Monday, October 27, 2008

Bersedekah, sabar, meminta sedekah

27 Oktober 2008/27 Syawal 1429/ Hari Depavali dirayakan oleh kaum India Hari ini

Hadis Keempat Puluh

40- عَنْ أَبِي كَبْشَةَ الْأَنْمَارِيِّ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ ثَلَاثٌ أُقْسِمُ عَلَيْهِنَّ وَأُحَدِّثُكُمْ حَدِيثًا فَاحْفَظُوهُ قَالَ فَأَمَّا الثَّلَاثُ الَّذِي أُقْسِمُ عَلَيْهِنَّ فَإِنَّهُ مَا نَقَّصَ مَالَ عَبْدٍ صَدَقَةٌ وَلَا ظُلِمَ عَبْدٌ بِمَظْلَمَةٍ فَيَصْبِرُ عَلَيْهَا إِلَّا زَادَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ بِهَا عِزًّا وَلَا يَفْتَحُ عَبْدٌ بَابَ مَسْأَلَةٍ إِلَّا فَتَحَ اللَّهُ لَهُ بَابَ فَقْرٍ وَأَمَّا الَّذِي أُحَدِّثُكُمْ حَدِيثًا فَاحْفَظُوهُ فَإِنَّهُ قَالَ إِنَّمَا الدُّنْيَا لِأَرْبَعَةِ نَفَرٍ عَبْدٌ رَزَقَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ مَالًا وَعِلْمًا فَهُوَ يَتَّقِي فِيهِ رَبَّهُ وَيَصِلُ فِيهِ رَحِمَهُ وَيَعْلَمُ لِلَّهِ عَزَّ وَجَلَّ فِيهِ حَقَّهُ قَالَ فَهَذَا بِأَفْضَلِ الْمَنَازِلِ قَالَ وَعَبْدٌ رَزَقَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عِلْمًا وَلَمْ يَرْزُقْهُ مَالًا قَالَ فَهُوَ يَقُولُ لَوْ كَانَ لِي مَالٌ عَمِلْتُ بِعَمَلِ فُلَانٍ قَالَ فَأَجْرُهُمَا سَوَاءٌ قَالَ وَعَبْدٌ رَزَقَهُ اللَّهُ مَالًا وَلَمْ يَرْزُقْهُ عِلْمًا فَهُوَ يَخْبِطُ فِي مَالِهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ لَا يَتَّقِي فِيهِ رَبَّهُ عَزَّ وَجَلَّ وَلَا يَصِلُ فِيهِ رَحِمَهُ وَلَا يَعْلَمُ لِلَّهِ فِيهِ حَقَّهُ فَهَذَا بِأَخْبَثِ الْمَنَازِلِ قَالَ وَعَبْدٌ لَمْ يَرْزُقْهُ اللَّهُ مَالًا وَلَا عِلْمًا فَهُوَ يَقُولُ لَوْ كَانَ لِي مَالٌ لَعَمِلْتُ بِعَمَلِ فُلَانٍ قَالَ هِيَ نِيَّتُهُ فَوِزْرُهُمَا فِيهِ سَوَاءٌ. (الترمذي وغيره)

40 - Dari Abu Kabsyah al-Anmari r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Tiga perkara, aku bersumpah menegaskan kebenarannya, iaitu tiadalah berkurang harta seseorang dengan sebab dikeluarkan sedekahnya dan tiadalah seseorang itu dizalimi dengan sesuatu kezaliman yang ia bersabar menanggungnya melainkan Allah menambahkan dia dengan kemuliaan dan tiadalah seseorang memulakan sesuatu cara meminta sedekah melainkan Allah membukakan kepadanya pintu kepapaan dan aku menerangkan kepada kamu satu hadis pengajaran maka hafazlah akan dia (untuk dijadikan iktibar)"; (kemudian Baginda menerangkannya) sabdanya: "Sebenarnya (habuan) dunia (mengenai ilmu agama dan harta) hanyalah terbahagi kepada empat (keadaan) manusia: Pertama - orang yang telah dikurniakan Allah dengan harta dan juga dengan ilmu agama, maka ia menggunakan ilmunya dengan berlaku taat kepada Allah dan menjauhi larangan-Nya dan menggunakan hartanya pada menghubungkan silaturahim kaum kerabatnya, serta ia mengetahui hak Allah pada nikmat-nikmat yang dikurniakan itu; maka orang yang demikian bersifat dengan semulia-mulia keadaan (di sisi Allah). Dan kedua - orang yang telah dikurniakan Allah dengan ilmu agama sahaja dan tidak dikurniakannya dengan harta serta ia berkata dengan niatnya yang benar: "Kalaulah aku ada harta, sudah tentu aku akan lakukan apa yang dilakukan oleh si anu (yang dermawan) itu", maka ia beroleh balasan dengan sebab niatnya; (dengan yang demikian) maka balasan baik kedua-dua orang itu adalah sama. Dan ketiga - orang yang telah dikurniakan Allah harta dan tidak dikurniakannya ilmu pengetahuan agama, maka ia menyalahgunakan hartanya dengan tidak berdasarkan ilmu, - ia tidak memelihara dirinya dengan harta itu dari azab Tuhan dan ia juga tidak menggunakan hartanya itu untuk silaturahim dan tidak pula mengetahui akan hak Allah pada hartanya itu; maka orang yang demikian, bersifat dengan seburuk-buruk keadaan. Dan keempat - orang yang tidak dikurniakan Allah dengan harta dan tidak juga dengan ilmu agama, lalu ia berkata: "Kalaulah aku ada harta, sudah tentu aku akan lakukan apa yang dilakukan oleh si anu itu", maka ia beroleh balasan dengan sebab niatnya; (dengan yang demikian) maka balasan buruk kedua-dua orang itu adalah sama. "

(Tirmizi dan Lain-lainnya).

Hadis yang keempat puluh ini menerangkan tentang:

(1) Beberapa perkara yang baik dan yang buruk.

(2) Kelebihan niat yang suci dan akibat niat yang buruk.

Huraiannya:

Perkara-perkara yang baik dan yang buruk:

Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w menerangkan tentang tiga perkara, dua di antaranya sungguh baik dilakukan dan yang satu lagi haram dilakukan.

Pertama - Perkara bersedekah.

Kebanyakan manusia merasa berat hendak bersedekah atau menghulurkan derma bakti, kerana pada lahirnya perkara itu mengurangkan harta bendanya.

Oleh itu Baginda menegaskan dalam hadis ini, bahawa harta seseorang tidak akan berkurang sama sekali disebabkan ia bersedekah sedikit sebanyak daripadanya, bahkan dengan apa jalan pun hartanya itu akan bertambah kembang dan beroleh berkat selain daripada pahala yang akan didapatinya

Kedua - Bersabar terhadap sesuatu kezaliman:

Kebanyakan manusia tidak sanggup bersabar terhadap sesuatu kezaliman yang dilakukan kepadanya bahkan ia merasa terhina menanggungnya.

Tentang ini Baginda menegaskan bahawa bersabar dalam menghadap kezaliman tidak sekati-kali akan merendah atau menghina orang yang bersabar itu bahkan tetap akan menambahkan kemuliaannya, kerana ia selain daripada mendapat pahala sabarnya, ia pula dihargai dan dipandang baik; manakala orang yang menganiayakannya dikutuk oleh Allah dan dibenci oleh masyarakat.

Ketiga - Keburukan perbuatan meminta sedekah:

Setengah orang, dengan sebab bawaannya yang keji, lebih suka meminta sedekah daripada berusaha ikhtiar untuk menyara hidupnya atau membanyakkan hartanya.

Mengenai hal ini, Baginda menegaskan bahawa orang yang melakukan perbuatan yang demikian amatlah buruk akibatnya, kerana selain dari beroleh kemurkaan Allah, jiwanya sentiasa papa dan tamak haloba sekalipun banyak harta yang dapat dikumpulkannya.

Sayugia diketahui bahawa:

(a) Meminta sedekah adalah satu perbuatan haram, tidak dihalalkan melainkan kepada salah satu dari tiga orang yang dinyatakan oleh hadis yang disebut oleh Muslim dan lain-lainnya, iaitu:

Pertama - Orang yang sungguh-sungguh tidak berada atau tidak berupaya.

Kedua - Orang yang harta bendanya habis ditimpa bencana.

Ketiga - Orang yang terkena membayar hutang yang ditanggungnya kerana menolak satu-satu kemudaratan atau membaiki satu-satu keburukan yang berlaku ke atas dirinya atau di dalam masyarakatnya.

(b) Keburukan akibat perbuatan yang haram itu telah diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam beberapa hadis, di antaranya hadis-hadis yang menyatakan bahawa:

(1) Sesiapa yang meminta harta orang kerana hendak membanyakkan hartanya maka ia hanya membanyakkan bara api kepada dirinya; oleh yang demikian terpulanglah kepadanya sama ada hendak mensedikitkan bara itu atau hendak membanyakkannya.

(2) Sesiapa yang meminta sedekah pada hal ia ada mempunyai kadar yang mencukupi untuk keperluan pagi dan petangnya maka ia hanya membanyakkan bara api neraka kepada dirinya.

(3) Sesiapa yang selalu meminta sedekah, maka ia akan dibangkitkan pada hari qiamat kelak dengan keadaan mukanya tidak ada sedikit daging pun.

(c) Meminta sedekah ada kalanya dengan cara berterus terang dan ada kalanya dengan cara tipu helah, umpamanya mendakwa atau berpura-pura bersifat miskin, alim, orang bijak pandai atau sebagainya, maka sesiapa yang diberikan sesuatu kerana dipercayai ada padanya satu-satu sifat yang didakwakannya itu sedang ia pada hakikatnya tidak bersifat demikian, haram ia menerima pemberian itu dan tidak menjadi miliknya kalau ia menerimanya; demikian juga hukumnya sesiapa yang diberikan sesuatu kerana takut atau malu kepadanya - apa yang diterimanya tidak menjadi miliknya dan haram ia memakannya atau menggunakannya.

(d) Bagi mengelakkan keburukan akibat meminta sedekah, maka Nabi Muhammad s.a.w. yang berperasaan belas dan kasih sayang kepada orang-orang yang beriman, menggalakkan umatnya berusaha mencari sara hidup dengan bekerja sendiri sekali pun seseorang itu terpaksa membuat kerja yang berat dan tidak disukai hatinya asalkan tidak dilarang oleh agama.

Dalam kitab-kitab hadis banyak didapati galakan itu, di antaranya hadis-hadis yang maksudnya:

(1) Sesungguhnya pemergian seseorang ke bukit mencari kayu api kemudian ia memikulnya dan menjualnya untuk mendapat keperluan hidupnya, adalah lebih baik dan ia meminta kepada orang, kerana terselamatnya daripada menanggung keberatan budi pemberian orang itu atau keburukan rasa kecewa kalau tidak diberinya.

(2) Sesiapa yang berusaha mencari keperluan hidupnya, keperluan hidup ibu bapanya yang tidak berada dan tidak terdaya bekerja atau keperluan orang tanggungannya supaya terselamat daripada kepapaan dan perbuatan yang tidak halal maka ia berusaha pada jalan yang diredhai Allah dan sesiapa yang berusaha mencari untuk bermegah-megah dengan kekayaan maka ia berusaha pada jalan syaitan yang kena rejam

(3) Sesungguhnya Allah suka dan kasih kepada orang mukmin yang berusaha mencari penghidupan yang halal sama ada dengan jalan bercucuk tanam, berniaga, bertukang dan sebagainya.

(4) Di antara dosa-dosa seseorang, ada dosa yang tidak ada baginya "kaffarah" selain daripada menanggung kedukaan dan kesusahan dalam mencari penghidupan.

(5) Sesiapa yang bermalam dengan keadaan penat lesu kerana mencari penghidupan yang halal, bermalamlah ia dengan keadaan diberikan keampunan

(e) Sesiapa yang diberikan sesuatu pemberian dengan tidak ia memintanya dan tidak pula ia berharap-harap supaya diberikan kepadanya serta ia tidak mengetahui bahawa pemberian itu haram diterimanya, maka digalakkan dia menerima pemberian itu untuk menyara hidupnya dan orang tanggungannya atau untuk memberi pertolongan kepada orang yang memerlukannya.

Niat yang suci dan sebaliknya.

Nikmat pemberian yang sangat-sangat diperlukan dalam alam kehidupan ini ialah nikmat kerohanian (ilmu pengetahuan) dan nikmat kebendaan (harta kekayaan).

Kedua-dua nikmat itu tidak akan mendatangkan kebaikan kepada orang yang mendapatnya melainkan dengan menggunakannya pada jalan yang diredhai Allah; jika tidak maka buruk padahnya.

Dalam pada itu, orang yang tidak mendapat kedua-dua nikmat itu, tetapi ia mempunyai niat yang benar lagi suci - bahawa kalau ia mendapat nikmat itu ia akan menggunakannya pada jalan yang diredhai Allah - maka ia juga akan beroleh pahala disebabkan niatnya yang baik itu.

Sebaliknya kalau niatnya buruk maka buruklah pula akibatnya, seperti yang diterangkan dalam hadis ini

No comments: