21- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْعِلْمُ ثَلَاثَةٌ وَمَا سِوَى ذَلِكَ فَهُوَ فَضْلٌ آيَةٌ مُحْكَمَةٌ أَوْ سُنَّةٌ قَائِمَةٌ أَوْ فَرِيضَةٌ عَادِلَةٌ. (أبو داود وابن ماجه)
21 - Dari Abdullah bin 'Amr r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Ilmu yang menjadi asas (bagi ilmu-ilmu yang dikehendaki oleh agama) adalah tiga dan yang lain dari itu adalah ilmu yang lebih; - ilmu-ilmu yang tiga itu ialah: Ayat Al-Qur'an yang terang nyata dan tidak dimansukhkan hukumnya; atau "Sunnah" (hadis) yang sah datangnya dari Rasulullah s.a.w., yang tetap kekal atau ketetapan dan keputusan yang betul sama seimbang (dengan kehendak kitab Allah dan sunnah RasulNya)"
( Abu Daud dan Ibnu Majah)
Hadis yang kedua puluh satu ini menerangkan:
1) Ilmu yang menjadi asas bagi ilmu-ilmu agama.
2) Ilmu-ilmu yang lebih (yang tidak dikehendaki oleh agama).
Huraiannya:
Pertama - Ilmu-ilmu yang telah ditetapkan Tuhan menjadi Asas.
Kedua - Ilmu-ilmu yang dikehendaki oleh asas itu.
Bahagian yang pertama - Ilmu-ilmu yang ditetapkan menjadi asas itu ialah:
(1) Ayat-ayat Al-Qur'an yang terang nyata dan tidak dimansukhkan hukumnya, yang menjadi asas untuk dirujukkan kepadanya ayat-ayat Al-Qur'an yang "Mutasyabihat" (yang tidak jelas maksudnya).
(2) "Sunnah" atau "Hadis" Rasulullah s.a.w. yang meliputi perkataannya, perbuatannya dan taqrirnya (ketiadaan larangannya), yang sah datangnya dari Baginda dan berkekalan diamalkan, kerana ialah yang menjadi keterangan dan ulasan bagi kitab Allah Al-Qur'an al-Karim.
(3) Ketetapan dan keputusan yang betul sama seimbang dengan kehendak kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya, yang ditetapkan atau diputuskan dengan jalan "ijma'" (kata sepakat alim ulama), atau dengan jalan "Qiyas" (bandingan sesuatu perkara yang belum ada hukumnya dengan perkara yang telah ada hukumnya).
Bahagian yang kedua - ilmu-limu yang dikehendaki oleh asas itu ialah:
Ilmu-ilmu yang ada hubungannya dengan kehendak-kehendak tata bahasa dan kesusasteraan Arab, juga yang ada hubungannya dengan pengertian maksud dan pengambilan hukum-hukum syarak (Istinbat); ilmu perubatan untuk menjaga dan memelihara kesihatan dan seterusnya ilmu-ilmu kemasyarakatan, pembangunan, perniagaan, perindustrian, pertanian, perikanan, pelayaran, penerbangan dan sebagainya dari tiap-tiap ilmu pengetahuan yang dikehendaki adanya dan tak dapat ditinggalkan untuk menjalankan segala urusan pentadbiran dan pertahanan negara meliputi segala jenis ilmu pengetahuan sains dan teknologi yang diperlukan oleh keadaan dan masa, asalkan tidak bertentangan dengan asas yang tiga itu.
Ilmu-ilmu yang lebih (yang tidak dikehendaki oleh agama) itu ialah:
Tiap-tiap ilmu pengetahuan yang tidak berdasarkan salah satu dari kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya, lebih-lebih lagi yang bertentangan dengan kandungan keduanya atau dengan yang difahamkan dari keduanya, atau pun ilmu pengetahuan yang tak dapat memberi pertolongan untuk memahami kandungan keduanya.
Ilmu yang tersebut yang bukan sahaja tidak perlu dipelajari, bahkan boleh jadi ia dari ilmu-ilmu yang tidak memberi manfaat yang disuruh oleh Rasulullah s.a.w. supaya umatnya memohon dilindungi dan dijauhi oleh Allah Taala daripadanya, lebih-lebih lagi ilmu yang membahayakan diri sendiri atau orang lain, seperti ilmu sihir, ilmu nujum (Astrologi) dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment