Wednesday, October 22, 2008

Perbuatan dengan Niat

Hadis Ketiga Puluh Lapan

38- عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ. (البخاري ومسلم)

38 - Dari Umar bin Al-Khattab ra., katanya: Aku ada mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Segala amal (gerak geri anggota zahir manusia yang disengajakan) tidak berlaku melainkan dengan adanya satu-satu niat dan sesungguhnya tiap-tiap seorang, hanya akan beroleh balasan berdasarkan niatnya. Dengan asas yang tersebut, sesiapa yang berhijrah dengan tujuan mencapai keredhaan Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu menyampaikannya kepada (balasan baik) Allah dan Rasul-Nya; dan sesiapa berhijrah dengan tujuan mendapat faedah dunia atau dengan tujuan hendak berkahwin dengan seorang perempuan, maka hijrahnya itu hanya menyampaikannya kepada apa yang ditujunya sahaja".

(Bukhari dan Muslim)

Hadis yang ketiga puluh lapan ini menerangkan:

Nilai segala amal berdasarkan niat.

Huraiannya:

Perkataan "Niat" bererti:

(1) Tujuan yang membangkit dan menggerakkan hati seseorang "hendak" melakukan sesuatu perkara yang tertentu.

(2) Perasaan berbangkitnya dan tergeraknya hati hendak melakukan perkara itu.

Pengertian yang pertama menjadi asas untuk menilai baik buruknya perkara yang hendak dilakukan itu.

Pengertian yang kedua pula menjadi asas untuk diiktiraf dan dikirakan perkara yang dilakukan itu.

Tiap-tiap satu perbuatan atau amal yang dilakukan oleh seseorang tak dapat tidak didorong oleh niatnya; dengan sebab itu maka tiap-tiap amal - yang baik dan yang buruk - dinilai berasaskan niat orang yang melakukannya. Cara menilai yang demikian menjadi asas bagi segala amal dalam Islam.

Menurut asas yang tersebut maka satu-satu amal yang dikerjakan oleh dua orang dengan dorongan dua niat yang berlainan maka nilainya dikira berlainan pula.

Bagi menjelaskan keadaan asas itu, Rasulullah s.a.w. bersabda menerangkan amal berhijrah sebagai contoh. Berhijrah - dari Mekah ke Madinah - pada masa itu adalah diwajibkan atas orang-orang Islam. Dalam pada itu amalan berhijrah itu diberi nilaian yang berlainan dengan sebab berlainan niat orang yang melakukannya, sebagaimana yang ternyata dari sabda Baginda dalam hadis ini.

Soal Niat:

Sebelum memulakan sesuatu amal hendaklah terlebih dahulu memperbaiki niat dan keikhlasannya, dan hendaklah mengambil tahu dan memikirkan halnya dengan teliti, kerana niat itu menjadi asas dan segala amal tetap menjadi pengikutnya; - jika baik niat seseorang maka baiklah amalnya dan jika buruk dan rosak niatnya maka buruklah dan rosaklah pula amalnya.

Oleh itu, tiap-tiap seorang janganlah ia menuturkan sesuatu perkataan atau mengerjakan sesuatu amalan atau berniat hendak menjalankan sesuatu urusan, melainkan hendaklah ia menjadikan niatnya semata-mata untuk "bertaqarrub" (mendampingkan diri) kepada Allah dan mengharapkan pahala yang ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Taala bagi amal yang diniatkan itu.

Benar atau tidaknya niat yang didakwakan oleh seseorang:

Disyaratkan bagi benarnya niat seseorang hendaklah disertakan dengan amal; maka sesiapa yang menuntut ilmu misalnya dan mendakwa bahawa niatnya pada mencapai ilmu itu ialah untuk beramal dan mengajarkannya, kemudian ia tidak melakukan yang demikian setelah mendapat ilmu itu, maka nyatalah niatnya yang tersebut tidak benar.

Juga sesiapa yang mencari kekayaan dunia dan mendakwa bahawa ia mencari kekayaan dunia itu ialah dengan tujuan "berdikari" - tidak bergantung kepada orang dan kerana hendak membantu orang-orang yang memerlukan bantuan, memberi sedekah kepada fakir miskin dan melakukan silaturahim kepada kaum kerabat, kemudian ia tidak melakukan yang demikian setelah mendapatnya, maka nyatalah tidak benar niatnya itu.

Niat tidak dapat mengubah keadaan maksiat:

Sebenarnya niat itu tidak memberi kesan dan tidak dapat mengubah sama sekali akan hakikat sesuatu perbuatan buruk atau sesuatu maksiat.

Perkara yang buruk tetap buruk, walaupun orang yang melakukannya mendakwa bahawa perkara itu dilakukan dengan niat yang baik.

Misalnya: Orang yang meminum arak dengan niat hendak menguatkan badan untuk berbuat ibadat konon, maka niatnya yang demikian tidak menjadikan perbuatannya itu baik, bahkan niat mendampingkan diri dengan melakukan maksiat itu dikirakan niat yang jahat dan niat itu juga menambahkan kejahatan kepada maksiat yang dilakukan itu.

Oleh itu, tiap-tiap seorang sayugianya berusaha dengan bersungguh-sungguh menguasai niatnya untuk mengharapkan keredhaan Allah semata mata, dan sayugianya pula meniatkan ketika melakukan perkara-perkara yang harus sebagai bantuan untuk menolongnya mengerjakan taat kepada Allah Taala.

Elok juga diketahui bahawa sesuatu amal boleh dihimpunkan padanya beberapa niat dan orang yang mengerjakannya mendapat pahala bagi tiap-tiap niat yang diniatkannya itu.

Misalnya: Dalam perkara-perkara taat, apabila seseorang membaca Al-Qur'an hendaklah meniatkan untuk bermunajat dengan Allah Taala, kerana orang yang membaca Al-Qur'an adalah orang yang bermunajat dengan Tuhannya; dan hendaklah juga meniatkan untuk mendapat ilmu pengetahuan dari Al-Qur'an, kerana Al-Qur'an menjadi sumbernya dan juga hendaklah ia meniatkan untuk mendatangkan faedah kepada dirinya sendiri dan pendengar-pendengarnya dengan bacaan Al-Qur'an itu; dan lain-lain lagi dan niat-niat yang baik.

Dalam perkara-perkara yang harus pula, apabila makan minum hendaklah ia meniatkan untuk mematuhi perintah Tuhannya yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal yang Kami kurniakan kepada kamu," dan juga meniatkan dengan makan minum itu untuk mendapat tenaga dan kekuatan yang memudahkannya mengerjakan taat kepada Allah Taala dan juga meniatkan untuk melahirkan syukur kepada Allah yang memerintahkan dengan firman-Nya, maksudnya: "Makanlah kamu dari rezeki Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya" dan demikianlah seterusnya yang sayugianya dilakukan mengenal niat-niat yang baik.

Sayugia diketahui, seseorang itu tidak sunyi - sama ada ia berniat - untuk melakukan sesuatu perkara dari salah satu dari tiga keadaan:

Pertama - Bahawa ia berniat serta bertindak melakukannya.

Kedua - Ia berniat dan tidak bertindak melaksanakannya sedang ia boleh bertindak; maka hukum keadaan niat yang demikian dan keadaan niat yang pertama ada diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. (seperti yang akan dinyatakan dalam hadis 39);

Ketiga - ia berniat untuk melakukan sesuatu perkara, sedang ia tidak mampu melakukannya, lalu ia berkata dalam hatinya: "Kalaulah aku terdaya melakukannya nescaya aku lakukan," maka ia beroleh balasan bagi apa yang diniatkannya itu, sama seperti yang didapati oleh orang yang mengerjakannya.

Hendaklah diingat lagi, sesuatu amal itu ada kalanya dikerjakan dengan perasaan riak semata-mata dan ada kalanya bercampur dengan riak. Kedua-dua jenis ini tidak ada pahala padanya bahkan haram dilakukan. Demikian juga tidak ada pahala bagi mana-mana amal yang dikerjakan semata-mata dengan tujuan mendapat keuntungan dunia, seperti berjuang di medan perang untuk mendapat harta rampasan sahaja; tetapi kalau perjuangannya itu untuk meninggikan agama Allah serta mendapat harta rampasan perang, maka perjuangannya yang tersebut mendapat pahala, walaupun tidak sepenuhnya.

Selain dari itu, sesiapa yang melakukan sesuatu amal ibadat, kemudian terlintas di hatinya perasaan riak semasa ia mengerjakannya, lalu ia menolaknya dengan serta merta maka tidaklah tercacat amal ibadatnya itu; masalah ini diakui sahnya secara ijmak. Kalau ia teruskan perasaan riak itu maka hampalah amal ibadatnya yang tersebut dari beroleh pahala - kalaulah perkara yang dikerjakannya itu berhubung antara satu dengan yang lain hingga ke akhirnya, seperti yang terdapat dalam sembahyang dan juga yang terdapat di dalam amalan haji; tetapi kalau perkara yang dikerjakannya itu tidak berhubung antara satu dengan yang lain, seperti membaca Al-Qur'an, bertasbih dan bertahlil, maka ia hanya mendapat pahala bagi bahagian yang tidak ada perasaan riak padanya; kalau pula satu-satu amal ibadat yang dikerjakan itu sempurna dan bersih suci dari segala yang mencacatkannya, kemudian ia dipuji orang lalu ia bergembira dengan pujian itu, maka yang demikian tidak merosakkan ibadatnya yang telah sempurna itu.

Hadis Ketiga Puluh Sembilan

39- عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيمَا يَرْوِي عَنْ رَبِّهِ تَبَارَكَ وَتَعَالَى قَالَ إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً وَإِنْ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ وَإِنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً وَإِنْ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً. (البخاري ومسلم)

39- Dari Ibnu Abbas r.a., dari Nabi s.a.w, mengenai apa yang disampaikannya dari Tuhannya (hadis Qudsi), sabdanya: "Sesungguhnya Allah telah menetapkan kebaikan dan kejahatan, kemudian Ia menerangkan yang demikian, iaitu sesiapa yang tergerak hatinya hendak melakukan sesuatu kebaikan, kemudian ia tidak melakukannya, nescaya Allah menuliskan gerak hatinya hendak melakukan itu satu kebaikan yang sempurna sisiNya (selagi ia tidak berniat hendak meninggalkan membuatnya); dan jika orang itu tergerak hatinya hendak melakukan sesuatu kebaikan, lalu dilakukannya, nescaya Allah menuliskan kebaikan itu di sisiNya dengan sepuluh hingga tujuh ratus kali ganda, (bahkan) sehingga sampai berganda-ganda banyaknya dan jika seseorang tergerak hatinya hendak melakukan sesuatu kejahatan, kemudian ia tidak melakukannya (kerana Allah), nescaya Allah tukarkan kejahatan yang tidak dilakukan (keranaNya) itu menjadi satu kebaikan yang sempurna di sisiNya dan jika tergerak hatinya hendak melakukan kejahatan itu, kemudian ia melakukannya, nescaya Allah menuliskannya satu kejahatan sahaja."

(Bukhari dan Muslim)

Hadis yang ketiga puluh sembilan ini menerangkan bahawa:

(1) Kebaikan dan kejahatan, Allah jua yang menetapkannya.

(2) Niat seseorang ada nilainya.

Huraiannya:

(1) Soal kebaikan dan kejahatan:

Boleh dikatakan semua orang suka kepada perkara-perkara yang baik dan bencikan perkara-perkara yang jahat, tetapi soal baik dan jahat tidak dapat ditentukan oleh manusia dengan tepatnya, kerana masing-masing mempunyai tabiat dan perasaan hati yang berlainan maka berlainan pula pertimbangan tentang perkara yang baik dan yang jahat itu.

Dengan yang demikian, maka kebaikan dan kejahatan itu hanya Allah yang menentukannya, kerana Allah jualah yang mengetahui hakikat sesuatu perkara dan yang menentukan hukumnya serta memberi balasan mengenainya.

(2) Nilaian Niat:

Dalam hal melakukan kebaikan dan kejahatan, niatnya sahaja pun sudah ada nilainya. Orang yang berniat hendak melakukan sesuatu perkara yang baik tetapi ia tidak melakukannya, maka Allah Taala memberi kepadanya satu kebaikan yang sempurna kerana kejayaannya menentang dan membatalkan niatnya yang jahat itu sehingga ia tidak melangsungkan kejahatan yang diniatkannya.

Balasan Allah Taala yang demikian ialah sebagai menilai niat seseorang. Mengenai amal perbuatan maka lain pula nilainya. Tiap-tiap satu amal kebajikan, diberi - sekurang-kurangnya - sepuluh kali ganda, manakala tiap-tiap satu amal kejahatan dibalas dengan satu kejahatan sahaja.

Dengan ini nyatalah setakat mana melimpahnya kemurahan Allah Taala kepada setiap hamba-Nya.

Hadis Keempat Puluh

40- عَنْ أَبِي كَبْشَةَ الْأَنْمَارِيِّ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ ثَلَاثٌ أُقْسِمُ عَلَيْهِنَّ وَأُحَدِّثُكُمْ حَدِيثًا فَاحْفَظُوهُ قَالَ فَأَمَّا الثَّلَاثُ الَّذِي أُقْسِمُ عَلَيْهِنَّ فَإِنَّهُ مَا نَقَّصَ مَالَ عَبْدٍ صَدَقَةٌ وَلَا ظُلِمَ عَبْدٌ بِمَظْلَمَةٍ فَيَصْبِرُ عَلَيْهَا إِلَّا زَادَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ بِهَا عِزًّا وَلَا يَفْتَحُ عَبْدٌ بَابَ مَسْأَلَةٍ إِلَّا فَتَحَ اللَّهُ لَهُ بَابَ فَقْرٍ وَأَمَّا الَّذِي أُحَدِّثُكُمْ حَدِيثًا فَاحْفَظُوهُ فَإِنَّهُ قَالَ إِنَّمَا الدُّنْيَا لِأَرْبَعَةِ نَفَرٍ عَبْدٌ رَزَقَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ مَالًا وَعِلْمًا فَهُوَ يَتَّقِي فِيهِ رَبَّهُ وَيَصِلُ فِيهِ رَحِمَهُ وَيَعْلَمُ لِلَّهِ عَزَّ وَجَلَّ فِيهِ حَقَّهُ قَالَ فَهَذَا بِأَفْضَلِ الْمَنَازِلِ قَالَ وَعَبْدٌ رَزَقَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عِلْمًا وَلَمْ يَرْزُقْهُ مَالًا قَالَ فَهُوَ يَقُولُ لَوْ كَانَ لِي مَالٌ عَمِلْتُ بِعَمَلِ فُلَانٍ قَالَ فَأَجْرُهُمَا سَوَاءٌ قَالَ وَعَبْدٌ رَزَقَهُ اللَّهُ مَالًا وَلَمْ يَرْزُقْهُ عِلْمًا فَهُوَ يَخْبِطُ فِي مَالِهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ لَا يَتَّقِي فِيهِ رَبَّهُ عَزَّ وَجَلَّ وَلَا يَصِلُ فِيهِ رَحِمَهُ وَلَا يَعْلَمُ لِلَّهِ فِيهِ حَقَّهُ فَهَذَا بِأَخْبَثِ الْمَنَازِلِ قَالَ وَعَبْدٌ لَمْ يَرْزُقْهُ اللَّهُ مَالًا وَلَا عِلْمًا فَهُوَ يَقُولُ لَوْ كَانَ لِي مَالٌ لَعَمِلْتُ بِعَمَلِ فُلَانٍ قَالَ هِيَ نِيَّتُهُ فَوِزْرُهُمَا فِيهِ سَوَاءٌ. (الترمذي وغيره)

40 - Dari Abu Kabsyah al-Anmari r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Tiga perkara, aku bersumpah menegaskan kebenarannya, iaitu tiadalah berkurang harta seseorang dengan sebab dikeluarkan sedekahnya dan tiadalah seseorang itu dizalimi dengan sesuatu kezaliman yang ia bersabar menanggungnya melainkan Allah menambahkan dia dengan kemuliaan dan tiadalah seseorang memulakan sesuatu cara meminta sedekah melainkan Allah membukakan kepadanya pintu kepapaan dan aku menerangkan kepada kamu satu hadis pengajaran maka hafazlah akan dia (untuk dijadikan iktibar)"; (kemudian Baginda menerangkannya) sabdanya: "Sebenarnya (habuan) dunia (mengenai ilmu agama dan harta) hanyalah terbahagi kepada empat (keadaan) manusia: Pertama - orang yang telah dikurniakan Allah dengan harta dan juga dengan ilmu agama, maka ia menggunakan ilmunya dengan berlaku taat kepada Allah dan menjauhi larangan-Nya dan menggunakan hartanya pada menghubungkan silaturahim kaum kerabatnya, serta ia mengetahui hak Allah pada nikmat-nikmat yang dikurniakan itu; maka orang yang demikian bersifat dengan semulia-mulia keadaan (di sisi Allah). Dan kedua - orang yang telah dikurniakan Allah dengan ilmu agama sahaja dan tidak dikurniakannya dengan harta serta ia berkata dengan niatnya yang benar: "Kalaulah aku ada harta, sudah tentu aku akan lakukan apa yang dilakukan oleh si anu (yang dermawan) itu", maka ia beroleh balasan dengan sebab niatnya; (dengan yang demikian) maka balasan baik kedua-dua orang itu adalah sama. Dan ketiga - orang yang telah dikurniakan Allah harta dan tidak dikurniakannya ilmu pengetahuan agama, maka ia menyalahgunakan hartanya dengan tidak berdasarkan ilmu, - ia tidak memelihara dirinya dengan harta itu dari azab Tuhan dan ia juga tidak menggunakan hartanya itu untuk silaturahim dan tidak pula mengetahui akan hak Allah pada hartanya itu; maka orang yang demikian, bersifat dengan seburuk-buruk keadaan. Dan keempat - orang yang tidak dikurniakan Allah dengan harta dan tidak juga dengan ilmu agama, lalu ia berkata: "Kalaulah aku ada harta, sudah tentu aku akan lakukan apa yang dilakukan oleh si anu itu", maka ia beroleh balasan dengan sebab niatnya; (dengan yang demikian) maka balasan buruk kedua-dua orang itu adalah sama. "

(Tirmizi dan Lain-lainnya).

Hadis yang keempat puluh ini menerangkan tentang:

(1) Beberapa perkara yang baik dan yang buruk.

(2) Kelebihan niat yang suci dan akibat niat yang buruk.

Huraiannya:

Perkara-perkara yang baik dan yang buruk:

Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w menerangkan tentang tiga perkara, dua di antaranya sungguh baik dilakukan dan yang satu lagi haram dilakukan.

Pertama - Perkara bersedekah.

Kebanyakan manusia merasa berat hendak bersedekah atau menghulurkan derma bakti, kerana pada lahirnya perkara itu mengurangkan harta bendanya.

Oleh itu Baginda menegaskan dalam hadis ini, bahawa harta seseorang tidak akan berkurang sama sekali disebabkan ia bersedekah sedikit sebanyak daripadanya, bahkan dengan apa jalan pun hartanya itu akan bertambah kembang dan beroleh berkat selain daripada pahala yang akan didapatinya

Kedua - Bersabar terhadap sesuatu kezaliman:

Kebanyakan manusia tidak sanggup bersabar terhadap sesuatu kezaliman yang dilakukan kepadanya bahkan ia merasa terhina menanggungnya.

Tentang ini Baginda menegaskan bahawa bersabar dalam menghadap kezaliman tidak sekati-kali akan merendah atau menghina orang yang bersabar itu bahkan tetap akan menambahkan kemuliaannya, kerana ia selain daripada mendapat pahala sabarnya, ia pula dihargai dan dipandang baik; manakala orang yang menganiayakannya dikutuk oleh Allah dan dibenci oleh masyarakat.

Ketiga - Keburukan perbuatan meminta sedekah:

Setengah orang, dengan sebab bawaannya yang keji, lebih suka meminta sedekah daripada berusaha ikhtiar untuk menyara hidupnya atau membanyakkan hartanya.

Mengenai hal ini, Baginda menegaskan bahawa orang yang melakukan perbuatan yang demikian amatlah buruk akibatnya, kerana selain dari beroleh kemurkaan Allah, jiwanya sentiasa papa dan tamak haloba sekalipun banyak harta yang dapat dikumpulkannya.

Sayugia diketahui bahawa:

(a) Meminta sedekah adalah satu perbuatan haram, tidak dihalalkan melainkan kepada salah satu dari tiga orang yang dinyatakan oleh hadis yang disebut oleh Muslim dan lain-lainnya, iaitu:

Pertama - Orang yang sungguh-sungguh tidak berada atau tidak berupaya.

Kedua - Orang yang harta bendanya habis ditimpa bencana.

Ketiga - Orang yang terkena membayar hutang yang ditanggungnya kerana menolak satu-satu kemudaratan atau membaiki satu-satu keburukan yang berlaku ke atas dirinya atau di dalam masyarakatnya.

(b) Keburukan akibat perbuatan yang haram itu telah diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam beberapa hadis, di antaranya hadis-hadis yang menyatakan bahawa:

(1) Sesiapa yang meminta harta orang kerana hendak membanyakkan hartanya maka ia hanya membanyakkan bara api kepada dirinya; oleh yang demikian terpulanglah kepadanya sama ada hendak mensedikitkan bara itu atau hendak membanyakkannya.

(2) Sesiapa yang meminta sedekah pada hal ia ada mempunyai kadar yang mencukupi untuk keperluan pagi dan petangnya maka ia hanya membanyakkan bara api neraka kepada dirinya.

(3) Sesiapa yang selalu meminta sedekah, maka ia akan dibangkitkan pada hari qiamat kelak dengan keadaan mukanya tidak ada sedikit daging pun.

(c) Meminta sedekah ada kalanya dengan cara berterus terang dan ada kalanya dengan cara tipu helah, umpamanya mendakwa atau berpura-pura bersifat miskin, alim, orang bijak pandai atau sebagainya, maka sesiapa yang diberikan sesuatu kerana dipercayai ada padanya satu-satu sifat yang didakwakannya itu sedang ia pada hakikatnya tidak bersifat demikian, haram ia menerima pemberian itu dan tidak menjadi miliknya kalau ia menerimanya; demikian juga hukumnya sesiapa yang diberikan sesuatu kerana takut atau malu kepadanya - apa yang diterimanya tidak menjadi miliknya dan haram ia memakannya atau menggunakannya.

(d) Bagi mengelakkan keburukan akibat meminta sedekah, maka Nabi Muhammad s.a.w. yang berperasaan belas dan kasih sayang kepada orang-orang yang beriman, menggalakkan umatnya berusaha mencari sara hidup dengan bekerja sendiri sekali pun seseorang itu terpaksa membuat kerja yang berat dan tidak disukai hatinya asalkan tidak dilarang oleh agama.

Dalam kitab-kitab hadis banyak didapati galakan itu, di antaranya hadis-hadis yang maksudnya:

(1) Sesungguhnya pemergian seseorang ke bukit mencari kayu api kemudian ia memikulnya dan menjualnya untuk mendapat keperluan hidupnya, adalah lebih baik dan ia meminta kepada orang, kerana terselamatnya daripada menanggung keberatan budi pemberian orang itu atau keburukan rasa kecewa kalau tidak diberinya.

(2) Sesiapa yang berusaha mencari keperluan hidupnya, keperluan hidup ibu bapanya yang tidak berada dan tidak terdaya bekerja atau keperluan orang tanggungannya supaya terselamat daripada kepapaan dan perbuatan yang tidak halal maka ia berusaha pada jalan yang diredhai Allah dan sesiapa yang berusaha mencari untuk bermegah-megah dengan kekayaan maka ia berusaha pada jalan syaitan yang kena rejam

(3) Sesungguhnya Allah suka dan kasih kepada orang mukmin yang berusaha mencari penghidupan yang halal sama ada dengan jalan bercucuk tanam, berniaga, bertukang dan sebagainya.

(4) Di antara dosa-dosa seseorang, ada dosa yang tidak ada baginya "kaffarah" selain daripada menanggung kedukaan dan kesusahan dalam mencari penghidupan.

(5) Sesiapa yang bermalam dengan keadaan penat lesu kerana mencari penghidupan yang halal, bermalamlah ia dengan keadaan diberikan keampunan

(e) Sesiapa yang diberikan sesuatu pemberian dengan tidak ia memintanya dan tidak pula ia berharap-harap supaya diberikan kepadanya serta ia tidak mengetahui bahawa pemberian itu haram diterimanya, maka digalakkan dia menerima pemberian itu untuk menyara hidupnya dan orang tanggungannya atau untuk memberi pertolongan kepada orang yang memerlukannya.

Niat yang suci dan sebaliknya.

Nikmat pemberian yang sangat-sangat diperlukan dalam alam kehidupan ini ialah nikmat kerohanian (ilmu pengetahuan) dan nikmat kebendaan (harta kekayaan).

Kedua-dua nikmat itu tidak akan mendatangkan kebaikan kepada orang yang mendapatnya melainkan dengan menggunakannya pada jalan yang diredhai Allah; jika tidak maka buruk padahnya.

Dalam pada itu, orang yang tidak mendapat kedua-dua nikmat itu, tetapi ia mempunyai niat yang benar lagi suci - bahawa kalau ia mendapat nikmat itu ia akan menggunakannya pada jalan yang diredhai Allah - maka ia juga akan beroleh pahala disebabkan niatnya yang baik itu.

Sebaliknya kalau niatnya buruk maka buruklah pula akibatnya, seperti yang diterangkan dalam hadis ini

Hadis Keempat Puluh Satu

41- عَنْ عَائِشَةُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَغْزُو جَيْشٌ الْكَعْبَةَ فَإِذَا كَانُوا بِبَيْدَاءَ مِنْ الْأَرْضِ يُخْسَفُ بِأَوَّلِهِمْ وَآخِرِهِمْ قَالَتْ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ يُخْسَفُ بِأَوَّلِهِمْ وَآخِرِهِمْ وَفِيهِمْ أَسْوَاقُهُمْ وَمَنْ لَيْسَ مِنْهُمْ قَالَ يُخْسَفُ بِأَوَّلِهِمْ وَآخِرِهِمْ ثُمَّ يُبْعَثُونَ عَلَى نِيَّاتِهِمْ (البخاري ومسلم)

41 - Dari `Aisyah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Satu angkatan tentera hendak menyerang Ka'bah, maka apabila mereka berada di suatu tanah lapang, ditimbuskan mereka seluruhnya dari awal hingga ke akhirnya!" Sayidatina Aisyah merasa musykil serta bertanya dengan katanya "Ya Rasulu11ah! bagaimana mereka ditimbuskan seluruhnya pada hal ada di antaranya orang-orang yang berjual beli dan orang-orang yang bukan dari tentera itu?" Baginda menjawab: "(Ya!) mereka seluruhnya ditimbuskan, kemudian mereka dibangkitkan pada hari qiamat (dan masing-masing dibalas) menurut niatnya."

(Bukhari dan Muslim)

Hadis yang keempat puluh satu ini menerangkan:

(1) Akibat buruk orang yang mencabuli sesuatu yang mulia di sisi Allah Taala.

(2) Sesiapa yang berada dalam kalangan orang-orang yang melakukan maksiat atau fitnah kekacauan akan menanggung dalam dunia ini bala bencana yang menimpa mereka.

(3) Balasan akhirat berdasarkan niat masing-masing.

Huraiannya:

(1) Akibat buruk orang-orang yang mencabuli kehormatan sesuatu yang mulia di sisi Allah Taala:

Tiap-tiap sesuatu yang mulia di sisi Allah Taala, sama ada hukum, masa, tempat atau hamba Allah yang dikasihi-Nya; wajiblah dimuliakan dan dihormati sebagaimana apa yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya.

Sesiapa yang mencabulinya, maka buruklah padahnya, seperti yang diterangkan dalam hadis ini.

(2) Orang yang ada bersama dalam kalangan orang-orang yang melakukan perbuatan yang durjana, akan ditimpa bala bencana:

Biasanya mala petaka dan bala bencana yang diturunkan oleh Allah Taala menimpa orang-orang yang melakukan perbuatan yang dilarang akan merangkum orang-orang yang tidak bersalah yang ada bersama, meskipun keadaan kedua-dua golongan itu berlainan.

(3) Balasan akhirat diberi berdasarkan niat masing-masing:

Balasan akhirat adalah menurut hakikat sesuatu sama ada baik atau buruk.

Misalnya: Dua orang mati bersama dalam perjalanan ke pasar. Yang seorang berniat hendak membeli barang dan yang seorang lagi hendak mencuri, maka pada hari qiamat kelak, keduanya akan menerima balasan menurut niat masing-masing.

No comments: