Jumaat 8 Julai 2011/ 5 Syaaban 1432
"Bagaimana Membentuk Keluarga Beriman”
1. Islam telah menetapkan bahawa keluarga adalah merupakan satu tempat
pergantungan manusia untuk menjaga diri, menaungi dan mendapat
ketenteraman serta kebahagiaan dalam sebuah kehidupan. Ianya merupakan
suatu nikmat yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T kepada umat manusia. Ini
berdasarkan firman Allah S.W.T dalam surah An-Nahlu ayat 72:
“Dan Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri dan
dijadikan bagi kamu daripada isteri kamu anak-anak dan cucu-cicit, serta
dikurniakan kepada kamu daripada benda-benda yang baik lagi halal, maka
patutkah mereka percaya kepada perkara yang salah dan mereka kufur pula
akan nikmat Allah?”.
2. Keluarga adalah merupakan suatu amanah daripada Allah S.W.T yang
harus dijaga dan dipelihara dengan baik. Anak-anak kita adalah dianggap
sebagai amanah Allah S.W.T. dan suami atau bapa adalah merupakan orang
yang berperanan dan bertanggungjawab untuk membimbing ahli keluarganya ke
arah mencari kebahagiaan hidup di dunia dan juga di akhirat.
3. Ilmu agama dalam diri kita adalah benteng yang mampu menangkis segala
cabaran dalam mengharungi kehidupan di dunia ini. Ia juga menjadi panduan
kepada kita agar tidak tersesat daripada menuju ke matlamat akhir kehidupan ini.
Tanpa ilmu agama, sudah pasti hidup kita akan tersesat dan terumbangambing
tanpa arah dan tujuan yang sebenar. Oleh kerana itu, tanggungjawab
utama yang harus diberikan tumpuan oleh suami isteri selaku ibubapa dalam
usaha membentuk keluarga beriman adalah dengan didikan agama yang
secukupnya.
4. Didikan agama ini pula mestilah menekankan perkara-perkara yang
berikut:
4.1. :Penekanan kepada pendidikan Al-Quran, kerana ianya merupakan
satu-satunya mukjizat yang dapat melembutkan dan membentuk jiwa
manusia yang beriman. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Anfal
ayat 2 ;
"Sesungguhnya orang yang beriman itu (yang sempurna imannya)
ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya)
gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka
ayat-ayatnya bertambahlah iman mereka. Kepada Tuhan mereka
jualah mereka bertawakkal."
4.2. :Penekanan terhadap amalan sunnah Rasulullah S.A.W, kerana setiap
sunnahnya adalah berlandaskan syariat Allah S.W.T. Firman Allah
S.W.T dalam surah Al-Hasyr ayat 7:
"Apa jua yang diberikan oleh Rasulullah S.A.W (sama ada pemberian
atau perintah) kepada kamu, maka terimalah, dan apa jua yang
dilarangnya kamu melakukan maka, patuhilah larangannya.
Bertaqwalah kepada Allah; Sesungguhnya Allah amat berat azabnya
(bagi orang yang melanggar perintahnya)" .
4.3.:Penekanan terhadap ilmu-ilmu aqidah dan akhlak yang menjelaskan
perihal kehidupan umat Islam. Sesungguhnya hanya dengan aqidah
yang benar sahaja dapat melahirkan sifat ikhlas ketika beribadah
kepada Allah S.W.T.
Keempat :Penekanan terhadap ilmu feqah sama ada yang berkaitan dengan
ibadah, muamalah mahupun siasah. Dengan ilmu feqah akan dapat
menjelaskan dan memisahkan antara perkara yang hak dan batil,
seterusnya dapat mengelakkan daripada terjerumus ke dalam
kejahilan, kemaksiatan dan keingkaran kepada Allah S.W.T.
Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Daripada Muawiyah R.A berkata bahawa aku mendengar Rasulullah
S.A.W bersabda: “Barangsiapa yang dikehendaki Allah kebaikan
dengannya, Allah akan memberikannya pemahaman dalam perkara
agama”. (Riwayat Al-Bukhari)
5. Membentuk sebuah keluarga bukanlah untuk sehari dua sahaja, bahkan
ianya akan terus berkekalan selama mana hayat dikandung badan. Maka usaha
ini sudah pasti akan menempuh pelbagai cubaan dan juga rintangan.
Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Anfal ayat 28 yang bermaksud:
“Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu adalah
menjadi ujian bagimu, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar”.
6. Kejayaan ibubapa membentuk keluarga beriman akan menjadi cermin
kepada anak-anak apabila mereka juga membina sebuah keluarga suatu masa
kelak. Oleh kerana itu, ibubapa seharusnya menjadi contoh teladan yang baik
sepanjang masa kepada kehidupan anak-anak. Perkara ini penting kerana ia
akan mempengaruhi kelangsungan hidup generasi seterusnya secara
temurun, kerana kemerosotan akhlak pada hari ini sudah pasti akan
menyumbang kepada kerosakan akhlak pada masa akan datang.
7. Amat malang pula pada hari ini apabila kita dapati ada sesetengah ibubapa
yang lalai dan gagal memberikan contoh teladan yang baik kepada generasi
anak-anak muda. Akibatnya, anak-anak pula yang menjadi mangsa kelalaian
mereka. Inilah yang diibaratkan seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan
dengan betul sedangkan dia sendiri berjalan mengiring.
8. Gaya hidup yang semakin moden pada hari ini telah menjadikan peranan
dan tanggungjawab ibubapa untuk membentuk keluarga beriman semakin
bertambah berat dugaan dan cabarannya. Ini kerana generasi yang ada pada
hari ini sudah terlalu banyak terdedah kepada pengaruh dan budaya luar yang
kebanyakannya bersifat negatif. Perkara-perkara negatif ini pula mudah
diperolehinya dipasaran terbuka, di kedai-kedai, melalui saluran televisyen dan
juga melalui internet. Akibatnya, jiwa anak-anak yang tidak ditanamkan dengan
keimanan ini telah kehilangan pedoman dan semakin jauh daripada batasanbatasan
keagamaan. Apabila sudah tiada pedoman maka berlakulah pula
perbuatan-perbuatan jenayah di luar batasan kemanusiaan seperti pembunuhan,
pembuangan bayi dan lain-lain lagi. Kesemua perkara ini pasti tidak akan berlaku
sekiranya jiwa mereka diasuh dan dididik dengan nilai-nilai keimanan kepada
Allah S.W.T.
9. Maka, marilah kita tunjukkan contoh teladan terbaik kepada anak-anak kita
supaya terbentuk sebuah keluarga yang bahagia dan beriman kepada Allah
S.W.T. Antaranya adalah seperti berikut:
9.1. : Ibubapa hendaklah menunjukkan disiplin diri yang baik di hadapan
anak-anak terutamanya dalam soal-soal ibadah seperti solat dan
ibadah lain. Sesungguhnya pengaruh ibubapa memainkan peranan
yang amat penting dalam usaha untuk mendisiplinkan anak-anak.
9.2.: Hendaklah melayan setiap ahli keluarga dengan penuh sopan santun.
Cara ini akan dapat menambat hati anak-anak dan seterusnya akan
lebih mudah untuk diikuti. Hakikatnya sikap bersopan santun ini
merupakan aset yang paling berharga untuk ditanamkan dalam diri
anak-anak.
9.3. : Menunjukkan sikap bertanggungjawab terhadap anak-anak. Ibubapa
yang sering mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak dan
keluarga akan menyebabkan anak-anak menyisihkan diri daripada
ibubapanya ataupun sebaliknya.
10. Oleh kerana itu, adalah menjadi peranan dan tanggungjawab ibubapa
untuk terus memantau kehidupan anak-anak ini pada setiap masa agar mereka
tidak terus hanyut dalam bisikan-bisikan nafsu yang sentiasa mengajak kepada
kejahatan. Sesungguhnya tanggungjawab ini bukan sekadar di dunia sahaja
bahkan akan dipersoalkan oleh Allah S.W.T di akhirat kelak.
“Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada
api neraka yang bahan-bahan bakarannya ialah manusia dan batu (berhala).
Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar
(layanannya). Mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang
diperintahkannya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang
diperintahkan”.
( At-Tahrim: 6)
Doa Khutbah kedua:
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur
kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga
kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam
khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan
berkebajikan.
Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami,
tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki
kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami
dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau
redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti banjir besar,
kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain,
supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan
berkat.
--------------------------------------------
Sumber: khutbah Jumaat 8 Julai 2011:
Jabatan Agama Islam Selangor.
No comments:
Post a Comment