Tuesday, November 23, 2010

Peranan Ibubapa menangani gejala sosial dalam Masyarakat

Selasa,23 November 2010/16 Zulhijjah 1431

Peranan Ibubapa menangani gejala sosial dalam Masyarakat.



1. Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama menangani kemelut gejala sosial yang berlaku.. Firman Allah SWT. dalam surah An-Nahl ayat 125:

"Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik, sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalan-Nya, dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah".


Kita harus memaksimumkan penggunaan Medium Dakwah yang melibatkan pendekatan kesukanan, hiburan, teknologi canggih seperti penggunaan IT. yang meliputi penggunaan Laman Sosial, Blog, E-Mail atau melalui Laman-laman Web.

2. Ibubapa hendaklah bersikap terbuka dalam memainkan peranan mereka bagi menarik minat anak-anak dengan cara atau jalan yang paling baik. Pendekatan tegas, berdisiplin di samping menunjukkan kasih sayang, lembut dan mesra adalah sangat sesuai dalam mentarbiyyah anak-anak. Kita tidak ingin melihat anak-anak menjadi semakin jauh daripada kita akibat tiada belaian kasih sayang dan kemesraan terhadap mereka.

Justeru, ibubapa hendaklah mempelajari Ilmu-ilmu Motivasi dan Pentarbiyyahan terkini sesuai dengan peredaran zaman. Ada masa dan ketika kita menjadikan mereka teman dan ada masa kita bertegas dengan mereka. Kasih sayang dan kemesraan hendaklah dipupuk, Program-program Pembinaan Ukhuwwah Dan Jalinan Kekeluargaan hendaklah sentiasa dibentuk seperti lawatan, perkhemahan, hari keluarga, riadhah santai bersama keluarga dan sebagainya.



3. Apa yang paling penting peranan keluarga dalam menangani gejala sosial yang berlaku ialah penerapan asas-asas agama kepada anak-anak kita dengan memberi Pendidikan Asas Fardhu 'Ain dalam diri setiap anak-anak, mudah-mudahan ianya akan menjadi obor dalam kehidupan mereka untuk memperolehi keredhaan Allah SWT.

Ibubapa hendaklah menjadi contoh utama dalam amalan dan menunaikan kewajipan agama seperti solat secara berjamaah dan membimbing anak-anak berkenaan batas-batas pergaulan dalam Islam, pemeliharaan batasan aurat, galakan untuk menghadhiri kelas-kelas agama dan sebagainya.

4. Di samping itu peranan masjid, NGO, Jabatan-jabatan Kerajaan, Swasta, JKKK. dan Individu Perseorangan dalam membendung gejala sosial hendaklah diperkasakan dengan menyumbang apa-apa yang perlu samada kewangan, kemudahan, dewan, tempat rekreasi atau peralatan mengendalikan Program-program Kesedaran atau Khidmat Nasihat berupa Ceramah Motivasi, Kaunseling, Penyediaan Kursus-kursus Keinsafan, Bimbingan Kerjaya atau Panduan Berumahtangga demi menyelamatkan generasi muda daripada menjadi mangsa keruntuhan akhlak dan akidah.

5. Firman Allah SWT. dalam surah Toha ayat 132:

"Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat dan hendaklah engkau bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu;. dan kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertaqwa".

Menurut buku "Apa Ertinya Saya Menganut Islam " yang dikarang oleh Fathi Yakan menyatakan beberapa langkah:

5.1. Memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa matlamat hidup insan ialah sebagai khalifah dan sebagai hamba Allah. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 30:

"Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi".

Ini menjelaskan kepada kita bahawa sebagai khalifah dan hamba Allah, umat Islam wajib menegakkan agama Allah dan mentadbir alam ini berlandaskan syarak dan agama serta patuh dan taat mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT. Firman Allah SWT. dalam surah Az-Zariyat ayat 56:

"(Ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku".

5.2. Manusia haruslah memahami bahawa nilai dunia adalah terlalu sedikit dan bersifat sementara berbanding akhirat.

5.3. Manusia hendaklah menyedari bahawa kematian pasti datang menemui kita. Justeru, carilah bekalan menuju alam akhirat. Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 185:

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan hanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya, dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan".

5.4. Umat Islam mestilah mengetahui hakikat Islam itu dengan mempelajari selok-belok agama agar hilang kejahilan umat dan kebaikan akan terserlah akhirnya. Hadith ini diriwayatkan oleh Al-'Askari daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

"Sesungguhnya ilmu itu didapati dengan belajar dan kefahaman itu didapati dengan mendalami ilmu, barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah akan kebaikan, nescaya Allah akan memberikannya kefahaman dalam agama".

5.5. Umat Islam mestilah mengenali siapakah jahiliyyah atau musuh Islam. Semua perkara yang menyimpang daripada agama adalah jahiliyyah. Kita hendaklah waspada bahawa musuh-musuh ini akan sentiasa menghancurkan kita termasuk budaya dan pemikiran.

Tegasnya untuk menyelesaikan sebahagian masalah gejala sosial ini adalah dicadangkan:

Pertama: Sesebuah keluarga mestilah menggalakkan mereka yang bujang supaya berumahtangga kerana Rasulullah menegaskan dalam hadithnya yang diriwayatkan oleh Baihaqi dan Al-Hakim:

"Sesiapa yang berkahwin sesungguhnya ia telah menyempurnakan separuh dari agamanya maka bertaqwalah ia pada separuh yang lain".

Kedua: Pembinaan sesebuah keluarga hanya berjaya dengan tarbiyyah, asuhan dan didikan menurut nilai-nilai Islam.

Ketiga: Sesebuah keluarga amat wajar memantau dan mengambil tahu pergaulan dan pergerakan anak-anak mereka agar tidak terjebak dengan perkara-perkara negatif.

Keempat: Sesebuah Keluarga, Ahli Masyarakat dan Pemerintah perlulah memainkan peranan penting dalam usaha membentuk dan mencorakkan generasi kini menjadi Generasi Soleh dengan Penyediaan Alternatif Aktiviti dan Program Membina Generasi Taqwa dan menjadi Modal Insan yang hakiki untuk hari ini dan akan datang, sebagaimana usaha yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor ke arah Pembinaan Modal Insan yang baik dengan pelaksanaan Program SPIES di semua peringkat.

Oleh itu marilah kita sebagai umat yang dianugerahkan akal yang waras dan diberikan kesedaran Islam yang tinggi, bertindaklah segera kembalikanlah umat Islam ke jalan yang lurus dan jalan taqwa agar kehidupan kita akan memperolehi ketenangan di dunia dan di akhirat.

Firman Allah swt dalam surah At-Thur: 21

"Dan orang yang beriman dan diikuti oleh zuriat keturunan mereka dalam keimanan, Kami hubungkan zuriat keturunan itu dengan mereka (di dalam syurga); dan Kami tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amalan mereka; Setiap manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya".





Dipetik dan disesuaikan dari Khutbah Jumaat Bacaan 8 Oktober 2010 oleh JAIS.

No comments: