Sunday, May 11, 2008

Berusaha, Berdoa Dan Bertawakkal Kepada Allah


Hadith :


Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: "Allah memberikan rahmat
kepada seseorang yang berusaha mencari harta dengan jalan yang halal
dan membelanjakannya dengan cara sederhana dan berhemat serta menabung
kelebihannya untuk hari susah dan hajatnya."

Riwayat Ibn an-Najjar



Huraian
Pengajaran Hadis:

i) Kekayaan dan mengumpul harta untuk mengukuhkan ekonomi sangat
digalakkan di dalam Islam dengan syarat-syarat tertentu seperti
mengeluarkan zakat, bersedekah untuk meninggikan syiar Islam atau
melakukan apa sahaja kebajikan yang harus di sisi syarak. Ini penting
kerana dengan cara ini tabungan (dana), pembahagian dan perluasan
sumber sesama Islam boleh dilaksanakan dengan baik dan lancar untuk
kepentingan sesama umat Islam bagi mengelak daripada pinjam-meminjam,
hutang-menghutang dan sebagainya.


ii) Kemiskinan itu kadangkala boleh membuatkan aqidah seseorang
terpesong di mana musuh-musuh Islam akan mengambil kesempatan di atas
kekurangan dan kelemahan yang dihadapi itu untuk mempengaruhi ke arah
kesesatan. Oleh itu kemantapan iman sangat penting, jangan sampai
menyalahkan takdir di saat menghadapi kemiskinan atau kesusahan hidup.


iii) Rezeki dan kemewahan datangnya daripada Allah S.W.T. Setiap
manusia dituntut untuk berusaha mengubah nasibnya tetapi diingatkan
agar tidak bersikap rakus dan tamak sehingga mencetuskan permusuhan
dan perbalahan, dengki-mendengki dan sebagainya. Sebaliknya hendaklah
bersikap sederhana dan sentiasa bersyukur dengan nikmat yang
dikurniakan Allah sama ada banyak ataupun sedikit.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam

No comments: