Ahad, 21 Februari,2010/7 Rabiulawal, 1431
"... dan tidak berhimpun suatu kaum dalam sebuah rumah (masjid) dari rumah-rumah Allah, mereka membaca kitab Allah serta mempelajari kandungannya, melainkan mereka dilingkungi oleh malaikat (pembawa rahmat) dan turun ke atas mereka sakinah (ketenangan) serta mereka diliputi oleh limpahan rahmat (Allah), dan mereka juga dipuji oleh Allah Ta'ala dalam kalangan (malaikat-malaikat) yang ada di sisi-Nya..."
(Hadis Riwayat Muslim dan lain-lain)
BERIKTIKAF DI MASJID
Di antara amal-amal baik bagi memakmurkan masjid ialah beriktikaf di dalamnya. Beriktikaf di masjid ertinya duduk di masjid dalam suatu masa yang tertentu untuk mengerjakan amal bakti kepada Allah Subhanahu Wata'ala Dalam masa beriktikaf itu hendaklah diisi dengan mengerjakan sembahyang sunat, membaca A--Quran, berzikir ( tasbih, tahmid dan tahlil ), beristighfar, berselawat atas Nabi s.a.w., berdoa dan lain-lain lagi dari amal-amal bakti yang mendampingkan diri seseorang makhluk kepada Allah s.w.t. yang telah menciptanya dan mencipta sekalian alam serta mentadbirkannya.
Amalan beriktikaf itu telah disyariatkan oleh Allah Taala semenjak zaman nabi-nabi yang telah lalu sebagaimana yang diterangkan di dalam Al-Quran
Ertinya ;
Dan ingatlah ketika kami jadikan Baitullah ( Kaabah ) sebagai tempat manusia berulang alik ( tempat berziarah ) dengan aman dan sentosa. Sebab itu ambillah ( jadikanlah ) olehmu akan makam nabi Ibrahim itu sebagai tempat sembahyang. Dan kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan ismail supaya kedua-duanya membersihkan rumahku ( kaabah ) untuk orang-orang yang tawaf dan untuk orang-orang yang iktikaf, juga untuk orang-orang yang ruku dan sujud ( surah Al-Baqarah : 125 )
Hukum beriktikaf di masjid ialah Sunat Muakkad pada tiap-tiap waktu dan lebih afdhal lagi pada 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan untuk menunggu malam lailatul Qadar, tetapi jika seseorang itu bernazar untuk beriktikaf di masjid dalam satu-satu masa yang tertentu maka hukumnya adalah wajib.
Siti Aishah Radiallahu Anha ada berkata ,
Ertinya ,
Adalah Nabi Muhammad s.a.w. apabila hendak beriktikaf, baginda sembahyang subuh ( pada waktu fajar ) kemudian baginda masuk beriktikaf di tempatnya yang khas di dalam masjid. Diterangkan lagi dalam sebuah hadis yang lain ;
Ertinya ;
Bahawa Nabi Muhammad s.a.w. biasanya beriktikaf pada 10 hari yang akhir dari bulan Ramadhan sehingga diwafatkan oleh Allah azawajalla, kemudian ( amalan iktikaf itu ) diteruskan oleh isteri-isteri baginda sesudah itu.
No comments:
Post a Comment