Tuesday, November 30, 2010

Menyembunyikan aib orang lain sesama Islam

Selasa,30 November 2010/23 Zulhijjah 1431

Hadith-hadith Rasulullah s.a.w. banyak menceritakan mengenai perintah atau galakan menyembunyikan keaiban saudara seislam yang lain. Antaranya hadith daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu bahawa Nabi s.a.w. bersabda:

"Tidak menutup seseorang akan keaiban orang lain melainkan Allah akan menutup keaibannya pada hari qiamat".
(Riwayat Muslim).

Hadith ini menceritakan kelebihan bagi sesiapa yang menutup keaiban saudaranya, maka Allah akan menutup keaibannya pada hari qiamat. Menurut para ulama, menyembunyikan keaiban orang lain terbahagi kepada dua keadaan: iaitu mahmud (terpuji) dan mazmum (dikeji).

Menyembunyikan keaiban orang lain dianggap terpuji jika orang itu dari kalangan orang yang baik, beriman dan beramal soleh. Maka dalam hal ini keaibannya perlu dirahsiakan. Berbeza dengan orang yang suka melakukan maksiat, berbangga dengan maksiat yang dilakukan dan suka menceritakan maksiatnya kepada orang. Maka harus diceritakan kejahatannya supaya dapat dihukum seterusnya menjadi pengajaran kepada orang lain.

Apa yang penting dalam menyembunyikan keaiban orang lain adalah bergantung kepada maslahah atau kepentingan. Jika kepentingan menutup perbuatan tersebut maka perlu dirahsiakan begitulah sebaliknya. Perhatikan sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oIeh Imam Al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

"Setiap umatku dimaafkan melainkan orang yang terang-terangan dan menunjuk-nunjuk dalam melakukan kemaksiatan (Al-Mujaharah). Dan sesungguhnya termasuk di bawah (Al-Mujaharah) ialah orang yang bangga melakukan kejahatan pada malam hari kemudian pada paginya Allah menyembunyikan keaibannya tetapi dia pula menceritakan kepada orang lain dengan berkata: "Ya Pulan, aku melakukan perbuatan ini dan itu semalam", pada hal ketika dia tidur pada malamnya Allah telah menutup keaibannya tetapi pada keesokannya dia mendedahkan apa yang telah ditutup oIeh Allah SWT.

Islam melarang umatnya mengaibkan sesama Islam sehinggakan orang yang telah dihukum dengan hukuman had pun ditegah daripada dihina dan diaibkan sebagaimana hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oIeh Abu Hurairah yang bermaksud:

"Seorang yang telah meminum arak dibawa kepada Nabi lalu Nabi memerintahkan supaya lelaki tersebut disebat. Abu Hurairah menceritakan: Ada di antara kita yang memukul dengan tangannya, ada yang memukul dengan kasutnya, ada yang memukul dengan pakaiannya. Ketika lelaki tersebut beredar, setengah kaum menghinanya dengan mengatakan semoga Allah menghinakan engkau. Lalu Nabi melarang dengan katanya: Jangan mengeluarkan perkataan itu nanti syaitan akan mengambil peluang".


Larangan dan tegahan Islam tentang perkara yang mengaibkan sesama Islam adalah demi menjaga hubungan silaturrahim dan perpaduan sesama mereka. Musuh-musuh Islam akan bergembira apabila melihat umat Islam benci-membenci sesama mereka, hina-menghina, aib-mengaib dan fitnah-memfitnah. Golongan yang dalam hatinya ada perasaan benci dan hasad kepada saudara seislamnya merupakan golongan yang ada dalam dirinya sifat-sifat munafiq. Tidak ada perkara yang tidak boleh diselesaikan dalam Islam. Islam menganjurkan perbincangan dan pertemuan bagi menyelesaikan sebarang pertelingkahan dan pergeseran.

Mengaibkan saudara seislam yang lain tanpa bukti dan fakta yang tepat merupakan satu jenayah yang sangat besar kepada perpaduan Islam. Umat Islam sewajarnya melupakan pergeseran yang bersifat peribadi dan meletakkan kepentingan dan perpaduan ummah lebih daripada segala-galanya.

Pengajaran yang dapat diperolehi dari perbincangan di atas:


1. Kehidupan bermasyarakat dan bernegara hendaklah berlandaskan nilai-nilai akhlak dan nilai budaya yang bertamadun.

2. Umat Islam perlu membina masyarakat dan negara di samping berinteraksi dalam politik, sosial, perniagaan dan sebagainya berdasarkan nilai dan ajaran Al-Quran yang luhur.

3. Nama baik seseorang serta kehormatannya perlu dilindungi sesuai dengan perintah Allah dan Rasul-Nya.

4. Orang atau kumpulan yang menggunakan cara mengaibkan lawan seperti mencolek, mengugut, melakukan rasuah, memfitnah dan sebagainya adalah melakukan perkara yang diharamkan oIeh Allah SWT.

5. Golongan berkenaan pasti menerima padah dan akan dicampak oleh Allah ke dalam api neraka.



"Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan bahaya (seksa, bunuh dan sebagainya) kepada orang-orang yang mukmin laki-laki dan perempuan kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka jahannam dan mereka akan beroleh azab api yang kuat membakar".

Monday, November 29, 2010

Jenis Hukum Jenayah Hudud

Isnin,29, November 2010/22 Zulhijjah 1431

Hukuman had (hudud) adalah merupakan hak Allah yang tidak dapat dimaafkan dan dihapuskan oleh manusia.

Sesuatu hukuman idak boleh dijatuhkan atas dasar keraguan, kerana ia akan menumnytulkan penaniyaan. Oleh kerana itulah diperlukan alat-alat bukti atau dalil-dalil yang konkrit dengan berupa saksi, pengakuan, surat menyurat dan lain-lainnya yang di perlukan untuk keyakinan dan kepastian.

Dari Ali r.a, dari Nabi saw beliau bersabda:" Batalkan hukuman had sebab ada keraguan"

Jenis-jenis hukum jenayah hudud.

1. Hukum jenayah murtad:

1.1. Hukumn mati sebgai hukaman pokok
1.2. Hukuman takzir, sebagai hukuman pengganti
1.3. Tidak dapat waris mewarisi antara keluarga Islam dan antara dia, sebagai hukuman tambahan.

2.Hukuman Jenayah Penyamunan:

2.1. Hukuman mati, atau
2.1. Hukuman mati di kayu salib, atau
2.3. Hukuman potong tangan dan kali, satu-satu sekali gus, atau
2.4. Hukuman buang ke tempat lain

3. Hukuman jenayah bughat (pemberontak)

3.1. Hukuman mati (diperangi), sebagai hukuman luar biasa, sebab belum ada sesuatu pengadilan yang memberikan putusan yang begitu rupa, selain hanya perintah al Quran.


4. Hukuman jenayah perzinaan:

4.1.Pertama: untuk wanita bikir (perawan sama perawan), maka hukumnya:

a. Hukum jilid (dicambuk) sebanyak 100 kali
b. Hukuman buangan serta jilid.

4.2. Kedua: Untuk wanita muhsin (lelaki dan perempuan) yang sudah pernah nikah yang sah. Maka hukumannya adalah.

a. Hukuman rejam sampai mati
b. Hukuman jilid dan rejam.

5.Hukum jenayah qazat (menuduh orang berzina)

a. Hukuman pokok: dijilid sebanyak lapan puluh kali.
b. Hukuman tambahan: Tidak dapat diteriam jadi saksi buat selama-lamanya.

6. Hukum jenayah pencurian.

a. Hukuman potong tangan kanan. Kalau berulang juga, dijatukan hukuman potong kaki kiri. Kalau berulang juga, dijatuhi hukuman potong tangan kiri, lalu kaki yang kanan, kalau masih juga mengulanginya lagi, maka dihukum takzir.

7. Hukum jenayah minum arak (yang memabukkan)

a. Dijilid sebanyak 40 kali. Tetapi tidak mengapa kalau disampaikan 80 kali bila Imam berpendapat yang demikian, demi untuk kemaslahatan awam.

Sunday, November 28, 2010

Siapa dia Abu Hurairah r.a ?

Ahad, 28 November 2010/21 Zulhijjah 1431


Siapa dia Abu Hurairah r.a.?

1. Nama penuh beliau ialah Abdul Rahman bin Sakhrin Ad-Dausiy.
Beliau dibesarkan dalam keadaan yatim dan beliau pernah bekerja
mengambil upah dengan Bisrah binti Ghazwan.

2. Beliau dilahirkan di Yaman di dalam sebuah keluarga yang fakir dan tidak mempunyai kaum keluarga kecuali ibu beliau.
Pada zaman jahiliah beliau bernama Abdul Syams.


3. Beliau memeluk Islam dalam tahuin 7 hijrah, melalui At-Tufail bin Amru Ad-Dausiy dan beliau terus menetap di Yaman di dalam kaum beliau (Kaum Daus) malah beliau tidak pernah berhijrah kepada Rasulullah s.a.w di Madinah kecuali selepas enam tahun setelah berlaku peristiwa Hijrah.Beliau hanya semapat bersama Baginda selama empat tahun sahaja.

4. Rasulullah s.a.w menamakan beliau dengan Abdul Rahman, walau
bagaimanapun baginda sering memanggil beliau: "Wahai Abu Hirr!".
Sebab beliau dipanggil dengan Abu Hurairah ialah kerana pada masa
kecil beliau mempunyai seekor kucing kecil sebagai teman permainan
beliau menyebabkan kawan-kawan beliau memanggil beliau dengan
panggilan: Abu Hurairah.


5. Selepas Abu Hurairah memeluk Islam, beliau hanya menghabiskan masa beliau untuk menemani Nabi s.a.w dan melayan baginda. Abu Hurairah menyeru ibu beliau supaya memeluk Islam, lalu ibu
beliau menyahut seruan tersebut dengan memeluk Islam selepas
Rasulullah s.a.w berdoa untuknya. Abu Hurairah banyak berbakti kepada ibu beliau.

6. Abu Hurairah sentiasa tinggal di As-Suffah (sebuah tempat yang
terdapat di masjid Rasulullah yang dikhususkan sebagai tempat tinggal para sahabat yang miskin). Beliau sentiasa bersama-sama dengan Nabi s.a.w walau di mana baginda berada dan tidak pernah berpisah dengan baginda menyebabkan beliau dapat menghafal hadis dengan jumlah yang terlalu banyak, lebih-lebih lagi selepas Rasulullah s.a.w berdoa kepada beliau supaya tidak melupakan ilmu yang didapati.

7. Abu Hurairah telah menghafal sebanyak lebih dari 1,600 buah hadis
daripada Rasulullah s.a.w dan beliau pernah berkata: "Aku sibuk
menghafal sedangkan saudara-saudara aku dari kalangan Muhajirin sibuk dengan perniagaan mereka manakala saudara-saudara aku dari kalangan Ansar pula sibuk dengan pertanian mereka.


8. Abu Hurairah terlalu sukakan kepada ilmu malah beliau juga suka
sekiranya ilmu dipelajari oleh orang lain sehingga sampai ke
peringkat beliau pergi berjumpa dengan orang ramai yang berada di
sebuah pasar di Madinah lalu beliau berkata kepada mereka:

"Kamu duduk di sini sedangkan pusaka Nabi s.a.w dibahagikan di masjid, apakah halangan kamu?" Mendengar kata-kata tersebut orang ramai terus pergi ke masjid, mereka mendapati tidak ada apa-apa yang berlaku di sana kecuali orang-orang yang mendirikan sembahyang, membaca kitab suci Al-Quran dan orang-orang yang duduk di dalam majlis pengajian ilmu. Mereka semua merasa hairan terhadap Abu Hurairah lalu beliau berkata kepada mereka: "Itulah pusaka Nabi s.a.w."

9. Ketika harta semakin bertambah banyak dan kebaikan mula melimpah
ruah serta harta rampasan perang sentiasa dapat diraih hasil dari
pembukaan kawasan Islam, kehidupan Abu Hurairah mula berubah di mana
beliau mula memiliki harta, rumah, kekayaan, isteri dan anak-anak.
Walaupun begitu, kesukaan beliau terhadap ilmu, tawaduk beliau,
kerajinan beliau melakukan ibadat, kesungguhan beliau dan ketaatan
beliau sedikitpun tidak berubah.

10. Pada zaman pemerintahan Muawiyah bin Abi Sufian, Abu Hurairah
dilantik menjadi gabenor di Madinah. Walaupun demikian jawatan
tersebut tidak mempengaruhi kewarakan dan ketakwaan beliau walaupun
sedikit malah beliau sentiasa berpuasa pada waktu siang dan beribadat pada waktu malam.

11. Abu Hurairah r.a sering menyebut kata-kata beliau:

"Aku dibesarkan dalam keadaan yatim, aku berhijrah dalam keadaan miskin, aku pernah bekerja mengambil upah dengan Bisrah binti Ghazwan dengan bayaran sekadar cukup untuk mengisi perut aku. Aku membantu orang ramai ketika mereka turun dari binatang tunggangan dan aku mengangkat barangan mereka ketika mereka menunggang. Lalu Allah mengahwinkan aku dengannya (iaitu Bisrah binti Ghazwan). Oleh yang demikian segala puji bagi Allah yang menjadikan agama dapat berdiri tegak dan menjadikan Abu Hurairah sebagai seorang pemimpin.

Friday, November 26, 2010

Kesah Tentera Gajah

Jumaat,26 November 2010/19 Zulhijjah 1431

Kisah Tentera Bergajah

Abrahah telah membina sebuah gereja di San'a (yang dinamakan al-Qalis) dimana pada masa tersebut tidak terdapat gereja seumpamanya. Abrahah telah menulis surat kepada raja Najasyi yang berbunyi: Sesungguhnya aku telah membina untuk kamu sebuah gereja yang tidak pernah dibina seumpamanya kepada mana-mana raja sebelum kamu. Aku tidak akan tenang sehinggalah orang-orang Arab datang mengerjakan Haji di sini.

Apabila orang-orang Arab memperkatakan tentang surat Abrahah kepada raja Najasyi, perkara ini menimbulkan kemarahan seorang lelaki dari Kinanah lalu pergi ke al-Qalis dan membuang najis di dalamnya secara sembunyi, kemudian kembali kepada kaum keluarganya. Perkara itu telah disampaikan kepada Abrahah dan telah menimbulkan kemarahannya lalu bersumpah untuk menghancurkan Kaabah.

Beliau memerintahkan tentera Habsyah untuk bersiap sedia dan setelah bersedia, Abrahah serta tenteranya terus keluar dengan membawa gajah. Apabila orang-orang Arab mengetahui hasrat Abrahah untuh menghancurkan Kaabah, mereka merasa gerun dan takut. Abrahah mengutus seorang lelaki Habsyah yang bernama Al-Aswad bin Mafsud bersama tentera berkudanya sehingga sampai di Mekah, lalu meminta tebusan daripada kaum Quraisy dan yang lainnya, di antaranya dua ratus ekor unta kepunyaan Abdul Muttalib bin Hasyim (ketua kaum Quraisy pada masa tersebut).


Kaum Quraisy, kaum Kinanah, kaum Huzail dan kaum yang tinggal berhampiran dengan Tanah Haram telah berazam untuk memeranginya tetapi setelah menyedari mereka tidak mempunyai kekuatan, mereka membiarkan perkara tersebut begitu saja. Abrahah juga telah mengutus Hannatah Al-Himyari ke Mekah sambil berpesan kepadanya: Tanyalah ketua atau pembesar negeri ini, kemudian katakan kepadanya, raja telah berpesan kepadaku bahawa, aku datang bukan untuk memerangi kamu tetapi untuk menghancurkan Kaabah ini, sekiranya mereka tidak menghalangi kami, maka aku tidak akan memerangi kamu, sekiranya dia tidak mahu memerangi aku, bawalah dia kepadaku.

Apabila Hannatah memasuki Mekah, beliau bertanyakan tentang ketua atau pembesar negeri tersebut. Dia telah diberitahu bahawa ketua negeri tersebut ialah Abdul Muttalib bin Hasyim, dia terus menemuinya dan memberitahu apa yang diperintahkan oleh Abrahah.

Abdul Muttalib berkata kepadanya: Demi Allah! Sesungguhnya kami tidak mahu memeranginya, kami tidak mampu untuk melawannya. Ini adalah Baitullah al-Haram dan Baitu Ibrahim Al-Khalil a.s (atau sebagaimana yang diriwayatkan). Sekiranya Dia menghalangnya maka ini adalah rumahNya sekiranya Dia (Allah) membiarkannya, Demi Allah, kami tidak berkuasa mempertahankannya. Lalu Hannatah berkata kepadanya, marilah bersama aku untuk mengadap Abrahah, kerana beliau telah memerintahkan aku untuk membawa kamu kepadanya.

Hannatah berangkat bersama Abdul Muttalib dan pengikutnya, apabila sampai di kawasan yang bernama al-Askar, beliau bertanya tentang Zu Nafar iaitu sahabatnya. Apabila masuk menemuinya di dalam penjara, Hannatah bertanya: Wahai Zu Nafar! Apakah kamu mempunyai suatu perantaraan atau penyelesaian yang dapat menolong kami?

Zu Nafar menjawab: Apakah ada perantaraan atau penyelesaian daripada seorang lelaki tahanan raja yang menunggu hukuman mati samada siang hari atau malam hari seperti aku ini? Aku tidak mempunyai perantaraan atau penyelesaian untuk menolong apa yang telah berlaku kepada kamu kecuali sahabatku Anis, seorang pengembala gajah.

Aku akan mengutusinya dengan memberi pesanan tentang diri kamu dan juga kelebihan yang ada pada kamu. Aku juga akan meminta kepadanya agar meminta keizinan untuk kamu daripada raja supaya kamu dapat mengadap dan berbicara dengan raja tentang apa yang berlaku kapada kamu. Dia akan menjadi perantaraan yang baik dengan raja, sekiranya dia mampu melakukan sedemikian, katakanlah cukuplah bagiku.

Setelah itu Zu Nafar mengutusi Anis dengan katanya, Abdul Muttalib adalah ketua kaum Quraisy dan pembesar Mekah, dialah yang memberi makan kepada orang ramai pada semua peringkat samada yang tinggal di kawasan wadi atau kawasan perkampungan badwi di bukit-bukit. Sesungguhnya raja telah mengambil dua ratus ekor unta miliknya, oleh itu mintalah keizinan dan manfaat untuknya daripada raja sekadar yang kamu mampu.

Anis menjawab: Aku akan melakukannya. Lalu Anis menyampaikan perkara tersebut kepada Abrahah dengan berkata: Wahai raja! Ini adalah ketua kaum Quraisy berada di hadapan kamu, dia datang untuk meminta izin kepada kamu, dia juga merupakan pembesar negeri Mekah yang sentiasa memberi makan kepada orang ramai pada semua peringkat samada yang tinggal di kawasan wadi atau kawasan perkampungan badwi di bukit-bukit. Aku meminta izin daripada kamu agar dia dapat memberitahu kamu apa yang dihajatinya.

Lalu Abrahah mengizinkannya. Abdul Muttalib adalah seorang yang tampan, perkasa dan cantik rupa parasnya. Apabila Abrahah melihatnya dia meraikan dan
memuliakannya lalu meminta supaya Abdul Muttalib duduk bersamanya tetapi kaum Habsyah yang berada bersama dengannya tidak suka melihat Abdul Muttalib dijemput oleh raja untuk duduk bersama di atas singgahsana kerajaannya, lalu Abrahah turun dari singgahsananya dan menjemput Abdul Muttalib duduk bersama di sampingnya. kemudian Abrahah berkata kepada penterjemahnya:

Katakanlah kepadanya: Apa yang kamu hajati? Lalu penterjemahnya menyampaikan apa yang diperkatakan oleh Abrahah. Abdul Muttalib berkata: Hajatku ialah supaya raja dapat memulangkan kembali dua ratus ekor unta yang dirampas daripadaku. Apabila perkara tersebut disampaikan kepada Abrahah, dia berkata kepada penterjemahnya: Katakan kepadanya, aku merasa amat kagum ketika pertama kali melihat kamu tetapi ia hilang lenyap setelah kamu bercakap kepadaku. Apakah kamu hanya berbicara tentang dua ratus ekor unta yang aku rampas daripada kamu, sedangkan kamu meninggalkan Kaabah yang menjadi pegangan agama kamu dan bapa-bapa kamu. Aku datang untuk menghancurkannya tetapi kamu tidak pula bercakap denganku tentangnya?

Lalu Abdul Muttalib menjawab: Aku adalah tuan unta tersebut, manakala Kaabah tersebut ada tuan yang akan melindunginya. Abrahah berkata: Tidak ada siapa yang dapat menghalang aku untuk menghancurkannya. Abdul Muttalib berkata kepadanya: Biarlah kamu dengan keadaan kamu. Untu-unta tersebut dipulangkan kembali kepada Abdul Muttalib. Setelah itu Abdul Muttalib pulang kepada kaum Quraisy lalu menceritakan kisah pertemuannya dengan Abrahah dan memerintahkan mereka agar keluar dari Mekah dan berlindung di atas bukit.
Kemudian Abdul Muttalib mengunci pintu Kaabah dan beberapa orang lagi dari kaum Quraisy bersama dengan Abdul Muttalib berdoa kepada Allah semoga mengalahkan Abrahah dan tenteranya. Apabila menjelang pagi, Abrahah mula bersedia dengan gajah dan tenteranya untuk memasuki Mekah dimana gajahnya bernama Mahmud. Setelah mereka mengarahkan gajah menuju ke Mekah, mereka telah bertemu dengan Nufail bin Habib.

Beliau berdiri di sebelah gajah tersebut kemudian memegang telinganya lalu berkata: Duduklah Mahmud dan kembalilah semula ke tempat kamu datang, sesungguhnya kamu berada di negeri yang diharamkan oleh Allah. Kemudian beliau melepaskan telinga gajah tersebut, lalu gajah tersebut terus duduk. Mereka memukul gajah tersebut supaya bangun tetapi ia enggan berbuat demikian.

Kemudian mereka mengarahkan gajah tersebut kembali ke Yaman, lalu ia terus bangun dan berjalan ke arah tersebut. Setelah itu mereka mengarahkannya ke Syam, gajah tersebut juga berjalan sebagaimana diarahkan. Mereka mengarahkan pula menuju ke arah Masyrik (timur), lalu gajah tersebut berjalan sebagaimana diarahkan. Setelah itu mereka mengarahkan semula menuju ke arah Mekah tetapi gajah tersebut terus duduk. Lalu Allah mengutuskan kepada mereka sekumpulan burung seumpama burung layang-layang dimana setiap seekor membawa tiga biji batu, sebiji di paruh dan dua biji lagi di kakinya.

Batu tersebut seperti kacang kuda dan kacang dal, sesiapa sahaja yang terkena akan hancur dan binasa. Tidak semua yang binasa di tempat tersebut, mereka telah keluar dari kawasan tersebut tetapi rebah bergelimpangan di setiap jalan lalu mati dalam keadaan yang penuh dahsyat. Abrahah terkena lontaran batu tersebut di badannya, mereka membawanya dalam keadaan jari-jarinya terputus tetapi apabila tiba di San'a, Abrahah meninggal dunia di sana.

Tuesday, November 23, 2010

Peranan Ibubapa menangani gejala sosial dalam Masyarakat

Selasa,23 November 2010/16 Zulhijjah 1431

Peranan Ibubapa menangani gejala sosial dalam Masyarakat.



1. Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama menangani kemelut gejala sosial yang berlaku.. Firman Allah SWT. dalam surah An-Nahl ayat 125:

"Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik, sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalan-Nya, dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah".


Kita harus memaksimumkan penggunaan Medium Dakwah yang melibatkan pendekatan kesukanan, hiburan, teknologi canggih seperti penggunaan IT. yang meliputi penggunaan Laman Sosial, Blog, E-Mail atau melalui Laman-laman Web.

2. Ibubapa hendaklah bersikap terbuka dalam memainkan peranan mereka bagi menarik minat anak-anak dengan cara atau jalan yang paling baik. Pendekatan tegas, berdisiplin di samping menunjukkan kasih sayang, lembut dan mesra adalah sangat sesuai dalam mentarbiyyah anak-anak. Kita tidak ingin melihat anak-anak menjadi semakin jauh daripada kita akibat tiada belaian kasih sayang dan kemesraan terhadap mereka.

Justeru, ibubapa hendaklah mempelajari Ilmu-ilmu Motivasi dan Pentarbiyyahan terkini sesuai dengan peredaran zaman. Ada masa dan ketika kita menjadikan mereka teman dan ada masa kita bertegas dengan mereka. Kasih sayang dan kemesraan hendaklah dipupuk, Program-program Pembinaan Ukhuwwah Dan Jalinan Kekeluargaan hendaklah sentiasa dibentuk seperti lawatan, perkhemahan, hari keluarga, riadhah santai bersama keluarga dan sebagainya.



3. Apa yang paling penting peranan keluarga dalam menangani gejala sosial yang berlaku ialah penerapan asas-asas agama kepada anak-anak kita dengan memberi Pendidikan Asas Fardhu 'Ain dalam diri setiap anak-anak, mudah-mudahan ianya akan menjadi obor dalam kehidupan mereka untuk memperolehi keredhaan Allah SWT.

Ibubapa hendaklah menjadi contoh utama dalam amalan dan menunaikan kewajipan agama seperti solat secara berjamaah dan membimbing anak-anak berkenaan batas-batas pergaulan dalam Islam, pemeliharaan batasan aurat, galakan untuk menghadhiri kelas-kelas agama dan sebagainya.

4. Di samping itu peranan masjid, NGO, Jabatan-jabatan Kerajaan, Swasta, JKKK. dan Individu Perseorangan dalam membendung gejala sosial hendaklah diperkasakan dengan menyumbang apa-apa yang perlu samada kewangan, kemudahan, dewan, tempat rekreasi atau peralatan mengendalikan Program-program Kesedaran atau Khidmat Nasihat berupa Ceramah Motivasi, Kaunseling, Penyediaan Kursus-kursus Keinsafan, Bimbingan Kerjaya atau Panduan Berumahtangga demi menyelamatkan generasi muda daripada menjadi mangsa keruntuhan akhlak dan akidah.

5. Firman Allah SWT. dalam surah Toha ayat 132:

"Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat dan hendaklah engkau bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu;. dan kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertaqwa".

Menurut buku "Apa Ertinya Saya Menganut Islam " yang dikarang oleh Fathi Yakan menyatakan beberapa langkah:

5.1. Memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa matlamat hidup insan ialah sebagai khalifah dan sebagai hamba Allah. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 30:

"Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi".

Ini menjelaskan kepada kita bahawa sebagai khalifah dan hamba Allah, umat Islam wajib menegakkan agama Allah dan mentadbir alam ini berlandaskan syarak dan agama serta patuh dan taat mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT. Firman Allah SWT. dalam surah Az-Zariyat ayat 56:

"(Ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku".

5.2. Manusia haruslah memahami bahawa nilai dunia adalah terlalu sedikit dan bersifat sementara berbanding akhirat.

5.3. Manusia hendaklah menyedari bahawa kematian pasti datang menemui kita. Justeru, carilah bekalan menuju alam akhirat. Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 185:

"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan hanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya, dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan".

5.4. Umat Islam mestilah mengetahui hakikat Islam itu dengan mempelajari selok-belok agama agar hilang kejahilan umat dan kebaikan akan terserlah akhirnya. Hadith ini diriwayatkan oleh Al-'Askari daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

"Sesungguhnya ilmu itu didapati dengan belajar dan kefahaman itu didapati dengan mendalami ilmu, barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah akan kebaikan, nescaya Allah akan memberikannya kefahaman dalam agama".

5.5. Umat Islam mestilah mengenali siapakah jahiliyyah atau musuh Islam. Semua perkara yang menyimpang daripada agama adalah jahiliyyah. Kita hendaklah waspada bahawa musuh-musuh ini akan sentiasa menghancurkan kita termasuk budaya dan pemikiran.

Tegasnya untuk menyelesaikan sebahagian masalah gejala sosial ini adalah dicadangkan:

Pertama: Sesebuah keluarga mestilah menggalakkan mereka yang bujang supaya berumahtangga kerana Rasulullah menegaskan dalam hadithnya yang diriwayatkan oleh Baihaqi dan Al-Hakim:

"Sesiapa yang berkahwin sesungguhnya ia telah menyempurnakan separuh dari agamanya maka bertaqwalah ia pada separuh yang lain".

Kedua: Pembinaan sesebuah keluarga hanya berjaya dengan tarbiyyah, asuhan dan didikan menurut nilai-nilai Islam.

Ketiga: Sesebuah keluarga amat wajar memantau dan mengambil tahu pergaulan dan pergerakan anak-anak mereka agar tidak terjebak dengan perkara-perkara negatif.

Keempat: Sesebuah Keluarga, Ahli Masyarakat dan Pemerintah perlulah memainkan peranan penting dalam usaha membentuk dan mencorakkan generasi kini menjadi Generasi Soleh dengan Penyediaan Alternatif Aktiviti dan Program Membina Generasi Taqwa dan menjadi Modal Insan yang hakiki untuk hari ini dan akan datang, sebagaimana usaha yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor ke arah Pembinaan Modal Insan yang baik dengan pelaksanaan Program SPIES di semua peringkat.

Oleh itu marilah kita sebagai umat yang dianugerahkan akal yang waras dan diberikan kesedaran Islam yang tinggi, bertindaklah segera kembalikanlah umat Islam ke jalan yang lurus dan jalan taqwa agar kehidupan kita akan memperolehi ketenangan di dunia dan di akhirat.

Firman Allah swt dalam surah At-Thur: 21

"Dan orang yang beriman dan diikuti oleh zuriat keturunan mereka dalam keimanan, Kami hubungkan zuriat keturunan itu dengan mereka (di dalam syurga); dan Kami tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amalan mereka; Setiap manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya".





Dipetik dan disesuaikan dari Khutbah Jumaat Bacaan 8 Oktober 2010 oleh JAIS.

Monday, November 22, 2010

Asas Agama Islam Ialah Agama Allah

Isnin 22 November, 2010/15 Zulhijjah 1431.

Asas agama ialah Ma'rifat Allah.


Islam ialah agama ciptaan Allah yang diturunkan melalui Rasul-rasulnya yang diakhiri dengan Nabi Muhammad s.a.w. untuk keselamatan dan kebahagiaan umat manusia di dunia dan di akhirat.

Dalam agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w terkandung hukum-hukum dan amalan-amalan meliputi segala bidang hidup, dari perkara yang sebesar-besarnya hingga kepada yang sekecil-kecilnya dan semuanya itu bergantung kepada satu asas yang penting - "Marifat Allah", iaitu mengenal Allah Subhanahuwataala dan mengakui keEsaanNya.


Hakikat ini telah disimpulkan oleh ulama Tauhid dalam kalimah "Awalud Din Ma'rifat Allah" (asas agama ialah mengenal Allah), iaitu intisari dari maksud hadis yang kami sebutkan dalam bab ini.

Jelasnya, sebagaimana sesebuah bangunan bergantung kepada asasnya tentang teguh kukuh atau tidaknya, maka demikianlah pula halnya "Ma'rifat Allah" itu, tiap-tiap seorang wajib memahaminya supaya meresap dan sebati dalam jiwanya sehingga menjadi satu keyakinan yang dapat mempengaruhi seluruh perasaan dan gerak langkahnya untuk memikul tanggungjawab menjalankan hukum-hukum Islam dan amalannya.


Sekiranya asas Ma'rifat ini tidak kukuh dan hanya dalam peringkat sangkaan semata-mata, maka inilah sebabnya seseorang itu tidak merasa bertanggungjawab dalam menjalankan hukum-hukum dan amalan yang tersebut dengan sepenuhnya.

Ma'rifat Allah wajib pada syarak dan juga wajib pada akal.

Tiap-tiap seorang manusia apakala ia lahir ke alam wujud ini, ia akan dapat menerima berbagai-bagai nikmat yang tidak terhitung.

Di antaranya ialah tubuh badannya dilengkapkan dengan nikmat-nikmat yang tidak ternilai seperti mata, telinga dan lain-lainnya yang tidak dapat diberi oleh sesiapa pun dari kalangan manusia sendiri atau makhluk-makhluk yang lain.


Maka tidaklah patut bagi orang yang menerima nikmat itu kalau ia tidak mahu mengenal siapakah pemberinya dan tidak mahu bersyukur akan pemberian yang sangat-sangat berharga itu.

Sikap yang demikian, tak dapat disangkal lagi tentang tidak patutnya kalau difikirkan oleh orang-orang yang berakal siuman yang menggunakan akalnya dengan jujur. Lebih-lebih lagi tidak patut kalau orang itu menggunakan nikmat pada bukan tempatnya dan ia pula menentang serta menderhaka kepada yang melimpahkan nikmat itu kepadanya. Kerana sikap yang demikian menggambarkan ketiadaan peri kemanusiaan.


Allah Taala Yang Maha Pemurah, lagi Amat Mengasihani, yang melimpahkan nikmat-nikmat-Nya yang tidak terhitung kepada sekalian makhluk, telah mengingatkan manusia supaya mengenal-Nya dan mengakui keEsaanNya, dengan firmanNya : فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ yang maksudnya memerintahkan manusia supaya masing-masing berusaha mencari jalan mengenalNya dengan sepenuh-penuh yakin, kerana Dialah Pencipta manusia dan alam seluruhnya, dan Dialah juga yang mengurniakan segala nikmat yang mereka gunakan dalam alam kehidupan ini.

Dengan ini jelaslah bahawa "Ma'rifat Allah" (mengenal Allah) itu hukumnya wajib pada syarak sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah Taala dan juga diakui wajibnya oleh akal yang siuman.


Sesiapa yang tidak mahu mengambil berat mengenal Allah, sedang ia sentiasa menggunakan nikmat-nikmat pemberian-Nya maka sikapnya yang demikian adalah bertentangan dengan "Fitrah insaniah" (keaslian perikemanusiaannya) dan melanggar perintah Allah Taala serta mencuaikan kegunaan akalnya sendiri.


Jalan yang menyampaikan kepada ma'rifat.


Cara mengenal sesuatu sudah tentu dengan jalan mengenal sifat-sifatNya. Maka demikianlah pula cara mengenal Allah Taala, yang wajib al Wujud, tak dapat tidak dengan jalan mengenal sifat-sifat-Nya. Tetapi sifat-sifat Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Kuasa itu tidak dapat dicapai dengan pancaindera, hanya dapat diyakini dari kesan sifat-sifatnya yang ternyata pada kejadian-kejadian alam yang diciptakan-Nya.


Meskipun manusia dilengkapkan dengan akal untuk memikir dan menimbang apa yang diperhati dan ditelitinya dari kejadian-kejadian alam yang tercipta dengan indah dan teratur, bahkan manusia disuruh berbuat demikian untuk kebaikan dan keselamatan dirinya di dunia dan di akhirat, tetapi akal manusia itu adalah terbatas setakat perkara-perkara dan benda-benda yang ada dalam alam nyata yang dapat dicapai oleh pancaindera dan alat-alatnya sahaja.

Maka dengan keadaannya yang demikian, sudah tentu ia tidak dapat memikirkan sama sekali tentang zat Allah Taala yang bukannya dari jenis-jenis benda dan tidak ada sesuatu pun yang menyamaiNya.


Oleh sebab itulah junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. yang diutus oleh Allah Taala untuk memimpin umat manusia ke jalan yang benar, telah menerangkan tentang cara menggunakan fikiran untuk "mengenal Allah" dalam beberapa hadis yang diriwayatkan oleh tiga orang sahabat Baginda s.a.w. iaitu Ibn Abbas, Abu Zar dan Ibn Umar r.a.
Ibn Abbas, Abu Zar dan Ibn Umar r.a.

(Petikan Dari Mastika Hadis)

Sunday, November 21, 2010

Empat sifat yang Mulia isi syurga

Ahad,21 November 2010/14 Zulhijjah 1431

Daripada Abdullah bin Salam r.a. berkata Rasulullah saw bersabda,"maksudnya Hai manusia, berilah salam, hubungkanlah tali persaudaraan, berilah jamuan makan, solatlah pada malam hari ketka anusia sednag tidur, nescaya kamu masuk syurga dengan sejahtera."

_(HR AlTarmizi )

Emapat perkara yang disebut Rasulullah berkait rapat dengan sifat mahabbah (kasih sayang) dna sifat tadhiyyah (pengorbanan bagi melahirkan masyarakat yang kuat dan padu. Empat perkara itu ilah:

1. Memberi salam: Salam merupakan syiar dan lambang pengucapan yang b aik antara oraang Islam, sehingga jadilah meeka sentiasa mendapat keseamatan dan rahnat daripada Alalh swt.

2. Bersilaturrahim: Dapat mengertakan hubungan kekeluargaan dan mengabaikan segala perelisihan antara sesama mereka. silaturrahim wajib dipelihara supaya selamat dari kemutrkaan Allah.

Sabda Nabi saw, " Tidak masuk syurga oramg yang memutuskan silaturr ahim"

3. Memberi makan : memberi makan kepada sesipa yang merlukan seperi fakir miskin, dsn akan menembahkana ikatan kasih sayang dan penghormatan sesama manusia.

4. Qiamullail: Sebagai lambang kesyukuran serta ketaatan akepada Allah swt, mengabdukan diri kepada swt...

Empat sifat di atas melayakkan seseorang itu menjad penghuni Syurga Allah. Semoga kita semua tergolong dalam golongan orang-orang yang memilki sifat tersebut. Amin.