Wednesday, June 11, 2008

Sedekah itu ibadat

Banyak Cara Untuk Bersedekah
Hadith :
Dari Abu Dzar r.a katanya:"Beberapa orang sahabat Nabi SAW pernah
berkata kepada beliau,:"Kaum hartawan memperolehi pahala yang lebih
banyak. Mereka solat seperti kami solat, puasa seperti kami puasa dan
bersedekah dengan sisa harta mereka." Jawab Rasulullah SAW:"Bukankah
Allah telah menjadikan berbagai macam cara untuk kamu bersedekah?
Setiap kalimah tasbih adalah sedekah; setiap kalimah takbir adalah
sedekah; setiap kalimah tahmid adalah sedekah; setiap kalimah tahlil
adalah sedekah; amar makruf dan nahi mungkar (menagajak kepada
kebaikan dan melarang kepada yang mungkar) adalah sedekah; bahkan pada
kemaluanmu pun terdapat pula unsur sedekah." Mereka bertanya:"Kalau
begitu, adakah kami mendapat pahala jika kami memuaskan nafsu syahwat
kami?" Jawab Rasulullah SAW " Jika kamu melakukannya dengan yang
haram, tentunya kamu berdosa. Sebaliknya jika kamu melakukannya dengan
yang halal, kamu mendapat pahala."


(al-Bukhari)



Huraian
1. Sedekah adalah sesuatu yang dapat menambahkan pahala seseorang
selain daripada amal ibadat atau kebajikan yang diwajibkan untuk
dilakukan.

2. Sedekah yang paling mudah adalah dengan menggunakan anggota badan
seperti senyum yang tidak memerlukan sebarang tenaga mahupun wang
ringgit. Begitu juga dengan berzikir kepada Allah yang hanya perlu
diucapkan dengan lidah atau hati. Malah setiap sesuatu yang dilakukan
dengan niat kerana Allah adalah dianggap sebagai sedekah.

3. Orang yang memiliki banyak kelebihan sama ada berupa harta benda,
kekayaan, ilmu dan sebagainya selayaknya menginfakkan nikmat Allah
tersebut untuk membantu mereka yang memerlukan. Dengan itu hubungan
antara anggota masyarakat menjadi lebih kukuh tanpa timbul perasaan
dengki dan iri hati antara satu sama lain.

4. Bersedekah adalah tanda bahawa seseorang itu mensyukuri nikmat yang
dikurniakan Allah. Sebaliknya orang yang bersifat kedekut adalah orang
yang tamak. Sedangkan Allah SWT sahaja yang memiliki segala sesuatu
dan Dia berhak merampas kembali nikmat tersebut pada bila-bila masa
yang dikehendaki-Nya. Oleh itu Islam mengatakan bahawa keberkatan
rezeki itu adalah bergantung kepada cara bagaimana seseorang
menyalurkan rezeki yang diperolehinya sama ada kepada kebaikan atau
keburukan.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Mala

No comments: