Thursday, June 23, 2011

kelebihan bersedekah..

Khamis, 23 Jun 2011/21Rejab 1432.

Kelebihan bersedekah diterangkan lagi dalam hadith yang berikut:


118- عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَيُّمَا مُسْلِمٍ كَسَا مُسْلِمًا ثَوْبًا عَلَى عُرْيٍ كَسَاهُ اللَّهُ مِنْ خُضْرِ الْجَنَّةِ وَأَيُّمَا مُسْلِمٍ أَطْعَمَ مُسْلِمًا عَلَى جُوعٍ أَطْعَمَهُ اللَّهُ مِنْ ثِمَارِ الْجَنَّةِ وَأَيُّمَا مُسْلِمٍ سَقَى مُسْلِمًا عَلَى ظَمَإٍ سَقَاهُ اللَّهُ مِنْ الرَّحِيقِ الْمَخْتُومِ. (رواه أبو داود)

118- Dari Abu Said r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya:

"Mana-mana orang Islam yang memberi pakaian kepada seorang Islam yang sedang terdedah anggotanya yang sepatutnya tertutup, Allah akan memakaikan penderma itu dengan pakaian (penduduk) syurga yang (serba indah dan) berwarna hijau. Demikian juga mana-mana orang Islam yang memberi makan kepada seorang Islam yang sedang lapar, Allah akan memberi makan kepada penderma itu dari buah-buahan syurga. Demikian juga mana-mana orang Islam yang memberi minum kepada seorang Islam yang sedang dahaga, Allah akan memberi minum kepada penderma itu dengan sejenis minuman syurga yang (serba lazat dan) termeterai bekasnya."(1)

(Riwayat Abu Daud)

Hadith ini selain daripada menerangkan secara khusus tentang balasan yang sebaik-baiknya yang akan didapati oleh orang-orang yang bersedekah kepada golongan fakir miskin yang menderita, diterangkan pula - sebagai menambahkan pengetahuan - bahawa pakaian penduduk syurga yang serba indah itu ialah berwarna hijau.

Keistimewaan warna hijau ini ditegaskan juga di dalam al-Qur'an. Dalam beberapa ayat diterangkan bahawa penduduk syurga pada hari akhirat kelak bukan sahaja dihiasi dengan pakaian dan kain sutera yang berwarna hijau, (2) bahkan bantal-bantal dan cadar yang disediakan untuk mereka di sana, juga berwarna hijau.(3)

Warna putih juga mempunyai keistimewaan dalam Islam. Dalam sebuah hadith sahih(4) - diterangkan bahawa sebaik-baik pakaian ialah yang berwarna putih (yang melambangkan kebersihan dan kesucian).

No comments: