Monday, July 7, 2008

Tiada Ibadat Khusus sempena Rejab

Isnin, 4 Rejab 1429/ 7 Julai 2008

Kini sudah tiba bulan Rejab. Kemudian dikuti dengan bulan Syaaban sebelum menjelangnya bulan Ramadhan.Dalam maasa 2 bulan ini kaum muslim mula bersedia untuk menyambut kedatangan Ramadhan dengan mempergiatkan melakukan ibadat dan taqwa kepada Allah swt. Seharusnya kita banyakkan ibadat sepeti solat dan puasa serta melakukan kebajikan sesuai dengan jaran agama Islam..



Tiada ibadat khusus sempena Rejab
Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

Pendapat mengenai amalan solat sunat puasa, umrah bersandar kepada hadis lemah

REJAB bermaksud mengagungkan atau memuliakan. Bulan Rejab adalah bulan ketujuh dalam kalendar hijrah. Ia dinamakan Rejab kerana orang Arab pada zaman jahiliah memuliakan bulan ini lantas mengharamkan apa juga bentuk peperangan.

Kalendar Islam yang mempunyai 12 bulan ada empat bulan dimuliakan Allah dalam firman yang bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah ketika Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang bertakwa." - (Surah at-Taubah, ayat 36)

Imam al-Qurthubi berpendapat tafsiran "maka janganlah kamu menganiaya diri kamu" dalam ayat itu bermaksud jangan seseorang menjadikan apa yang diharamkan pada bulan ini halal dan janganlah mengharamkan apa yang halal.

Jika firman Allah hanya menunjukkan ada empat bulan yang dihormati dalam setahun maka sabda Nabi SAW memperincikan nama bulan itu: "Sesungguhnya zaman itu akan terus berlalu sebagaimana saat Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu ada dua belas bulan. Empat di antaranya ialah bulan yang haram, tiga di antaranya ialah berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam. Rejab adalah bulan Mudhar (nama satu kabilah) yang terletak di antara Jamadilakhir dan Syaaban." - (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Rejab termasuk dalam bulan dimuliakan Allah. Lantaran itu tersebar dalam masyarakat kita amalan memiliki fadilat yang besar dikhaskan sempena Rejab ini. Namun begitu pada hakikatnya tidak wujud satu dalil sah menunjukkan amal ibadah tertentu bersempena Rejab.
Hal ini diperakui tokoh ulama hadis bermazhab Syafie iaitu al-Hafidz Ibnu Hajar al-'Asqalani dalam kitabnya Tabyin al-Ajib Bimaa Warada Fi Fadli Rajab yang mana menurut beliau tidak ada hadis sahih mengenai keutamaan Rejab (melainkan ia termasuk bulan haram), puasa Rejab dan solat malam pada Rejab yang dapat dijadikan pegangan.

Adalah masyhur di kalangan masyarakat disunatkan untuk berpuasa pada hari pertama Rejab, Khamis minggu pertama Rejab, 15 Rejab dan 27 Rejab sempena Israk Mikraj.

Selain daripada itu, ada juga yang mengamalkan berpuasa berterusan selama tiga bulan iaitu pada Rejab, Syaaban dan Ramadan. Imam Ibnul Qayyim berkata: "Rasulullah tidak berpuasa pada tiga bulan itu secara terus menerus seperti dilakukan sebahagian orang dan Baginda sama sekali tidak berpuasa pada Rejab dan Baginda pun tidak menggalakkan berpuasa pada Rejab. Bahkan diriwayatkan daripada baginda bahawa baginda melarang berpuasa pada Rejab seperti diriwayatkan Ibnu Majah."

Walaupun begitu jika seseorang itu berpuasa pada Rejab tanpa niat mengagungkan bulan berkenaan tetapi berpuasa bertepatan dengan hari disunatkan berpuasa seperti Isnin dan Khamis atau puasa Nabi Daud (puasa selang sehari) pada Rejab, maka puasa sebegini dibenarkan syarak.
Ada juga pandangan bahawa pada Rejab disunatkan untuk mengerjakan ibadah umrah. Namun begitu, menurut 'Aisyah, Rasulullah SAW tidak pernah mengerjakan atau menganjurkan umrah untuk dikerjakan pada Rejab.

Daripada Mujahid dia berkata: "Aku masuk bersama Urwah bin az-Zubair ke masjid, ternyata 'Abdullah bin 'Umar sedang duduk di samping bilik Saidatina 'Aisyah. Kemudian dia berkata kepadanya: Berapa kali Rasulullah SAW melakukan umrah? Dia (Ibnu 'Umar) menjawab: Empat kali Rasulullah SAW melakukan umrah. Dia (Ibnu 'Umar) menjawab: Empat kali, salah satunya pada Rejab. Lalu kami pun enggan untuk membenarkan perkataannya. Dia (Mujahid) berkata: Kami mendengar dia (iaitu 'Aisyah) sedang bersiwak. Kemudian Urwah bertanya kepada 'Aisyah: Wahai ibu orang mukmin! Benarkah apa yang dikatakan oleh Abu 'Abdurrahman? 'Aisyah berkata: Apa yang dia katakan? Aku menjawab: Dia berkata bahawa Nabi SAW pernah mengerjakan umrah pada Rejab. Beliau berkata: Semoga Allah merahmati Abu 'Abdurrahman. Rasulullah tidak melakukan satu Umrah pun melainkan dia (yakni 'Aisyah) ikut bersama Baginda dan Baginda tidak pernah mengerjakan umrah pada Rejab." - (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Tarikh 27 Rejab dikaitkan dengan Israk dan Mikraj dan pelbagai program diatur bagi mengingati peristiwa bersejarah itu. Ia adalah usaha murni untuk mengingatkan kembali umat Islam supaya mengambil pengajaran daripadanya.

Namun, wujud perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai tarikh berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj seperti dijelaskan Ibu Hajar al-'Asqalani: Ulama berselisih pendapat mengenai waktu berlakunya al-Mikraj. Ada yang mengatakan sebelum Baginda SAW dilantik menjadi nabi. Pendapat ini ganjil kecuali dianggap terjadi dalam mimpi. Kebanyakan ulama berpendapat selepas Baginda SAW menjadi nabi.

Selanjutnya dalam kitab itu Ibnu Hajar menyebutkan pendapat ulama seperti Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah bahawa tidak ada dalil yang tegas menunjukkan bila tarikh sebenar terjadinya peristiwa Israk dan Mikraj ini.

Bahkan, Imam Abu Syamah al-Syafie menegaskan: "Sebahagian ahli cerita menyebut bahawa Israk dan Mikraj terjadi pada Rejab. Dalam hal ini, menurut ulama hadis ialah satu pembohongan.

Ibn Rajab al-Hanbali pula berkata: "Diriwayatkan bahawa pada Rejab terjadi banyak peristiwa yang istimewa. Tetapi, tidak ada satu pun dalil yang sahih dalam hal ini. Diriwayatkan bahawa Nabi SAW lahir pada awal malam Rejab, diangkat menjadi Nabi pada 27 Rejab, ada yang menyatakan tarikh 25 Rejab dan sebagainya. Semua riwayat itu tidak sahih."

Kepentingannya untuk membawa perbezaan pendapat mengenai tarikh peristiwa Israk dan Mikraj supaya peristiwa itu diketahui secara jelas dan pada masa sama, tiada ibadat khusus atau sambutan tertentu seperti puasa, solat, bacaan wirid mahupun doa bersempena tarikh berkenaan.

Ada golongan yang lebih ekstrim beranggapan bahawa beribadah pada malam 27 Rejab lebih utama berbanding ibadah pada malam lailatulqadar. Jika ada amalan khusus sempena peristiwa Israk dan Mikraj tentu generasi salafussoleh mengetahui dengan pasti bila sebenarnya ia berlaku seperti amalan sunnah lain iaitu puasa 'Asyura pada tarikh 9 dan 10 Muharam dan beribadah pada malam lailatulqadar yang boleh berlaku pada mana-mana malam ganjil 10 malam terakhir Ramadan.

Ia memperlihatkan tidak ada amalan khusus sempena peristiwa Israk dan Mikraj. Jika memperingati malam Israk dan Mikraj dengan ibadah tertentu itu disyariatkan serta membawa kebaikan di dunia mahupun akhirat, tentu sekali orang pertama melaksanakannya adalah Rasulullah SAW serta sahabat.

Tiada amalan khusus untuk Rejab yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW yang dijumpai dalam hadis sahih. Jika ada pendapat yang meriwayatkan mengenai amalan sunat tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah Rejab, ia bersandar kepada hadis lemah.

Banyak lagi amalan sunat yang umum belum kita amalkan boleh dipraktikkan pada Rejab sebagai persediaan menanti kedatangan Ramadan dengan membanyakkan solat malam, puasa sunat Isnin dan Khamis serta tadarus al-Quran.

No comments: