Monday, May 26, 2008

Apa itu sedekah?

Firman Allah Taala:

وَأَنْفِقُوا مِنْ مَا رَزَقْنَاكُمْ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَا أَخَّرْتَنِي إِلَى أَجَلٍ قَرِيبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُنْ مِنَ الصَّالِحِينَ(10)


"Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku alangkah baiknya kalau engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang yang soleh. "(1)



Selain daripada "sedekah wajib" (zakat harta, zakat fitrah dan lain-lainnya), umat Islam umumnya digalakkan memberi "sedekah sunat" (pelbagai jenis derma dan khairat) sebagai bersyukur akan segala nikmat yang dikurniakan Allah kepada kita terutama "nikmat Islam".




Kelebihan Bersedekah Menurut Keterangan al-Qur'an:


Kelebihan bersedekah secara umum digambarkan dengan indahnya di dalam al-Qur'an. Banyak sekali ayat-ayat suci yang menerangkan. Di antaranya seperti berikut:



مَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِائَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ.


"Bandingan (pemberian) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, sama seperti sebiji benih yang tumbuh mengeluarkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melimpat-gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya."(2)



Jelasnya, orang-orang yang bermurah hati membelanjakan hartanya pada jalan Allah - meliputi segala jenis kebajikan umum akan dibalas oleh Allah Taala dengan pahala tujuh ratus kali ganda, asalkan sedekah atau derma dan khairat itu diberikan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata.



______________________________



1. Ayat 10, Surah al-Munafiqun.


2. Ayat 261, Surah al-Baqarah.




Di dalam hadith pula diterangkan seperti berikut:




117- عَنْ الْمُنْذِرِ بْنِ جَرِيرٍ عَنْ أَبِيهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ كُنَّا عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي صَدْرِ النَّهَارِ قَالَ فَجَاءَهُ قَوْمٌ حُفَاةٌ عُرَاةٌ … فَتَمَعَّرَ وَجْهُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِمَا رَأَى بِهِمْ مِنْ الْفَاقَةِ فَدَخَلَ ثُمَّ خَرَجَ فَأَمَرَ بِلَالًا فَأَذَّنَ وَأَقَامَ فَصَلَّى ثُمَّ خَطَبَ فَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ إِلَى آخِرِ الْآيَةِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا وَالْآيَةَ الَّتِي فِي الْحَشْرِ اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ تَصَدَّقَ رَجُلٌ مِنْ دِينَارِهِ مِنْ دِرْهَمِهِ مِنْ ثَوْبِهِ مِنْ صَاعِ بُرِّهِ مِنْ صَاعِ تَمْرِهِ حَتَّى قَالَ وَلَوْ بِشِقِّ تَمْرَةٍ قَالَ فَجَاءَ رَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ بِصُرَّةٍ كَادَتْ كَفُّهُ تَعْجِزُ عَنْهَا بَلْ قَدْ عَجَزَتْ قَالَ ثُمَّ تَتَابَعَ النَّاسُ حَتَّى رَأَيْتُ كَوْمَيْنِ مِنْ طَعَامٍ وَثِيَابٍ حَتَّى رَأَيْتُ وَجْهَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَهَلَّلُ كَأَنَّهُ مُذْهَبَةٌ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً كَانَ عَلَيْهِ وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا مِنْ بَعْدِهِ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ. (رواه مسلم)


117- Dari al-Mundzir bin Jarir, dari bapanya r.a., katanya: "Semasa kami sedang duduk di sisi Rasulullah s.a.w. pada waktu tengah hari (di Masjid Nabi di Madinah), tiba-tiba datang satu rombongan (dari kaum Arab, suku Mudhar yang sangat-sangat miskin) dengan berkaki ayam dan berpakaian compang-camping ..; berubahlah air muka Rasulullah s.a.w. kerana melihatkan penderitaan mereka. Lalu Baginda masuk (kerumahnya - yang terletak di tepi Masjid) kemudian keluar semula, lalu menyuruh Bilal azan. Bilal pun azan dan iqamat, lalu Baginda (bersama-sama sidang jamaah) mengerjakan sembahyang (Zuhur). Selepas sembahyang, Baginda (bangun) berucap (menggalakkan umatnya bersedekah kepada orang-orang yang memerlukan bantuan). Baginda memulakan ucapannya dengan ayat al-Qur'an.(1)


Maksudnya:


"Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) .." hingga akhir ayat.


Dan membacakan lagi sebahagian dari (ayat 18), Surah al-Hasyr yang maksudnya: "(Wahai orang-orang yang beriman), bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan dari (amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat) .."


(Rawi hadith ini berkata: Mereka pun bersedekah), ada yang memberi dari wang dinarnya, dari wang dirhamnya, dari pakaiannya, dari segantang gandumnya, dari segantang buah kurmanya, sehingga Baginda bersabda: (Bersedekahlah) walau dengan setengah biji buah kurma sekalipun".


Katanya lagi: "Tiba-tiba datang seorang lelaki dari kaum Ansar membawa satu bungkusan besar dan berat, hampir-hampir tapak tangannya lemah menatangnya, bahkan tidak dapat menatangnya".


" .. setelah itu, orang ramai pun datang berduyun-duyun (membawa sedekah, masing-masing menurut kemampuannya), sehingga aku melihat bertimbun dua longgok dari makanan dan pakaian. Pada saat itu aku melihat wajah Rasulullah s.a.w. berseri-seri seperti benda indah yang keemasan (kerana gembira) lalu Baginda s.a.w. bersabda: "Barang siapa membuat satu rancangan yang baik dalam Islam maka ia akan mendapat pahala rancangannya itu dan pahala orang-orang yang mengerjakannya sesudah ia memulakannya, dengan tidak mengurangkan pahala orang-orang yang mengerjakannya sedikit pun.


"Dan barang siapa membuat satu rancangan yang jahat dalam Islam maka ia akan menanggung dosanya dan dosa orang-orang yang melakukannya sesudah ia melakukannya, dengan tidak mengurangkan dosa orang-orang yang melakukannya sedikitpun."(2)


(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)


Hadith yang panjang lebar ini menerangkan beberapa perkara yang menjadi contoh ikutan.


Pertama: Setelah Rasulullah s.a.w. mengumpulkan orang ramai dengan tujuan meminta mereka membantu orang-orang yang memerlukan bantuan, Baginda memulakan ucapannya dengan ayat-ayat al-Qur'an yang ada hubungannya dengan maudhu' yang hendak diterangkannya, lalu Baginda membacakan ayat yang pertama dari surah al-Nisa', kerana kandungan ayat itu menarik perhatian pendengarnya dari segi "kemanusiaan" dengan menegaskan bahawa umat manusia semuanya dijadikan oleh Allah Taala berasal dari "diri yang satu" iaitu Adam a.s.


Tujuan Baginda membacakan ayat ini, kerana hendak mengingatkan bahawa umat manusia semuanya adalah bersaudara dan kerana itu hendaklah golongan yang mampu menolong golongan yang menderita.


Kemudian Baginda membacakan ayat yang ke-18, dari surah al-Hasyr, kerana kandungan ayat itu menarik perhatian pendengarnya dari segi "iman dan taqwa" dan mengajak mereka memikirkan setakat mana amal bakti yang mereka sediakan untuk kebaikan mereka pada hari akhirat kelak.


Tujuan Baginda membacakan ayat ini - dapat difaham dengan jelas, kerana hendak mengingatkan bahawa iman seseorang hendaklah dibukukan dengan amal yang soleh dan antara amal-amal yang soleh itu ialah menolong orang-orang yang memerlukan bantuan.


Kedua: Mengajar, malah memberi perangsang dan menggalakkan umatnya supaya masing-masing sentiasa bermurah hati dan bersifat dermawan terhadap orang-orang yang terdesak hidupnya, sama ada pemberian ini berupa wang ringgit atau makanan atau pakaian (atau apa jua yang dapat menolong), kerana semuanya itu berpahala belaka.


Malah Baginda pernah menegaskan: "Bersedekahlah walau dengan setengah biji buah karma sekalipun."


Hakikat ini dijelaskan oleh Allah Taala di dalam al-Qur'an, maksudnya:


" .. barangsiapa berbuat kebajikan seberat zarah (seberat sebutir debu), nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)".


"Dan barang siapa berbuat kejahatan seberat zarah nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)."(3)


Ketiga: Menyatakan kegembiraan Baginda melihatkan orang-orang yang bermurah hati bersedekah kepada orang-orang fakir miskin yang menderita yang datang mengadu hal kepada Baginda pada hari ini, sambil Baginda memuji secara khusus kepada orang yang mula-mula sekali membawakan satu bungkusan besar sebagai derma baktinya, lalu Baginda menegaskan: " مَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً " seperti yang disebutkan pada bahagian yang lalu berserta dengan terjemahannya.


Yakni barangsiapa menjadi pelopor (yang memulakan) satu rancangan yang baik (sunat hasanah) dalam Islam sama ada rancangan itu bertujuan menegakkan syiar Islam(4) - atau memperkukuh ekonomi masyarakat Islam(5) dan sebagainya - maka perancangnya akan mendapat pahala terus menerus selagi rancangannya itu berjalan diamalkan oleh orang-orang yang ada pada zamannya dan yang datang kemudian, dengan tidak mengurangkan pahala orang-orang yang mengerjakannya sedikit pun.


Sebaliknya Baginda mengingatkan:


" وَمَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً "


seperti yang disebutkan pada akhir hadith ini beserta dengan terjemahannya.


Yakni barang siapa menjadi pelopor (yang memulakan) satu rancangan jahat (sunat saiyi'ah) dalam Islam yang sudah tentu merosakkan dan dimurkai Allah - maka perancangnya ini akan menanggung dosanya terus menerus selagi rancangannya itu di lakukan oleh orang-orang yang ada pada zamannya dan yang datang kemudian, dengan tidak mengurangkan dosa orang-orang yang melakukannya sedikit pun.(6)


______________________________


1. Ayat pertama, surah al-Nisa'.


2. Sahih Muslim - bi Syarah al-Nawawi (7:102).


3. Ayat 7 dan 8, Surah al-Zalzalah (surah yang ke-99). Kandungan ayat 7 menggalakkan kita supaya jangan meninggalkan amal-amal yang baik sekalipun sedikit. Manakala ayat 8 pula mengingatkan kita supaya menjauhi sebarang maksiat walau yang sekecil-kecilnya.


4. Misalnya (sambutan maulid nabi) yang diisi dengan syarahan agama dan (ujian membaca al-Qur'an) yang sekarang menjadi ikutan - negara-negara Islam yang lain.


5. Misalnya rancangan (tabung haji) dan rancangan-rancangan yang sama tujuannya.


6. Menurut huraian al-Imam al-Nawawi rahimahullah Taala, hadith


" مَنْ سَنَّ فِي اْلإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً "


ini mengkhaskan (menentukan pengertian) hadith (yang am) yang berbunyi


" كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ، وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ "



(tiap-tiap perkara baharu - yang diada-adakan dalam Islam adalah bid'ah dan tlap-tlap bid'ah itu sesat) dan bahawa maksud: "perkara-perkara baharu" ialah perkara-perkara baharu yang salah, manakala "bid'ah" yang dimaksudkan itu ialah bid'ah yang tercela (bid'ah mazmumah).



Kata Imam Nawawi lagi: Telah pun diterangkan pada bahagian yang lalu, bahawa perkara-perkara bid'ah itu terbahagi lima: Bid'ah wajib, bid'ah sunat, bid'ah haram, bid'ah makruh dan bid'ah harus (bid'ah mubahah). Sahih Muslim - bi Syarh al-Nawawi (7:104).


Kelebihan bersedekah diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:



118- عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَيُّمَا مُسْلِمٍ كَسَا مُسْلِمًا ثَوْبًا عَلَى عُرْيٍ كَسَاهُ اللَّهُ مِنْ خُضْرِ الْجَنَّةِ وَأَيُّمَا مُسْلِمٍ أَطْعَمَ مُسْلِمًا عَلَى جُوعٍ أَطْعَمَهُ اللَّهُ مِنْ ثِمَارِ الْجَنَّةِ وَأَيُّمَا مُسْلِمٍ سَقَى مُسْلِمًا عَلَى ظَمَإٍ سَقَاهُ اللَّهُ مِنْ الرَّحِيقِ الْمَخْتُومِ. (رواه أبو داود)

118- Dari Abu Said r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: "Mana-mana orang Islam yang memberi pakaian kepada seorang Islam yang sedang terdedah anggotanya yang sepatutnya tertutup, Allah akan memakaikan penderma itu dengan pakaian (penduduk) syurga yang (serba indah dan) berwarna hijau. Demikian juga mana-mana orang Islam yang memberi makan kepada seorang Islam yang sedang lapar, Allah akan memberi makan kepada penderma itu dari buah-buahan syurga. Demikian juga mana-mana orang Islam yang memberi minum kepada seorang Islam yang sedang dahaga, Allah akan memberi minum kepada penderma itu dengan sejenis minuman syurga yang (serba lazat dan) termeterai bekasnya."(1)


(Riwayat Abu Daud)


Hadith ini selain daripada menerangkan secara khusus tentang balasan yang sebaik-baiknya yang akan didapati oleh orang-orang yang bersedekah kepada golongan fakir miskin yang menderita, diterangkan pula - sebagai menambahkan pengetahuan - bahawa pakaian penduduk syurga yang serba indah itu ialah berwarna hijau.


Keistimewaan warna hijau ini ditegaskan juga di dalam al-Qur'an. Dalam beberapa ayat diterangkan bahawa penduduk syurga pada hari akhirat kelak bukan sahaja dihiasi dengan pakaian dan kain sutera yang berwarna hijau, (2) bahkan bantal-bantal dan cadar yang disediakan untuk mereka di sana, juga berwarna hijau.(3)


Warna putih juga mempunyai keistimewaan dalam Islam. Dalam sebuah hadith sahih(4) - diterangkan bahawa sebaik-baik pakaian ialah yang berwarna putih (yang melambangkan kebersihan dan kesucian).


______________________________



1. 'Aun al-Ma`bud (5:96). Meskipun salah seorang di antara rawi-rawi hadith ini dilemahkan oleh setengah ahli hadith tetapi setengahnya yang lain menguatkannya.


2. Ayat 31, Surah al-Kahfi dan 21, Surah al-Insan (al-Dahr).


3. Ayat 76, Surah al-Rahman.


4. Bulugh al-Maram (116) dan Ibanat al-Ahkam (2:213).


Page First Previous Next Last of 16

Mengapa kahwin/Nikah (Siri 2)

Nikah /kahwin itu adalah perhubungan di antara lelaki dan perempuan, yang bertujuan mengawal keluhuran peribadi, keselamatan keluarga, masyarakat dan keamanan Negara.
Keinginin untuk berpasangan ini bermula apabila seorang itu baligh dan keinghinannya meningkat selepas merasa bebas dari halangan seperti belajar dan mempunyai jaminan untuk mendapat kerja bagi menafkah bakal isterinya nanti. Masalah akan timbul apabila keinginan berkahwin ini memerlukan perbelanjaan yang agak besar bagi menampung kos perbelanjaan seperti penghantaran belanja, kenduri dan persediaan bagi mendirikan rumahtangga yang memerlukan rumah/ tempat tinggal sendiri sebaik sahaja selesai urusan kenduri ynag dilangsungkan.

Apabila seorang lelaki itu telah menegnali seorang jodoh perempauannya, urusan melamar dan peminangan dilaksanakan olehpihak ibubapa dan keluarag lelaki bagi mendapatkan persetujuan pahak perempuan dan nmenentukan perkara-perkara yang berkaitan melangsungkan perkahwinan tersebut seperti hantaran belanja, tarikh perkahwinan dan adat-adat kebiasaan yang perlu diikuti mengikut daerah atau tempat masing-masing.

Apabila sepasang lelaki dan perempuan telah diijab kabulkan halal dh sahlah persetubuhan antara keduanya. Seseorang itu sangat memerlukan ketenteraman jiwa, yang hanya dapat diperolehi melalui keluarga yang sihat dalam segi jasmani dan rohani serta bersama-sama menjaga rumahtangga dan anak-anak yang dilahirkan. Allah swt menjadikan perkahwinan sebagai pengurniaan serta nikmat yang besar terhadap hambanya.

Pada asalnya nikah atau perkahwinan itu sunat hukumnya, bagi orang-orang ynag sudah berhajat untuk nikah dan menjadi wajib hukumya apabila seseorang itu khuatir akan berzina dan apabila ia telah memperoleh pula belanja untuk menlangsungkan perkahwinan itu . Sebab nikah-kahwin ini adalah termasuk sunah Nabi saw.

Keluarga sebagai sebuah institusi sosial akan melahirkan masyarakat sama ada anggotanya sejahtera serta mematuhi perintah dan kehendak Allah swt. Oleh itu agama Islam telah menetapkan peraturan bermula dengan pemilihan pasangan sehinggalah cara-cara menyelesaikan masalah-masah yang timbul dalam keluarga.

Firman Allah dalam surah Ar Rum:21, yang bermaksud:

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir".

Melalui perkahwinan seseorang lelaki itu akan dapat mengelakkan terjatuhnya ke dalam lembah maksiat yang dikutuk iaitu zina. Oleh itu adalah menjadi wajib hukumnya bagi seseorang apabila ia mempunyai kemampuan dari segi nafkah untuk membiayai isteri serta ahli keluarga.

Untuk mengharungi hidup berumah tangga suami- isteri dituntut supaya hidup bersefahaman untuk melayari bahtera rumah tangga yang aman damai serta mendapat keredhaan Allah swt di dunia dan juga di akhirat.

Oleh itu secara semula jadi seorang lelaki atau wanita itu apbaila selepas baligh dan meningkat dewasa mempunyai keinginan yang besar untuk mencari pasangan dan seterusnya ingin mendirikan rumah tangga. Ini akan dapat mengelakkan keadaan yang tidak bemaruah, lagi ditegah Allah swt dari segi agama. Dengan memiliki suami-isteri yang sah pasangan suami- isteri berhasrat untuk hidup dalam suasana keluarga sepertimana ibubapa mereka dan golongan dewasa yang lain yang mempunyai pasangan hidup sehingga akhhir hayat masing-masing.

Nikah bererti sebagai akad (menurut syarat rukunnya yang sempurna) yang menghalalkan pergaulan di antara seorang lelaki dengan perempuan yang bukan muhrim serta menentukan hak dan tanggungjawab masing-masing dalam kehidupan berumahtangga. Dengan melakukan akad nikah pasangan suaimi isteri akan mempunyai perhubungan yang sah dari segi hukum islam serta menjadikan pengakuan antara suami dan isteri yang seterusnya akan menjadi ibu dan bapa kepada anak zuriat kelahiran daripada perkahwinannya.

Seorang bakal pengantin perlulah memahami tentang Rukun-Rukun serta Syarat-syarat yang berkaitan dengan Nikah supaya urusan ini betul-betulk dipatuhi dan akad yang di lakukan benar-benar sah dan diterima oleh Allah swt.

RUKUN NIKAH ( 5 perkara)

1. Calun isteri
2. Calun suami
3. Wali.
4. 2 orang saksi.
5. Akad (ijab & kabul)

SYARAT2 CALUN ISTERI ( 6 Perkara)

1. Bukan isteri orang.
2. Tidak di dalam 'iddah
3. Tidak di dalam ihram.
4. Benar-benar ia seorang perempuan.
5. Wanita yangh ditentukan.
6. Bukan muhrim dengan bakal suami.

Maksud hadis, Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi saw telah bersabda,

" Wanita dinikahi kerana empat sifat, kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Pilihlah yang yang beragama bahagialah engkau".
-
( Muttafaq 'alaih )


SYARAT2 CALUN SUAMI.

1. Bukan muhrim dengan bakal isteri
2. Dengan pilihan hatinya sendiri.
3. Lelaki yang ditentukan.
4. Mengetahui perempuan itu sah kahwin dengannya.
5. Tidak dalam ihram.
6. Tidak dalam keadaan beristeri empat.

ORANG YANG BERHAK MENJADI WALI.

1. Bapa sekandung, atau
2. Bapam dari bapa sekandung (datuk) , atau
3. Saudara lelaki seibu sebapa
4. Saudara lel;aki yang sebapa, atau
5. Anak lelaki dari saudara lelaki yangh seibu sebapa. atau
6. Anak lelaki dari saudara laki-0laki yang sebapa, atau
7. Pak Cik (sadara bapa yang lelaki), atau
8. Anak Pak cik yang lelaki, atau
9. Mu'tiq (orang yang memerdekakan) kemudian sobahnya.

SYARAT2 JADI WALI.

1. Islam
2. Baligh (sampai umur 15 tahun dsn)
3. Berakal
4. Merdeka
5. Adil, sebagaiman diterangkan di atas.
6. Lelaki.

DASAR PERNIKAHAN YANG DITUNTUT SYARAK.

1. Perkahwinan itu didasarkan pertama-tama kepada agama.
2. Perempuan yang dikahwini itu hendaklah orang yang ramai keturuan.
3. Perempuan ynag dikahwini itu kalau dapat hendaklah masih perawan
4. Kedua-duanya hendaklah orang yang taat kepada Tuhan.

Ajak Orang kerja Amal Yang Baik

Hadis Ketiga Puluh Satu

31- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنْ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا. (مسلم وأبو داود والترمذي)


31 -Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal yang baik, adalah baginya pahala sebanyak pahala orang-orang yang menurutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala itu dari pahala-pahala mereka; dan (sebaliknya) sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal yang menyesatkan, adalah ia menanggung dosa sebanyak dosa orang-orang yang menurutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun dosa itu dan dosa-dosa mereka."


(Muslim, Abu Daud dan Tirmizi)


Hadis yang ketiga puluh satu ini menerangkan:


Kelebihan orang yang mengajak mengerjakan amal yang baik dan sebaliknya.

Huraiannya:

Sesuatu amal kebajikan, atau sesuatu perkara yang menyesatkan, banyak juga dilakukan orang dengan sebab ajakan atau pimpinan atau pun arahan orang lain. Demikian pula orang yang mengajak itu, banyak juga dapat menarik orang-orang melakukan perkara-perkara yang disebarkannya itu sama ada baik atau buruk.


Oleh itu, sesiapa yang mengajak melakukan sesuatu perkara, maka ia adalah bertanggungjawab terhadap perkara itu.


Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. menegaskan bahawa setiap orang yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal salih, sama ada amal itu kecil atau besar, maka ia diberi pahala sebanyak pahala yang didapati oleh orang yang menurut ajakannya, kerana dialah yang berusaha menyebabkan amal yang baik itu tersebar dikerjakan orang.


Sebaliknya, sesiapa yang mengajak ke jalan melakukan sesuatu amalan sesat, maka ia akan menanggung dosa, sebanyak dosa yang ditanggung oleh orang-orang yang menurut ajakannya, kerana dialah yang berusaha menyebabkan perkara yang menyesatkan itu tersebar dilakukan orang.


Demikianlah besarnya kelebihan dan kebaikan yang akan didapati oleh orang-orang yang mengajak, memimpin, menunjuk dan menyebabkan berlakunya sesuatu amalan yang diredhai Allah; dan sebaliknya amatlah besar padahnya bagi orang-orang yang menyebabkan berlakunya sebarang perkara yang dimurkai Allah `Azza wa Jalla.

Sunday, May 25, 2008

Menuntut Ilmu Wajib

Lengkapkanlah diri dengan ilmu agama yang dapat memandu ke jalan yang mendapat keredhan Allah di akhirat. Semoga dengan ilmu yang dipelajarai seseorang itu akan dapat beramal sebanyak mungkin dan seawal mungkin semasa mudanya dan akan berterusan semasa tuanya dengan bekalan yang menculkupi untuk ditempatkan di syurga Allah.
Dekatilah di tempat-tempat pengajian agam seperti di masjid dan surau bagi orang dewasa atau kelas-kelas pengajaran agama yang diadakan oleh pihak Masjid/surau atau badan dakwah di sekita tempat anda tinggal,

Hadis Kedua Puluh

20- عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ. (ابن ماجه وغيره)


20 - Dari Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Menuntut ilmu adalah satu fardu yang wajib atas tiap-tiap seorang Islam."


(Ibnu Majah dan Lain-lainnya).


Hadis yang kedua puluh ini mewajibkan tiap-tiap orang Islam - lelaki dan perempuan - mempelajari ilmu agama.

Huraiannya:
Oleh kerana sesuatu pekerjaan dari yang sekecil-kecilnya hingga yang sebesar-besarnya tidak dapat dilakukan dengan
teratur dan sempurna melainkan dengan ilmu pengetahuan yang berkenaan dengannya, maka nyatalah wajibnya seseorang mempelajari hukum dan peraturan Islam bagi apa sahaja perkara yang hendak dilakukannya sebagai wajib fardu ain.


Menurut kitab Al-Furuq dan "Tahzib al-Furuq" bahawa Imam Ghazali dalam kitabnya "Ihya-'Ulumuddin" dan Imam Asy-Syafi'i dalam kitabnya "Ar-Risalah" menerangkan; Bahawa telah sekata alim ulama, tidak harus seseorang cuba melakukan sesuatu perkara sehingga ia mengetahui lebih dahulu hukum-hukum Allah mengenai perkara yang hendak dilakukannya itu; - orang yang hendak berjual beli wajib mempelajari hukum Allah mengenainya dan orang yang hendak menyewa, memberi sewa, mengupah dan mengambil upah wajib mempelajari hukum Allah mengenainya. Demikian juga orang yang hendak sembahyang wajib mempelajari hukum Allah mengenal sembahyang. Demikian seterusnya segala perkataan yang hendak dikatakan dan segala amal yang hendak dikerjakan. Maka sesiapa yang mengetahui hukum Allah dan beramal menurut apa yang diketahuinya, sudah tentu ia telah mentaati Allah dengan dua taat dan sesiapa yang tidak mengetahui dan tidak pula beramal, sudah tentu ta telah menderhaka kepada Allah dengan dua kederhakaan; dan sesiapa yang mengetahui hukum Allah dan tidak beramal mengikutNya, maka ia telah mentaati Allah dengan satu taat dan menderhaka kepadaNya dengan satu kederhakaan.


Sayugia diingat, bahawa ilmu agama itu bukan satu perkara yang mudah didapati bahkan mestilah dipelajari dan diterima dari orang Islam yang betul-betul dan sah ilmunya serta jujur dan adil dalam penyampaiannya, sebagaimana yang diterangkan dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang maksudnya: "Sesungguhnya ilmu yang sah dan muktabar itu tidak akan dapat dicapai melainkan dengan dipelajari dari guru"; bukan semata-mata dari buku-buku, lebih-lebih lagi yang dikarang oleh orang-orang orientalis, yang kebanyakannya menghidangkan madu bercampur racun.


Sumber: Mastika Hadis

Islam, Iman dan Ihsan

Hadis Ketiga Belas

13- عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ بَيْنَمَا نَحْنُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ إِذْ طَلَعَ عَلَيْنَا رَجُلٌ شَدِيدُ بَيَاضِ الثِّيَابِ شَدِيدُ سَوَادِ الشَّعَرِ لَا يُرَى عَلَيْهِ أَثَرُ السَّفَرِ وَلَا يَعْرِفُهُ مِنَّا أَحَدٌ حَتَّى جَلَسَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَسْنَدَ رُكْبَتَيْهِ إِلَى رُكْبَتَيْهِ وَوَضَعَ كَفَّيْهِ عَلَى فَخِذَيْهِ وَقَالَ يَا مُحَمَّدُ أَخْبِرْنِي عَنْ الْإِسْلَامِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْإِسْلَامُ أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتُقِيمَ الصَّلَاةَ وَتُؤْتِيَ الزَّكَاةَ وَتَصُومَ رَمَضَانَ وَتَحُجَّ الْبَيْتَ إِنْ اسْتَطَعْتَ إِلَيْهِ سَبِيلًا قَالَ صَدَقْتَ قَالَ فَعَجِبْنَا لَهُ يَسْأَلُهُ وَيُصَدِّقُهُ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِيمَانِ قَالَ أَنْ تُؤْمِنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ قَالَ صَدَقْتَ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِحْسَانِ قَالَ أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ السَّاعَةِ قَالَ مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنْ السَّائِلِ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ أَمَارَتِهَا قَالَ أَنْ تَلِدَ الْأَمَةُ رَبَّتَهَا وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ قَالَ ثُمَّ انْطَلَقَ فَلَبِثْتُ مَلِيًّا ثُمَّ قَالَ لِي يَا عُمَرُ أَتَدْرِي مَنْ السَّائِلُ قُلْتُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ قَالَ فَإِنَّهُ جِبْرِيلُ أَتَاكُمْ يُعَلِّمُكُمْ دِينَكُمْ. (مسلم)


13 - Dari Umar bin Al Khattab r.a., katanya: Pada suatu hari, dalam masa kami sedang duduk di sisi Rasulullah s.a.w, tiba-tiba muncul kepada kami seorang lelaki: Putih melepak pakaiannya, hitam legam rambutnya, tidak kelihatan padanya tanda-tanda perjalanan (sebagai seorang pengembara), dan tidak ada seorang pun dari kami yang mengenalinya; (demikianlah halnya) sehinggalah ia duduk mengadap Nabi s.a.w. lalu ia menemukan kedua lututnya kepada kedua lutut Baginda sambil meletakkan kedua tapak tangannya atas kedua pahanya serta berkata: "Wahai Muhammad! Beritahulah kepada ku tentang (dasar-dasar) Islam(1)?" Maka Rasulullah s.a.w. menerangkan: "(Dasar-dasar) Islam itu ialah engkau melafazkan kalimah syahadat (meyakini serta menerangkan kebenaran) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah dan engkau mendirikan sembahyang dan memberi zakat serta berpuasa pada bulan Ramadan dan juga engkau mengerjakan Haji ke Baitullah jika engkau mampu sampai kepadanya." (Mendengarkan penerangan Baginda yang demikian) ia berkata: "Benarlah apa yang tuan katakan itu!" Kata Umar: Maka kami merasa hairan terhadap orang itu - ia bertanya kepada Baginda dan ia juga mengesahkan benarnya (sebagai seorang yang mengetahui perkara yang ditanyakannya itu). Kemudian ia bertanya lagi: "Beritahulah kepada ku tentang iman(2)?" Nabi s.a.w. menerangkan: "(Iman itu ialah) engkau beriman kepada Allah, Malaikat MalaikatNya, Kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya, serta Hari Akhirat; dan engkau beriman kepada takdir (yang ditentukan oleh Allah) - baiknya dan buruknya." (Mendengarkan yang demikian) ia berkata: "Benarlah apa yang tuan katakan itu." Kemudian ia bertanya lagi: "Beritahulah kepada ku tentang ihsan(3)?" Nabi s.a.w. menerangkan: "(Ihsan itu ialah) engkau mengerjakan ibadat kepada Allah Taala seolah-olah engkau melihatNya (memerhatikan keadaanmu)(4), kiranya engkau tidak dapat melakukan yang demikian maka ingatlah bahawa Allah Taala tetap memerhatikan keadaan mu." Kemudian orang itu bertanya lagi: "(Selain itu) maka beritahulah kepada ku tentang (masa berlakunya) hari qiamat?" Nabi s.a.w. menjawab: "Orang yang ditanyakan mengenai hal itu bukanlah seorang yang lebih mengetahui dan yang bertanya." Orang itu bertanya lagi: "Jika demikian maka beritahulah kepada ku tentang tanda-tanda kedatangan hari qiamat itu?" Nabi s.a.w. menerangkan: "(Tanda-tanda itu ialah engkau akan dapati) adanya hamba perempuan yang melahirkan anak yang menjadi tuannya dan engkau akan melihat orang-orang (penduduk desa) yang berkaki ayam, yang tidak berpakaian sempurna, yang miskin menderita, yang menjadi gembala kambing bermegah-megah dan berlawan-lawan antara satu dengan yang lain dalam perkara membina bangunan-bangunan yang tinggi. " Umar berkata: Kemudian orang itu pun pergilah, maka tinggallah aku beberapa hari (memikirkan halnya dan hendak mengetahui siapa dia).


Kemudian Rasulullah s.a.w. bertanya kepadaku, sabdanya: "Wahai Umar! Tahukah engkau siapa orang yang bertanya itu?" Aku menjawab: "Allah dan RasulNya jualah yang mengetahui. "


(Pada saat itu) Rasulullah s.a.w. menerangkan: "Orang itu ialah Jibril, ia datang untuk mengajar kamu akan agama kamu."


(Muslim)


________________________________


(1) "Islam" di sini ialah dengan pengertian yang kedua yang telah diterangkan pada bab yang ketiga.


(2) "Iman" bererti:
Pertama - Percayakan benarnya sesuatu yang tertentu serta sanggup mematuhi apa yang dikehendaki oleh
kepercayaan itu.
Kedua - Segala
jenis amalan taat - hasil dari kepercayaan dan kesanggupan itu.
Ketiga - Perkara-perkara yang diimankan itu; dan iman dengan erti inilah yang dikehendaki di sini.


(3) "Ihsan" di sini maksudnya: Cara mengerjakan sesuatu taat - terutama amal ibadat - dengan sebaik-baiknya, lengkap segala peraturannya serta dengan ikhlas kepada Allah Taala.


(4) Yakni hendaklah engkau lakukan amal ibadat atau taatmu kepada Allah s.w.t. dengan keadaan seolah-olah engkau nampak Ia melihat dan memerhatikan zahir batinmu. kiranya engkau tidak dapat mencapai keadaan itu maka hadirkanlah keyakinanmu bahawa Allah Taala tetap melihat dan memerhatikan mu kerana sesungguhnya Ia sentiasa melihat dan memerhatikan segala keadaanmu.


Hadis yang ketiga belas ini menerangkan:


(1) Ada kalanya Malaikat pembawa Wahyu - Menyamar diri sebagai seorang manusia.


(2) Iman, Islam dan Ihsan.


(3) Tanda-tanda kedatangan Qiamat.


Huraiannya:


Pertama - Malaikat Jibril (a.s) ada kalanya menyamar sebagai seorang manusia:

Pada suatu hari, sedang Rasulullah s.a.w dihadapi oleh sahabat-sahabatnya, tiba-tiba datanglah seorang lelaki seperti yang diterangkan dalam hadis ini, lalu bertanya tentang perkara-perkara agama. Apabila Baginda menjawab pertanyaannya, ia segera mengesahkan benarnya. Ini menjadikan sahabat-sahabat Baginda hairan memikirkan halnya, dia bertanya dan dia pula mengesahkan kebenaran jawapan Baginda.


Kehairanan sahabat-sahabat Nabi itu hilang apabila Baginda sendiri menerangkan pada akhirnya bahawa yang bertanya itu ialah Malaikat Jibril (as.).


Soal Wahyu:


Wahyu adalah satu perkara pokok yang menjadi dasar bagi segala perkara agama. Orang yang tidak mempercayai wahyu, sudah tentu tidak ada kepercayaannya kepada Rasul-rasul utusan Allah, Kitab-kitabNya dan lain-lain lagi yang berhubung dengan iman. Ada orang yang percaya, bahawa junjungan kita Muhammad s.a.w. seorang pemimpin yang bijak. Jika setakat itu sahaja kepercayaannya terhadap Baginda maka itu belum cukup, selagi dia tidak mempercayai bahawa kebijaksanaan Baginda itu - selain daripada sifat semula jadinya yang istimewa, Baginda pula mendapat wahyu dan pimpinan dan Allah Azza wa Jalla.


Kedua - Iman, Islam dan Ihsan berkaitan satu sama lain:

Di antara perkara-perkara yang ditanyakan kepada Rasulullah s.a.w. ialah soal Iman, Islam dan Ihsan, lalu dijawab oleh Baginda satu persatu. Walau pun pertanyaan itu dibuat satu-satu dengan berasingan, tetapi ketiga-tiganya merupakan satu hakikat jua, iaitu "Agama". Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. pada akhir hadis ini bahawa yang bertanya itu ialah Malaikat Jibril, datangnya untuk mengajar mereka akan "Agama" mereka.


Jelasnya, "Agama" itu jika dipandang dan segi amalan-amalan zahir disebut dengan nama "Islam"; jika dipandangi dari segi kepercayaan dan keyakinan hati disebut dengan nama "Iman"; dan jika dipandang dan segi kesempurnaan cara pelaksanaan dua perkara itu disebut dengan nama "Ihsan".


Tiga perkara yang dipandang dari segi-segi yang berlainan itu tidak harus berpisah antara satu dengan yang lain.


"Agama" itu adalah ibarat sebatang pohon, - Akar umbinya serta usul asalnya bahkan benihnya ialah "Iman"; dan seluruh pohon itu meliputi batangnya, dahannya, rantingnya, daunnya, bunganya dan buahnya ialah "Islam"; manakala kesuburannya, keharumannya, kemanisannya dan seluruh keindahannya ialah "Ihsan".


Dengan huraian ini nyatalah salahnya orang yang menganggap bahawa Iman, Islam dan Ihsan boleh berasingan antara satu dengan yang lain; dan lebih-lebih lagi salahnya orang yang menganggap bahawa Ihsan itu boleh ada atau dapat dilaksanakan dengan ketiadaan Iman dan Islam, kerana ihsan itu ialah sifat bagi keduanya dan sememang maklum bahawa "Sifat" tidak boleh ada dengan ketiadaan "Mausuf" (perkara yang disifatkan).


Islam dan Asasnya yang lima:


Sebagaimana yang telah diterangkan bahawa salah satu dan pengertian "Islam" itu ialah hukum-hukum dan keterangan-keterangan yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan Allah `Azza wa Jalla.


Hukum-hukum dan peraturan yang tersebut, yang terdiri dari suruh dan tegah, meliputi segala bidang hidup umat manusia.


Islam yang demikian sifatnya, berasaskan lima perkara - sebagaimana yang diterangkan oleh Baginda dalam hadis mi.


Dari lima asas inilah terbit dan kembali kepadanya segala hukum dalam setiap keadaan umat manusia - dalam alam kehidupan ini.


Asas-asas Islam yang lima itu ialah:


Pertama - Mengakui kebenaran tiap-tiap perkara yang benar dan melafazkan "Kalimah At-Taqwa":

Di antara syarat-syarat bagi mencapai keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat ialah menghormati kebenaran setiap perkara yang benar, dengan jalan mengakui dan mengamalkannya. Ini dengan sendirinya mewajibkan menolak kesalahan tiap-tiap perkara yang salah.


Oleh kerana sebenar-benar perkara yang benar ialah keesaan Allah Taala Tuhan yang wajib Al-Wujud dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w., maka mengucap dua kalimah syahadat:


أَشْهَدُ أَنْ لا إِلَهَ إِلا الله وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ الله


- Yang ertinya: "Aku meyakini serta menerangkan kebenaran, bahawa sesungguhnya tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah" adalah menjadi asas atau "Rukun Islam" yang pertama bahkan menjadi anak kunci bagi seseorang masuk Islam.


Tiap-tiap orang Islam dituntut melafazkan "Kalimah Al-Taqwa" dalam kehidupan sehari-hari.


"Kalimah Al-Taqwa" itu ialah tiap-tiap tutur kata yang memelihara dan menyelamatkan seseorang dan tiap-tiap perkara yang membahayakannya serta mendatangkan manfaat dan kebahagiaan, sama ada di dunia mahu pun di akhirat dan semulia-mulia "Kalimah At-Taqwa" itu ialah:


لا إِلَهَ إِلا الله مُحَمَّدٌ رَسُوْلُ الله




Kedua - Menggunakan segala anggota berusaha dan mengerjakan dengan cara yang teratur akan amal-amal bakti sama ada yang diwajibkan atau yang digalakkan untuk diri dan masyarakat, bagi mengenang budi dan mensyukuri nikmat-nikmat, dengan harapan mencapai kebaikan dan menjauhkan perkara-perkara yang merosakkan, serta dengan sepenuh-penuh kesedaran mengingati Allah dan berdoa kepadaNva memohon taufik dan hidayah-Nya ke jalan yang diredhai-Nya.

Semuanya itu terdapat dalam "Sembahyang", dan dengan ini nyatalah hikmatnya sembahyang itu menjadi asas atau "Rukun Islam" yang kedua, dan dengan ini juga nyatalah tepatnya sabda Nabi s.a.w. yang maksudnya: "Sembahyang itu tiang agama, sesiapa yang meninggalkannya maka sesungguhnya ia telah meruntuhkan agama."


(Untuk penjelasan yang lebih lanjut mengenai sembahyang, lihatlah lampiran "B", pada akhir bab ini).


Ketiga - Berkorban dengan Harta Benda:

Harta benda adalah merupakan asas bagi segala urusan hidup dalam dunia ini. Oleh itu maka sebahagian besar dan daya usaha manusia dicurahkan untuk mencari dan memiliki harta benda dan kekayaan. Tetapi bukan semuanya berhasil mencapai kesenangan dan kemewahan itu dengan sepenuhnya, bahkan bukan sedikit - dari setiap bangsa di dunia ini - yang hidup miskin dan menderita.


Dengan yang demikian, maka membelanjakan harta benda untuk menolong orang-orang yang fakir miskin dan yang memerlukan bantuan, dan juga untuk kebajikan Islam - sebagaimana yang terdapat dalam amalan "Zakat" - adalah menjadi satu cara hidup yang aman makmur


Oleh itu, maka nyatalah hikmatnya kewajipan mengeluarkan zakat itu menjadi salah satu dari asas atau "Rukun Islam".


Keempat - Membendung kemahuan hawa nafsu:

Sebahagian besar dari kejadian kacau bilau yang berlaku dalam sesebuah masyarakat adalah akibat dari runtunan hawa nafsu yang buas liar dan melampaui batas, sehingga ada yang melupai kehormatan din dan rumahtangga, mencuaikan tugas dan kewajipan, mengkhianati amanah dan berbagai-bagai perkara jenayah lagi.


Oleh itu, maka kewajipan menyekat hawa nafsu dan menentang runtunan liarnya, serta melarih diri mengingati pengawasan Allah Taala akan segala yang zahir dan yang batin - sebagaimana yang terdapat dalam amalan "Puasa" - adalah menjadi satu cara hidup yang aman sentosa.


Dengan yang demikian, maka nyatalah hikmatnya ibadat puasa itu menjadi salah satu dari asas atau "Rukun Islam".


Kelima - Menghadiri tempat-tempat perhimpunan untuk kebajikan:

Manusia tidak seharusnya memencilkan atau mengasingkan dirinya dari sebarang perhubungan dengan sesama manusia.


Banyak perkara yang bersangkut paut dengan hidupnya, dengan agamanya, dengan pentadbiran negara dan masyarakatnya tak dapat diselesaikan melainkan dengan jalan perjumpaan dan perundingan, lebih-lebih lagi melalui persidangan antarabangsa.


Oleh itu, bagi mencapai kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat, maka menghadiri tempat-tempat perhimpunan untuk kebajikan sekadar yang mampu, bagi melahirkan sikap memperhambakan diri kepada Allah `Azza wa Jalla, dan bersyukur akan nikmat-nikmatNya, serta melaksanakan dasar bersatu padu dan bersefahaman antara sesama umat Islam dan juga untuk mendapat berbagai-bagai faedah dan manfaat dari segi rohani, akhlak, kemasyarakatan dan ekonomi - sebagaimana yang terdapat dalam "Ibadat Haji" - adalah menjadi satu cara hidup yang aman damai dan bahagia.


Dengan yang demikian, maka nyatalah hikmatnya ibadat haji itu menjadi salah satu dari asas atau "Rukun Islam".


Iman dan Asasnya yang enam:


Sebagaimana yang diketahui bahawa Islam yang diterangkan dalam hadis ini bererti: "Mematuhi apa yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w maka sudah tentu Islam yang bererti: "Kepatuhan yang sebenar-benarnya tidak akan wujud dengan ketiadaan iman atau kepercayaan yang tertentu, kerana: Islam itu adalah ibarat "Pokok", manakala iman pula adalah ibarat !`Benih"; Dan bahawa sebarang gerak-geri yang disengajakan oleh manusia adalah timbulnya dan sesuatu kepercayaan yang tertentu.


Dengan yang demikian, maka salah satu di antara rukun-rukun agama ialah iman atau kepercayaan, yang berasaskan enam perkara.


Wujudnya Allah Pencipta Seluruh Alam:

Sebagaimana yang sedia maklum, manusia yang waras akal fikirannya memang sedar bahawa wujudnya adalah diciptakan oleh Allah Maha Pencipta dan sebagaimana Ia sedar bahawa segala keadaan dan perjalanan dirinya tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh Maha Pencipta itu, ia juga sedar bahawa dirinya tersusun dan jisim dan roh.


Undang-undang dan peraturan yang disedarinya menguasai keadaan dan perjalanan dirinya itu hanyalah untuk keselamatan jisimnya apabila ia mematuhinya dengan sempurna, maka sudah tentu bagi rohnya pula wajiblah ia mematuhi dengan sempurna akan undang-undang dan peraturan yang dikhaskan oleh Maha Pencipta untuk keselamatan roh.


Dengan yang demikian, ia sudah tentu mempercayai adanya Maha Pencipta - iaitu Allah Taala - yang menciptakan diri manusia dan menciptakan undang-undang serta peraturan jasmani dan rohaninya


Adanya Malaikat:

Undang-undang dan ilmu-ilmu jasmani boleh dicari dan dikaji oleh manusia, tetapi undang-undang dan peraturan rohani iaitu "Hukum-hukum Syarak" tidak akan dapat diketahui melainkan dengan jalan diterima dari Allah Taala dengan perantaraan Malaikat Wahyu, kerana menurut keadaan semula jadinya, manusia tidak dapat menerima hukum secara langsung dari Allah S.W.T. kecuali Rasul-rasul pilihan, itupun pada keadaan yang tertentu.


Adanya Kitab-kitab Allah:

Hukum-hukum dan peraturan yang disampaikan oleh Malaikat Wahyu itu ditulis sebagai sebuah kitab untuk dibaca dan dipelajari serta diamalkan oleh umat manusia.


Adanya Rasul-rasul Allah:

Sememang maklum bahawa undang-undang dan peraturan-peraturan itu tidak dapat difahami sebagaimana yang semestinya oleh kebanyakan manusia, maka Allah Taala yang Amat Bijaksana telah memilih orang yang diketahuiNya layak menjadi penyampai dan pensyarah yang menerangkan undang-undang itu satu persatu dan pensyarah itu ialah Rasul-rasulNya.


Adanya Alam Akhirat:

Sesuatu undang-undang atau perlembagaan tidak akan ada nilainya kalaulah tidak dihormati dan dipatuhi.


Kebanyakan manusia tidak menghormati sesuatu undang-undang atau perlembagaan melainkan setelah mengetahui balasan baik bagi orang yang menghormati dan mematuhinya dan balasan buruk bagi orang yang mencabuli dan mencuaikannya.


Oleh sebab hidup manusia dalam alam dunia ini adalah untuk sementara waktu sahaja maka balasan yang sepenuh-penuh kesempurnaannya dan seadil-adil keadaannya tentulah tidak difikir layak diberikan seseorang menerimanya dalam alam sementara ini, bahkan bagi melayakkan yang tersebut, diakui benar adanya satu alam yang berpanjangan lagi kekal iaitulah "Alam Akhirat" - Alam yang bermula dan masa berakhir hidup manusia dalam alam dunia ini.


Tambahan pula manusia dijadikan Allah tersusun dari jisim dan roh yang tidak akan habis atau binasa dengan berakhirnya alam dunia ini sekalipun jisimnya menjadi debu atau abu, bahkan roh itu tetap wujudnya berpindah dari satu keadaan ke satu keadaan hingga bercantum dengan tubuhnya yang dibangkitkan hidup semula untuk masa yang kekal itu.


Adanya Qadar dan Taqdir Allah:

Dari huraian-huraian yang tersebut, nyatalah bahawa Allah S.W.T. ialah pencipta seluruh alam meliputi manusia dan makhluk-makhluk yang lain dan Dialah yang menyusun, mengatur dan menentukan hukum-hukum, undang-undang dan peraturan, bagi segala keadaan makhluk seluruhnya, sama ada yang baik atau yang buruk.


Maka susunan dan penentuan ada nya dan berlakunya baik dan buruk itu ialah "Qadar Taqdir" tuhan yang azali, yang menjadi "Rukun Iman" yang akhir.


Ihsan dan Peringkat-peringkatnya:


Sebagaimana yang sedia diketahui bahawa "Ihsan" ialah cara mengerjakan sesuatu taat dengan sebaik-baiknya, lengkap segala peraturannya, serta dengan ikhlas kepada Allah Taala, iaitu bersih dari syirik dan sikap munafik serta bersih dan perasaan riak, ujub dan lain-lainnya.


Yang demikian ini ialah hakikat Ihsan yang menjadi salah satu dari "Rukun-rukun Agama" yang tiga, yang dengan ketiadaannya maka yang dua lagi - Iman atau Islam - tidak diterima, kerana taat yang dikerjakan dengan ketiadaan Ihsan adalah ibarat patung yang tidak bernyawa.


Ini ialah peringkat Ihsan yang pertama, yang mesti diusahakan oleh tiap-tiap seorang.


Selain dari itu, ada dua peringkat lagi iaitu yang diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis ini.


Tanda-tanda kedatangan hari Qiamat:

Oleh kerana hikmatnya Allah Taala menjadikan jin dan manusia serta makhluk-makhluk yang lain ialah untuk masing-masing membuktikan taat setianya dan penghormatannya dengan mengerjakan amal ibadat kepadaNya, maka untuk membicarakan dan membalas ketaatan dan kederhakaan tiap-tiap makhluk, sudah tentu adanya satu masa yang ditetapkan untuk tujuan yang demikian, iaitu "Hari Qiamat".


Oleh sebab itulah si penanya bertanya kepada Baginda tentang waktu kedatangan hari Qiamat itu, akan tetapi oleh kerana soal waktu kedatangan hari Qiamat itu adalah satu dari lima perkara yang pengetahuannya tertentu bagi Allah jua, maka Rasulullah s.a.w. menjawab dengan sabdanya yang bermaksud: "Orang yang ditanyakan soal itu samalah sahaja dengan orang yang bertanya, tetapi aku akan menerangkan tanda-anda kedatangannya", lalu Baginda menerangkan seperti yang tersebut dalam hadis ini.


Selain dari yang diterangkan dalam hadis ini, ada didapati dalam kitab-kitab hadis yang lain banyak lagi tanda-tanda tentang hampirnya kedatangan hari Qiamat, di antaranya:


Pertama - Apabila susut dan kurang ilmu pengetahuan agama dengan kematian seseorang alim yang ahli dalam sesuatu cawangan ilmu yang tertentu dan tidak dapat diganti


Kedua - Apabila merebaknya kejahilan mengenai ilmu agama dengan sebab kurangnya orang-orang yang suka mempelajarinya.


Ketiga - Apabila diserahkan sesuatu urusan agama seperti jawatan ketua negara, mufti, kadhi dan sebagainya, untuk dikendalikan oleh orang yang bukan ahlinya.


Keempat - Apabila sesuatu masyarakat dipimpin oleh seseorang ketua yang fasik yang suka menggalakkan maksiat dan perbuatan yang durjana.


Kelima - Apabila orang yang benar dikatakan pendusta, pendusta dikatakan orang yang benar; orang yang khianat disifatkan amanah, orang yang amanah dikatakan khianat; orang yang adil disifatkan zalim, orang yang zalim disifatkan adil dan orang-orang yang jahil berpengaruh dan bermaharajalela dengan berlagak pandai dalam ilmu agama sehingga orang alim terpaksa mendiamkan diri (setelah tugasnya tidak lagi dihargai).


Keenam - Apabila arak menjadi adat diminum berterang-terang di sana sini, dengan digalakkan pula oleh pemimpin-pemimpin dan ketua.


Ketujuh - Apabila perbuatan lucah dan cabul dilakukan dengan berterang-terang di merata-rata tempat dengan tidak mendapat sebarang teguran kerana kelemahan iman, sehingga kalaulah ada yang menegur maka orang yang menegur itu boleh dikatakan imannya pada masa itu sekuat iman Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Umar pada zaman sahabat-sahabat Nabi s.a.w.


Lampiran (B):

Soal Sembahyang:

Mengenai sembahyang, Sayidina Umar r.a., berkata - Sebagaimana yang tersebut dalam kitab Al-Muwatta': Sesiapa memelihara sembahyang dan tetap mengerjakannya, bererti ia memelihara agamanya dan sebaliknya sesiapa yang mensia-siakannya maka ia lebih-lebih lagi akan mensia-siakan kewajipan-kewajipan agama yang lain".


Sebenarnya sembahyang itu tiang agama dan semulia-mulia asas Islam yang lima sesudah Dua Kalimah Syahadat.


Kedudukan sembahyang dalam agama menyamai kedudukan kepala pada tubuh badan; oleh itu, sebagaimana seseorang yang tidak berkepala tidak akan hidup, maka demikian juga tidak ada agama bagi orang yang tidak mengerjakan sembahyang.


Dalam kitab At-Tanwir, Sidi Ahmad bin Ata'illah berkata: Sembahyang amatlah besar kemuliaannya dan keadaannya di sisi Allah amatlah berat; dan kerana itulah Allah Taala berfirman, maksudnya; "Sesungguhnya sembahyang itu mencegah perbuatan yang keji dan mungkar" dan Rasulullah s.a.w. pula ketika ditanyakan tentang amal yang semulia-mulianya, Baginda menjawab, maksudnya: "(Semulia-mulia amal) ialah sembahyang yang dikerjakan pada waktunya".


Baginda juga bersabda maksudnya: "Orang yang mengerjakan sembahyang adalah ia bermunajat (mengadap dan merayu) kepada Tuhannya."


Dan sabdanya lagi, maksudnya: "Sehampir-hampir seseorang hamba itu kepada Tuhannya ialah semasa ia sujud."


Sebagaimana yang dapat disaksikan, bahawa dalam sembahyang terhimpun berbagai-bagai jenis ibadat yang tidak ada pada lainnya. Di antara ibadat-ibadat yang terhimpun dalam sembahyang ialah: Bersuci, berdiam diri, mengadap kiblat, membaca doa iftitah, membaca Al-Qur'an, berdiri rukuk, sujud, bertasbih dalam rukuk dan sujud, berdoa dalam sujud dan lain-lainnya, yang merupakan himpunan ibadat yang berbilang-bilang; kerana zikir sahaja adalah ibadat dan bacaan Al-Qur'an sahaja adalah ibadat; demikian juga halnya Tasbih, doa, rukuk dan sujud; tiap-tiap satunya adalah menjadi ibadat. " Demikian kata Ibnu 'Ata'illah dalam "At-Tanwir."


Perintah-perintah mengenai sembahyang, memeliharanya dan keadaannya menjadi sifat dan syi'ar orang-orang yang beriman, banyak sekali diterangkan di dalam Al-Qur'an al-Karim. Di antaranya firman Allah Taala, maksudnya:


"Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembah yang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembah yang kamu) dengan taat dan khusyuk. " (238, Al-Baqarah).


"Hendaklah kamu sentiasa rujuk kembali kepada Allah (dengan mengerjakan amal-amal bakti) serta bertaqwalah kamu kepadaNya dan kerjakanlah sembahyang dengan betul sempurna dan janganlah kamu menjadi dari mana-mana golongan orang musyrik." (33, Ar-Rum).


"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. " (1-2, Al-Mu'minun).


"Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) ..." (45, Al-'Ankabut).


"Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya." (103, An-Nisa).


Sembahyang yang lima waktu ini yang dikerjakan sehari semalam, tidak boleh sama sekali bagi seseorang yang mengakui dirinya Islam dan menghitung dirinya dalam barisan umat Islam meninggalkan satu waktu pun, dalam segala keadaan, selagi ia masih sempurna akalnya, sekalipun ia sakit tenat. Kalau ia tak dapat berdiri sembahyang kerana uzur, ia boleh sembahyang duduk; jika tidak dapat, ia boleh sembahyang dengan berbaring - dengan mengiring ke sebelah kanan atau ke kiri atau pun dengan terlentang.


Di dalam Al-Qur'an al-Karim diberi amaran mengenai orang-orang yang mencuaikan sembahyang. Tentang ini Allah Taala berfirman, maksudnya:


"Kemudian mereka (yang taat) digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab dalam neraka, - "Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal salih .." (59-60, Maryam).


Dalam huraiannya, Ibnu Abbas berkata - seperti yang disebutkan oleh al-Syams al-Zahabi dalam kitabnya al-Kabair: Bahawa "Mencuaikan sembahyang" yang tersebut dalam ayat ini bukan maknanya mereka meninggalkan sembahyang sama sekali, tetapi maksudnya mereka mentakhirkan (melengahkan) sembahyang sehingga keluar waktunya.


Hal ini dijelaskan oleh Said bin Al-Musayib, dengan menyatakan bahawa maksudnya: Orang itu tidak sembahyang Zuhur melainkan setelah masuk waktu Asar, (dan seterusnya tentang waktu-waktu yang lain). Maka sesiapa yang mati dalam keadaan yang demikian dan ia tidak bertaubat, maka balasan yang ditetapkan baginya ialah azab seksa di dalam neraka.


Firman Allah lagi, maksudnya: "Maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli sembahyang yang keadaan mereka lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya" (4-5, Al-Ma'uun).


Yakni yang lalai dari mengerjakannya pada waktunya, lalu dijanjikan kepada mereka dengan balasan yang seburuk-buruknya di dalam neraka, kecuali orang yang bersifat demikian segera bertaubat dan menyesal terhadap perbuatannya itu.


Dan firmannya lagi, maksudnya: "Wahai orang-Orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahnya). Dan (ingatlah!) sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang yang rugi. " (9, Al-Munafiqun).


Menurut sebahagian dan ahli tafsir, "Mengingati Allah" (zikir Allah) di sini ialah "Sembahyang yang lima waktu"; maka sesiapa yang mencuaikannya kerana dilalaikan oleh harta bendanya, anak pinaknya dan segala urusan hidupnya, menjadilah ia dan orang-orang yang rugi serugi-ruginya.


Di dalam hadis-hadis pula ada diterangkan tentang setakat mana beratnya kewajipan sembahyang itu. Di antaranya Baginda bersabda, maksudnya: "Jaminan berbaik-baik di antara kita dengan mereka yang mendakwa dirinya orang Islam ialah mengenakan sembahyang, oleh itu sesiapa yang tidak sembahyang maka sesungguhnya termasuklah ia dalam hukum orang kafir. "


Dan sabdanya lagi, maksudnya: "Perkara yang menghubungkan seseorang dengan kufur ialah meninggalkan sembahyang. "


Dan sabdanya lagi, maksudnya: "Sesiapa yang cuai sehingga ia terlepas dari mengerjakan sembah yang Asar pada waktunya, maka sesungguhnya telah binasalah amalnya."


Dan sabdanya lagi, maksudnya: "Sesiapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja, maka sesungguhnya terlepaslah ia dari jaminan Allah menyelamatkannya."


Dan sabdanya lagi, maksudnya: "Sesiapa yang memelihara sembahyang dengan sebaik-baiknya, nescaya sembahyang itu menjadi cahaya baginya dan menjadi bukti serta penyelamat baginya pada hari Qiamat; dan sesiapa yang mencuaikannya, maka semuanya itu tidak akan diperolehinya, dan ia akan dihimpunkan pada hari Qiamat bersama-sama dengan Fir'aun, Qarun, Haman dan Ubai bin Khalaf."


Menurut penjelasan setengah ulama, bahawa sebabnya orang yang tersebut dihimpunkan bersama-sama empat orang (jaguh kekufuran) itu ialah: Kerana yang melalaikannya dan menunaikan sembahyang tidak lain melainkan hartanya, atau kerajaannya (jika Ia seorang pemegang teraju pemerintahan), atau jawatannya sebagai menteri, atau pun perniagaannya. Kalau hartanya yang melalaikannya maka ia akan dihimpunkan bersama-sama Qarun; kalau kerajaannya yang melalaikannya maka ia akan dihimpunkan bersama-sama Fir'aun; kalau pula jawatannya sebagai menteri yang melalaikannya maka ia akan dihimpunkan bersama-sama Haman (menteri Fir'aun); dan kalau pula perniagaannya yang melalaikannya maka ia akan dihimpunkan bersama-sama Ubai bin Khalaf (saudagar kaum Musyrik Mekah).


Dalam satu hadis lagi, bahawa Sayidina Umar, r.a., berkata: Seseorang lelaki telah datang mengadap Rasulullah s.a.w. lalu bertanya, katanya: "Ya Rasulullah, apakah satu-satunya amal dalam Islam yang lebih diperkenankan oleh Allah Taala?" Baginda menjawab: "Ialah sembahyang yang dikerjakan pada waktunya, dan sesiapa yang meninggalkan sembahyang maka tidak ada agama baginya, kerana sembahyang itu tiang agama. "


Dalam satu hadis yang lain, Baginda bersabda, maksudnya: "Apabila seseorang mengerjakan sembahyang pada awal waktunya, naiklah sembahyang itu ke langit serta ia bercahaya sehingga ia sampai kepada `Arasy lalu ia meminta ampun bagi orang yang mengerjakannya. (Demikianlah hal sembahyang itu) hingga hari Qiamat sambil ia berkata: "Semoga Allah memelihara mu sebagaimana engkau memelihara ku"; dan apabila seseorang mengerjakan sembahyang pada luar waktunya, naiklah sembahyang itu ke langit dengan diselubungi oleh gelap gelita, setelah sampai di langit lalu digulung seperti tergulungnya baju buruk dan dipukulkan ke muka orang yang mengerjakannya sambil sembahyang itu berkata (kepada tuannya): "Semoga Allah mensia-siakan mu sebagaimana engkau mensia-siakan aku"




Orang yang mengerjakan sembahyang dengan tidak sempurna amatlah buruk balasannya:

Dalam satu hadis yang diterangkan bahawa Rasulullah s.a.w. melihat seorang yang tidak menyempurnakan rukuknya dan mematuk (seperti ayam) semasa ia sujud, lalu Baginda bersabda, maksudnya: "Kalau orang itu mati dalam keadaannya yang demikian, nescaya ia mati dengan ketiadaan Islam...."


Dalam satu hadis lagi ada diterangkan, maksudnya: "Seseorang itu tidak akan beroleh pahala dari sembahyangnya melainkan mana-mana yang dikerjakannya dengan penuh kesedaran. Setengah orang yang mengerjakan sembahyang ada kalanya tidak mendapat seperenam dari pahala sembahyangnya dan tidak sepersepuluh." Yakni ia hanya mendapat pahala bagi bahagian sembahyang yang tertentu yang dikerjakannya dengan penuh kesedaran serta khusyuk. Orang yang penuh sedar dan khusyuk di sepanjang-panjang sembahyangnya maka ia beroleh pahala bagi seluruh sembahyangnya itu dan sebaliknya orang yang lalai di sepanjang-panjang sembahyangnya hampalah dia dari mendapat sebarang pahala mengenainya.


Orang mukmin yang menaruh belas kasihan kepada dirinya sendiri dan mencintai agamanya, adalah bertanggungjawab mengambil berat menyuruh dan mengajar ahli rumah dan anak pinaknya supaya mereka tetap memelihara dan mengerjakan sembahyang.


Kewajipan ini ditegaskan oleh Allah Taala di dalam Al-Qur'an al-Karim dengan firmanNya yang bermaksud:


"Dan perintahkanlah keluarga mu mengeriakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya...." (132, Taha).


Dan firmannya lagi; maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala) (6, At-Tahrim).


Nabi s.a.w. sendiri setelah ayat ini turun, sentiasa mengambil berat mengingatkan dan mengawasi keluarganya mengenai sembahyang. Bahkan Baginda dan keluarganya apabila menghadapi apa-apa kesukaran, lazimnya Baginda dan keluarganya mengerjakan sembahyang banyak-banyak.


Cara yang demikian ini juga menjadi amalan Nabi-nabi yang telah lalu - (as.).


Kerana tidak syak lagi, sembahyang itu menjadi sebab yang membawa rahmat, murah rezeki dan menolak bala' bencana.

- Petikan Dari Mastika hadis