Wednesday, July 30, 2008

Isra' dan Mikraj

Hari Rabu, 30 Julai 2008/ 27 Rejab 1429.

Bersempena dengan Hari memperingati Isra' dan Mikraj, marilah kita sama-sama merenung kepada peistiwa besar yang dilalui oleh Nabi Muhammad saw.

Peristiwa yang terjadi ini adalah sesuatu yang di luar pemikiran logik manusia biasa. Dalam satu malam sahaja Rasulullah saw telah pergi ke Masjid Al Aqsa di Baitulmuqaddis dan naik ke langit( ikraj) serta pulang semula ke Mekkah hanya dalam tempoh satu malam.Hanya orang yang beriman dan memahami keagungan Allah swt sahaja yang mempercayai peristiwa yang telah berlaku semepena isra' dan mikraj ini. Bagi mereka yang tidak mempercayai tentang peristiwa besar ini, adalah terkeluar dari Islam ynag tidak beriman kepada Al Quran dan sunah Rasulullah. Apakah hukumnya orang yang tidak mempercayai dengan ayat-ayat Allah. Allah s.w.t telah berfirman di dalam Al-Quran yang membawa maksud :

"Mahasuci (Allah) yang telah memperjalankan hambanNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat." -
- ( Al-Isra' ayat 1.)

Sebagai seorang Muslim yang beriman tentulah mengetahui bahawasanya Allah berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendakiNya. Sesungguhnya apa sahaja yang Allah kehendaki pasti akan berlaku (kun fayakun) tiada siapa boleh menghalangNya. Saidina Abu Bakar yang mendapat gelaran As-Siddiq adalah orang pertama yang membenarkan kata-kata nabi apabila diberitahu tentang perjalanan Rasulullah itu. Tanpa banyak soal dan banyak tanya beliau terus mempercayai akan berita yang disampaikan itu.

Begitulah sepatutnya sikap umat Islam hari ini. Sekiranya perkara yang berkaitan agama Islam dan berkaitan hukum hakam agama, janganlah kita berdolak dalik dan wajiblah kita mempercayainya tanpa ada sebarang persoalan untuk menafikannnya.
Pasti kalian pernah mendengar cerita perjalanan Rasulullah ketika perjalanan menghadap Allah. Rasulullah diperlihatkan bagaimana siksa-siksa yang diterima oleh umat Baginda sekiranya larangan Allah tidak diperendahkan. Apakah yang telah diperlihatkan itu telah pun kits dengar dari ceramah-ceramah dan dibaca dari artikel-artikel. Yang tinggal sekarang hanyalah bagaimana kisah-kisah itu nak dijadikan iktibar kepada kita yang masih hidup ini. Kita hendaklah ingat bahawa , yang hidup pasti akan mati. Yang telah menemui ajalnya kita doakan agar mereka dilindungi dari azab Allah. Fikirkanlah untuk diri kita yang masih hidup ini dan sudah pasti suatu hari nanti kita juga akan ditemukan dengan saat-saat kematian. Ingat... hidup kita bukan berehenti di dunia ini.

Satu perkara ynag besar dikaitkan dengan peristiwa israk dan mikraj ini adalah satu perintah ibadah Solat. Betapa sayang dan kasihnya Allah terhadap makhluk-makhluknya sehingga diberikan satu . Allah menghadiahkan solat 5 waktu kepada kita tetapi jarang sekali dan susah sekali untuk kita menjaga solat itu sebaik yang mungkin.

Allah memerintahkan kita solat 5 waktu untuk kita mengadapNya memohon terus kepadaNya. Sekiranya kita lihat kepada maksud solat itu sendiri adalah doa. Allah berpesan kepada hamba-hambaNya mintalah kepadaKu nescaya akan Kumakbulkan. Solat lah antara satu cara untuk kita memohon kepada Allah.


Hayati Peristiwa Isra' Mikraj.


Assalamualaikum Warahmatullah,


Kita kini sedang berada di bulan Rejab yang telah mencatatkan suatu peristiwa penting iaitu pada tanggal 27 Rejab tahun kesebelas selepas daripada kenabian Rasulullah s.a.w dan 2 tahun sebelum berlakunya hijrah nabi s.a.w ke Madinah Munawwarah, telah berlaku peristiwa isra' dan mikraj di mana ia merupakan satu bukti tentang kebesaran, kekuasaan dan kehebatan Allah dalam memperjalankan diri Rasulullah s.a.w dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa, Baitul Maqdis Palestin dan seterusnya nabi di angkat ke langit untuk bertemu Allah dalam masa yang begitu singkat.

Peristiwa ini telah membongkarkan tentang keimanan dan keyakinan umat manusia terhadap kekuasaan Allah dan kebenaran kepada kenabian nabi Muhammad s.a.w. Orang kafir sendiri menjadikan peristiwa Isra’ dan Mikraj ini sebagai suatu pembohongan yang menambahkan lagi penolakan mereka terhadap dakwah nabi. Manakala keadaan umat Islam sendiri terbahagi kepada beberapa peringkat iaitu ada yang terus membenarkan nabi seperti Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq, ada pula yang mahu penjelasan terperinci dengan menguji nabi melalui beberapa pertanyaan seperti bilangan pintu dan tiang dalam Masjidil Aqsa bagi membuktikan kebenaran kepada cerita tersebut dan ada pula yang bersikap menolak terus cerita nabi dan kembali murtad daripada Islam.

Perkara seperti ini saya fikir lebih kurang sama dengan situasi yang banyak berlaku di negara-negara Islam iaitu dalam usaha melaksanakan semula semua sistem Islam, bukan sahaja dalam aspek perundangan, malah meliputi aspek kehidupan semasa, ekonomi, politik dan sosial.

Sama ada kita sedar atau tidak, telah timbulnya beberapa golongan iaitu golongan pertama yang seratus peratus yakin dengan kemampuan Islam serta berusaha dengan kemampuan yang ada untuk melaksanakannya. Golongan yang kedua terdiri daripada mereka yang tahu tentang kemampuan sistem Islam tetapi sentiasa mencari jalan agar ia tidak dapat dilaksanakan dengan mencari pelbagai alasan. Golongan ketiga iaitu golongan pelampau terdiri daripada mereka yang menolak terus sistem Islam malah memberi amaran akan melakukan huru hara jika ada pihak yang berusaha untuk melaksanakannya dalam negara tersebut.

Jika umat dahulu berasa pelik apabila nabi menceritakan tentang Isra’ dan Mikraj maka umat zaman kini merasa pelik apabila disebut tentang sistem Islam yang menyeluruh sedangkan sistem ini pernah dilaksanakan di seperti pada masa pemerintahan Kesultanan Melayu sebelum datangnya penjajah. Umat Islam menjadi pelik dengan agama mereka sendiri kerana mereka sudah terlalu tepu dengan pelbagai jenis kelekaan yang saban hari dihidangkan melalui tv, radio, akhbar dan sebagainya.

Peristiwa Isra’ dan Mikraj berlaku selepas nabi diuji dengan kematian dua orang yang paling rapat dan banyak membantu baginda dalam usaha menyebarkan dakwah Islam iaitu isteri tercinta Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib. Tekanan yang dihadapi selepas kematian kedua insan yang disayangi semakin bertambah dan jika kita fikirkan dari segi logik akal maka dakwah Islam pasti akan terkubur.

Namun kuasa Allah melebihi segala-galanya iaitu selepas penolakan dakwah oleh penduduk Taif, nabi telah dihiburkan dengan Isra’ dan Mikraj dan seterusnya diizinkan untuk berhijrah ke Madinah sehingga membina Daulah Islamiah yang telah mengubah kedudukan Islam daripada dihina kepada dipandang mulia, daripada lemah kepada memerintah. Dalam peristiwa di Taif iaitu ketika penduduknya bukan sahaja menolak mentah-mentah dakwah Islam malah telah melontar batu ke arah nabi sehingga berlumuran darah.

Kita dapat melihat nabi telah diberi peluang untuk menang mudah iaitu tawaran daripada malaikat penjaga bukit untuk menjadikan bukit bawah jagaannya sebagai emas tetapi ditolak oleh nabi sebagaimana nabi menolak tawaran malaikat penjaga bukit yang ingin menghancurkan penduduk Taif yang begitu degil dengan menjatuhkan bukit ke atas penduduk Taif.

Penolakan nabi ini memberi banyak pengajaran kepada kita umat Islam iaitu kekayaan bukanlah faktor utama dalam menegakkan Islam kerana jika kita perhatikan pada hari ini kebanyakan negara umat Islam dianugerahkan dengan hasil dalam negara yang banyak tetapi ia tidak membantu dalam membentuk umat Islam yang bersatu serta menghentikan penderitaan umat Islam yang sedang ditindas. Islam bukan mampu bangkit dengan kekuatan ekonomi semata-mata tetapi Islam bangkit melalui kekuatan aqidah yang ditanam dalam diri.

Peristiwa Isra’ Mikraj berlaku di dua tempat utama di bumi sebelum nabi dinaikkan ke sidratul muntaha iaitu bumi Mekah dan Palestin malah melalui ayat 1 surah Isra’ menjelaskan bagaimana Allah memberkati bumi isra’ dan sekitarnya. Sehingga kini bumi Isra’ iaitu Baitul Maqdis, Palestin terus menjadi rebutan tiga agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi sehinggakan keganasan Yahudi dalam membunuh dan merampas tanah milik umat Islam terus berjalan tanpa perikemanusiaan.

Sejarah Perjalanan Isra' Mikraj

Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Isra" itu.

Semasa Isra'
(Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil Aqsa)

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

2. Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri atau suami.

6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak mempedulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj
(Naik ke Hadhratul Qudus Menemui Allah):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

1. Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

2. Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

3. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.

4. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.

5. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

6. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

7. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu La Haulawala Quwatta Illa Billah.

Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: Subhanallah, Walhamdulillah, Wa la ila ha illallah allahuakbar dan Wa La Haulawala Quwata Illabillahil Azim.

Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

8. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

9. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak derhaka kepada ibu bapanya.

10. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S.W.T: Ya Muhammad.

Rasulullah : Labbaika.

Allah S.W.T: Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Daud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T: Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. dibawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj

Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah).

Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)

Nota kaki: Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Rasulullah saw langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah swt. Allah swt telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Rasulullah saw.

Masih terlekakah kita?




Mukjizat Isra' Dan Mi'raj
Written by Said Ramadhan Al-Buti
Thursday, 26 July 2007


Yang dimaksudkan dengan Al-Isra’ di sini ialah perjalanan yang mulia lagi bersejarah dan Masjid Al-Haram di Makkah ke Masjid Al- Aqsa di Al-Quds di Palestin, adapun Mikraj pula ialah peristiwa naik kelapisan langit tertinggi di mana Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam telah bertemu dengan Allah Rabbul Jalil, kesemuanya ini berlaku dalam semalam sahaja.

Pendapat sejarah telah berbelah bagi tentang masa berlakunya mukjizat Isra’ dan Mikraj ini. Ada yang mengatakan berlakunya dalam tahun kesepuluh selepas kebangkitan dan pengutusan baginda. Pendapat Ibnu Sa’d yang telah digariskan di dalam kitabnya “AT-TABAQAT AL-KUBRA” mencatatkan bahawa mukjizat ini berlaku sebelum lapan belas bulan hijrah RasuluLlah.

Terdapat satu persoalan yang lain pula telah ditimbulkan iaitu apakah perjalanan RasuluLlah ini dengan ruhnya sahaja ataupun ruh dan jasad sekali. Pendapat ramai orang Islam ialah nabi disertai dengan jasad sekali dan di sinilah baru ternampaknya mukjizat pengembaraan baginda yang mulia yang telah dikurniakan kepada junjungan kita Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam.

Tentang kisah pengembaraan ini telah dihidangkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dengan selengkapnya. Di malam yang bersejarah ini RasuluLlah telah menunggang “Buraq” sejenis binatang besar sedikit dari keldai dan kecil sedikit dari baghal. Binatang ini melangkah kakinya sejauh mata memandang. Setelah baginda sampai dan masuk ke dalam Masjid Al-Aqsa serta menunaikan sembahyang dua raka’at, Jibril membawa baginda dua biji gelas, satu berisi arak dan yang satu lagi berisi susu. RasuluLlah memilih susu, lalu Jibril pun berkata: “Engkau telah memilih yang fitrah dan semulajadi”

Setelah itu barulah RasuluLlah naik ke langit pertama, ke dua, ke tiga dan seterusnya dibawa ke “Sidratul Muntaha” dan di situlah Allah menyampaikan kepada baginda segala apa yang telah disampaikan. Antaranya Allah menyampaikan kewajiban sembahyang lima waktu sehari semalam ke atas tiap-tiap Muslim lelaki dan perempuan yang mana pada mulanya diwajibkan lima puluh raka’at sehari semalam.

Pada keesokan pagi baginda menceritakan segala-galanya dan apa yang ternampak oleh mata kepalanya kepada umum. Cerita dari RasuluLlah SallaLlahu ‘Alaihi Wasallam menyebabkan orang Musyrikin semuanya bergelak ketawa dan membawa berita yang pelik dan mengetawakan ini, kepada
yang lain untuk diketawakan.

Di samping itu terdapat di antara mereka yang mencabar RasuluLlah dengan meminta supaya menceritakan dan membuat satu gambaran tentang “Baitul Muqaddis” yang telah dilihat oleh RasuluLlah kalaulah betul baginda telah pergi dan sembahyang di dalamnya. Sebenamya untuk membuat gambaran atau laporan memang sukar kerana di masa itu tidak terlintas di ruangan kepala dan ingatan baginda SallaLlahu ‘alaihi Wasallam untuk meneliti sehalusnya berapa tiang, berapa pintu dan sebagainya. Walaupun begitu Allah Subhanahu Wa ta’ala telah menampakkan di mata kasar RasuluLlah gambar dan pemandangan Baitul Muqaddis secara terperinci dengan tiga dimensinya. Ini membawa RasuluLlah dapat menjawab pertanyaan yang dihadapkan kepada baginda dan dengan ini juga baginda dapat menjawab cabaran mereka tadi dengan menjawab selengkapnya segala pertanyaan mereka.

Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadith RasuluLlah SallaLlahu ‘alaihi Wasallam, katanya: “Puak Quraisy telah mendusta segala cakapku, kemudian akupun bangun ke anjung (Saidina Ismail). Lepas itu Allah pun menampakkan kepadaku “Baitul Muqaddis”, membolehkan aku menceritakan segala-galanya tentang tempat-tempat dan tanda-tanda keistimewaan pemandangan Baitul Muqaddis yang dipaparkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala.

Beberapa orang Musyrikin yang telah mendengar cerita Isra’ dan Mikraj itu berkejar menemui Sayyidina Abu Bakar dan menceritakan perihal Nabi Muhammad yang dikatakan telah pergi ke Baitul Muqaddis dan naik ke langit dengan harapan Sayyidina Abu Bakar terperanjat dan kebingungan tetapi dengan tenang Sayyidina Abu Bakar menjawab; “Sekiranya itu yang diceritakan oleh baginda maka semuanya adalah benar belaka. Sebenarnya aku telah mempercayai Nabi Muhammad tentang perkara-perkara lain yang lebih dari itu”.

Pada subuh pagi hari Isra’ itu jibril telah datang dan mengajar Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam cara-cara, rukun-rukun dan segala sesuatu mengenai fardhu sembahyang dan waktu-waktunya. Adapun RasuluLlah sebelum diturunkan sembahyang itu padanya, baginda sembahyang dua raka’at pagi dan dua raka’at petang. Segala-galanya adalah mengikut sepertimana yang dilakukan oleh Sayyidina Ibrahim ‘alaihissalam.

PENGAJARAN DAN RENUNGAN

Sepatah kata mengenai RasuluLlah dan mukjizat:- Setengah-setengah pengkaji sejarah RasuluLlah begitu gemar memperbesar-besarkan sangat tentang penghidupan Nabi Muhammad sebagai manusia biasa. Ini mereka lakukan ketika mengulas dengan panjang lebar bahawa kehidupan seharian baginda sebagai tidak berpaut dan bertaut dengan perkara-perkara luar biasa iaitu mukjizat. Mereka mengatakan bahawa baginda pernah menegaskan bahawa ia tidak ada kena-mengena dengan mukjizat. Pengulasan mereka itu bersandarkan kepada sepotong ayat Al-Qur’an yang bermaksud: “Katakanlah (hai Muhammad) sesungguhnya perkara perkara mukjizat itu berada di sisi Allah”. [Surah Al-An’am 6: 109]

Gambaran ini menyebabkan sipembaca sejarah Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alaibi Wassalam akan mendapat gambaran di kepalanya bahawa penghidupan seharian Nabi Muhammad itu memang jauh dan tidak berbau langsung dengan perkara-perkara yang selalunya dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala kepada para anbiya’Nya yang terdahulu untuk menyokong dan memperkuatkan risalah dan pengutusan mereka.

Bila kita perhatikan dan mengkaji dengan teliti tentang pendapat dan teori ini nescaya ternampak tembelangnya kerana pendapat mi adalah dianjurkan dan didokong oleh para orientalis seperti Gustov Lobon, Ojist Kont, Hume, Gold Zihar dan lain-lain lagi. Timbulnya pendapat dan teori ini adalah disebabkan oleh ketiadaan iman dan kepercayaan mereka terhadap pencipta mukjizat tadi iaitu Allah Subhanahu Wata’ala kerana apabila keimanan dengan Allah tidak menetap di sanubari seseorang itu maka persoalan dan perkara yang lain menjadi gampang belaka dan di kala ini tidak perlu lagi kepada mukjizat-mukjizat itu.

Malangnya pendapat ini telah disambut baik oleh setengah-setengah orang Islam dan memang malang nasib dunia Islam di mana kalangan orang Islam sendiri telah berusaha dan bertungkus-lumus untuk menyebarkan hasil pemikiran asing ini. Usaha penyebaran yang merosakkan ini dilakukan tidak lain kerana mereka tertawan dan tertipu dengan keindahan putar-belit barat, terpesona dengan godaan kemajuan sains dan teknologi barat. Antara mereka yang terpengaruh dengan keindahan pesona kemajuan dan teknologi barat itu ialah Syaikh Muhammad ‘Abduh, Muhammad Farid Wijdi, dan Hussain Haikal.

Dan bila penyerang ideologi dan seteru Islam yang profesional mendapati ada juga orang Islam yang cuba melariskan pendapat-pendapat barat ini maka semakin bertambah luas lagi jalan dan peluang baru kepada penyerang ideologi ini untuk memasukkan dengan lebih banyak lagi racun-racun berbisa ke dalam masyarakat ummat Islam dan tidak perlu lagi taktik yang tradisional untuk melancar serangan terang-terangan terhadap aqidah Islam dan menanam fahaman athies di otak kepala orang-orang Islam.

Yang demikian mereka cuba memberi gambaran dan sifat-sifat yang tertentu kepada RasuluLlah seperti kehandalan, kepintaran, kepimpinan dan bermacam-macam lagi di dalam bentuk-bentuk yang menarik sekali dan di masa yang sama mereka cuba membuat sesuatu gambaran kehidupan RasuluLlah yang terpisah dan mukjizat dan luar biasa yang bukan bukan yang tidak boleh sampai oleh akal manusia yang singkat.

Tujuan mereka berbuat demikian ialah supaya lama-kelamaan akan tercipta suatu gambaran dan nama baru mengenai diri RasuluLlah di kalangan umat Islam. Boleh jadi mereka menamakan Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wassalam yang pintar atau Muhammad pemimpin atau Muhammad Perwira atau apa sahaja yang boleh melenyapkan Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wassalam sebagai Nabi dan Rasul di mana segala sifat dan faktor keNabian, wahyu dan sebagainya dan perkara-perkara ghaib malah apa sahaja yang boleh menukarkan Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wassalam dan alam keNabian dan keRasulan kepada metologi dan cerita-cenita dongeng kerana keNabian berasaskan wahyu dan mukjizat sedangkan manusia dari dongeng metologi tidak sedemikian.

Akhirnya segala-galanya ini membawa kepada suatu tanggapan dan kepercayaan bahawa sebab ramainya bilangan pengikut Nabi Muhammad tidak lain tidak bukan adalah kerana kepintaran dan kecerdikanNya. Cubalah perhatikan semuanya nampak dengan jelas dan nyata tentang maksud mereka menamakan penganut ugama Islam dengan Nabi Muhammad di tempat ‘muslimin dan Muslim’.

Tetapi apakah tujuan sebenarnya di sebalik gambaran dan lukisan tentang hakikat Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wassalam yang sebenarnya itu?

Sekiranya ingin kita menyingkap dan mendedah di bawah cahaya logik dan kajian objektif maka ternyatalah kepada kita:-

i) Sekiranya kita kembali meneliti sekali lagi tentang zahiriyyah dan gejala wahyu itu dan telah pun kita memperkatakan selengkapnya bahawa ia menjadi unsur utama dalam penghidupan seharian Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wassalam maka ternyata kepada kita bahawa sifat-sifat yang lain tanpa ragu-ragu lagi.

Kenabian adalah satu hakikat yang tidak dapat disukat atau dipertimbangkan mengikut perasaan biasa manusia. Demikian juga mukjizat, yang merupakan anugerah istimewa dan unggul kepada peribadi Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam yang tidak boleh dilucutkan atau dibenteras ‘mukjizat’ dan perkara-perkara luar biasa ini kecuali setelah berjaya melucutkan sama sekali sifat kenabian darinya atau akibat akhirnya ialah mengingkarkan agama itu sendiri.
Meskipun tujuan maklumat ini tidak dinyatakan sejelasnya oleh pengkaji-pengkaji dan kalangan orientalis umun dengan hanya menyebut kepintaran Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam, kecerdikan, keberanian, kebijaksanaannya bermain politik dan sebagainya sudah cukup untuk membayangkan dan menyatakan tujuan dan matlamat mereka itu kerana tujuan dan maksud biasanya datang selepas pembayang.

Oleh kerana setengah-setengah mereka ini tidak sabar dan sanggup menahan lebih jauh lagi maka tidak ada jalan lain melainkan meluahkan isi hati mereka dengan menyatakan secara terang-terangan bahawa mempercayai agama itu sama dengan mempercayai perkara mukjizat yang mustahil.[Dr. Shibli Shamil mengatakan ini dalam muqaddimah terjemahan ke bahasa Arab sebuah buku ulasan mengenai teori Evolusi Darwin]. Bukankah engkau lebih mengetahui bahawa tidak ada erti untuk memperkatakan sesuatu tentang keengkaran atau keimanan mereka terhadap mukjizat itu, sekiranya sejak awal-awal lagi mereka telah mengingkar agama itu sendiri.

ii) Andaikata kita meneliti tentang sirah kehidupan Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam kita dapati begitu banyak sekali Allah Subhanahu Wata’ala menunjukkanmu ke atas Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam. Semuanya tidak dapat kita tolak kerana sirahnya adalah mengikut sandaran hadith yang benar dan riwayatnya bertaut pula, yang membawa kita percaya sepenuhnya malah mencapai peringkat kita meyakininya.

Antaranya peristiwa mengeluarkan air dari antara jari—jarinya yang mulia. Peristiwa ini diceritakan oleh Imam Bukhari di dalam kitab hadithnya di bawah tajuk ‘Air Sembahyang’, Imam Muslim pula mencatatkannya di dalam bab sifat, atau tingkah laku, Imam Malik meriwayatkannya di dalam kitabnya Al-Muwatta’ di bawah judul ‘Kebersihan’ dan dan para imam hadith terkemuka yang lain mengikut aliran masing-masing. Al-Zarqani sendiri yang mengambil dari Al Qurtubi menceritakan dengan katanya: ‘Sesungguhnya pengaliran air antara jari-jari Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam disebut beberapa kali di dalam beberapa tempat kejadian yang bersejarah, sirahnya mengikut berbagai aliran yang kesemuanya membawa kepada pengetahuan yang benar dan sahih terhadap peristiwa ini.

Dan di antara yang lain pula ialah hadith pembelahan bulan di zaman RasuluLlah iaitu ketika itu puak musyrikin meminta baginda melakukan sedemikian. Al-Bukhari telah meriwayatkan di dalam kitab hadithnya di dalam fasal ‘Ahadithul Anbiya’ dan Muslim di dalam fasal ‘Sifatul Qiyamah’ begitu juga para ‘ulama’ hadith yang lain. Ibnu Kathir berkata: ‘.... tentang ini banyak hadith mutawattir dengan sandaran yang benar dan boleh dipercayai telah memperkatakan seluruh ‘ulama’ sepakat memperkatakan tentang peristiwa yang bersejarah ini berlakunya di zaman RasuluLlah, di mana ianya merupakan antara mukjizat-mukjizat yang teragung.

Yang peliknya mereka tidak berhenti-henti memperhebohkan dengan mencanangkan sifat-sifat kepintaran Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam di samping melucutkan dan mengenepikan segala sesuatu yang berupa mukjizat dan sesuatu yang luar biasa dan Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam dan ketika yang sama mereka sengaja melupakan segala hadith yang benar dan bertaut (mutawattir), langsung tidak memberi sebarang perhatian. Positif pun tidak, negatif pun tidak juga. Seolah-olah kitab-kitab hadith tidak pun mengandungi perkara ini sedangkan apa yang dikemukakan lebih daripada sepuluh aliran dan cara saranan.

Sebabnya mereka membisu ialah untuk mengelak diri supaya tidak terjerumus kepada masalah yang rumit di mana mereka terpaksa menghadapnya ketika bersekemuka dengan hadith-hadith tadi kerana hadith-hadith ini amat terang bercanggah dengan prinsip-prinsip yang berputar ligat di otak kepala mereka. [Antara mereka ialah pengarang Hayat Muhammad SaLlaLlahu ‘alaihi Wasallam yang begitu terang sekali hendak melepaskan dari ikatan hadith supaya teorinya begitu romantis dan tidak ditempelak oleh hadith itu. Beliau ialah Hussain Haekal.]

iii) Perkataan mukjizat ini bila diperhatikan dengan teliti maka didapati ia tidak mempunyai satu definasi yang tersendiri dan apa yang telah diertikan semata-mata makna dan pengertian yang nisbi atau relatif. Mengikut apa yang telah ditakrifkan, perkataan mukjizat ini bermakna perkara-perkara yang luar biasa dan perkara ini pula sering bertukar dan berubah mengikut peredaran masa, kadang-kadang berubah ertinya dan satu kebudayaan ke satu kebudayaan dan kebolehan sesuatu umat. Biasa berlaku di suatu masa yang lalu mukjizat dan luar biasa bagi puak yang perimitif yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan.

Tapi yang sebenarnya mengikut orang yang berfikiran waras bahawa ‘biasa dan luar biasa’ itu kesemuanya asal mukjizat dan luar biasa berlaku. Cakerawala mukjizat, peredaran planet mukjizat, akal fikiran manusia mukjizat, kuasa tarikan bumi mukjizat, perjalanan darah mukjizat, jiwa dan roh manusia mukjizat sehingga manusia sendiri pun mukjizat juga. Memang tepat sekali apa yang disifatkan oleh ahli flkir Peranchis Chateaubriand katanya: “Manusia ini ialah penghidupan metafizika”

Malangnya manusia ini selalu terlupa nilai mukjizat pada keseluruhannya kerana setiap waktu berkisar dan bermain dengannya, entah kerana mereka tidak tahu atau kerana bongkak, dikira mukjizat itu hanya pada perkara yang memeranjatkan sahaja. Manusia sering membuat ukuran untuk mempercayai atau tidaknya terhadap sesuatu perkara itu berdasarkan biasa atau luar biasanya sesuatu perkara. Inilah kejahilan manusia yang paling aneh meskipun ianya telah maju di bidang kemajuan dan pengetahuan.

Sekiranya manusia itu merenung dan memerhatikan dengan penuh ketelitian ke arah ‘alam akan terhidanglah kepadanya suatu ciptaan yang semuanya serba mukjizat belaka dan akan tersinar di otak kepalanya bahawa Tuhan yang mencipta alam ini tidak mengalami kesulitan dan kesukaran baginya untuk menokok-tambah sebarang mukjizat yang lain pula ke atas ‘alam ini ataupun menukar-ganti setengah-setengah sistem yang biasa dikendalikan kepada suatu cara yang lain pula.

Seorang orientalis Inggeris “William Jones” pernah menyuarakan hasil renungan beliau terhadap ‘alam ini dengan katanya: “Tidak sukar bagi tenaga yang telah mencipta ‘alam ini untuk menambah atau membuang sebahagian darinya. Memang senang untuk mengatakan bahawa perkara ini tidak tergambar di kepala manusia. Yang sebenarnya orang yang mengatakan demikian tidak tergambar di kepalanya gambaran sebenar tentang kewujudan ‘alam ini”. Ertinya kalaulah ‘alam ini tidak ada kemudian diceritakan kepada orang yang engkar dan tidak percayakan perkara-perkara mukjizat dan luar biasa bahawa dunia ini akan ada, dengan serta merta dia akan menjawab bahawa perkara ini tidak mungkin berlaku dan tidak terlintas di kepalanya kerana keengkarannya terhadap mukjizat. Inilah apa yang harus difahami oleh setiap Muslim tentang RasuluLlah dan segala yang telah dikurniakan Tuhan kepada baginda dan mukjizat yang luar biasa.

(2) Rahsia berlakunya Isra’ dan Mikraj dalam keadaan RasuluLlah sedang mengalami cubaan:

Begitu pahit dan maung sekali segala pancaroba yang dirasai oleh RasuluLlah dan pihak Quraisy dan yang paling dahsyat sekali dialami oleh RasuluLlah ialah penghinaan di Thaif seperti yang telah kita perkatakan dahulu. Di dalam doa restu baginda ke hadrat Ilahi ketika baginda berehat dan penat lelah di pokok-pokok di dusun anak-anak Rabi’ah nampak sekali kelemahan dan keperluan manusia kepada pertolongan Ilahi dan inilah pengakuan kehambaan manusia kepada Tuhan Rabbul ‘Alamin; Di dalamnya juga menampakkan pengaduan RasuluLlah kepada Allah Subhanahu WataĆ LA di samping merestui pertolongan dan kurniaannya, juga terbayang kegelisahan apakah ini suatu kemurkaan dari Allah kerana sesuatu perintah yang telah terlanggar. Oleh yang demikian di antara do’a restu baginda “sekiranya ini tidak mendapat murka maka tidaklah hamba hiraukan”.

Selepas itu disusuli pula dengan peristiwa Isra’ Mikraj di mana peristiwa ini adalah kurniaan Allah kepada Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam demi untuk memperkuatkan dan memperbaharui keazaman dan menerangkan bahawa segala pancaroba yang dihadapi oleh RasuluLlah bukanlah suatu angkara murka dari Allah dan dasar Ilahi dengan manusia tercinta dan demikian juga sunnah dan dasar da’wah Islamiyyah di setiap waktu dan ketika.

(3) Perjalanan Isra’ RasuluLlah ke Baitul Muqaddis dan keberangkatan kelapisan langit ketujuh merupakan satu peristiwa yang besar ertinya. Antaranya mempertandakan bahawa Baitul Muqaddis bukanlah satu tempat biasa malahan ianya tempat qudus dan suci di sisi Allah dan mempertandakan bahawa di sana tersemat satu pertalian yang erat di antara kebangkitan ‘Isa bin Maryam ‘alaihissalam dengan risalah RasuluLlah, tegasnya wujudnya suatu pertalian dan hubungan yang rapat dan erat di antara para Anbiya’ seluruhnya di dalam siri pengutusan mereka ke’alam ini.

Peristiwa ini juga memberi suatu suluhan isyarat bahawa setiap masa harus berwaspada dan menjaga keselamatan dan kehormatan tanah suci ini serta menjaganya dari sebarang rupa pencerobohan dari luar dan dalam. Inilah hikmat Ilahi yang seolah-olah telah memberi amaran agar setiap Muslim tidak akan membelakangkan masalah Baitul Muqaddis yang telah dinodai oleh tangan-tangan Zionis dan meminta dari setiap Muslim supaya membersihkan tanah ini dan noda kecemaran yang telah melandanya.

Siapakah yang mengetahui bahawa peristiwa Isra’ yang teragung inilah mendorongkan Salahuddin A1-Ayubi Rahimahullah bangun serentak menyeru kaum Muslimin menentang dan menghalau musuh salibi durjana dan berambus pulang ke Eropah semula dengan diselubungi oleh mendung kegagalan yang sial.

(4) Susu ialah yang menjadi pilihan RasuluLlah ketika Jibril membawa datang satu piala yang berisi susu dan yang satu lagi berisi arak; ianya sebagai simbolik kepada Islam, agama fitrah dan semulajadi. Jelasnya ‘aqidah dan hukum-hakam agama mi sesuai dan seiring dengan kehendak semulajadi manusia seluruhnya, tanpa ada suatu apapun di dalam Islam bercanggah dengan sifat-sifat semulajadi manusia. Andaikata ‘alam ini dan tabi’at semulajadi diibaratkan dengan suatu badan dengan dimensinya maka Islam pula ialah baju yang terpotong mengikut ukuran yang benar-benar menepati ukuran badan tadi.

Inilah sebabnya mengapa Islam tersiar dengan meluasnya ke merata tempat dan diterima oleh segenap lapisan masyarakat. Walau setinggi mana manusia mencapai tamaddun dan kemajuan kebendaan namun ia tetap mahu menjawab laungan perasaan dalaman yang bersifat semulajadi dan untuk demikian sanggup membebaskan dirinya dari belenggu rekaan yang kosot-moyot yang tidak berpijak dan berpandukan neraca semulajadi. Hanya Islam sahaja satu agama dan sistem yang unik yang boleh memberi keselesaan yang mendalam kepada neraca semula jadi manusia.

(5) Perjalanan Isra’ dan Mikraj berlaku dengan roh dan jasad sekali, jiwa dan badan RasuluLlah sekali. Sebilangan terbesar umat Islam di zaman lampau dan sekarang bersependapat mengatakan demikian. Imam Al Nawawi di dalam mengulas kitab Muslim menyatakan: “Pendapat yang sebenarnya seperti yang dipegang dan diperkatakan oleh sebahagian besar (majoriti) orang awam dan para fuqaha’ Islam yang terdahulu dan yang terakhir bahawa Isra’ Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam berlaku sekali lagi dengan jasad baginda. Kesan peninggalan sejarah juga membuktikan sedemikian dan tidak dapat dan tidak mungkin kenyataan. Athar ini ditolak dan ditukar dengan yang lama dan tidak boleb diengkar melainkan kalau dapat dibawa suatu penafsiran yang lain”. [Al-Nawawi Al-Sahih Muslim & Fathul Bari Al-Sahih Al-Bukhari]

Imam Ibnu Hajar di dalam kitab pengulasan hadith Bukhari menyatakan bahawa Isra’ dan Mikraj itu berlaku kedua duanya di dalam waktu satu malam, ketika Rasulullah masih sedar dan jaga dengan kedua-dua jasad dan rohnya sekali. Inilah pendapat majoriti ‘ulama’ hadith dan fuqaha’ Islam dan ‘ulama’ tauhid. Berita peristiwa ini turut berpindah dari seorang ke seorang dan tidak seharusnya menarik diri dari mempercayai centa ini kerana tidak ada suatu sebab pun yang membolehkan akal fikiran menolaknya.

Di antara bukti-bukti yang menolak keraguan apakah RasuluLlah berangkat dengan jasad dan rohnya ialah kehairanan kaum Quraisy, kerana perkhabaran itu terlalu ganjil bagi mereka. Oleh yang demikian mereka dengan serta merta mendustakan Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam. Kalaulah peristiwa ini setakat melibatkan roh sahaja maka tidak menjadi sebarang kegemparan di kalangan kaum Quraisy kerana pemandangan dan gambaran yang dilihat dalam tidur itu tidak ada sekatan dan batasan had. Kalau demikian maka perkara ini sama saja bagi orang Muslim dan kafir. Kalau peristiwa ini berlaku dengan roh sahaja mengapa puak Quraisy begitu bersunguh sungguh untuk mengambil tahu dengan tepat tentang sifat-sifat Baitul Muqaddis, pintu, tiang dan sebagainya. Semuanya ini bertujuan untuk menekan dan mencabar Muhammad SallaL lahu ‘alaihi Wasallam.

Bagaimana boleh berlakunya peristiwa ini dan apakah boleh tergambar di otak kepala manusia? Segala-galanya berlaku sepertimana mukjizat-mukjizat yang lain boleh terjadi. Bukankah telah kita katakan bahawa ‘alam ini semuanya mukjizat dan luar biasa belaka. Kalau semua ini dapat diterima oleh akal fikiran mengapa pula yang ini tidak dapat diterima dengan mudah juga.

(6) Berwaspada dan berhati-hati dalam mencari cerita Isra’ Mikraj, agar jangan terperangkap oleh sebuah kitab yang bernama: “Mikraj Ibni ‘Abbas” kitab ini penuh bersirat dengan hadith-hadith yang palsu yang tidak ada asal dan sanadnya, memang pengarangnya yang bertujuan buruk ini cuba meletakkan pembohongan-pembohongan itu kepada Ibnu Abbas r.a., sedangkan Ibnu ‘Abbas bersih dari demikian seperti yang diketahui oleh orang-orang yang berakal, Ibnu Abbas sebenarnya tidak pemah mengarang sebarang kitab mengenai Mikraj Rasul, sebenarnya kitab ini disusun dan muncul di zaman akhiran pemerintahan Umawiyah.

Bila kitab ini ditemui oleh pendakwah-pendakwah jahat, mereka dapati banyak pembohongan yang dikaitkan kepada Rasulullah SallaLlahu ‘alaihi Wasallam yang boleh menggoncangkan iman banyak manusia, mereka pun memperkenalkan kitab ini, mereka tonjol-tonjolkan kitab ini, (Salah seorang dan mereka yang menulis pujian dan mengagung-agungkan kitab ini, ialah Doktor Louis Audh. Kenalkah anda siapa itu Louis Audh ?) di samping mereka tahu sebelum semua orang tahu bahawa kitab ini didustakan atas nama Ibnu Abbas, hadith-hadith yang terdapat dalamnya semua palsu dan salah, tetapi terbalik songsang begitu cepat sekali yang dusta menjadi benar pada mereka, ini adalah kerana bertujuan mengelirukan pemikiran orang-orang muslimin dan dengan tujuan membuat kesamaran terhadap agama Islam.

No comments: