Tuesday, January 5, 2010

Selasa,5 DISEMBER, 2010/ 19 Muharram, 1431

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ مَاتَ يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا دَخَلَ النَّارَ. ( البخاري ومسلم )

5- Dari Abdullah bin Mas'ud r.a., katanya: Rasulullah s.a.w, bersabda: "Sesiapa mati dalam keadaan melakukan sebarang syirik terhadap Allah, masuklah dia ke dalam neraka. "

(Bukhari dan Muslim)

Hadis yang kelima ini. menerangkan:


Akibat buruk yang akan menimpa orang yang melakukan syirik.


Huraiannya

Syirik ialah mempersekutukan sesuatu dengan Allah Taala pada sifat "Uluhiyah"Nya atau sifat "Rububiyyah"Nya.

Sifat "Uluhiyah" Allah `Azza wa Jalla ialah sifatNya berhak disembah, dicintai, dipatuhi perintahNya, ditumpui dan dipohonkan untuk mendapat segala kebaikan dan menolak sebarang mala petaka dan perkara-perkara yang tidak diingini.

Sifat "Rububiyyah"Nya pula ialah sifat mentadbir dan menguruskan cara menjaga dan memelihara, mengasuh dan mendidik sekalian alam yang telah diciptakan-Nya, iaitu dengan mengadakan segala keperluan yang dihajati oleh wujud tiap-tiap satunya, mengatur dan menyusun undang-undang dan peraturan bagi kesuburan, perkembangan dan kesempurnaan masing-masing, serta menyatakan dan menunjukkan hukum-hukum halal haram dan sah batal untuk kebaikan jasmani dan kebahagiaan rohani manusia.

Maka sesiapa yang menganggap bahawa mana-mana satu dari sifat-sifat itu ada pada sesuatu yang lain daripada Allah Taala nescaya ia telah melakukan syirik dengan Allah, walaupun ia pada masa itu masih beriman kepada Allah. Tentang ini Allah Taala berfirman dalam Surah Yusof, ayat 106. maksudnya: Meskipun kebanyakan mereka beriman kepada Allah dalam pada itu mereka tidak sunyi dari perbuatan syirik.

Dengan itu nyatalah amat buruknya seseorang mendewa-dewakan sebarang makhluk dengan mengasihinya dan menurut perintahnya sebagaimana ia mencintai dan mentaati Allah, atau meminta dan mengharapkan hasil sesuatu hajat dari sesuatu makhluk atau dengan sesuatu cara, kecuali setelah diketahui bahawa makhluk atau cara yang tersebut diharuskan oleh Allah bagi seseorang menggunakannya sebagai jalan, sebab, atau alat untuk menjayakan maksudnya.

Demikian juga amatlah salahnya menerima sebarang undang-undang dan peraturan, atau hukum-hakam yang diadakan oleh yang lain daripada Allah, kecuali sekadar yang berdasarkan aturan, kenyataan, atau pengajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Kesimpulan hadis ini, mengingatkan manusia daripada terjerumus ke dalam sebarang i'tiqad atau perbuatan syirik supaya terselamat daripada balasan buruk yang dijanjikan.




6- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ قَالَ الشِّرْكُ بِاللَّهِ ... . ( البخاري ومسلم )

6- Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Jauhkan dan singkirkanlah perkara-perkara yang membinasakan. " Sahabat-sahabat Baginda bertanya: "Apakah dia perkara-perkara itu ya Rasulullah? " Baginda s.a.w. menjawab: "(Salah satu yang terbesar di antaranya) ialah melakukan syirik terhadap Allah .

(Bukhari dan Muslim)

Hadis yang keenam ini memerintahkan supaya:


Menjauhi syirik dalam segala bentuknya.


Setelah kita mengetahui setakat mana buruknya akibat syirik, maka dengan ini kita diperintahkan supaya menjauhi dan menyingkirkan segala jenis syirik terhadap Allah, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi.

Syirik yang besar atau yang nyata itu ialah: mempercayai adanya sesuatu yang setara dan sebanding dengan Allah s.w.t., yang ditujukan kepadanya doa permohonan, yang diuntukkan kepadanya satu-satu cara ibadat, dan yang ditakuti bala bencananya.

Dengan adanya syirik yang demikian, maka akidah Tauhid orang yang melakukannya telah berbelah bagi, dan orang Musyrik inilah yang dijanjikan Allah dengan neraka.

Syirik yang kecil atau yang tersembunyi itu pula ialah kepercayaan perkataan atau perbuatan yang menyebabkan berlakunya syirik terhadap kekuasaan atau undang-undang peraturan Allah.

Syirik yang tersembunyi itu amat banyak, di antaranya:

(1) Mempercayai sesuatu yang menjadi sebab itu dengan keadaan hakikatnya memberi kesan baik atau buruk.

(2) Menaruh perasaan takut dan gerun kepada kekuatan sesuatu yang lain dari Allah.

(3) Menumpukan harapan kepada sesuatu yang lain dari Allah.

(4) Bersumpah dengan sebarang sebutan yang lain daripada menyebut nama atau sifat Allah.

(5) Mengatakan: Kalaulah tidak kerana pertolongan Allah dan pertolongan Si anu, tentulah aku tidak berjaya.

(6) Mengatakan: Kalaulah tidak kerana ayam berkokok, polis meronda atau sebagainya, tentulah rumahku dimasuki pencuri.

(7) Melakukan sesuatu ibadat, atau daya usaha pengorbanan, atau perjuangan bukan kerana menjunjung perintah Allah semata-mata, tetapi juga untuk tujuan-tujuan yang lain.




7- عَنْ مَحْمُودِ بْنِ لَبِيدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ قَالُوا وَمَا الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الرِّيَاءُ يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِذَا جُزِيَ النَّاسُ بِأَعْمَالِهِمْ اذْهَبُوا إِلَى الَّذِينَ كُنْتُمْ تُرَاءُونَ فِي الدُّنْيَا فَانْظُرُوا هَلْ تَجِدُونَ عِنْدَهُمْ جَزَاءً. ( الإمام أحمد )

7- Dari Mahmud bin Labid r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya perkara yang sangat-sangat aku takuti akibat buruknya menimpakamu ialah syirik yang kecil." Sahabat-sahabat Baginda bertanya: "Apa dia syirik yang kecil itu ya Rasulullah? " Baginda s.a.w., menjawab: "(Syirik yang kecil itu) ialah ria' - Allah Taala akan berfirman pada hari Qiamat apabila manusia datang dengan amal masing-masing "Pergilah kepada mereka yang kamu melakukan ria' di dunia dahulu (untuk menunjukkan kepada mereka), kemudian lihatlah, adakah kamu akan dapati sebarang balasan di sisi mereka?"

(Imam Ahmad)

8- عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُما، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ حَلَفَ بِغَيْرِ اللَّهِ فَقَدْ أَشْرَكَ. ( الترمذي )

8- Dari Ibn Umar, r.a., katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesiapa bersumpah dengan sebarang sebutan yang lain daripada nama atau sifat Allah maka sesungguhnya ia telah melakukan syirik terhadap Allah. "

(Tirmizi)

9- عَنْ ابْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الرُّقَى وَالتَّمَائِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ. ( أبو داود والإمام أحمد)

9- Dari Ibn Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w., bersabda: "Sesungguhnya tawar jampi, tangkal azimat, ilmu guna-guna (ilmu pengasih untuk menambatkan hati suami kepada isterinya atau hati isteri kepada suaminya) adalah syirik"

( Abu Daud dan Imam Ahmad)

Hadis yang kesembilan ini menunjukkan bahawa tiga perkara yang tersebut adalah dari perkara-perkara syirik kecil atau syirik yang tersembunyi yang wajib dijauhi oleh tiap-tiap seorang. Tetapi bukanlah semua jenis ketiga-tiga perkara itu dikira syirik, malah setengah jenisnya sahaja, iaitu yang mengandungi perkataan yang tidak difaham, kerana boleh jadi termasuk perkara sihir, syirik atau lain-lainnya yang dilarang oleh hukum syarak sebagaimana yang dilakukan oleh kaum jahiliah

Adapun yang mengandungi ayat-ayat al-Qur'an atau zikrullah, maka yang demikian tidak dilarang.

Pendeknya, tawar jampi, tangkal azimat dan ilmu pengasih adalah haram kiranya mengandungi perkataan yang tidak difaham maknanya, atau yang berdasarkan sihir, atau yang memuja hantu syaitan dan jin iblis, atau yang mengandungi benda-benda najis atau kotor.

Adapun yang menggunakan kalam Allah, nama-Nya atau sifat-sifat-Nya atau zikrullah, maka yang demikian tidaklah salah.

Dengan penjelasan ini, selesailah perselisihan yang nampak pada zahirnya berlaku di antara dalil-dalil yang melarang dan dalil-dalil yang membenarkan perkara-perkara yang tersebut.

Kesimpulannya, bagi menyelamatkan seseorang daripada syirik yang tersembunyi ini hendaklah:

(1) Jangan menggunakan sesuatu benda, atau perkataan, ataupun sesuatu cara sebagai sebab bagi mendapat kebaikan atau menolak perkara-perkara yang tidak diingini, kecuali setelah diketahui bahawa sesuatu itu telah berlaku adat Tuhan menjadikannya sebab bagi musabab yang tertentu, serta diketahui pula bahawa menggunakan sesuatu itu tidak dilarang oleh hukum Allah.

(2) Jangan i'tiqadkan sesuatu sebab itu dengan keadaan hakikatnya memberi kesan menghasilkan musababnya, bahkan memberi kesannya itu bergantung kepada takdir dan izin Allah Yang Maha Kuasa.

(3) Jangan melakukan sesuatu amal ibadat dengan tujuan mendapat penghargaan atau balasan daripada yang lain dari Allah Azza wa Jalla

Perkara : Baginda S.A.W. Menjadi Tumpuan Pertanyaan Sahabat Sahabatnya

No comments: