22 September 2008/ramadhan 1429
Pada setiap tahun menjelang 17 Ramadhan, umat islam menyambut dengan memperingati Nuzul Al Quran dengan mengadakan majlis ceramah, foram serta betrpincangan mengenai Al Quran dari segi sejarah penurunan, kandungan serta pengajaran yang boleh didapati dari padanya sebagai sumber utama panduan agama Islam. Di bawah ini penulis menghuraikan dengan lebih terperinci mengenainya termasulah dari segi sejarah atau peristiwa nUzul AlQuran tersebut, kelebihan isi kandunagn Al Quran serta syufaatnya yang boleh diperolehi jika seorang itu membaca, memahami dan mengamalkan kandungannya.
Nuzul al-Quran dan perang Badar
Oleh Roziah Sidik @ Mat Sidek
Dua peristiwa besar dalam Islam yang berlaku pada 17 Ramadan ialah nuzul al-Quran dan peperangan badar. Nuzul al-Quran dalam konteks ini ialah penurunan al-Quran buat kali yang pertama.
Penulis sumber sejarah Islam yang berautoriti seperti Ibn Ishaq, al-Tabari, Ibn Hisyam, al-Asqalani dan Ibn Sayyid al-Nas mencatatkan bahawa peristiwa nuzul al-Quran berlaku ketika Nabi Muhammad S.A.W. bertahannuth di gua Hira'.
Baginda dilaporkan pergi ke gua Hira' bersama-sama isterinya Khadijah. Ketika sedang tidur, baginda didatangi Jibrail yang memintanya membaca. "Bacalah! Namun, Nabi Muhammad SAW menjawab: Apa akan ku baca (wa ma aqra'?)"
Sebaik sahaja mendengar jawapan Nabi Muhammad SAW, Jibrail terus memeluk baginda dengan kuat sehingga baginda sukar untuk bernafas. Kemudian baginda dilepaskan lalu disuruh lagi: "Bacalah! Nabi Muhammad masih menjawab: Apa akan ku baca?" Lalu Jibrail menarik dan memeluknya sekali lagi. Perkara ini berterusan sehingga beberapa kali.
Lalu Jibrail melepaskan Nabi Muhammad SAW dan seterusnya membacakan lima ayat pertama dari surah al-Alaq. Selepas itu, barulah Jibrail pergi dari situ dan nabi segera terjaga dari tidurnya.
Lima ayat pertama dari surah al-Alaq inilah yang pertama diturunkan kepada baginda SAW. Lima ayat ini jugalah yang mempunyai kaitan langsung dengan peristiwa nuzul al-Quran.
Apa pula kaitan antara nuzul al-Quran dengan peperangan Badar? Untuk melihat lebih lanjut mengenai perkara ini, mari kita lihat pandangan-pandangan yang timbul mengenai tarikh berlakunya peristiwa nuzul al-Quran. Pandangan-pandangan inilah nantinya akan membawa kita kepada hubung kait antara nuzul al-Quran dengan peperangan Badar.
Ulama menyepakati bahawa nuzul al-Quran berlaku pada hari Isnin. Jika ditinjau pandangan Ibn Kathir, kita akan dapati bahawa persepakatan ini disandarkan kepada sabda Nabi Muhammad SAW sendiri ketika ditanya tentang puasa pada hari Isnin. Baginda mengatakan bahawa baginda dilahirkan pada hari Isnin dan al-Quran juga diturunkan kepadanya pada hari Isnin.
Sekalipun terdapat persepakatan dari segi hari berlakunya peristiwa nuzul al-Quran, namun terdapat perselisihan pendapat dari segi tarikh dan bulan berlakunya peristiwa tersebut.
Beberapa tarikh telah dilaporkan oleh sumber sejarah Islam sebagai tarikh berlakunya nuzul al-Quran seperti 10 Ramadan, 17 Ramadan, 18 Ramadan ataupun 24 Ramadan.
Selain bulan Ramadan, terdapat juga pandangan yang mengatakan bahawa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Rabiulawal atau bulan Rejab. Walau bagaimanapun, pandangan yang paling masyhur menyebut bahawa peristiwa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Ramadan.
Kebanyakan sumber sejarah Islam yang menyebut mengenai perkara ini di dapati melaporkan pandangan Ibn Ishaq.
Mari kita lihat apa pula bukti yang mengukuhkan hujah bahawa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Ramadan.
Menurut kebanyakan penulis sumber sejarah Islam yang berautoriti seperti Ibn Ishaq, Ibn Hisham, Ibn Kathir, al-Suhayli dan juga al-Bayhaqi, ayat 185 surah al-Baqarah adalah bukti jelas bahawa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Ramadan.
Ini terbukti menerusi apa yang boleh difahami dari ayat tersebut iaitu, "bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu…".
Selain ayat tersebut, terdapat juga ayat lain yang turut digunakan sebagai bukti bahawa peristiwa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Ramadan. Antaranya ialah ayat 41 surah al-Anfal.
Menariknya ialah, ayat ini tidak hanya menentukan bulan berlakunya peristiwa tersebut. Bahkan ia juga turut mendedahkan tarikh berlakunya peristiwa nuzul al-Quran itu sendiri.
Ini boleh difahami menerusi maksud ayat tersebut iaitu ketahuilah, sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil, jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami Muhammad di hari Furqan iaitu hari bertemunya dua pasukan.
Apa yang dimaksudkan dengan hari bertemunya dua pasukan di sini ialah pertemuan antara orang Islam dan orang kafir dalam peperangan Badar yang berlaku pada 17 Ramadan.
Oleh kerana ayat 41 sebelum ini menjelaskan mengenai nuzul al-Quran berlaku pada hari tersebut, maka tarikhnya pastilah 17 Ramadan. Cuma bezanya, peperangan Badar berlaku pada 17 Ramadan tahun ke-2 hijrah.
Walau bagaimanapun, baik nuzul al-Quran mahupun peperangan Badar, kedua-duanya adalah peristiwa besar dalam sejarah Islam. Nuzul al-Quran menjadi titik tolak kepada pelantikan Nabi Muhammad SAW sebagai utusan Allah untuk membawa risalah Islam.
Peperangan Badar pula mencerminkan kekuatan pihak Islam hanya dalam tempoh lebih kurang dua tahun selepas mereka meninggalkan kota Mekah untuk berhijrah ke Madinah.
lPenulis ialah pensyarah di Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Sejarah al-Quran:
Antara peristiwa agung dalam sejarah umat Islam ialah turunnya kitab suci al-Quran atau disebut Nuzul al-Quran.
Ia dirakamkan dalam al-Quran, melalui firman Allah yang bermaksud: “Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)
Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, di Gua Hira’ tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad saw.
Al-Quran merupakan mukjizat yang paling besar yang dikurniakan kepada Nabi saw. Kita hendaklah beriman dan mempercayai isi kandungan al-Quran. Beriman dengan al-Quran merupakan salah satu dalam Rukun Iman.
Erti Nuzul al-Quran:
‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah, iaitu berpindah dari tempat sebelah atas ke tempat di sebelah bawah.
‘Al-Quran’ pula bermaksud bacaan atau himpunan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia. Ia juga dikatakan himpunan kerana dalam al-Quran itu terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat dan sebagainya.
Kehebatan al-Quran:
1. Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan sebanding dengannya walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.” (Surah al-Israa’, ayat 88)
2. Orang yang membaca, menghafaz dan melihat sambil memikirkan keajaiban yang ada pada susunannya diberikan pahala.
3. Al-Quran sumber hidayah bagi kebahagiaan hidup manusia di dunia dan di akhirat.
4. Tidak sesiapa pun sama ada di kalangan manusia atau jin yang mampu mencipta
ayat yang menyerupai al-Quran. Firman Allah yang bermaksud: “ dan jika kamu
merasa ragu-ragu dengan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami, bawalah
satu surah yang seumpamanya, ajaklah saksi-saksi (penolong-penolong) kamu,
selain Allah, sekiranya kamu (di kalangan) orang yang benar.”
(al-Baqarah, ayat 23).
5. Al-Quran merupakan mukjizat tertinggi dan teristimewa yang hanya dikurniakan
kepada Nabi saw.
6. Manusia belum mampu menyelami dan menerokai rahsia al-Quran secara
menyeluruh sehingga hari ini. Ini bererti sifat kehebatan, kesaktian, keagungan dan
keunggulan al-Quran secara tersendiri dengan pengertiannya yang amat luas dan
mendalam kekal terpelihara hingga kiamat.
7. Al-Quran sebagai petunjuk jalan kebenaran. Membawa manusia daripada kegelapan kepada cahaya yang terang. Allah berfirman yang bermaksud: “Inilah Kitab yang tiada keraguan padanya, menjadi petunjuk kepada orang yang bertakwa.” (al-Baqarah, ayat 2)
8. Membaca al-Quran mendapat ganjaran pahala dan syafaat daripada Allah. Rasulullah saw bersabda dengan maksud: ‘Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya
Peringatan:
Al-Quran untuk dibaca buka dijadikan perhiasan.
Al-Quran tidak menjadi syifa’ (ubat) bagi orang yang ingkar dan zalim.
Al-Quran menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa.
Hati yang keras boleh dilembutkan dengan hidayah al-Quran dengan keizinan Allah.
Pesan Nabi saw: Aku tinggalkan dua perkara yang jika kamu berpegang kepada kedua-duannya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnahku (al-Hadis).
Hakikatnya, adakah cara ini sudah memadai sebagai peringatan bagi kaum Muslimin agar memperingati salah satu peristiwa besar dalam sejarah Islam serta kewajipan umat Islam kini kembali untuk mempelajari, memahami dan mengkaji isi kandungan al-Quran?
Ini kerana, al-Quran diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW bukan sekadar sebuah kitab tetapi untuk menjadi pedoman hidup atau petunjuk (hidayah) bagi umat manusia, memberi rahmat, syifa', ketenangan, peringatan, penjelasan, sekali gus sebagai mukjizat atas kenabian Muhammad SAW.
Sebagaimana yang ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk dan perbezaan (antara yang benar dan yang batil)..." (al-Baqarah: 185)
Oleh itu, seharusnya peringatan Nuzul al-Quran menjadi momentum bagi umat Islam untuk menilai kembali sejauh mana mereka memahami dan menghayati kandungan al-Quran. Apatah lagi dalam kita melayari Ramadan mulia ini.
Allah berfirman yang bermaksud: Kitab suci ini diturunkan untuk memberi keputusan (jalan keluar) terbaik bagi masalah-masalah kehidupan manusia (al-Baqarah: 213).
Peristiwa penurunan pertama al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW ketika berkhalwat di Gua Hira' pada malam Jumaat bertepatan 17 Ramadan iaitu tahun ke-41 dari kelahiran Baginda sentiasa dijadikan pemangkin semangat kepada pemuda mualaf kelahiran Perkampungan Muramvya, Burundi, Afrika, Hilali Sibomana, 30, dalam usaha beliau menguasai dan menyelidik ilmu al-Quran.
Beliau berkata, surah al-Alaq yang bermula dengan suruhan yang bermaksud: "Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan"... adalah bukti paling jelas dan sahih tentang kepentingan pencarian ilmu itu. Sayangnya, umat Islam memandang remeh akan penekanan ke atas ayat ini.
"Saya mengenali al-Quran sejak usia kanak-kanak lagi. Ini kerana dilahir dan dibesarkan dalam kelompok mubaligh Kristian, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk menguasai bukan sahaja kitab Injil tetapi juga al-Quran.
"Pada peringkat awal, memang pembelajaran saya semata-mata demi mencari kelemahan al-Quran untuk mudah berhujah bila berhadapan dengan umat Islam.
"Tetapi semakin saya mendalami kitab suci ini, semakin saya meyakini dan akhirnya, mengakui kebenaran agama Islam," cerita pemuda ini yang reda bergelar pelarian politik di bawah Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) demi mempertahankan akidah Islamnya.
Anak tunggal ini turut kehilangan ibu bapa tercinta hanya kerana pengislaman diri kira-kira lima tahun lalu. Pun begitu, beliau tidak pernah menyalahkan takdir Ilahi ini kerana lebih takutkan pembalasan Allah SWT kelak berbanding ancaman atau ugutan manusia.
Mengakui dirinya agak bertuah kerana tidak menghadapi masalah dalam mempelajari al-Quran hasil didikan awal yang diterima dahulu. Pun begitu, Hilali tidak sekali-kali menganggap pencapaiannya itu sudah dikira baik.
Lantaran itu, dari semasa ke semasa beliau belajar memperbaiki mutu bacaan, tajwid dan kefahaman menerusi cakera padat dan kaset. Malah beliau menjadikan kebiasaan membaca al-Quran kemudian diselikan dengan melihat kepada terjemahan daripada kitab tafsir.
Dalam sesi fotografi yang dilakukan di sebuah masjid di Taman Melawati, Kuala Lumpur, baru-baru ini turut disertai dua rakan mualaf kelahiran Tawau dan Kota Kinabalu, Sabah iaitu Joannes Lukas, 29, dan Muhd. Assamarqandi Lee Abdullah, 28.
Sebagaimana hidayah yang Allah SWT suntikkan dalam jiwa Hilali, begitu jugalah sama yang dialami Joannes dan Assamarqandi iaitu membuat perbandingan di antara al-Quran dengan kitab Injil serta penjelasan tentang konsep ketuhanan di dalam agama Islam.
Kata Muhd. Assamarqandi lagi, pembelajaran al-Quran diikutinya secara sepenuh masa di Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP), Kelantan dari 2005 hingga 2007.
Alhamdulillah, katanya, tiada halangan ketika belajar. Cuma selepas berkahwin dan mendapat cahaya mata, beliau terpaksa memilih sama ada untuk meneruskan pelajaran atau bekerja? Jadi, pada masa itu, beliau memilih untuk berkerja demi mencari nafkah keluarga.
"Malah saya benar-benar bersyukur kerana dengan sentiasa mendekatkan diri kepada al-Quran serta istiqamah dalam pengamalannya, ia telah berjaya menyingkirkan segala kekotoran jiwa yang melekat dalam lubuk hati ini.
"Percaya atau tidak, saya pernah bergelar penagih dadah, perokok dan kaki botol. Alhamdulillah, kesemua tabiat buruk ini berjaya ditinggalkan berkat keyakinan dan bantuan daripada Allah SWT. Malah al-Quran itu menjadi pelindung diri ketika berjalan atau bekerja dan ketenangan jiwa," katanya yang amat bersyukur kerana antara insan terpilih oleh Allah untuk menerima hidayah-Nya.
Nasihat beliau kepada generasi muda sekarang yang bakal memerintah bumi ini, bahawa kehidupan di dunia itu tidak kekal, suatu hari nanti semua akan merasai maut. Oleh itu, tanpa ilmu kita akan sesat.
"Belajarlah ilmu al-Quran, anda pasti akan dapat sesuatu yang tidak pernah anda sangkakan. Ini pengalaman saya, pintu rezeki bertambah malah saya telah memenangi beberapa pertandingan tilawah al-Quran. Hakikatnya, dengan ilmu Quran sebagai panduan hidup, pasti akan berjaya dunia dan akhirat. Insya-Allah," katanya yang memeluk Islam pada 15 Jun 2004.
Inisiatif
Sementara itu, Joannes selepas memeluk agama Islam, terus belajar tajwid dan iqra' iaitu dua kali seminggu dengan Imam I di Universiti Putra Malaysia (UPM). Pembelajarannya tidak setakat itu, beliau juga mengambil inisiatif mengulangkaji selepas tamat kelas dan selepas solat.
"Alhamdulillah dalam tempoh tiga bulan, saya sudah menguasai surah-surah lazim dari surah ad-Dhuha ke surah an-Naas. Dari situlah saya boleh membaca al-Quran dengan baik. Kemudian, saya sambung hingga tamat iqra' enam. Kesemua ini lengkap dipelajari dalam tempoh enam bulan sebelum mendapat tunjuk ajar daripada Hj Ma'som. Memperoleh bimbingan daripada beliau secara tidak langsung menjadikan bacaan al-Quran saya bertambah berkualiti," jelasnya.
Menyentuh pembacaan al-Quran, Joannes berkata, beliau tidak pernah bosan kerana memang minat dan menganggap kitab suci itu sebagai teman hidup.
"Sebab itulah, apabila berjaya menguasainya, keseronokan yang dirasai tidak terhingga seolah-olah seperti mendapat ijazah pengajian Quran malah timbul satu azam untuk menghafal al-Quran dalam tempoh setahun," akui Joannes yang bercita-cita untuk memahami, menghayati, mempraktik dan menguasai ilmu perbandingan agama dengan baik. Harapannya lagi, ia secara langsung akan meningkatkan rasa cintanya kepada Allah dan Rasul-Nya.
Berkongsi kesan ke atas beliau, jelas lulusan Ijazah Sarjana Muda kejuruteraan dari UPM ini, al-Quran banyak membentuk keperibadiannya. Malah perasaan panas baran, tidak tenang dan tertekan berjaya dikawal.
"Apabila kita membiasakan diri dengan menghafal ayat-ayat al-Quran. Ia menjadi penenang hati. Selain itu, rasa cinta kepada Allah semakin menebal dan mendalam.
"Oleh itu, kita kenalah banyak berdoa minta dipermudahkan dalam pemahaman ajaran Allah dan agar dilembutkan hati.
"Yang penting sekali, selepas membacanya, kita kena lihat tafsir atau terjemahan dan jika boleh hafal, itu adalah lebih baik. Kemudian, kita imbas kembali, adakah cara hidup kita ini mengikut al-Quran dan sunah atau tidak?," saran Joannes terhadap kepentingan setiap umat Islam tidak kira mualaf atau dilahirkan Muslim untuk menguasai al-Quran.
Sumber: Utusan malaysia 17 September 2008
Roh Nuzul al-Quran ubah, bina peradaban ummah
Kalam Allah beri hidayah, petunjuk manusia tinggalkan hidup jahiliah penuh kesesatan
PERISTIWA Nuzul al-Quran antara perkara penting yang harus diingat dan direnung Muslim kerana bermula dengan peristiwa itu zaman jahiliah yang diliputi kegelapan disinari cahaya, kesesatan digantikan kebenaran dan umat yang hidup bertuhankan hawa nafsu berubah bertuhankan Allah Yang Esa.
Peristiwa Nuzul al-Quran menjana perubahan dan membina peradaban umat. Allah berfirman bermaksud: “Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam.” (Surah al-Anbiya’, ayat 107)
Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata “al-Quran mukjizat akhir zaman” atau “al-Quran yang mempunyai mukjizat”. Disebabkan keutamaan inilah, al-Quran berbeza daripada kitab lain yang diturunkan kepada nabi terdahulu sebelum Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya al-Quran adalah mukjizat terbesar dianugerahkan Allah kepada Rasulullah SAW dalam menghadapi cabaran menegakkan syiar Islam. Ketabahan Baginda berjaya mengubah bangsa Arab yang hidup tanpa pedoman, jauh daripada hak dan kebenaran dengan meniupkan roh semangat al-Quran.
Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW perlu diingati dengan penuh keinsafan oleh umat Islam. Al-Quran mengandungi lebih 6,000 ayat adalah himpunan wahyu dan kitab panduan terakhir daripada Allah, diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun kepada Rasul-Nya, Muhamad supaya menjadi petunjuk kepada seluruh umat.
Penurunan ayat al-Quran secara beransur-ansur mempunyai hikmah, antaranya tidak membebankan pesuruh-Nya dan umat Islam pada zaman awal Islam, malah sesetengah ayat diturunkan bagi menerangkan kedudukan sesuatu kes dalam masyarakat. Contohnya, dalam kes Umar terhadap Rasulullah SAW yang mengingatkan kemungkinan ada antara mereka yang menemui isteri Baginda bersikap tidak jujur. Sejurus kemudian, turun wahyu Allah menjelaskan perkara itu, iaitu firman Allah yang bermaksud: “Wahai Nabi, katakanlah kepada isterimu, anak perempuanmu dan isteri orang Mukminin hendaklah memakai jilbab. Dengan demikian akan mudah dikenali dan tidak diganggu. Allah Maha Pengampun dan Penyayang.” (Surah al-Ahzab, ayat 59)
Waktu penurunan al-Quran mengikut perancangan dan ketentuan Ilahi. Sesuai dengan kitab itu yang sungguh mulia, Allah juga memilih penghulu segala bulan yang terkenal dengan bulan keampunan, rahmat dan keberkatan iaitu Ramadan untuk menurunkannya. Firman Allah bermaksud: “Ramadan adalah bulan diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan daripada pembeza (antara yang hak dan batil).” (Surah al-Baqarah, ayat 185)
Nabi menerima wahyu dalam pelbagai cara dan keadaan antaranya:
l Malaikat memasukkan wahyu ke dalam hatinya. Dalam hal ini, Nabi Muhammad SAW tidak melihat sesuatu pun, hanya berasa ia sudah berada dalam kalbunya.
l Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW berupa lelaki yang berkata kepadanya sehingga beliau mengetahui dan hafal kata-kata itu.
l Wahyu datang seperti gemerincingnya loceng. Cara inilah yang amat berat dirasakan Nabi SAW. Kadangkala pada keningnya keluar peluh walaupun ketika itu musim sejuk. Ada kalanya, unta yang Baginda tunggangi terpaksa berhenti dan duduk kerana berasa amat berat apabila wahyu itu turun.
l Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW dalam rupanya yang asli.
Hikmah al-Quran diturunkan secara beransur-ansur itu ialah:
Lebih mudah difahami dan dilaksanakan. Orang tidak akan melaksanakan suruhan dan larangan jika diturunkan sekali gus dengan banyak.
Antara ayat itu ada yang nasikh dan mansukh, sesuai dengan permasalahan waktu itu. Ini tidak dilakukan jika al-Quran diturunkan sekali gus. (Ini menurut pendapat yang mengatakan ada nasikh dan mansukh)
Turun ayat sesuai dengan peristiwa yang berlaku lebih mengesankan dan berpengaruh di hati.
Memudahkan penghafalan. Orang Musyrik bertanya mengapakah al-Quran tidak diturunkan sekali gus seperti disebut dalam al-Quran yang bermaksud: “Mengapakah al-Quran tidak diturunkan kepadanya sekali gus? Dijawab dalam ayat itu sendiri: Demikianlah, dengan (cara) begitu Kami hendak menetapkan hatimu.” (Surah al-Furqan, ayat 32)
Ada antara ayat itu jawapan daripada pertanyaan atau penolakan suatu pendapat atau perbuatan seperti dikatakan Ibnu Abbas. Hal ini tidak dapat terlaksana jika al-Quran diturunkan sekali gus.
Al-Quran mengandungi pelbagai ilmu pengetahuan dalam segenap aspek, bukan saja suruhan dan larangan, malah merangkumi cerita alam ghaib, teladan dan ilmu pengetahuan.
Peristiwa Nuzul al-Quran mengubah dan membina peradaban umat kerana al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu adalah perkara benar dan tidak perlu diragui oleh manusia.
Sehubungan itu, peristiwa Nuzul al-Quran harus dihayati umat Islam kerana ia menjadi asas keimanan terhadap al-Quran bahawa ia adalah kalam Allah. Bahkan, ia dilihat asas utama dalam pengakuan umat Islam terhadap kerasulan Nabi Muhammad SAW serta keyakinan Islam itu agama benar, satu-satunya agama yang diredai di sisi Allah. (Buku Peristiwa Bersejarah Bulan Ramadan)
Sumber:Berita Harian 22 September 2008
No comments:
Post a Comment