Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
” AL-QUR’AN MERENTASI ZAMAN ”
( 19 September 2008 / 19 Ramadan 1429H )
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT d
engan memperkukuhkan pengabadian diri kita kepada-Nya dengan sentiasa melakukan ketaatan dan meninggalkan segala maksiat dan kemungkaran yang boleh mengundang kemurkaan Allah SWT. Semoga dengan amalan yang diredhai Allah S.W.T dapat memberkati kehidupan kita di dunia dan di akhirat. Tajuk khutbah pada hari ini ialah “AL-QUR’AN MERENTASI ZAMAN”.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Sempena memperingati Nuzul Al-Qur’an, mimbar hari ini suka menyatakan bahawa peristiwa Nuzul Al-Qur’an yang berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan tahun ke-41 daripada kelahiran Rasulullah SAW ini telah membawa sinar kepada seluruh manusia yang ketika itu sedang berada dalam kegelapan jahiliah. Bermula dari peristiwa ini, zaman yang penuh dengan kegelapan itu telah berubah wajah dengan cahaya iman dan Islam. Amalan yang sesat dan batil telah bertukar kepada kebenaran dan keadilan. Manusia yang dahulu hidupnya bertuhankan hawa nafsu, kini beralih kepada menyembah Allah SWT Yang Maha Esa. Dalam erti kata lain, peristiwa Nuzul Al-Qur’an telah menjana perubahan dan membina peradaban umat.
Firman Allah SWT dalam surah al-Anbiak ayat 107:
Maksudnya: " Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu, melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam."
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Al-Qur’an merupakan mukjizat yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW dan kepada umatnya. Sehingga tiada sesiapa pun yang mampu mencipta ayat-ayat Al-Qur’an walaupun sepotong ayat yang setanding dengan kehebatan Al-Qur’an.
Firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah ayat 23:
Maksudnya: " Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Qur'an itu, dan panggillah orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang yang benar."
Al-Qur’an adalah kitab suci yang kekal sifatnya, sangat istimewa dan sesuai untuk semua zaman dan tempat. Ia bukan panduan untuk satu-satu bangsa atau masa-masa tertentu sahaja tetapi merupakan pembawa rahmat seluruh alam sehingga hari kiamat. Manakala perbahasan dan pengajaran yang diketengahkan di dalamnya pula membawa banyak manfaat kepada umat manusia. Contohnya hasil kajian sains berkaitan biologi manusia (tubuh badan manusia) telah mengesahkan bahawa setiap manusia mempunyai cap jari yang berbeza antara satu sama lain. Dan sesungguhnya al-Qur’an telah menyebutkan hal ini lebih awal dari kajian tersebut iaitu sejak 1,429 tahun yang lampau.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Qiamah ayat 3-4:
Maksudnya: Patutkah manusia menyangka bahawa Kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya?. Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan Kami berkuasa menyusun jarinya, (tulang yang lebih halus dari yang lain).
Demikian juga tentang kajian mengenai deria kulit manusia yang baru diketahui mempunyai sel-sel yang banyak serta paling sensitif. Perkara ini telah digambarkan oleh al-Qur’an ketika mana orang-orang berdosa diazab dalam neraka kelak, setiap kali kulit-kulit mereka yang terbakar hangus akan diganti dengan kulit lain untuk mengandakan keazaban yang berkekalan.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Sempena dengan memperingati Nuzul al-Quran al-Karim yang merupakan kitab suci dan salah satu rukun iman ini, marilah sama-sama kita menjadikan al-Qur’an sebagai pedoman dan panduan hidup bermula diperingkat individu, keluarga, masyarakat dan negara. Sesungguhnya semua hukum dan peraturan-Nya menjadi penyelamat di dunia dan di akhirat.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Israk ayat 9:
Maksudnya: “ Sesungguhnya al-Qur’an ini memberi petunjuk kejalan yang benar (iaitu ajaran Islam), dan memberikan berita yang menggembirakan kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh bahawa mereka beroleh pahala yang besar. ”
Disamping itu, menjadi kewajipan kepada ibu bapa merancang program kelas-kelas al-Qur’an kepada anak-anak secara serius dan bersungguh-sungguh. Adalah malang jika anak-anak diabaikan daripada ilmu al-Qur’an, sedangkan pelajaran akademik sanggup disediakan kelas-kelas tuisyen. Sebagai umat Islam yang wajib beriman dan mengamalkan ajaran al-Qur’an perlulah memastikan bahawa masyarakat Islam bebas daripada penyakit buta al-Qur’an. Sesungguhnya masyarakat yang celik al-Qur’an akan dilimpahi hidayah keberkatan dan rahmat Allah SWT.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Isra’ ayat 82:
Maksudnya:" Dan Kami turunkan dari ayat al-Qur’an itu penawar dan rahmat bagi orang yang beriman; dan tidak menambahkan orang yang zalim kecuali kerugian".
No comments:
Post a Comment