Sabtu, 5 Novemeber 2011/9 Zulhijjah 1432
Esok hari Ahad, 6 November 2011/bersamaan 10 Zulhijjah 1432, umat Islam di Malaysia merayakan Hari kebesaran Islam iaitu hari Raya Aidil Adha. Hari kebesaran ini dikenali juga sebagai Hari Raya Haji yang merupakan salah satu dari hari kebesaran dan perayaan bagi seluruh umat Islamsedunia mengikut kiraan bulan Islam di tempat masing-masing. Pada masa ini dianggarkan 3 juta umat Islam yang sedang mengerjakan Rukun Islam kelima ini ke Mekah.
Hari Raya ini dikenali sebagai Hari Raya Haji kerana sambutan pada hari ini ialah bagi meraikan umat Islam yang mengerjakan salah satu dari amal ibadah yang termasuk di dalam rukun Islam yang lima, iaitu ibadah haji. Aidil adha juga dikenali sebagai hari raya korban kerana antara syiar semasa merayakannya adalah mengorbankan haiwan ternakan seperti unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri.
Ibadah korban yang dilakukan adalah bagi sempena memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim a.s, yang sanggup menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail a.s kerana taat kepada perintah ALLAH. Namun, berkat keyakinan, kesabaran serta ketaatan kedua-dua ayah dan anak ini maka Allah telah menggantikannya dengan seekor binatanag kibas ketika Nabi Ibrahim sudah bersedia menyembelih anaknya itu. Peristiwa ini telah dirakamkan oleh Allah sebagaimana firman ALLAH swt:
"Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku akan menyembelihmu. Apakah pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya ALLAH, ayah akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar.
Setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami).
Lantas KAMI menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya KAMI membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata dan KAMI tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar serta KAMI kekalkan baginya (nama yang harum) di kalangan orang-orang yang datang terkemudian."
– (Surah al-Soffaat: 101-108)
Pada Hari Raya korban umat Islam akan melakukan ibadat Korban , dengan menjalankan penyembelihan binatang-bintang korban dengan mengagih-agihkan daging yang siap dilapah dan potong untuk diberikan kepada golongan yang kurang bernasib-baik seperti orang miskin, anak yatim, orang Islam yang sedang ditimpa musibah dan lain-lain lagi.
Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Sambutan Hari Raya bermula dengan takbir aidil adha pada malam 10 Zullhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidil adha beserta dengan bacaan khutbah pada awal pagi 10 zulhijjah. Ibadat korban dengan melakukan penyembelihan binatang korban boleh dilakukan setelah selepas solat sunat raya dan boleh juga dilaksanakan pada 11, 12 atau siang 13 Zulhijjah, sebelum tenggelamnya matahari pada hari ke 13 Zulhijjah, atau yang dikenali sebagai hari tasyrik.
Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.
Pada hari raya, orang Islam disunatkan memakai pakaian yang cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat dengan 7 takbir pada rakaat pertama diikuti 5 takbir pada rakaat kedua.
Pada kebiasaannya solat sunat Aidil adha dicepatkan sedikit berbanding solat sunat Aidilfitri. Hikmahnya dicepatkan sedikit waktu solat sunat Aidiladha adalah bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan korban. Hikmahnya dilewatkan sedikit solat sunat Aidilfitri pula adalah bagi membenarkan peluang bagi mereka yang belum membayar zakat menunaikan kewajipan mereka dan disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke masjid.
Manakala bagi Aidil adha, hikmat disunatkan makan selepasnya supaya makanan yang mula-mula dimakan pada hari itu ialah daging korban yang berkat. Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan dagingnya kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.
Hari Raya Aidiladha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Mekah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakan, tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya sebagai korban kepada Tuhan.
Semoga semangat pengorbanan iini dapat dihayatai dan diamalkan supaya dapat dilaksaanakan sebangimana yang diteladani oleh Nabi Allah Ibrahom dan Ismail, a.s.Begitu juga pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad saw serta para sahabat yang berkorban harta, jiwa dan raga mereka untuk menyebar dan menegakkan Islam sehingga hasilnya dapat kita kecapi dengan nikmat agama dan iman hingga ke hari ini. Tanyalah diri kita , apakah yang telah kita lakukan pengorbanan terhadap agama Allah dan pengorbanan kita sebagai hamba Allah terhadap Maha Pencipta?
No comments:
Post a Comment