Selasa, 29 Julai 2008/26 Rejab 1429.Lebih kurang sebulan lagi kita akan berpuasa bulan ramdhan.
Puasa ertinya menahan nafsu dari segala yang membukakan di siang hari, mulaindari terbit fajar Sadiq hingga terbenam matahari.
Puasa di bulam ramadhan diwajibkan mula-mulanya pada tahun yang kedua dari Hijrah Nabi saw. Ia diwajibkan ke atas porang ynag sudah mukallaf (baligh-berakal), dan atas orang yang kuasa mengerjakannya.
Firman Allah dalam surah Al-Baqarah: 183-184)
" Hai orang-orang yang beriman, Diwajibkan berpuasa di atasmu sebagaimana puasa itu diwajibkan di atas orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu menjadi orang yang takut (memelihara diri). Lamanya berpuaa itu pada beberapa hari yang dapat dihitung, Maka sesiapa yang sedang sakit di anataramu atau sedang berjalan, maka boleh puasa itu dikerjakan pada hari yang lain.Dan di atas mnereka yang tidak kuat berpuasa, boleh membayar fidyah, iaitu memberi makanan orang miskin. Maka sesiapa yang menambah kebajikan maka itu lebih baik baginya. Dan kalau kamu berpuasa itu lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui"
Pelbagai fadilat puasa
Oleh Dr. Zulkifli Mohamad AlBakri
SEMPENA kunjungan Ramadan al-Mubarak, Allah mentaklifkan kepada umat Islam satu ibadat yang dinamakan puasa.
Dari segi bahasa, puasa bermakna menahan diri daripada melakukan sesuatu seperti makan, minum dan bercakap. Hal ini bertepatan dengan firman Allah yang menceritakan perihal Maryam, Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana Allah yang bersifat al-Rahman.
Dari segi istilah syaraknya pula, puasa adalah menahan diri daripada sebarang perkara yang membatalkannya bermula dari terbit fajar hingga matahari terbenam dengan niat puasa. (Maryam: 26)
Puasa mempunyai pelbagai kelebihan, keistimewaan dan fadilatnya yang tersendiri. Di sini dinyatakan hadis-hadis berkaitan antaranya hadis riwayat Ahmad, al-Bukhari dan Muslim daripada Sahl bin Sa’d t, sabda Rasulullah: Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama Rayyan, di mana memasuki daripadanya orang-orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup. Tiada orang lain berhak memasukinya.
Hadis riwayat Ahmad dan al-Nasa`ie, daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah: Puasa sebagai perisai.
Perisai di sini bermaksud selamat daripada api neraka Allah sebagaimana dalam riwayat yang lain, demikian telah dinyatakan oleh Ibn Abd al-Bar.
Dalam al-Nihayah oleh Ibn Athir menyebut iaitu menyelamatkan tuannya (orang yang berpuasa) daripada menyakitkannya untuk mengikut syahwat.
Qadi `Iyad pula berpendapat ia bermaksud daripada dosa-dosa. Justeru, Ibn Hajar al-Haithami berkata: Ini menunjukkan dan menguatkan apa yang mereka sepakati bahawa ‘dikehendaki dengan puasa’ bermakna yang selamat puasanya daripada sebarang maksiat sama ada melalui perbuatan atau perkataan.
Hadis riwayat Ibn Majah dan al-Hakim, daripada Ibn Umar bahawa Nabi s.a.w. bersabda: Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa mustajab yang tidak ditolak.
Hadis riwayat al-Baghawi daripada seorang lelaki dalam kalangan sahabat. Firman Allah dalam hadis qudsi, Satu kebajikan dengan 10 kali ganda dan ditambah, dan satu kejahatan hanya dibalas satu dan mungkin Aku hapuskannya, dan puasa untuk-Ku, dan Akulah yang membalasnya. Puasa sebagai perisai daripada azab Allah sebagaimana penyangga yang menjadi perisai daripada mata pedang.
Al-Allamah Ibn Hajar al-Haithami berkata: Wajah sandaran pahala puasa kepada Allah, dan tidak amalan yang lain, kerana seseorang tidak mendekatkan kepada selain Allah dengan puasa pada zatnya. Justeru, puasa pada hakikat adalah untuk Tuhannya kerana puasa merupakan isyarat kepada sir (rahsia) sifat somadiyah Allah. Atau juga terkaya daripada makan dan mengikut segala syahwat daripada sifat-sifat Allah. Justeru, puasa adalah jenis yang muwafaqah yang demikian disandarkan kepada Allah.
Ikhlas
Al-Qurtubi berpendapat: Bahawa segala amalan hamba begitu munasabah dengan keadaan dan hal mereka kecuali puasa. Ia amat munasabah dan berbetulan bagi sifat-sifat Allah s.w.t.. Allah berfirman: Sesungguhnya orang yang berpuasa mendekatkan kepada-Ku dengan perkara daripada sifat-sifat-Ku atau bahawa ikhlas padanya lebih sempurna dan mudah atau kerana ia sama seperti satu sifat daripada sifat-sifat malaikat.
Hadis riwayat al-Baihaqi dalam al-Syu`ab daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: Puasa adalah separuh kesabaran, dan di atas setiap sesuatu mempunyai zakat, dan zakat jasad ialah puasa.
Sedangkan mengikut riwayat yang lain seperti al-Tirmizi dan beliau menghasankannya daripada seorang lelaki di kalangan Bani Salim, dan Ibn Majah daripada Abu Hurairah bahawa Nabi bersabda yang bermaksud: Puasa separuh kesabaran.
Dalam riwayat pada sanad yang hasan, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: Sabar separuh daripada iman. Yakni puasa satu perempat daripada iman.
Hadis riwayat al-Nasa`ie daripada Abi Sa`id yang bermaksud: Siapa yang berpuasa sehari semata-mata pada jalan Allah nescaya Allah menjauhkan wajahnya dari neraka jahanam selama 70 tahun.
Begitu juga diriwayatkan oleh Ahmad, al-Tirmizi, al-Nasa`ie dan Ibn Majah daripada Abu Hurairah yang sama makna dengan hadis di atas kecuali 70 tahun digantikan dengan 70 musim luruh.
Sedangkan riwayat al-Nasa`ie daripada Uqbah bin Amir, digantikan 70 tahun dengan 100 tahun jarak perjalanan.
Hadis riwayat Ibn Mandah dalam Amali, daripada Ibn Umar dan al-Dailami, daripada Abdullah bin Abu Aufa bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad bersabda, Diam orang yang berpuasa merupakan tasbih, tidurnya merupakan ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan.
Hadis riwayat al-Dailami daripada Anas bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang berpuasa berada dalam ibadat sekalipun dia sedang tidur atas tilamnya.
Hadis seumpama ini juga dikeluarkan oleh Abu Nu`aim daripada Ibn Abbas.
Hadis riwayat al-Nasa`ie daripada Abi Umamah, katanya: Aku datang bertemu Nabi seraya bertanya: Hai Rasulullah, perintahkanlah kepadaku dengan suatu perkara yang aku dapat pegangnya darimu. Sabda Rasulullah: Hendaklah kamu berpuasa kerana sesungguhnya ia tiada tandingannya.
Hadis seumpama ini juga dikeluarkan oleh Ahmad, al-Nasa`ie, Ibn Hibban dan al-Hakim daripada Abi Umamah.
Diambil hadis ini secara zahir ia menunjukkan kelebihan puasa daripada segala ibadat. Walaupun begitu ulama melebihkan solat berdasarkan kepada khabar yang banyak. Antaranya riwayat Abu Daud dan lainnya, iaitu solat sebaik-baik perkara atau ibadat.
Hadis riwayat Ahmad, al-Tirmizi dan al-Baihaqi, daripada Zaid bin Khalid bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda: Siapa yang memberi makan orang berbuka puasa adalah pahala baginya seumpamanya dan tidak dikurangkan sedikit pun daripada pahala orang yang berpuasa.
Hadis seumpama ini juga dikeluarkan oleh Ibn Sosra dalam Amalinya daripada Aisyah dan al-Dailami, daripada Ali.
Hadis riwayat al-Tabarani dalam al-Awsat, daripada Anas bahawasanya Rasulullah bersabda: Puasa boleh mengurangkan daging (gemuk) dan menjauhkan daripada kepanasan neraka Sa`ir, sesungguhnya bagi Allah mempunyai hidangan yang tidak pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga dan terlintas oleh hati manusia, tidak duduk ke atasnya untuk menikmati hidangan tersebut kecuali orang-orang yang berpuasa.
Hadis riwayat al-Nasa`ie, Ibn Majah, daripada Abu Hurairah, Allah berfirman
bermaksud: Setiap amalan anak Adam baginya kecuali puasa, maka sesungguhnya ia bagi-Ku dan Aku yang membalasnya dan puasa merupakan perisai, apabila seseorang kamu berpuasa maka janganlah ia bercakap yang cela, bertempik dan sekalipun dimaki oleh seseorang atau diperanginya maka hendaklah berkata: Sesungguhnya aku berpuasa, demi yang jiwa Muhammad di tangannya maka bau mulut orang yang berpuasa terlebih harum di sisi Allah dari bau kasturi. Bagi orang yang berpuasa dia mempunyai dua kegembiraan. Apabila berbuka dia berasa gembira dengan berbukanya dan apabila bertemu Allah dia berasa gembira dengan puasanya.
Hadis riwayat Ahmad, al-Bukhari, al-Nasa`ie dan Ibn Majah daripada Abu Hurairah, Setiap amalan anak Adam digandakan, satu kebajikan dengan sepuluh kali ganda hingga sampai 700 kali ganda, hingga mengikut kehendak Allah.
Semoga kita menjadi hamba-hamba Allah yang dapat menghayati erti dan maksud puasa sehingga membawa kepada takwa kepada Allah.
- Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri ialah penulis tamu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Adab berpuasa dan solat terawih
Oleh NAZMI AIDARUS
Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:
1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;
2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;
3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.
Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal;
4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)
Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai’, sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim);
5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai;
6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.
Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.
Kenyang
Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t..
Sabdanya: Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya. (Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)
Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”
As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa;
7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat;
8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.
Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim);
9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)
10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.
Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat terawihnya seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan surau.
Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadat solat tersebut kerana meninggalkan ‘wajib-wajib’ solat seperti meninggalkan tomakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga menyebabkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan terawih seperti itu adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.
Oleh itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan kiam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.
Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya sepanjang solat terawih itu sehinggalah selesai sama ada 20 rakaat ataupun lapan rakaat. Sabda Rasulullah s.a.w., Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala kiam semalaman. (Riwayat an-Nasaei)
- NAZMI AIDARUS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Negeri Terengganu.
Sunber: Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment