Kewajipan mempelajari Agama Islam.
Hari ini ialah Awal Muharram 1431. Hari Awal Muharram atau Hari Maal Hijrah merupakan suatu hari bersejarah bagi orang Islam, kerana peristiwa hijrah nabi Muhammad swa dan pengikutnya ke Medinah menjadi permulkaan Islam mula berkembang dam tersebar meluas dari segi pengajarannya dan juga penambahan penganutnya di merata dunia. Ia memperingati penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Berlaku pada 1 Muharam, ia merupakan hari pertama Takwim Hijrah.
Bersempena dengan Hari Ulang Tahun Hijra klai ke 1431, marilah kita berazam meningkatkan ilmu atau pengetahuan mengenai agama Islam khusunya Ilmu Fardhi Ain, agar dapat kita mengamal dan meningkatlah ibadat kita kepada Allah swt, dengan mengamalkan cara-cara yang tepat bagi melakasanakan apa-juga ynag berkaitan dengaa aqidah, syariat dan muamalat yang kita lakukan sehari-hari, supaya amalan kita diterima dan mendapat keredhaan Allah swt.
Maksud hadis Nabi saw,
20 - Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Menuntut ilmu adalah satu fardu yang wajib atas tiap-tiap seorang Islam."
(Ibnu Majah dan Lain-lainnya).
Hadis yang kedua puluh ini mewajibkan tiap-tiap orang Islam - lelaki dan perempuan - mempelajari ilmu agama.
Huraiannya:
1. Oleh kerana sesuatu pekerjaan dari yang sekecil-kecilnya hingga yang sebesar-besarnya tidak dapat dilakukan dengan teratur dan sempurna melainkan dengan ilmu pengetahuan yang berkenaan dengannya, maka nyatalah wajibnya seseorang mempelajari hukum dan peraturan Islam bagi apa sahaja perkara yang hendak dilakukannya sebagai wajib fardu ain.
2. Menurut kitab Al-Furuq dan "Tahzib al-Furuq" bahawa Imam Ghazali dalam kitabnya "Ihya-'Ulumuddin" dan Imam Asy-Syafi'i dalam kitabnya "Ar-Risalah" menerangkan; Bahawa telah sekata alim ulama, tidak harus seseorang cuba melakukan sesuatu perkara sehingga ia mengetahui lebih dahulu hukum-hukum Allah mengenai perkara yang hendak dilakukannya itu; - orang yang hendak berjual beli wajib mempelajari hukum Allah mengenainya dan orang yang hendak menyewa, memberi sewa, mengupah dan mengambil upah wajib mempelajari hukum Allah mengenainya. Demikian juga orang yang hendak sembahyang wajib mempelajari hukum Allah mengenal sembahyang. Demikian seterusnya segala perkataan yang hendak dikatakan dan segala amal yang hendak dikerjakan.
3. Maka sesiapa yang mengetahui hukum Allah dan beramal menurut apa yang diketahuinya, sudah tentu ia telah mentaati Allah dengan dua taat dan sesiapa yang tidak mengetahui dan tidak pula beramal, sudah tentu ta telah menderhaka kepada Allah dengan dua kederhakaan; dan sesiapa yang mengetahui hukum Allah dan tidak beramal mengikutNya, maka ia telah mentaati Allah dengan satu taat dan menderhaka kepadaNya dengan satu kederhakaan.
4. Sayugia diingat, bahawa ilmu agama itu bukan satu perkara yang mudah didapati bahkan mestilah dipelajari dan diterima dari orang Islam yang betul-betul dan sah ilmunya serta jujur dan adil dalam penyampaiannya, sebagaimana yang diterangkan dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang maksudnya: "Sesungguhnya ilmu yang sah dan muktabar itu tidak akan dapat dicapai melainkan dengan dipelajari dari guru"; bukan semata-mata dari buku-buku, lebih-lebih lagi yang dikarang oleh orang-orang orientalis, yang kebanyakannya menghidangkan madu bercampur racun.
Petikan Berita (bernama, Berita Harian).
Yusuf Abdullah al-Qadarawi, Tan Sri Yusoff Nor dipilih Tokoh Maal Hijrah 2009
PUTRAJAYA: Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Yusuf Abdullah al-Qadarawi dan Pengerusi Kumpulan Felda, Tan Sri Dr Yusoff Nor hari ini diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 2009/1431H.
Ia diumumkan pada majlis sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC), di sini pagi ini.
Anugerah disampaikan Timbalan Yang di-Pertuan Agong,Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Tokoh Maal Hijrah Sumbang Penghijrahan Masyarakat Berilmu
PUTRAJAYA, 18 Dis (Bernama) -- Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia Dr Yusuf Abdullah Al-Qaradawi, dari Mesir terpilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1431H peringkat kebangsaan kerana jasanya sebagai pemikir, sarjana dan intelek kontemporari yang amat disegani di seluruh dunia.
Dr Al-Qaradawi, 83, yang juga Pengarah Pusat Kajian Sunnah dan Sejarah Islam di Universiti Qatar amat peka dengan permasalahan ummah terutamanya keperluan umat Islam di negara lain sehingga beliau turut diberi kepercayaan memegang jawatan Pengerusi Majlis Fatwa Eropah dan Ahli Pusat Pengajian Islam di Oxford.
Beliau berkelulusan Usuluddin dari Universiti Al-Azhar turut memiliki Ijazah Falsafah Kedoktoran (PhD) dalam bidang fiqh al-Zakat serta mendapat pujian dan menjadi kebanggaan majoriti sarjana Islam termasuk al-Mawdudi dan Muhammad Mubarak.
Seorang lagi tokoh yang terpilih dianugerahi Tokoh Maal Hijrah 1431H peringkat kebangsaan ialah Pengerusi Kumpulan Felda Tan Sri Dr Mohamed Yusof Mohamed Noor.
Dr Mohamed Yusof, 68, terpilih kerana jasanya meningkatkan kedudukan masyarakat Islam terutamanya melalui bidang pendidikan dan politik.
Anak kelahiran Besut, Terengganu itu berkelulusan Usuluddin dari Universiti Al-Azhar juga pemegang PhD dalam bidang Falsafah di Universiti Kaherah, Mesir.
Kini, selain Pengerusi Kumpulan Felda, Dr Mohamed Yusof turut memberi sumbangan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Pengerusi Majlis Penasihat Tabung Haji dan Pengerusi Lembaga Pendidikan Islam Malaysia.
Dahulu, beliau pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan juga pernah bertugas sebagai pensyarah dan Dekan di Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Kedua-dua tokoh itu menerima hadiah wang tunai RM100,000 termasuk wang tunai RM10,000 sumbangan Yayasan Ubaidi, sebuah plak, pingat dan sijil penghargaan yang disampaikan Timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
Di KEDAH, cendekiawan sejarah, Datuk Wan Shamsuddin Mohd Yusof, 77, menerima anugerah tokoh Maal Hijrah peringkat negeri yang berlangsung di Dewan Seri Negeri, Wisma Darulaman.
Selaku Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) beliau banyak menyumbang dalam bidang pendidikan serta karya-karya sejarahnya banyak digunakan sebagai rujukan.
Bekas pendidik dari Taiping, Perak dan dibesarkan di Sik, Kedah ini mempunyai lima orang anak, berjaya menghasilkan buku Sejarah Tanah Melayu yang diterbitkan pada tahun 1966 dan 1968, buku itu juga dipilih sebagai buku teks sekolah di negara Brunei Darussalam.
Antara karya yang telah dihasilkan termasuklah Pemuliharaan dan pendokumentasian dokumen dan manuskrip seperti Hukum Kanun Dato' Kota Setar, Geran-geran Tanah Kerajaan Kubang Pasu Darul Qiyam, Panji-panji Perang Kepunyaan Dato' Pekerma Ali, Dua Pucuk Surat Sultan Mohamad Jiwa II 1773 dan Surat-menyurat Sultan Abdul Hamid Halim Shah.
Wan Shamsuddin menerima hadiah wang tunai RM10,000, hadiah iringan dan juga sijil penghargaan yang disampaikan oleh Tengku Bendahara Kedah, Datuk Seri Tengku Anuar Sultan Badlisyah.
Di MELAKA, Naib Cancelor, Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Prof Emiritus Datuk Wira Dr Mohd Yusoff Hashim, 64, dianugerah Tokoh Maal Hijrah peringat negeri di Masjid ar-Rashidin.
Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob menyampaikan anugerah itu pada majlis sambutan peringkat negeri.
Di JOHOR, tokoh Maal Hijrah negeri itu diberi kepada Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Nooh Gadot. Pasangan Saim Suradi dan Saniah @ Amnah Ahmad dari Batu Pahat menerima anugerah khas Ibu Bapa Mithali manakala pasangan Othman Abd Rahman dan Norani A Rahman dari Muar menerima anugerah Ibu Bapa Mithali.
Bagaimanapun, di KUALA TERENGGANU, tiada pemenang tokoh maal hijrah kerana tiada yang betul-betul layak untuk dianugerahkan tetapi imam yang mempunyai 16 orang anak telah dipilih sebagai tokoh keluarga mithali yang diadakan di Taman Tamadun Islam di sini.
Haji Abdul Razak Jusoh, 70, Imam Masjid Kampung Bukit Kandis dekat Kuala Terengganu pernah menjadi nelayan dipilih berdasarkan kecemerlangannya mendidik anak-anak dengan 11 daripada 16 anaknya itu berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.
Di SARAWAK, kasih sayang, asuhan dan didikan sempurna yang dicurahkan petani, Chek Bujang, 58, dan isterinya Jariah Tahir, 58, akhirnya membuahkan hasil apabila kesemua lapan cahaya mata mereka berjaya menjejak kaki ke menara gading membolehkan pasangan itu menerima anugerah Maal Hijrah Kategori Keluarga Cemerlang daripada Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin.
Kegigihan pasangan dari Kampung Tanjong Apong, Daerah Asajaya, membesarkan enam anak perempuan dan dua anak lelaki berusia 36 hingga 21 tahun, sehingga tiga daripada mereka merupakan pemegang ijazah sarjana dalam bidang pendidikan, empat lagi pemegang ijazah sarjana muda (pelbagai bidang) dan seorang lagi pemegang Diploma (bidang pendidikan) menerima anugerah di Dewan Suarah di Kuching.
Chek yang kini merupakan seorang guru kelas Al-Quran dan Fardu Ain menerima wang tunai RM3,000, plak, sijil dan cenderamata.
Di SELANGOR, bekas Senator dan ahli politik, Hassan Shukri, 70, dipilih penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri disampaikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment