82- Dari Umar al-Khattab r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tidak binasa sesuatu harta benda, sama ada di darat atau di laut, melainkan disebabkan harta itu tidak dikeluarkan zakatnya."(1)
(Hadith Gharib - Riwayat Tabrani)
Selain daripada yang disebutkan itu, kisah Tha'labah yang berlaku dalam zaman yang lalu menjelaskan lagi setakat mana buruknya bencana di dunia yang akan menimpa orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat
Menurut riwayatnya(2): Tha'labah ialah seorang penduduk Madinah yang hidup dalam zaman Rasulullah s.a.w.
Pada suatu hari, Tha'labah merayu, supaya Baginda mendoakan baginya semoga Allah Ta'ala memberinya harta kekayaan sehingga ia senang dan mewah.
Mendengar permintaannya itu, Baginda menyuruhnya bersyukur dengan apa yang ada, kerana mungkin ia akan menyeleweng dan lupa daratan setelah ia menjadi kaya raya.
Tha'labah merayu lagi kepada Baginda sambil bersumpah, bahawa ia akan mengeluarkan sebahagian dan hartanya untuk membantu fakir miskin dan orang-orang yang berhak mendapat bantuan.
Akhirnya Baginda berdoa ke hadrat Ilahi semoga Tha'labah diberi kemewahan sehingga ia menjadi seorang hartawan.
Tha'labah pun membela kambing, lalu kembang biaklah kambingnya itu sehingga ia terpaksa berpindah ke sebuah wadi (tanah lembah) di luar bandar Madinah.
Semenjak itu, Tha'labah yang biasanya mengerjakan sembahyang lima waktu dengan berjamaah bersama Baginda, hanya sempat mengerjakan dua waktu sahaja - Zuhur dan Asar.
Kemudian kambingnya bertambah biak lagi dan ia pula berpindah ke tempat yang terpencil jauh sehingga dia tidak dapat mengerjakan sembahyang yang lima dengan berjamaah bersama-sama Baginda kecuali sembahyang Jumaat dan akhimya sembahyang Jumaat juga ditinggalkan.
Oleh kerana Tha'labah telah lama tidak kelihatan, lalu Baginda bertanya khabar beritanya. Setelah diketahui beritanya, murkalah Baginda sambil menyebut berulang-ulang akan akibat buruk yang akan menimpa Tha'labah.
Kebetulan pada ketika itu turun perintah Allah Taala mengenai zakat, lalu baginda mengutuskan dua orang pegawainya memungut zakat dengan membawa surat Baginda yang menerangkan jenis-jenis harta benda yang diwajibkan zakatnya. Mereka juga diperintahkan supaya singgah ke tempat Tha'labah mengambil zakat binatang ternaknya dan mengambil zakat dari seorang lagi yang tinggal tidak jauh dari situ. Orang itu dikenal dengan nama "Al-Salmi".(3)
Setibanya mereka ke tempat Tha'labah dan setelah mereka mengenalkan diri sebagai pemungut zakat dan membacakan surat Baginda kepadanya. Tha'labah berbuat-buat tak faham sambil merungut dengan mengatakan bahawa zakat yang dikenakan itu sama sahaja dengan cukai kepala jizyah), kemudian Tha'labah meminta mereka datang sekali lagi ke tempatnya sekembalinya mereka dari tempat lain.
Lain pula halnya al-Salmi. Sebaik-baik sahaja ia mendengar kedatangan utusan Rasulullah s.a.w., segeralah ia memilih dan mengasingkan beberapa ekor binatang ternakan yang gemuk-gemuk untuk dijadikan zakat lalu diserahkannya kepada mereka.
Melihatkan kejujurannya yang demikian, mereka menerangkan kepadanya bahawa ia tidak diwajibkan memilih binatang ternaknya yang gemuk-gemuk untuk dijadikan zakat, (tetapi cukuplah yang sederhana keadaannya - asalkan tidak sakit atau cacat) dan kerana itu mereka keberatan hendak menerimanya.
Tetapi al-Salmi mendesak mereka mengambilnya sambil berkata: Bahawa ia sengaja memilih hartanya yang sebaik-baiknya dan memberikannya dengan sukarela dan ikhlas.
Mereka pun mengambilnya dan meneruskan perjalanan memungut zakat ke tempat lain sebagaimana yang ditugaskan dan sekembalinya mereka singgah sekali lagi untuk memungut zakat dari Tha'labah.
Tha'labah masih juga berdalih dan akhirnya dia meminta mereka pergi kerana dia hendak berfikir dahulu.
Kembalilah mereka ke Madinah membawa zakat yang telah dipungut dan juga membawa berita Tha'labah yang enggan membayar zakatnya.
Sebaik-baik sahaja Rasulullah s.a.w melihat ketibaan 'amil-'amilnya itu dan sebelum Baginda bertanya mereka, kedengaran Baginda menyebut bahawa Tha'labah akan menerima balasan yang seburuk-buruknya. Sebaliknya Baginda berdoa: Semoga al-Salmi (dan pembayar-pembayar zakat yang lain) diberkati Allah dan dimewahkan rezekinya.
______________________________
1. Kitab yang sama (1:542).
2. Sebagaimana yang terkandung dalam hadith riwayat Tabrani dan lain-lainnya. (Tafsir al-Alusi, 10:127). Dan (Tafsir al-Zamakhsyari, 2:292) dan juga dihuraikan oleh Fadhilah al-Syeikh Abdullah bin Muhammad bin Hamid, Mekah Al-Mukarramah, dalam tulisannya: Al-Zakat, Faridhah al-Takaful al-Ijtima`i.
3. Tidak diterangkan namanya sebenar, tetapi kerana ia dari suku Arab, 'Bani Salim' ia disebut dengan panggilan: 'Al-Salmi'.
No comments:
Post a Comment