Monday, November 22, 2010

Asas Agama Islam Ialah Agama Allah

Isnin 22 November, 2010/15 Zulhijjah 1431.

Asas agama ialah Ma'rifat Allah.


Islam ialah agama ciptaan Allah yang diturunkan melalui Rasul-rasulnya yang diakhiri dengan Nabi Muhammad s.a.w. untuk keselamatan dan kebahagiaan umat manusia di dunia dan di akhirat.

Dalam agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w terkandung hukum-hukum dan amalan-amalan meliputi segala bidang hidup, dari perkara yang sebesar-besarnya hingga kepada yang sekecil-kecilnya dan semuanya itu bergantung kepada satu asas yang penting - "Marifat Allah", iaitu mengenal Allah Subhanahuwataala dan mengakui keEsaanNya.


Hakikat ini telah disimpulkan oleh ulama Tauhid dalam kalimah "Awalud Din Ma'rifat Allah" (asas agama ialah mengenal Allah), iaitu intisari dari maksud hadis yang kami sebutkan dalam bab ini.

Jelasnya, sebagaimana sesebuah bangunan bergantung kepada asasnya tentang teguh kukuh atau tidaknya, maka demikianlah pula halnya "Ma'rifat Allah" itu, tiap-tiap seorang wajib memahaminya supaya meresap dan sebati dalam jiwanya sehingga menjadi satu keyakinan yang dapat mempengaruhi seluruh perasaan dan gerak langkahnya untuk memikul tanggungjawab menjalankan hukum-hukum Islam dan amalannya.


Sekiranya asas Ma'rifat ini tidak kukuh dan hanya dalam peringkat sangkaan semata-mata, maka inilah sebabnya seseorang itu tidak merasa bertanggungjawab dalam menjalankan hukum-hukum dan amalan yang tersebut dengan sepenuhnya.

Ma'rifat Allah wajib pada syarak dan juga wajib pada akal.

Tiap-tiap seorang manusia apakala ia lahir ke alam wujud ini, ia akan dapat menerima berbagai-bagai nikmat yang tidak terhitung.

Di antaranya ialah tubuh badannya dilengkapkan dengan nikmat-nikmat yang tidak ternilai seperti mata, telinga dan lain-lainnya yang tidak dapat diberi oleh sesiapa pun dari kalangan manusia sendiri atau makhluk-makhluk yang lain.


Maka tidaklah patut bagi orang yang menerima nikmat itu kalau ia tidak mahu mengenal siapakah pemberinya dan tidak mahu bersyukur akan pemberian yang sangat-sangat berharga itu.

Sikap yang demikian, tak dapat disangkal lagi tentang tidak patutnya kalau difikirkan oleh orang-orang yang berakal siuman yang menggunakan akalnya dengan jujur. Lebih-lebih lagi tidak patut kalau orang itu menggunakan nikmat pada bukan tempatnya dan ia pula menentang serta menderhaka kepada yang melimpahkan nikmat itu kepadanya. Kerana sikap yang demikian menggambarkan ketiadaan peri kemanusiaan.


Allah Taala Yang Maha Pemurah, lagi Amat Mengasihani, yang melimpahkan nikmat-nikmat-Nya yang tidak terhitung kepada sekalian makhluk, telah mengingatkan manusia supaya mengenal-Nya dan mengakui keEsaanNya, dengan firmanNya : فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ yang maksudnya memerintahkan manusia supaya masing-masing berusaha mencari jalan mengenalNya dengan sepenuh-penuh yakin, kerana Dialah Pencipta manusia dan alam seluruhnya, dan Dialah juga yang mengurniakan segala nikmat yang mereka gunakan dalam alam kehidupan ini.

Dengan ini jelaslah bahawa "Ma'rifat Allah" (mengenal Allah) itu hukumnya wajib pada syarak sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah Taala dan juga diakui wajibnya oleh akal yang siuman.


Sesiapa yang tidak mahu mengambil berat mengenal Allah, sedang ia sentiasa menggunakan nikmat-nikmat pemberian-Nya maka sikapnya yang demikian adalah bertentangan dengan "Fitrah insaniah" (keaslian perikemanusiaannya) dan melanggar perintah Allah Taala serta mencuaikan kegunaan akalnya sendiri.


Jalan yang menyampaikan kepada ma'rifat.


Cara mengenal sesuatu sudah tentu dengan jalan mengenal sifat-sifatNya. Maka demikianlah pula cara mengenal Allah Taala, yang wajib al Wujud, tak dapat tidak dengan jalan mengenal sifat-sifat-Nya. Tetapi sifat-sifat Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Kuasa itu tidak dapat dicapai dengan pancaindera, hanya dapat diyakini dari kesan sifat-sifatnya yang ternyata pada kejadian-kejadian alam yang diciptakan-Nya.


Meskipun manusia dilengkapkan dengan akal untuk memikir dan menimbang apa yang diperhati dan ditelitinya dari kejadian-kejadian alam yang tercipta dengan indah dan teratur, bahkan manusia disuruh berbuat demikian untuk kebaikan dan keselamatan dirinya di dunia dan di akhirat, tetapi akal manusia itu adalah terbatas setakat perkara-perkara dan benda-benda yang ada dalam alam nyata yang dapat dicapai oleh pancaindera dan alat-alatnya sahaja.

Maka dengan keadaannya yang demikian, sudah tentu ia tidak dapat memikirkan sama sekali tentang zat Allah Taala yang bukannya dari jenis-jenis benda dan tidak ada sesuatu pun yang menyamaiNya.


Oleh sebab itulah junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. yang diutus oleh Allah Taala untuk memimpin umat manusia ke jalan yang benar, telah menerangkan tentang cara menggunakan fikiran untuk "mengenal Allah" dalam beberapa hadis yang diriwayatkan oleh tiga orang sahabat Baginda s.a.w. iaitu Ibn Abbas, Abu Zar dan Ibn Umar r.a.
Ibn Abbas, Abu Zar dan Ibn Umar r.a.

(Petikan Dari Mastika Hadis)

No comments: