Jumaat, 3 April 2009
139- عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَكْبَرُ ابْنُ آدَمَ وَيَكْبَرُ مَعَهُ اثْنَانِ حُبُّ الْمَالِ وَطُولُ الْعُمُرِ. (البخاري)
139- Dari Anas bin Malik r.a., bahawa Rasulullah s.a.w, bersabda: "Anak Adam membesar dan turut membesar bersamanya dua perkara: Sayangkan harta dan inginkan panjang umurnya.
(Bukhari).
Dalam hadis ini Rasulullah menyatakan bahawa ada dua perkara yang tidak terpisah dari seseorang walaupun umurnya telah meningkat tua, iaitu suka mempunyai harta benda dan inginkan panjang umur. Sesungguhpun dua perkara itu dari tabiat semula jadi manusia, tetapi tiap-tiap seorang disuruh membendung kedua tabiat yang tersebut dengan mengingati bahawa harta dan panjang umur itu tidak menguntungkan kalau tidak disertakan dengan usaha membanyakkan amal ibadat dan menjauhkan diri dari segala maksiat.
140- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَزَالُ قَلْبُ الْكَبِيرِ شَابًّا فِي اثْنَتَيْنِ فِي حُبِّ الدُّنْيَا وَطُولِ الْأَمَلِ. (البخاري ومسلم)
140- Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi s.a.w., bersabda: "Hati orang tua sentiasa muda dalam dua keadaan. Dalam keadaan kasihkan dunia dan dalam keadaan panjang cita-cita."
(Bukhari dan Muslim)
Dalam hadis ini Rasulullah s.a.w., menyatakan bahawa ada lagi dua perkara yang merugikan manusia kalau tidak dijaga dan diawasinya, iaitu kasihkan dunia dan panjang cita-cita.
Dua perkara ini menjadikan seseorang yang telah tua, lalai daripada menyediakan bekalan untuk hari akhiratnya, pada hal yang sewajibnya makin ia beransur tua, makin ia membanyakkan amal baktinya, kerana ia tidak mungkin lagi kembali kepada kekuatan dan kecergasannya yang telah lalu.
No comments:
Post a Comment