Thursday, January 21, 2010

Puasa Sunat Hari Isnin dan Khamis

Khamis, 21 Januari 2010/ 5 Safar 1431

Puasa Hari Isnin dan Khamis.


Disunatkan juga berpuasa pada tiap-tiap hari Isnin dan Khamis, kerana Rasulullah s.a.w. mengambil berat puasa pada kedua-dua hari yang tersebut.

Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:

54- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تُعْرَضُ الْأَعْمَالُ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالْخَمِيسِ فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ. (رواه الترمذي)

54- Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Segala amal dibentangkan (oleh malaikat ke hadrat Allah Rabb al-'Alamin) pada tiap-tiap hari Isnin dan hari Khamis, oleh itu aku suka amalku dibentangkan semasa aku sedang berpuasa. "(1)

(Hadith Hasan Gharib - Riwayat Tirmizi)


Menurut Imam Nawawi, rahimahullah: Hadith ini juga diriwayatkan oleh Imam Muslim dengan tidak menyebutkan tentang puasa. (2)

Dengan ini dapat difaham bahawa hadith riwayat Muslim itu hanya menerangkan keistimewaan hari Isnin dan hari Khamis, manakala hadith riwayat Tirmizi yang lalu menerangkan; Baginda berpuasa pada kedua-dua hari itu ialah disebabkan keistimewannya yang tersebut.

__________________________


1. Tuhfat al-Ahwazi (3:450).

2. Riyad al-Salihin (hlm. 454).



Keistimewaan Hari Isnin Secara Khusus

Hari Isnin pula mempunyai keistimewaan yang lain. Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:


55- عَنْ أَبِي قَتَادَةَ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُئِلَ عَنْ صَوْمِ يَوْمِ الِاثْنَيْنِ قَالَ ذَاكَ يَوْمٌ وُلِدْتُ فِيهِ وَيَوْمٌ بُعِثْتُ أَوْ أُنْزِلَ عَلَيَّ فِيهِ. (رواه مسلم)


55- Dari Abu Qatadah al-Ansari r.a., bahawa Rasulullah s.a.w telah ditanya tentang puasa hari Isnin.

Baginda menjawab: "Hari itu (hari yang bersejarah, kerana) padanya aku dilahirkan dan padanya aku diutus menjadi Rasul - atau pada hari itulah (mula-mula) diturunkan al-Qur'an kepada aku."(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)



Daripada hadith ini dapat difaham dengan jelas, bahawa sebabnya Rasulullah s.a.w. mengambil berat berpuasa pada tiap-tiap hari Isnin ialah sebagai bersyukur kepada Allah s.w.t kerana pada hari inilah Baginda diputerakan (hari maulidnya) dan pada hari inilah juga al-Qur'an mula-mula diturunkan serta Baginda diutuskan menjadi Rasulullah sebagai rahmat bagi seluruh alam.



Hakikat inilah yang menjadikan umat Islam turun temurun, menyambut "Hari Maulid al-Rasul" dan "Malam Nuzul al-Qur'an" dengan penuh kesyukuran.

_________________________

No comments: