah diterima oleh Nabi s.a.w. tetapi Baginda menukar lafaz itu dengan lafaz “assolatu jami`ah” yang bererti “marilah solat berjemaah”.

Sementara itu, pada suatu malam Abdullah bin Zaid telah bermimpi tentang seorang lelaki yang datang kepadanya dengan membawa loceng. Abdullah memohon agar loceng itu dijual kepadanya. Pembawa loceng bertanya: “Untuk apakah tuan gunakan loceng ini?”. Abdullah menjawab: “Kami akan memukulnya untuk memberitahu telah masuknya waktu solat kepada orang ramai”. Apabila mendengar jawapan tersebut, pembawa loceng itu berkata: “Mahukah tuan saya tunjukkan cara yang lebih baik untuk memberitahu solat?”. Abdullah menjawab: “Itu baik sekali”. Lalu pembawa loceng itu berkata: “Kumandangkanlah Allahu Akbar... (dan seterusnya lafaz-lafaz azan)”. Pada pagi harinya, Abdullah bin Zaid menemui Nabi s.a.w. bersabda: “Mimpimu itu mimpi yang benar”. Nabi s.a.w. memerintahkan Bilal bin Rabah mengumandangkan azan tersebut. Ketika Bilal hendak menyerukan azan, Umar pula datang kepada Nabi s.a.w. dan menceritakan bahawa beliau juga bermimpi seperti yang dialami oleh Abdullah bin Zaid.

Di sini jelas menunjukkan bahawa lafaz-lafaz azan yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. mempunyai persamaan dengan lafaz-lafaz azan yang didengar oleh Abdullah bin Zaid dan Umar bin al-Khattab dalam mimpi masing-masing. Namun begitu, mimpi-mimpi tersebut bukanlah menjadi dasar pensyariatan azan kerana secara kebetulan lafaz-lafaz azan yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. mempunyai persamaan dengan mimpi kedua-dua orang sahabat tadi. Sandaran azan bukan sahaja melalui mimpi bahkan ia diperkuatkan lagi dengan penerimaan wahyu. Al-Bazzar meriwayatkan bahawa:

“Nabi s.a.w. pada malam isra’ telah diperlihatkan dengan azan dan diperdengarkan kepadanya di atas langit yang ketujuh. Kemudian Jibril mendatanginya, lalu dia menjadi imam kepada ahli langit. Antara mereka ialah Nabi Adam a.s. dan Nabi Nuh a.s., Allah s.w.t. menyempurnakan kemuliaan baginya ke atas penduduk langit dan bumi”.


Menurut pendapat jumhur ulama’, terdapat beberapa adab dan tertib dalam melaksanakan azan. Antaranya ialah:

1. mu’azzin hendaklah tidak menerima upah apabila melaksanakan tugasnya.

2. mu’azzin harus suci daripada hadath kecil, hadath besar dan najis.

3. mu’azzin hendaklah menghadap qiblat ketika mengumandangkan azan.

4. ketika membaca “hayya `ala as-salah”, mu’azzin hendaklah menghadapkan muka dan dadanya ke sebelah kanan dan ketika membaca “hayya `ala al-falah” menghadapkan muka dan dadanya ke sebelah kiri.

5. mu’azzin memasukkan dua anak jarinya ke dalam kedua telinganya.

6. suara mu’azzin hendaklah nyaring.

7. mu’azzin tidak boleh bercakap ketika mengumandangkan azan.

8. orang-orang yang mendengar azan hendaklah menyahutnya secara perlahan-lahan dengan lafaz yang diucapkan oleh mu’azzin, kecuali pada lafaz “hayya `ala as-salah” dan “hayya `ala al-falah”. Kedua-duanya disahut dengan “la haula wala quwwata illa bi Allah” yang bermaksud “tiada daya dan kekuatan kecuali daripada Allah”.

9. setelah selesai azan, mu’azzin dan yang mendengar azan hendaklah berdoa: “Allahumma rabba hazihi ad-da`wah at-tammah wa as-salati al-qa’imah, ati Muhammadan al-wasilah wa al-fadhilah wab`athhu maqaman mahmudan allzi wa`adtah” yang bermaksud “wahai Allah, Tuhan yang menguasai seruan yang sempurna ini dan solat yang sedang didirikan, berikanlah kepada Nabi Muhammad kurnia dan keutamaan serta kedudukan yang terpuji yang telah Engkau janjikan untuknya” (Riwayat Bukhari).

Selain itu, melakukan azan mempunyai beberapa kelebihan dan mendapat pahala yang besar. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:

“Kalaulah orang ramai mengetahui pahala yang ada dalam azan dan pahala dalam barisan pertama sembahyang, kemudian mereka tidak ada jalan selain membuat undian untuk mendapatnya, nescaya mereka akan masuk undian itu.”
(Riwayat Muttafaq `Alayh)

Rasulullah s.a.w. juga bersabda yang bermaksud:

“Jika kamu berada bersama-sama dengan kambing kamu atau di kebun kamu dan engkau berazan untuk sembahyang. Hendaklah engkau angkatkan suara menyeru orang bersembahyang, sebab suara orang yang azan tidak didengar oleh jin atau manusia ataupun sesuatu kecuali dia menyaksikan baginya pada Hari Akhirat.”
(Riwayat Bukhari)

Dalam sebuah hadith yang lain ada disebut:

“Tukang azan adalah orang yang paling panjang leher di Hari Akhirat.”
(Riwayat Muslim, Ahmad dan Ibnu Majah)

Menurut pendapat yang sahih daripada ulama’ Syafi`i dan Hanbali, azan beserta iqamah adalah lebih baik daripada menjadi Imam. Ini disebabkan Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

“Siapakah yang lebih bagus perkataannya daripada orang yang berdoa kepada Allah dan beramal salih.”
(Surah Fussilat: 33)

`A’isyah berkata: “Mereka yang dimaksudkan oleh ayat tersebut ialah tukang azan”. Di dalam hadith lain ada juga menyebut:

“Imam adalah bertanggungjawab (damin), tukang azan adalah orang yang dipercayai (amanah). Ya Allah, berilah petunjuk kepada imiam-imam dan ampunilah tukang azan”.
(Riwayat Syafi`i, Ahmad, Abu Dawud,Tirmizi,
An-Nasa’i, Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaimah)

Amanah lebih tinggi daripada daman dan keampunan adalah lebih tinggi daripada petunjuk. Nabi Muhammad s.a.w. dan para khalifah tidak melakukan tugas azan ini kerana mereka tidak mempunyai banyak masa. Menurut pendapat ulama’ Hanafi, iqamah dan menjadi imam adalah lebih baik daripada azan kerana Nabi Muhammad s.a.w. dan para khalifahnya menjalankan tugas imam, tetapi mereka tidak menjalankan tugas menjadi tukang azan.


SUMBER RUJUKAN:

• Al-Qur’an Al-Karim dan terjemahannya.

• Al-Fiqh al-Manhaji Kitab Fiqh Mazhab Syafie, Jilid 1, Terbitan Pustaka Salam Sdn. Bhd., Karangan Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha & Ali asy-Syarbaji.

• Ensiklopedia Islam, Jilid 1, Cetakan Pertama 2004, Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Susunan Drs. H.A. Hafizah Dasuki dll.

• Ensiklopedia Islam Untuk Pelajar, Jilid 1, Cetakan Pertama 2003, Terbitan Era Visi Publication Sdn. Bhd. Kuala Lumpur, Susunan Shafie Abdul Rahman dll.

• Fiqh & Perundangan Islam, Jilid 1, Cetakan Ketiga 1997, Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Karangan Dr. Wahbah al-Zuhaili, Terjemahan Syed Ahmad Syed Hussain dll.

as Bilal

Melakukan azan dan iqamah setiap masuk waktu Salat

Menjadi imam ketika ketiadaan Imam

Mengawasi kebersihan dan kesempurnaan peralatan masjid

Mengandalikan kursus pengajian fardhu `ain dan mengajar Muqaddam untuk kanak-kanak dan seumpamanya.

Menjadi Amil pungutan zakat fitrah dalam qariah

Melaksanakan tugas pengurusan jenazah serta yang berkenaan dengannya

Lain lain tugas yang diarahkan

Mengetuai kumpulan selawat, marhaban dan berzanji
Fiqh Azan dan Iqamah

Pengertian

Azan dari segi bahasa ialah ” memberitahu”. Dari segi Syarak ialah ” Satu gabungan perkataan tertentu untuk mengetahui masuk waktu sembahyang.” Juga boleh diertikan sebagai pemberitahuan tentang waktu sembahyang dengan lafaz-lafaz tertentu.



Pensyariatan

Dalil al-Quran yang bermaksud; ” Jika kamu dipanggil (diseru) untuk sembahyang....” ( Surah al-Maidah :58)

Dalil Hadis yan bermaksud;”Apabila tiba waktu sembahyang hendaklah salah seorang dari kamu melakukan azan dan yang lebih tua dari kamu hendaklah menjadi Imam. ” (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; ” Jika kamu berada bersama-sama dengan kambing kamu atau di kebun kamu dan engkau berazan untuk sembahyang, hendaklah engkau angkatkan suara menyuruh orang bersembahyang, sebab suara orang yang azan tidak didengar oleh jin atau manusia ataupun sesuatu kecuali dia menyaksikan baginya pada hari akhirat.”

Hukum Azan

Azan dan Iqamah menurut jumhur selain Mazhab Hambali ialah sunat muakkad bagi lelaki yang sembahyang di masjid, semua sembahyang lima waktu dan sembahyang Jumaat.

Tidak sunat untuk sembahyang yang lain seperti sembahyang hari raya , gerhana matahari, terawih dan sembahyang jenazah.

Ulama Syafie dan Maliki menambah bahawa orang perempuan hanya disunatkan iqamah dan tidak perlu azan.

Azan bagi sembahyang yang luput dan sembahyang bersendirian

Mengikut pendapat yang muktamad daripada mazhab Syafie adalah sunat azan dan iqamah bagi orang yang bersembahyang bersendirian samada sembahyang tunai atau qadha, walaupun mendengar azan.

Jika hendak melakukan sembahyang Jamak hendaklah diazan untuk sembahyang yang pertama

Makruh meninggalkan azan dan iqamah bagi sembahyang lima waktu , tetapi jika telah melakukan sembahyang tanpa kedua-duanya maka tidak perlu diulang semula

Syarat-syarat Azan

Masuk waktu

Hendaklah dengan bahasa Arab

Azan dan Iqamah mesti didengar.

Tertib dan Muwalat diantara lafaz azan dan iqamah, tidak sah azan tanpa tertib dan muwalat dan hendaklah diulang semula

Azan mestikah dilakukan seorang sahaja. Jika dilakukan secara berkumpulan dan serentak hukumnya sah.

Orang yang melakukan azan hendaklah seorang Musliam lelaki yang berakal. Termasuk bertaqwa, mengetahui sunnah Rasul, mengetahui waktu-waktu sembahyang , adil dan amanah.

Cara dan sifat Azan

Ahli ahli fekah sependapat lafaz-lafaz azan diriwayatkan secara mutawatir dan tidak ditambah dan tidak dikurangi. Caranya disebut dua kali, dua kali.

Mereka sependapat mengatakan bahawa azan Subuh ada tambahan ”ASHSHALAATU KHAIRUM MINAN NAUUM” sebanyak dua kali.

Golongan Syafie menerima ”Tajri” iaitu melafazkan dua kalimah syahadah dengan perlahan kemudian melafazkan semula keduanya dengan nyaring.

Pendapat ulamak Syafie, kalimah –kalimah azan yang masyhur bilangannya termasuk ’tarji’ adalah 19 kalimah iaitu.



اَﷲُ اَكْبَرُ, اَﷲُ اَكْبَرُ

اَشْهَدُ اَن لاَّ اِلٰهَ اِلاَّ اﷲُ

اَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا رَّسُولُ اﷲِ

حَيَّ عَلَى الصَّلَوه

حَيَّ عَلَى الْفَلاَحْ



لاَ اِلٰهَ اِلاَّ اﷲ

اَﷲُ اَكْبَرُ, اَﷲُ اَكْبَرُ

اَشْهَدُ اَن لاَّ اِلٰهَ اِلاَّ اﷲُ

اَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا رَّسُولُ اﷲِ

حَيَّ عَلَى الصَّلَوه

حَيَّ عَلَى الْفَلاَحْ



اَﷲُ اَكْبَرُ, اَﷲُ اَكْبَرُ



اَﷲُ اَكْبَرُ, اَﷲُ اَكْبَرُ

اَشْهَدُ اَن لاَّ اِلٰهَ اِلاَّ اﷲُ

اَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا رَّسُولُ اﷲِ

حَيَّ عَلَى الصَّلَوه

حَيَّ عَلَى الْفَلاَحْ



لاَ اِلٰهَ اِلاَّ اﷲ


اَﷲُ اَكْبَرُ, اَﷲُ اَكْبَرُ

اَشْهَدُ اَن لاَّ اِلٰهَ اِلاَّ اﷲُ

اَشْهَدُ اَنَّ مُحَمَّدًا رَّسُولُ اﷲِ

حَيَّ عَلَى الصَّلَوه

حَيَّ عَلَى الْفَلاَحْ



اَﷲُ اَكْبَرُ, اَﷲُ اَكْبَرُ



Perkara –perkara sunat yang dilakukan ketika azan.

Orang yang berazan hendaklah orang yang lantang dan elok suaranya.

Azan hendaklah secara berdiri

Orang yang berazan hendaklah orang yang merdeka ,baligh , adil, amanah, orang yang soleh dan mengetahui waktu sembahyang

Orang yang berazan hendaklah dalam keadaan suci daripada hadas

Orang yang berazan hendaklah boleh melihat kerana orang buta tidak mengetahui waktu dan kemungkinan dia tersalah.

Hendaklah dia meletakkan jari-jari tanganya dikedua-dua telinganya

Handaklah dia menyebut dengan cara berhenti diantara dua kalimah

Hnedaklah menghadap kiblat. Disunat memusingkan kepala ke kanan ketika menyebut ”HAYYA `ALAS SHOLAH” dan kekiri ketika menyebut”HAYYA `ALAL FALAH” . Disunatkan jarak masa antara azan dan iqamah

Hendaklah azan dengan ikhlas.

Tukang azan seeloknya terdiri dari dua orang

Sunat azan awal waktu

Boleh menjemput pemimpin untuk sembahyang.

Sunat tidak berdiri sebelum azan selesai kerana berlakunya pergerakan ketika azan mnyerupai Syaitan.

Makruh ketika Azan

Makruh azan tersebut tanpa melakukan perkara –perkra sunat yang lepas

Makruh dilagukan dan dipanjangkan azan sehingga mengubah kalimah- kalimah azan atau menambah dan mengurangkannya.

Makruh berjalan

Makruh dilakukan tathwib meliankan waktu subuh

Haram keluar masjid selepas azan

Makruh Azan sebelum fajar dalam bulan Ramadhan kalau ditakuti mengganggu orang yang sedang sahur

Menjawab seruan azan dan iqamah

Jumhur ulama termasuk Syafie berpendapat sunat menjawab bagi orang yang mendengar azan dan iqamah.

Caranya dengan mengucapkan seperti oranag yang mengucapkan azan dan iqamah itu , kecuali pada kalimah ”HAYYA `ALAS SHOLAH” dan ”HAYYA `ALAL FALAH” hendaklah dijawab ” LAA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAAH”. Dalam taswib hendaklah dijawab ”SODAQTA WA BARARTA”.

Menurut jumhur ulama, mesti menjawab walaupun dalam keadaan berjunub, haid, nifas atau sedang tawaf fardhu atau sunat.

Menurut ulama Hanafi , orang yang sedang haid, nifas, mendengar khutbah bersetubuh, dalm bilik air, makan, mengajar ilmu dan belajar tidak perlu menjawab azan. Tetapi orang yang baca al-Quran hendaklah menjawab.

Menurut ulama Syafie, apabila seseorang masuk masjid, hendaklah dia menjawab sambil berdiri dan tidak boleh melakukan solat tahiyyatul masjid. Ini bertujuan untuk menghimpunkan antara pahala menjawab dan pahala tahiyyatul masjid.

Sunat yang perlu dilakukan selepas azan

Selawat ke atas nabi Muhammad s.a.w.

Berdoa dengan doa yang Ma`thur iaitu doa selepas azan

Berdoa selepas azan subuh iaitu memohon kesejahteraan dari Allah bagi kehidupan di dunia dan akhirat.

Tukang azan sunat duduk menunggu jemaah antara azan dan iqamah.




Iqamah

Sifat atau cara iqamah

Menurut jumhur selain ulama` Hambali, iqamat adalah sunat muakkat bagi solat fardhu. Ulama berbeza pendapat tentang iqamah.

Menurut ulama Syafie, lafaz iqamah tidak berulang iaitu 11 kalimah kecuali lafaz ”QAD QAAMATIS SYOLAH” ia diulang sebanyak dua kali (Lihat muka sebelah)

Hukum Iqamah

Hukum Iqamah adalah sama dengan hukum azan , bezanya;

Sunat dipercepatkan iqamah

Menurut mazhab yang empat, afdhal orang yang azan, dialah sendiri yang iqamah.

Pendapat ulama Syafie, sunat dilakukan iqamah di tempat yang lain dari tempat azan dan suara yang lebih rendah dari suara azan. Iqamah tidah boleh dibuat sehingga imam memberi keizinan.

Jemaah tidak boleh bangun ketika iqamah sehingga imam bangun atau datang. Menurut Imam Syafie, sunat bangun setelah tamat Iqamah.

Di sunatkan iqamah dalam keadaan berdiri, suci , mengadap kiblat, tidak berjalan dan bercakap.

Diisyaratkan tidak ada jarak panjang antara iqamah dan solat. Jika berlaku , hendaklah diulang semula. Ia tidak boleh dipisahkan kecuali dengan satu perkara sunat seperti imam menyuruh membetulkan saf.

Apabila tukang azan melakukan azan dan iqamah , orang lain tidak digalakkan berazan dan beriqamah

Sunat bagi imam menyamakan saf sembahyang makmum dengan memalingkan ke kanan dan ke kiri lalu mengatakan:

Azan untuk maksud selain sembahyang

Azan di telinga kanak-kanak yang baru lahir, sunat diiqamahkan pada telinga kiri

Azan di waktu kebakaran, waktu perang dan di belakang orang musafir

Azan pada telinga orang yang berduka cita , orang yang jatuh , marah dan juga yang dirasuk jin atau syaitan

zan : Sebuah Kekuatan Ummah
05 September 2008
Oleh ZALILA ISA

Azan merupakan lafaz khusus ataupun zikir yang diamalkan oleh masyarakat Islam sebagai tanda untuk menyatakan masuknya waktu solat fardhu dan seterusnya menyeru mereka agar berkumpul untuk menunaikan solat fardhu sama ada secara sendirian atau terlebih baik secara berjemaah.

Hadir sebagai peraturan sejagat, azan dilihat sebagai satu panggilan suci yang mengandungi makna tertentu yang seterusnya boleh disimbolkan sebagai penyatuan ummah dan penyeruan ke arah kejayaan dunia dan akhirat.

Azan sudah berusia 1429 tahun dan disyariatkan di Madinah al- Munawarrah. Diriwayatkan bahawa azan diamalkan oleh orang-orang Islam pada tahun pertama hijrah. Ketika itu, orang-orang yang berhijrah ke Madinah berkumpul untuk menunaikan solat. Terbit persoalan pada waktu itu bagaimana caranya memberitahu umat Islam masuknya waktu solat dan menyeru secara langsung kepada mereka untuk bersama-sama menunaikan solat secara berjemaah.

Sudah pasti perlunya satu mekanisme yang praktikal dan mudah serta satu cara yang merangkumi perlambangan dakwah Islamiah yang menyeru kepada kebaikan dan kesejahteraan dunia dan akhirat. Pada saat itu, diriwayatkan Abdullah Bin Zaid dan Umar bin al-Khattab telah bermimpi mengenai lafaz azan. Rasulullah membenarkan mimpi mereka dan meminta Bilal bin Rabah melaungkannya.

Azan merupakan satu lafaz khusus yang menyeru umat Islam menunaikan solat dan melakukan solat berjemaah. Mengerti dari aspek harfiahnya, azan membawa maksud ‘al-I’lam’ (pemberitahuan) atau ‘an-nida’ (seruan).

Al-Quran, as sunah dan al-ijmak menyatakan, laungan azan mempunyai banyak kelebihan dan pahala yang besar. Dihukumkan sebagai sunat muakkad dan fardhu kifayah bagi umat Islam.

Azan harus dilafazkan oleh seorang lelaki yang beragama Islam, berakal, dilafazkan dalam bahasa Arab dan dilaungkan ketika masuknya waktu solat. Azan juga harus diseru oleh muazzin (orang yang melaungkan azan) yang suci daripada hadas besar, hadas kecil dan najis. Dilaksanakan dengan mengadap kiblat dengan suara yang nyaring tetapi merdu.

Dilafazkan dengan jiwa yang benar, azan hadir bukan sahaja sebagai satu peraturan bagi umat Islam mengerjakan solat. Malah, azan juga dilaungkan ketika bayi dilahirkan, jenazah dikebumikan, ketika menghadapi bencana dan gangguan jin atau syaitan dan azan juga diselitkan ketika mengerjakan sesuatu yang baik. Pendek kata azan adalah perantaraan untuk memohon rahmat dan berkat serta kekuatan, kesyukuran dan sebagainya buat umat Islam.

Lafaz azan menyimpul kesatuan yang merangkumi aspek tauhid (akidah), ibadah dan akhlak muslim yang sejati. Hal ini terlihat jelas melalui seruan yang dilaungkan sebanyak lima kali sehari untuk mengajak umat Islam mendepani kehidupan dengan sempurna.


Allah hu Akbar (4x) – Allah Maha Besar

Ash-hadu alla ilaha illallah (2x) – Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah

Ash-hadu anna Muhammadar rasulullah (2x) – Aku bersaksi bahawa Muhammad adalah pesuruh Allah

Hayya ‘alas-solah (2x) – Marilah mendirikan solat

Hayya ‘alal-falah (2x) – Marilah menuju kejayaan

*As-solatu khayru minan naum (2x) – Solat itu lebih baik dari tidur

Allah hu Akbar (2x) – Allah Maha Besar

La ilaha illallah (1x) – Tiada Tuhan selain Allah

(* hanya digunakan untuk solat subuh)

Tauhid merupakan kepercayaan bahawa Tuhan hanya satu iaitu Allah. Tauhid terangkum di dalam lafaz azan dan ini jelas memberitahu bahawa Allah Maha besar, tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad s.a.w adalah pesuruh Allah. Itu syahadah yang perlu dipegang sebagai umat Islam dan akidah yang wajib ditetapkan dalam hati.

Menghayati azan sedalam-dalamnya memberi pengertian yang luas. Mengiyakan dan meyakini kewujudan Allah S.W.T, mengakui kebesaran dan keagunganNya sudah cukup memberi semangat dan kekuatan buat umat Islam mendepani cabaran yang pelbagai. Itulah yang dilafazkan sebagai Allah hu-Akbar dan Ash –hadu alla ilaha illallah.

Mengakui kehadiran Nabi Muhammad sebagai pesuruh Allah S.W.T dan pemimpin umat Islam memberi pengertian bahawa kita percaya bahawa Nabi Muhammad adalah utusan yang telah dihantar oleh Allah untuk memimpin dan memberi cahaya pertunjuk kepada umat islam di dunia. Keyakinan ini terlontar melalui lafaz Ash- hadu- anna muhammadar rasulullah.

Kalimah syahadah yang terkandung dalam azan ini adalah tunjang kepada ketauhidan umat Islam akan kewujudan Tuhan. Tauhid yang diseru juga membuang perbezaan sesama manusia dari aspek warna kulit, latar belakang pendidikan, tahap kekayaan dan darjat. Tauhid ini memberi persepsi manusia itu sama di sisi tuhan. Yang membezakannya adalah ketaqwaan kepada Allah S.W.T.

Jelas seruan azan yang mengingatkan tauhid dan akidah setiap muslim adalah sesuatu yang harus di pandang berat kerana iman manusia seringkali mengalami pasang surut dan tidak konsisten bergantung kepada ujian dan dugaan yang mereka terima. Ia juga meliputi seluruh kehidupan yang harus berpaksi kepada hubungan yang baik dengan Allah (hablumminallah) dan hubungan yang baik sesama manusia (habluminannas).

Laungan azan yang bergema di seluruk pelusuk alam menunjukkan bukti kewujudan umat manusia yang beragama Islam. Laungan ini bukan sahaja melambangkan tauhid seperti yang telah dijelaskan di atas. Selain tauhid dan akidah yang terkandung dalam lafaz azan, aspek kepentingan mengerjakan ibadah solat juga ditekankan.

Lafaz ‘Hayya alas-solah’ melambangkan kepentingan mengerjakan ibadah solat yang menjadi kekuatan dalam menyeimbangkan peranan manusia di dunia dan akhirat. Selain itu laungan azan memang sudah sebati dalam setiap umat Islam dan bukan Islam sebagai satu seruan menunaikan solat. Solat inilah yang akan mencerminkan akhlak seseorang muslim.

Hayya alas-solah, lafaz yang mengajak seluruh umat Islam melakukan solat sebaiknya secara berjemaah. Kekuatan dan kesepaduan ummah terlihat di sini apabila imam dan makmum hadir sebagai satu jemaah. Imam sebagai ketua solat berada di hadapan dan memastikan barisan jemaahnya berada dalam barisan yang rapi dan betul. Mengikut perilaku imam dan menegur jika imam melakukan kesilapan bacaan dan tertib gerakan.

Situasi ini juga melambangkan kepatuhan kepada konsep kepemimpinan secara keseluruhannya. Memilih imam yang benar-benar layak untuk memimpin solat seperti memilih pemimpin yang benar-benar layak menerajui negara sudah pasti melahirkan keadaan yang baik untuk umat dan negara

Manakala, aspek akhlak yang tekandung dalam seruan azan diwakili dengan lafaz ‘Hayya alal-falah’ iaitu bermakna marilah menuju kejayaan. Melalui tauhid yang kukuh iaitu menghayati syahadah yang terkandung dalam azan, kita akan senang melakukan ibadah.

Dengan tauhid yang melambangkan kekuatan akidah seseorang muslim itu juga, umat Islam patuh kepada Tuhan dengan melakukan ibadah yang diperintahkan. Ibadah ini pula merangkumi ikatan sesama manusia seperti kuatnya ikatan imam dan makmum serta pemimpin dan rakyat. Ini sekaligus akan membawa kemenangan buat umat Islam menentang bujukan syaitan dan musuh Islam secara nyata atau terselindung.

Lumrah dalam perhubungan sesama manusia terdapat pertelingkahan dan perselisihan pendapat. Oleh itu, kita diminta kembali kepada Allah S.W.T, mengagungkan kekuasaannya serta tidak lupa bahawa hanya Allah S.W.T yang mampu memberi dan manarik balik apa yang telah dikurnikan kepada umat manusia. Hal ini terangkum dalam lafaz seterusnya. Kalimah Allah Maha Besar, tiada Tuhan selain Allah dilaungkan kembali sebagai penutup seruan.

Betapa manisnya Tuhan mengatur lafaz azan untuk panduan dan peraturan sejagat umat manusia. Hanya orang-orang yang tidak menghayati akan kerugian dan tidak mendapat apa-apa hikmah apabila mendengar laungan azan di sekeliling mereka.

Laungan azan terbiar di angin lalu tanpa memberi apa-apa kesan pada jiwa dan sanubari umat yang mengaku Islam. Mengaku Tuhan itu satu dan tiada tuhan selain Allah. Memilukan juga apabila ada sesetengah stesen televisyen dan radio tidak mahu menyiarkan seruan azan di setesen mereka dengan alasan kemajmukan rakyat negara ini.

Wujud kesepakatan masyarakat bukan Islam yang meminta seruan azan diperlahankan kenyaringannya di masjid dan surau-surau sekitar mereka dengan alasan menggangu kedamaian suasana. Mereka tidak menghormati azan yang dilaungkan malah berani meminta azan diperlahankan walaupun mereka tahu bahawa Malaysia merupakan sebuah negara Islam yang harus mencanang keislamannya di pelusuk bumi ini melalui pelbagai cara dan salah satu daripadanya ialah seruan azan.

Oleh kerana masyarakat Islam sendiri kebanyakannya tidak menghayati dan mengambil tahu pengertian lafaz azan itu, maka tidak ada perjuangan untuk menentang anasir bukan Islam yang mahu mengaturcara kehidupan masyarakat Islam di bumi Islam ini sendiri.

Azan dilihat sebagai seruan biasa untuk memanggil umat Islam bersolat. Kehidupan tetap berjalan seperti biasa tanpa perlu memberhentikan sebentar perbualan, perbuatan dan sebagainya demi menghormati azan. Di manakah azan di hati kita?

No comments: