Khamis 22 April 2010/7 Jamadilawal 1431
Hadis Kelapan
8- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ أَطَاعَنِي فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَمَنْ أَطَاعَ الْأَمِيرَ فَقَدْ أَطَاعَنِي وَمَنْ عَصَى الْأَمِيرَ فَقَدْ عَصَانِي. (البخاري ومسلم)
8 - Dan dari Abu Hurairah juga, dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang taat kepada ku maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah, dan sesiapa yang derhaka kepada ku maka sesungguhnya ia telah derhaka kepada Allah, dan (selain itu) sesiapa yang taat kepada ketua - pemerintah maka sesungguhnya ia telah taat kepada ku dan sesiapa yang derhaka kepada ketua - pemerintah maka sesungguhnya ia telah derhaka kepada ku .."
(Bukhari dan Muslim)
Hadis yang kelapan ini menyatakan bahawa:
Taat kepada Rasulullah s.a.w. dan taat kepada pemerintah bererti taat kepada Allah.
Huraiannya:
Sebagaimana yang diterangkan bahawa di antara pengertian-pengertian Islam ialah taat atau mematuhi hukum Allah. Oleh kerana hukum-hukum itu dibawa dan disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. dan dijalankan oleh pemerintah serta pemerintah-pemerintah itu pula mengadakan hukum-hukum dan peraturan yang tidak berlawanan dengannya, maka taat kepada Rasulullah s.a.w dan kepada pemerintah itu bererti taat yang membawa keredhaan Allah. Sebaliknya menderhaka kepada Rasul dan pemerintah yang bersifat demikian, bererti kederhakaan yang menyebabkan kemurkaan Allah.
Oleh itu, maka orang yang berakal siuman, sudah tentu berusaha menjauhi dirinya dan segala apa jua yang menyebabkan kemurkaan Allah, dan tidak ada jalan yang lain melainkan mematuhi ajaran-ajaran Islam.
No comments:
Post a Comment