Tuesday, April 27, 2010

Tidak sempurna iman, sekiranya tergamak melakukan sesuatu yang terlarang

Selasa 27 April, 2010/ 12 Jamadilawal 1431

Hadis Ketujuh Belas

17- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَزْنِي الزَّانِي حِينَ يَزْنِي وَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلَا يَشْرَبُ الْخَمْرَ حِينَ يَشْرَبُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلَا يَسْرِقُ حِينَ يَسْرِقُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلَا يَنْتَهِبُ نُهْبَةً يَرْفَعُ النَّاسُ إِلَيْهِ فِيهَا أَبْصَارَهُمْ حِينَ يَنْتَهِبُهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ. (البخاري ومسلم)

17 - Dari Abu Hurairah, r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Seseorang yang hendak berzina, tidak akan melakukan zina itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya dan seseorang yang hendak meminum arak, tidak akan meminum arak itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya dan seseorang yang hendak mencuri, tidak akan melakukan perbuatan itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya dan seseorang yang melakukan rompakan yang lazimnya menjadikan orang yang dirompak itu memandang sahaja kepadanya, tidak akan merompak semasa ia berkeadaan sempurna imannya."

(Bukhari dan Muslim)

Hadis yang ketujuh belas ini menegaskan bahawa:

Orang yang tergamak melakukan sesuatu yang dilarang, tidak sempurna imannya.

Huraiannya:

Kebahagiaan hidup seseorang atau sesuatu bangsa adalah bergantung kepada pertalian keturunannya yang bersih serta berkekalan dan keselamatan akal fikirannya serta harta bendanya.

Untuk mencapai kebahagiaan hidup itu maka perbuatan zina yang menodai pertalian keturunan hendaklah dijauhi dan perbuatan meminum arak atau menghisap benda-benda yang merosakkan akal fikiran hendaklah disingkirkan, juga perbuatan curi dan rompak samun hendaklah dihapuskan.

Dengan wujudnya pertalian keturunan yang bersih dan berpanjangan itu wujudlah pula perasaan pertalian kaum kerabat dan kebangsaan yang dengan kekuatan dan pengaruhnya seseorang itu akan mendapat kekuatan untuk mencegah sebarang bahaya yang akan menimpanya dan wujudlah pula hubungan tolong-menolong dengan jalan pertalian kerabat dan semangat kebangsaan dalam segala urusan hidup, kerana biasanya seseorang itu apabila ditimpa sesuatu kesusahan yang menjadikan dia memerlukan bantuan, ia tidak mendapati bantuan itu melainkan dari orang-orang yang ada pertalian keturunan dengannya, maka dengan wujudnya pertalian keturunan dan kerabat yang suci dan sihat, eloklah keadaan segala lapisan masyarakat dan tenteramlah keadaan negara.

Demikian juga dengan terselamatnya akal fikiran dari sebarang perkara yang merosakkannya, dapatlah manusia menimbang dan mengenal mana yang baik dan mana yang buruk, mana yang hak dan mana yang batil dan dapatlah pula memikirkan soal-soal ketuhanan serta soal iman dan taqwa.

Demikian pula dengan terselamatnya harta benda yang menjadi asas kehidupan seseorang, akan dapatlah ia memajukan segala urusan dunia dan agama dengan sempurna.

Kebenaran hakikat ini diakui oleh ahli-ahli fikir yang bijak pandai, bahkan semua agama yang diturunkan oleh Allah Taala bertujuan menjaga perkara-perkara yang tersebut dari apa juga yang merosakkannya.

Malangnya perbuatan zina yang menodai pertalian keturunan, perbuatan meminum arak yang merosakkan akal fikiran, dan perbuatan curi rompak yang memusnahkan hak milik orang lain dengan tidak berperi kemanusiaan - dilakukan dengan bermaharajalela bukan sahaja oleh orang-orang yang jahil bahkan juga orang-orang yang terpelajar.

Berlakunya yang demikian adalah disebabkan ketiadaan atau kelemahan iman dan dengan itu mudahlah mereka dipengaruhi oleh runtunan hawa nafsu dan keadaan buruk yang disekelilingnya.

Untuk mencegah perbuatan-perbuatan yang durjana itu, tidak lain melainkan dengan jalan yang memelihara dan menghidupkan iman yang kukuh dan sempurna.

No comments: