Thursday, August 28, 2008

Capai Puasa Mabrur

Hari Khamis 28 Ogos 2008/26 Syaaban 1429. 3 hari menjelang Ramadhan


Beberapa perkara yang berkaitan dengan amalan ibadat puasa:



1. Meninggalkan puasa wajib, tanpa adanya uzur yang dibenarkan oleh agama itu amat besar sekali dosanya. Sabda Rasulullah saw;


" Ikatan Islam dan kaidah-kaidahnya itu ada tiga perkara dan di atas ketiga perkara itulah didirikannya asas-asas Islam. Barangsiapa yang meninggalkan salah satu dari 3 perkara tersebut maka ia adalah kafir dan halal darahnya; iaitu menyaksikan bahawasnya tiada Tuhan (yang hak) melainkan Allah dan solat yang diwajibkan serta puasa ramadhan".


Riwayat oleh Abu Ja'la dan Addailami serta disahihkan oleh Imam Adzdzahabi.


Juga Rasulullah saw bersabda,

" Barangsiapa yang berbuka sehari saja dalam bulan ramdhan tanpa adanya rukhsah (keringanan) yang diringankan (diperkenankan) oleh Allah, maka tidak cukuplah ia mengqadhainya dengan berpuasa setahun penuh, sekalipun ia benar-benar berpuasa setahun itu".

Diriwayatkan oleh Imam-Imam Bukkari, Abu Dawud, Ibnui Majah dan Tarmidzi dari sahabat Abu Hurairah r.a.


2. Allah Taala sendiri yang akan menetapkan pahala orang berpuasa, kerana amat besar dan banyak sekali. Sabd Nabi saw,


"Allah Ta'la berfirman, "Semua amalan anak Adam (manusia) itu untuknya, kecuali puasa. Maka itu adalah untuk KU (Allah) dan Aku sendiri yang menentukan balasan (pahala)nya".(sampai di sini adalah termasuk hadis Qudsi, sedang yang selanjutnya ini adalah hadis Nabawi).

Puasa adalah perisai ( dari kemaksiatan). Maka apabila pada hari berpuasanya seseorang di antara engkau semua, hendaklah jangan berkata kotor, jangan berteriak-teriak serta jangan menjadi bodoh (yakni mengerjakan yang tidak baik). Jikalau ada sesorang yang memaki-makinya atau mengajaknya berkelahi, hendaklah ia berkata:
" Saya sedang berpuasa". Ucapkanlah dua kali. Demi zat yang jiwa Muhammad ada di dalam genggaman kekuasaanNya, niscaya bau busuk dari mulut seseorang yang berpuasa itu lebih sedap di sisi Allah daripada bau minyak kasturi. Seseorang yang berpuasa itu mempunyai dua macam kegembiraan iaitu ketika waktu ia berbuka, bergembiralah ia dengan sebab berbukanya dan ketika ia menemui Tuhannya, bergembiralah ia dengan adanya amalan puasa dalam dirinya".

Diriwayatkan oleh Imam-Imam Muslim dan Ahmad dari Abu Hurairah ra.



BERUSAHA CAPAI PUASA MABRUR.


SESIAPA yang bergembira dengan datangnya Ramadan, Allah akan mengharamkan jasadnya daripada api neraka. (Riwayat Ibnu Majah)


Begitulah satu daripada beribu hadis yang menyebutkan tentang kelebihan bulan Ramadan yang akan ditempuh oleh seluruh umat Islam dunia tidak lama lagi.


Wawancara wartawan ZUARIDA MOHYIN dengan pensyarah Jabatan Bahasa al-Quran, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohammad Nidzam Abdul Kadir menjelaskan tentang fenomena biasa menjelang bulan mulia ini dan bagaimana untuk memperoleh puasa yang mabrur.


Apakah sikap yang sepatutnya bagi seorang Muslim dalam menyambut Ramadan?

MOHAMMAD NIDZAM: Dalam menyambut Ramadan, saya dapati ada beberapa sikap atau watak individu Muslim. Antaranya ada yang rasa terbeban dengan bulan Ramadan. Ini kerana puasa pada siang hari dengan kadar masa yang agak panjang. Godaan perut makin banyak sekarang ini. Malam hari pula terpaksa pergi ke masjid atau surau untuk solat Isyak berjemaah dan sunat tarawih.


Sepatutnya sikap berasa terbeban dengan kedatangan Ramadan tidak boleh berpanjangan. Sebagai Muslim, puncak ibadat adalah ketaatan terhadap perintah Allah. Apa jua perintah Ilahi, kita dengar dan kita taati. Seorang Muslim perlu gembira dengan kedatangan Ramadan kerana pintu-pintu syurga dibuka manakala pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan pula dirantai. Ini peluang yang baik untuk mendapat ganjaran pahala dengan mudah.


Antara hasil puasa Ramadan ialah takwa. Namun masih ramai yang berpuasa tetapi masih melakukan maksiat seperti tidak solat dan bermain nombor ekor. Apakah status puasa golongan ini?


MOHAMMAD NIDZAM: Memang hasil puasa adalah takwa. Ini sabit dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183 di mana Allah berfirman mafhum-Nya: Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu puasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat sebelum kamu semoga kamu menjadi golongan bertakwa.


Jadi, puasa penghujungnya ialah takwa. Tetapi tidak semestinya orang yang berpuasa akan beroleh nilai takwa. Ia perlu melalui proses pendidikan sepanjang bulan Ramadan. Kalau puasa, tetapi banyak larangan puasa dilanggar, puasanya tidak berkualiti.


Macam solat juga. Al-Quran menyatakan bahawa solat mencegah daripada perbuatan keji dan munkar. Tapi bukan sebarang solat. Ia adalah solat yang berkualiti dan khusyuk. Macam juga haji. Oleh itu, kalau kita betul-betul ingin menjadi Muslim yang bertakwa, ambillah dan gunakanlah peluang bulan Ramadan bersungguh-sungguh, insya-Allah kita akan betul-betul bertakwa.


Puasa golongan yang masih tidak solat atau main nombor ekor, puasanya dikira sah kerana ia bukanlah perkara yang membatalkan solat. Namun puasa tersebut bukanlah puasa yang berkualiti. Sabda Nabi SAW dalam riwayat al-Bukhari yang bermaksud: Puasa itu adalah perisai, maka janganlah orang yang berpuasa bercakap dengan perkara keji dan janganlah dia melakukan perbuatan orang jahil.

Kita selalu disogokkan dengan pelbagai ganjaran hasil daripada melakukan ibadat puasa Ramadan. Pun begitu, ada kenyataan yang mengatakan bahawa tidak semua orang yang berpuasa itu mendapat hasilnya. Tolong ustaz jelaskan perkara ini dan bagaimana untuk memperoleh puasa yang mabrur?


MOHAMMAD NIDZAM: Memang banyak kelebihan ibadat puasa. Antaranya ia adalah rukun Islam. Selain itu, ada satu hadis qudsi daripada Nabi SAW riwayat al-Bukhari maksudnya: …dia (orang yang berpuasa) meninggalkan makanan, minuman dan nafsu syahwatnya kerana Daku. Puasa adalah bagi-Ku dan Aku yang akan memberi ganjaran dengannya…


Macam kita belajar di sekolah atau di universiti. Adakah kita pasti bahawa semua pelajar akan mendapat ‘A’. Sudah tentu tidak. Ia bergantung juga kepada sekadar mana usaha pelajar tersebut. Samalah dengan orang yang berpuasa. Oleh itu, ada beberapa tip untuk mendapat puasa yang mabrur (puasa yang berkualiti dan diterima oleh Allah):


lBerpuasa penuh

lMenjaga akhlak perut, akhlak mata dan sebagainya. Contoh akhlak perut adalah menjaga agar tidak makan daripada hasil yang haram. Begitu juga semasa berbuka puasa, makanlah secara sederhana dan lagi bagus, mengikut tertib sunah Nabi SAW dengan makan buah tamar dahulu.


lAkhlak pergaulan mesti dijaga.


lMemperbanyakkan amalan membaca al-Quran dan berzikir.

lMengambil peluang untuk solat sunat tarawih. Seterusnya peluang sunah bersahur juga digunakan untuk melakukan solat sunat tahajud dan sebagainya.

lBerusaha memperbanyakkan ibadat di penghujung Ramadan untuk mendapat Lailatul Qadar.

Acap kali bila tibanya bulan Ramadan, kemunculan hadis-hadis daif berkaitan kelebihan bulan ini begitu ketara. Contohnya, Berpuasalah nescaya kamu sihat, Tidur orang yang berpuasa adalah ibadat dan banyak lagi. Bagaimanakah seharusnya kita berhadapan dengan perkara ini?

MOHAMMAD NIDZAM: Proses mengenali hadis daif memerlukan ilmu. Ada hadis daif yang boleh dijadikan panduan. Contohnya berpuasalah nescaya kamu sihat. Kajian ulama hadis mendapati bahawa hadis ini daif.


Walau bagaimanapun, isi kandungannya adalah baik dan benar. Begitu juga riwayat bahawa tidur orang yang berpuasa adalah ibadat. Memang benar. Kalau berpuasa tetapi mengumpat sana mengumpat sini, maka tidur adalah ibadat yang lebih utama.

Cuma ada hadis daif yang sangat daif dan langsung tidak mempunyai asal dalam agama. Contohnya ganjaran pahala yang melampau dan keterlaluan.


Contohnya hadis solat tarawih setiap malam dan fadilatnya. Hadis ini bukan lagi daif tetapi adalah hadis palsu. Ia mesti diperangi kerana hadis palsu mengandungi pendustaan terhadap diri Nabi SAW. Kita tidak nafikan kelebihan solat tarawih tetapi ia mestilah sahih, hasan atau daif yang diterima mengikut syarat yang dikaji oleh para ulama hadis.


Dalam kitab Ihya’ Ulumiddin, Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa Abu Darda’ berkata: Rasulullah bersabda yang bermaksud: Hendaklah kamu menjadi orang berilmu. Jika tidak, jadilah orang yang mempelajari ilmu. Jika tidak, jadilah orang yang mendengar ilmu. Jangan kamu jadi golongan keempat (yang tidak termasuk dalam golongan itu). Hendaklah kamu tinggalkan perbuatan golongan keempat itu. Bagaimanakah saranan di atas boleh diadaptasikan pada bulan Ramadan ini?


MOHAMMAD NIDZAM: Saya harap riwayat ini sahih. Walau bagaimanapun, maksud hadis ini adalah sahih. Ia menggambarkan bahawa proses tuntutan ilmu perlu dilakukan sama ada sebagai guru, pelajar atau sekadar pendengar.


Bagi mengadaptasikannya dalam bulan Ramadan, ada beberapa perkara yang wajar dilakukan.

Antaranya program tadarus al-Quran. Tadarus al-Quran bukanlah sekadar menghabiskan bacaan sahaja tetapi bagaimana kita cuba memahami ayat-ayat Allah. Maka adalah elok jika ada beberapa ayat dikaji dan difahami setiap hari selain cuba menghabiskan satu juzuk al-Quran setiap hari.


Program kuliah dan ceramah agama juga sewajarnya tidak dihentikan sama sekali. Manusia memerlukan pengisian ilmu dan nasihat. Namun ia hendaklah dilakukan dengan baik dan teliti.


Janganlah kerana ceramah agama, kita mengganggu kekhusyukan orang yang sedang solat. Oleh itu, masa perlulah sesuai. Kuliah subuh boleh diteruskan seperti biasa.


Kuliah tarawih juga boleh dilakukan tetapi ia perlu dirancang dengan baik. Jika tidak, ia satu program yang tidak sesuai. Contohnya ada masjid atau surau mengadakan ceramah antara solat tarawih. Solat tarawih pula lapan rakaat. Apabila siap empat rakaat, ada ceramah agama. Setiap malam pula begitu rupa. Satu slot ceramah masanya 45 minit hingga satu jam. Ini bagi saya satu pengisian program yang tidak wajar kerana ia mengambil masa yang agak panjang.


Selain itu, ibadat utama iaitu solat tarawih masih belum sempurna. Kalau sudah sempurna lapan rakaat, para jemaah ada pilihan untuk terus mendengar ceramah atau terus balik.


Selain itu, umat Islam juga mempunyai masa pada siang hari kerana tiada waktu makan. Oleh itu, ambillah peluang ini untuk kita membaca bahan-bahan bacaan yang bermanfaat.


Yang penting, jadikan bulan Ramadan satu jambatan mencapai ketakwaan dan keredaan Allah.

Sumber: Utusan Malaysia 28 Ogos 2008


Sumber: Mastika Hadis Jilid 3

IBADAT PUASA
Fasal (*) Fasal Pertama : PUASA BULAN RAMADHAN
Kandungan (*)
Firman Allah Taala:



يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ.



"Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana puasa itu diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa". (1)

Firman-Nya lagi:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْءَانُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ..


"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Qur`an, menjadi pertunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan pertunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu .. ". (2)



____________________________



1. Ayat 183, Surah Al-Baqarah.



2. Ayat 185, Surah Al-Baqarah.

Berpuasa pada bulan Ramadhan - sebagaimana yang sedia maklum - ialah "rukun Islam yang keempat". Dalilnya dari al-Qur'an ialah ayat-ayat suci yang diterangkan di atas dan dari hadith pula seperti berikut:

1- عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الْإِسْلَامَ بُنِيَ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَصِيَامِ رَمَضَانَ وَحَجِّ الْبَيْتِ. (رواه مسلم)


1- Dari Ibn Umar, r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Islam itu dibina dan ditegakkan di atas lima dasar (lima rukun), iaitu mengucap dua kalimah syahadat (dengan meyakini serta menerangkan kebenaran) bahawa sesungguhnya tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, memberi zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan, dan mengerjakan haji ke Baitullah".(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)



Menurut sejarahnya puasa bulan Ramadhan telah difardhukan atas umat Islam dalam bulan Sya'aban, tahun yang kedua Hijriyah.



_________________________________



1. Sahih Muslim - bi Syarh al-Nawawi (1:177).



Ta'rif Puasa dan Kelebihannya


Puasa ertinya menahan diri, dan pada syarak maksudnya menahan diri daripada segala yang membatalkan puasa, mulai dari masa terbit fajar hingga tenggelam matahari disertakan dengan niat.



Membendung Kemahuan Hawa Nafsu


Menurut huraian ulama' rahimahumullah: "Sebahagian besar dari kejadian kacau bilau yang berlaku dalam sebuah masyarakat adalah akibat dari runtunan hawa nafsu yang buas liar dan melampaui batas sehingga ada yang melupai kehormatan diri dan rumah tangga, mencuaikan tugas dan kewajipan, mengkhianati amanah dan berbagai perkara jenayah lagi.



"Oleh itu, kewajipan menyekat hawa nafsu dan menentang runtunan liarnya, serta melatih diri mengingati pengawasan Allah Taala akan segala yang zahir dan yang batin sebagaimana yang terdapat dalam amalan puasa adalah menjadi satu cara hidup yang aman sentosa.



"Dengan yang demikian, nyatalah hikmatnya ibadat puasa itu menjadi salah satu dari asas atau rukun Islam."(1)



__________________________________



1. Muqaddimah Mastika Hadith (hlm. 57).


Kelebihan Puasa Secara Umum


Kelebihan atau fadhilat puasa secara umum - sama ada yang wajib atau yang sunat - diterangkan dalam hadith yang berikut:



2- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصِّيَامَ هُوَ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ. (رواه مسلم)

2- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Aku ada mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Allah Azza wa Jalla berfirman maksudnya: "Segala amal bakti anak Adam adalah untuknya, kecuali amalan puasa, (maka) ia adalah untuk-Ku dan Akulah yang membalasnya (dengan balasan yang sebaik-baiknya) .."(1)

(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)



Oleh kerana amalan puasa (yang wajib dan yang sunat) itu dikerjakan secara tertutup antara seseorang dengan Tuhannya berdasarkan ikhlas semata-mata - berbanding dengan amal-amal bakti yang lain yang dikerjakan secara terbuka, maka amalan puasa yang demikian amatlah besar pahalanya dan hanya Allah jua yang dapat menilai dan memberi balasan yang sepadan dengannya.



_______________________________



1. Al-Ahadith al-Qudsiyah (1:172). Hadith ini ialah "Hadith Qudsi" diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari dan lain-lainnya. Ta'rif Hadith Qudsi telah diterangkan dalam "Muqaddimah Mastika Hadith".



Diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:



3- عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَهُ أَلَا أَدُلُّكَ عَلَى أَبْوَابِ الْخَيْرِ الصَّوْمُ جُنَّةٌ وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ. (رواه الترمذي)



3- Dari Mu'az bin Jabal r.a., bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda kepadanya: "Mahukah aku tunjukkan kepadamu pintu-pintu kebajikan?" "Mahu, ya Rasulullah", jawabku. Baginda pun menerangkan, sabdanya: "Puasa itu perisai (dari kejahatan) dan sedekah pula menghapuskan dosa sebagaimana air memadami api ... (1)

(Hadith Sahih - Riwayat Tirmizi)



_______________________________



1. Al-Targhib (2:87).


Diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:



4- عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الصِّيَامُ وَالْقُرْآنُ يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ. (رواه الإمام أحمد وغيره)

4- Dari Abdullah bin Umar r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Puasa dan Al-Qur'an memohon syafa'at kepada Allah pada hari kiamat - bagi orang-orang yang berbakti (yang selalu berpuasa dan banyak pula membaca Al-Qur'an) .. (1).

(Hadith Hasan - Riwayat Imam Ahmad dan lain-lainnya)



_________________________________



1. Kitab yang sama (2:84).



Selain daripada menjadi sebab yang membawa rahmat di akhirat kelak, puasa juga menjadi sebab yang membawa kebaikan yang berkesan di dunia ini.

Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:

5- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صُومُوا تَصِحُّوا وَسَافِرُوا تَسْتَغْنُوا. (رواه الطبراني)

5- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: " .. berpuasalah nescaya kamu menjadi sihat dan mengembaralah nescaya kamu menjadi kaya .. (1)

(Hadith Riwayat Tabrani)



_______________________________


Al-Targhib (2:83), rawi-rawinya diakui benar.









Kelebihan Puasa Ramadhan Secara Khusus


Mengenai puasa Ramadhan secara khusus, diterangkan dalam hadith yang berikut:

6- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ. (رواه البخاري ومسلم)


6- Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w. sabdanya: "Sesiapa yang mengerjakan puasa bulan Ramadhan dengan keadaan beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu".
(1)(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Muslim)



Menurut huraian Imam Nawawi rahimahullah Amal-amal kebajikan yang menjadi sebab untuk menghapuskan dosa-dosa yang tersebut, maksudnya dosa-dosa kecil Kalau tiada dosa kecil, ia dapat meringankan dosa-dosa besar Kalau tiada dosa-dosa besar, ia dapat meninggikan darjat

orang-orang itu di dalam syurga (2)



__________________________________



1. Minhaj al-Salihin - min Ahadith Khatam al-Anbiya' wa al-Mursalin (181).



2. Tuhfat al-Ahwadzi (6:362).

No comments: